Bolehkah kita memuhasabah pemimpin secara terbuka, sama ada secara berdepan mahupun melalui demonstrasi?
Jawapan:
Setiap individu, sama ada rakyat jelata mahupun pemimpin berhak untuk dinasihati dan dimuhasabah. Bahkan nasihat menjadi wajib bagi setiap individu yang mukallaf tatkala mereka menyaksikan kemungkaran atau kezaliman yang berlaku, tanpa mengira sama ada pelakunya merupakan seorang pemimpin atau rakyat jelata – sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Nabi sallallahu 'alaihi wassalam:
«الدِّينُ النَّصِيحَةُ، ِللهِ وَلِرَسُولِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ»
Ad-deen itu adalah nasihat; demi Allah, dan RasulNya, dan pemimpin kaum Muslimin, dan orang-orang awam. (HR al-Bukhari dan Muslim). 1
Tindakan memuhasabah itu tidak lain tidak bukan akan melibatkan dakwah melalui lisan, sebagaimana yang termaktub dalam sabda Nabi sallallahu 'alaihi wassalam:
«مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ»
Barangsiapa yang menyaksikan kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah dengan lisannya. (HR Muslim).
Inilah yang dilakukan oleh para ulama' salaf as-soleh terdahulu, seperti Abdullah bin Yahya an-Nawawi kepada Sultan Badruddin. Dalam Tahzib al-Asma' karya Abu Yahya Muhyiddin bin Hazzam ada dinukilkan, tatkala Abdullah bin Yahya an-Nawawi mengirimkan surat kepada Sultan Badruddin, lalu baginda menjawab suratnya dengan marah dan bernada ancaman, maka ulama' ini pun membalas kembali kepada baginda, "Bagiku, ancaman itu tidak sedikitpun mengancam diriku. Aku tidak akan sesekali mempedulikannya dan tidak akan berhenti daripada menasihati Sultan. Kerana aku yakin bahawa ini adalah kewajipanku dan yang lain-lain untuk melaksanakannya. Sebarang kesan yang datang daripada pelaksanaan kewajipan ini merupakan kebaikan dan tambahan kepada kebajikan".
Kemungkaran yang perlu diubah terbahagi kepada dua aspek, bergantung kepada bagaimana pelakunya melakukan kemungkaran tersebut. Pertama, kemungkaran yang dilakukan secara tersembunyi dan dirahsiakan oleh pelakunya. Kedua, kemungkaran yang dilakukan secara terbuka dan tidak disembunyikan oleh pelakunya.
Kemungkaran yang disembunyikan hendaklah dinasihati secara senyap-senyap dan tidak sewajarnya dibongkarkan kepada umum, bahkan wajib disembunyikan oleh orang yang mengetahuinya. Sebagaimana sabda Nabi sallallahu 'alaihi wassalam;
«مَنْ سَتَرَ عَوْرَةً فَكَأَنَّمَا اِسْتَحْيَا مَوْءُوْدَةً مِنْ قَبْرِهَا»
Barangsiapa yang menutup sesuatu keaiban, maka (pahalanya) seolah-olah sama dengan menghidupkan bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup dari kuburnya. (HR Ibn Hibban).
Dalam kes yang kedua pula, iaitu kemungkaran yang dilakukan secara terang-terangan, si pelakunya tidak ubah seperti seseorang yang menelanjangkan dirinya sendiri dengan kemungkaran yang dilakukannya. Dalam berhadapan dengan kemungkaran tersebut, pendekatan yang wajar diambil terbahagi kepada dua: Pertama, sekiranya kesan daripada kemungkaran tersebut hanya mempengaruhi pelakunya dan tidak memberikan kesan kepada umum, maka kemungkaran tersebut tidak perlu dibahaskan atau dijadikan perbincangan. Tindakan ini bertujuan untuk mengelakkan kemungkaran tersebut daripada merosakkan pemikiran dan perasaan umat Islam, dan untuk memelihara lisan mereka daripada perkara yang sia-sia. Pengecualian hanya diberikan sekiranya ia diungkapkan dengan tujuan untuk mengingatkan masyarakat tentang bahaya orang fasik yang melakukan kemungkaran tersebut.
Kedua, kemungkaran yang boleh memberikan kesan kepada masyarakat, misalnya kemungkaran yang dilakukan oleh sesebuah institusi, baik negara, organisasi, mahupun kelompok tertentu. Maka kemungkaran tersebut wajib dibongkar dan dihebahkan kepada umum agar mereka mengetahuinya supaya mereka terhindar daripadanya. Perbuatan sedemikian diungkapkan sebagai kasyf al-khuthath wa al-mu'amarah (membongkar rancangan dan konspirasi jahat) atau kasyf al-munkarât (membongkar kemungkaran).
