[SN376] Sambutan maulid ar-Rasul sudah menjadi rutin bagi umat Islam saat ini. Setiap tahun, ia disambut dengan pelbagai gaya dan cara dan pastinya ‘tidak sah’ sambutan jika tidak disertai dengan acara perarakan. Selain itu, ia juga dipenuhi dengan program-program lain seperti bacaan syair, qasidah, nasyid dan seumpamanya, sehingga tidak keterlaluan jika dikatakan ia sudah menjadi semacam temasya tahunan. Malah, dari masa ke semasa, majlis sambutan itu senantiasa diwarnai dengan pelbagai kreativiti agar lebih menarik.
Masyarakat keluar beramai-ramai berarak sambil berselawat mengikut kumpulan-kumpulan tertentu dan dengan berpakaian mengikut tema tertentu pula yang telah dirancang sedemikian rupa. Kini, acara sambutan dimeriahkan lagi dengan pertandingan perarakan yang dinilai dari segi kreativiti sepanduk, keseragaman perbarisan, kreativiti selawat, kekemasan pakaian, bilangan penyertaan, inovasi perarakan dan lain-lain!!! Apakah benar begini caranya memperingati Nabi SAW? Dalam pada itu, tidak jarang acara sambutan maulid ar-Rasul ‘dicemari’ dengan wanita yang bertabaruj dan berlakunya ikhtilat (percampuran antara lelaki dan wanita) di luar batas-batas Islam. Oleh sebab sudah terbiasa dan terbius dengan rutin sambutan seperti ini, segelintir umat Islam seolah-olah telah menjadikan acara seperti ini sebagai acara ‘wajib’ atau setidak-tidaknya ‘perlu’ untuk disambut setiap Rabiul awal, walaupun hakikatnya Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah melakukan, memerintahkan mahupun menunjukkan hal itu.
Selain itu, tanggal 12 Rabiul Awal biasanya hanya diidentikkan dengan peringatan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Padahal jika didalami perjalanan kehidupan Rasulullah SAW dan sahabat, tanggal tersebut merupakan tanggal tiga peristiwa besar terkait kehidupan Nabi SAW, risalah dan dakwah baginda. Tanggal tersebut merupakan maulid Nabi SAW, sekali gus maulid DaulahIslamiyyah yang pertama dan maulid Khilafah Rasyidah yang pertama. Ketiganya merupakan satu kesatuan rangkaian perjalanan kehidupan Nabi SAW, dakwah dan risalah baginda.
Maulid Nabi SAW
Nabi SAW dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun Gajah di Makkah (IbnulQayyim, ZadulMaad, I/28). Kelahiran yang diperingati bersempena tarikh tersebut adalah kelahiran orang yang diberi nama Muhammad yang kemudiannya diangkat oleh Allah SWT menjadi Nabi dan Rasul (utusan)Nya. Kepadanya Allah turunkan wahyu dan risalah agar dia sampaikan kepada seluruh umat manusia. Justeru, mengingati maulid (kelahiran) Nabi SAW tidak boleh dilepaskan dari kedudukan baginda sebagai Rasul (utusan) Allah dan tidak boleh dilepaskan dari risalah yang baginda bawa dan dakwahkan. Dengan kata lain, mengingati maulid Nabi SAW haruslah mengandungi perenungan tentang sikap kita terhadap Nabi SAW, dakwah serta risalah yang baginda bawa dan bagaimana kita menterjemahkan semua itu dalam kehidupan kita pada hari ini. Persoalannya, apakah kita telah meneladani Nabi SAW di dalam setiap aktiviti harian kita?
Dalam konteks ini, satu hal penting yang tidak boleh dilupakan ialah bahawa Muhammad SAW bukan hanya memiliki satu kedudukan sahaja, tetapi, baginda menduduki dua kedudukan sekali gus, yakni yang pertama sebagai Nabi dan Rasul dan yang kedua, sebagai penguasa yakni ketua negara. Sebagai Nabi dan Rasul, tugas baginda adalah menyampaikan risalah Allah. Allah SWT berfirman,
“Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanm. Jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan risalahNya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir” [TMQ al-Maidah (5):67].
“Dan taatlah kepada Allah dan taatlah kepada RasulNya, jika kamu berpaling sesungguhnya kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan (risalah) dengan terang” [TMQ at-Taghabun (64):12].
Manakala sebagai ketua negara, Nabi SAW diperintahkan oleh Allah SWT untuk memutuskan perkara di antara manusia dengan hukum Allah. Firman Allah,
“Maka putuskanlah perkara di antara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu” [TMQ al-Maidah (5):48].
Perintah yang sama juga dinyatakan oleh Allah dalam ayat-ayat lainnya. Harus diingat bahawa perintah untuk memutuskan berdasarkan apa yang Allah turunkan ini bukan sahaja terbeban di atas bahu Rasulullah sebagai penguasa, namun turut merupakan perintah dan terbeban ke atas umat Islam untuk memutuskan perkara di tengah-tengah manusia, tidak kira apa sahaja perkara itu, menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah, yakni menurut syariah Islam. Sesungguhnya ini sekali gus merupakan perintah untuk menerapkan hukum-hukum Allah secara total (dan haram untuk menerapkan hukum selainNya) dalam apa jua perkara di tengah-tengah masyarakat.