Ini didasarkan pada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Zaid bin al-Arqam yang mengatakan, "Ketika aku berada dalam suatu peperangan, aku mendengar Abdullah bin Ubay bin Salul berkata, 'Janganlah kalian membelanjakan (harta kalian) kepada orang-orang yang berada di sekitar Rasulullah, agar mereka meninggalkannya. Kalau kita nanti sudah kembali ke Madinah, pasti orang yang lebih mulia di antara kita akan mengusir yang lebih hina.' Aku pun menceritakannya kepada bapa saudaraku (Umar), lalu beliau menceritakannya kepada Nabi sallallahu 'alaihi wassalam. Lalu baginda sallallahu 'alaihi wassalam pun memanggilku dan aku pun memberitahunya " 2
Perbuatan Abdullah bin Ubay yang kemudiannya dikhabarkan oleh Zaid bin al-Arqam kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam itu merupakan suatu kemungkaran yang membahayakan kemaslahatan Islam dan kaum Muslimin. Meskipun Abdullah bin Ubay menafikan tindakannya (dalam ertikata lain, ingin menyembunyikan kemungkaran tersebut), namun Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam tidak menegah perbuatan Zaid membongkarkan kemungkaran tersebut. Walhal pada asalnya, hukum membongkar kemungkaran yang disembunyikan oleh pelakunya adalah terlarang. Perubahan status ini menjadi petunjuk bahawa hukum membongkar rahsia atau konspirasi sebegini adalah wajib, kerana kesannya bersifat umum dan membahayakan umat. 3
Oleh itu, perbuatan mengkritik kezaliman ataupun kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin, sama ada secara langsung ketika bertemu dengannya ataupun secara tidak langsung, misalnya melalui penulisan, demonstrasi atau masirah, bukan sahaja diizinkan bahkan wajib. Ganjaran bagi perbuatan memuhasabah ini bahkan sama seperti pahala penghulu syuhada, iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib, sebagaimana dalam hadis Nabi sallallahu 'alaihi wassalam:
«سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ المُطَلِّبِ وَرَجُلٌ قَالَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ فَقَتَلَهُ»
Penghulu para syuhada' adalah Hamzah bin Abdul Muthallib dan orang yang berkata di hadapan seorang penguasa yang zalim, lalu dia memerintahkannya (pada kemakrufan) dan melarangnya (terhadap kemungkaran), kemudian penguasa itu membunuhnya. (HR al-Hakim).
Para sahabat radhiallahu anhum juga pernah memuhasabah Umar ra dalam peristiwa penetapan mahar dan pembahagian tanah kharaj. Ini menunjukkan bahawa tindakan memuhasabah pemimpin secara terbuka dibenarkan dalam Islam sebagaimana yang telah dikupas. Sungguhpun Irbadh bin Ghanam ada mengatakan, "Barangsiapa yang ingin menasihati seorang pemimpin, maka dia tidak boleh mengemukakannya secara terbuka, tetapi hendaklah menarik tangannya (dan menegur secara senyap-senyap). Jika pemimpin tersebut menerimanya, maka itu kebaikan bagi dirinya. Jika tidak, pada dasarnya dia telah menunaikannya (kewajipannya untuk memuhasabah)."5 Akan tetapi, pernyataan tersebut tidak menunjukkan adanya larangan mengkritik atau menasihati pemimpin di khalayak umum, sebaliknya hanya menjelaskan salah satu uslub dalam memuhasabah.
Oleh yang demikian, dapatlah dirumuskan bahawa menasihati pemimpin atau mengkritik tindakan pemimpin yang zalim dan juga membongkar kemungkaran atau konspirasi jahat terhadap Islam dan kaum Muslimin itu wajib dilaksanakan. Yang membezakan hanyalah uslub ataupun pendekatan yang digunakan, sama ada secara bersemuka, ataupun secara tidak langsung seperti dalam bentuk penulisan ataupun berdemonstrasi/masirah. Perbuatan memuhasabah melalui lisan sama ada secara langsung ataupun tidak, adalah lebih baik daripada sekadar memendamkan kebencian dalam hati (bi al-qalb), apatah lagi berdiam diri tidak melakukan apa-apa selain daripada hanya mengkritik mereka yang melaksanakan kewajipan memuhasabah ini. Fal 'iyadzu billah.
Nota Kaki
1 HR al-Bukhari dan Muslim, Sahîhayn, hadis no. 4520 dan 4976.
2 Ibn Hazzam, Tahdzîib al-Asmâ', Dar al-Fikr, Beirut, cet. Pertama, 1996, I/22.
3 Hizbut Tahrir, Min Muqawwimât an-Nafsiyah al-Islâmiyyah, Dar al-Ummah, Beirut, cet. Pertama, 2004, hlm. 112-113.
4 Walaupun sebagai cara/pendekatan (uslûb), menyampaikan pendapat, tulisan, demonstrasi atau masirah tersebut statusnya adalah tetap mubah, dan tidak berubah menjadi wajib. Yang wajib adalah menyampaikan nasihat dan kritik terhadap perbuatan zalim atau mungkar yang dilakukan oleh penguasa.
5 Abu Syuja', Al-Firdaus min Ma'tsûr al-Khaththab, Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut, cet. Pertama, 1986, III/591.