Perintah kepada Nabi SAW tersebut merupakan perintah kepada umatnya selama tidak ada dalil yang mengkhususkan hanya untuk baginda. Dalam hal ini, sememangnya tidak ada dalil yang mengkhususkan perintah tersebut hanya untuk Rasulullah seorang sahaja. Maka perintah itu juga menjadi perintah bagi seluruh kaum Muslim untuk memutuskan segala perkara yang terjadi, hanya dengan syariah Islam.
Maulid Daulah Islamiyyah Pertama
Selain kelahiran junjungan besar kita, bulan Rabiul Awal juga adalah bulan di mana Nabi SAW berhijrah dari Makkah al-mukarramah ke Madinah al-munawwarah. Rasulullah SAW mulai berhijrah meninggalkan Gua Tsur pada malam Isnin tanggal 1 Rabiul Awal 1H (16 September 622M) dan sampai di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiul Awal 1H (23 September 622 M). Nabi SAW tinggal di sana selama empat hari (Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis). Dari situ, Nabi SAW meneruskan perjalanan sehingga baginda sampai (memasuki) Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal 1H (27 September 622M) [ShafiyurrahmanMubarakfuri, Sirah Nabawiyah (terj.), hal. 232-233; Ahmad Ratib Armusy, Qiyadatur Rasul, hal. 40].
Rasulullah SAW melakukan hijrah setelah baginda dibaiat oleh 75 orang perwakilan kaum Ansar dari suku Aus dan Khazraj dalam peristiwa BaiatAqabah II. BaiatAqabah II ini merupakan akad penyerahan kekuasaan dari suku Aus dan Khazraj kepada Nabi SAW. Itu merupakan akad pengangkatan Nabi SAW sebagai ketua negara dan akad pendirian DaulahIslamiyyah [Al-Marakbi, Al-Khilafah Al-IslamiyyahBainaNuzhum Al-Hukm Al-Muassirah, hal. 16]. Maka secara hukum (de jure) DaulahIslamiyyah pertama sudah terbentuk pada saat itu. Namun kepemimpinan Nabi SAW sebagai penguasa dan ketua negara secara hakiki (de facto) bermula ketika baginda tiba di Madinah pada 12 Rabiul Awal 1H. Maka tanggal 12 Rabiul Awal itu boleh disimpulkan sebagai tanggal maulid DaulahIslamiyyah yang pertama di dunia.
Sebaik sahaja tiba di Madinah, Nabi SAW terus melengkapi struktur negara, bermula dengan mempersaudarakan kaum Muhajirin dengan Ansar atas dasar akidah Islamiyyah. Baginda kemudiannya mendirikan masjid Nabawi sebagai pusat kegiatan masyarakat sekali gus tempat baginda menjalankan pelbagai aktiviti termasuk pemerintahan. Seterusnya, Rasul SAW menyusun Piagam Madinah yang oleh para sejarawan dinilai sebagai konstitusi moden yang pertama. Hal yang menonjol di dalamnya adalah akidah Islam yang dijadikan sebagai dasar pemerintahan dan pengaturan negara dan syariah Islam sebagai hukum untuk mengatur segala urusan dan interaksi di dalam masyarakat yang majmuk dari sisi etnik dan agama, yang mencakup hubungan antara Muslim dan non-Muslim baik dari kalangan orang-orang musyrik, Nasrani dan juga Yahudi.
Berikutnya, Nabi SAW mengangkat para pegawai negara, wali, amil, panglima jihad berserta pasukannya, para qadhi dan kakitangan negara lainnya. Dari aspek urusan luar negara, Nabi SAW menghantar pelbagai ekspedisi ketenteraan (untuk berjihad) dan memimpin secara langsung sebahagian darinya. Baginda mengirimkan utusan kepada para raja, pemimpin dan kaisar, di samping juga menerima delegasi daripada mereka. Nabi SAW memutuskan perkara dan perselisihan dalam kalangan masyarakat yang diadukan kepada baginda menurut apa yang Allah wahyukan. Baginda menjalankan hukum-hukum perekonomian, membahagi zakat, menentukan kharaj, mengatur pemilikan umum dan sebagainya, yang kesemuanya dilakukan menurut apa yang Allah turunkan.
Ringkasnya, di samping menyampaikan risalah, Nabi SAW juga memimpin negara dan mengimplementasikan hukum-hukum syariah Islam dalam segala aspek kehidupan. Islam benar-benar dijadikan cara hidup (way of life). Hal itu terus baginda lakukan hinggalah menjelang kewafatan baginda. Kesemua yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan teladan yang wajib kita ikuti.
Tugas kenabian sudah berakhir seiring dengan wafatnya Nabi SAW yang merupakan penutup para Nabi dan Rasul. Namun, perlu diingat bahawa tugas kepemimpinan negara dan menerapkan syariah Islamiyyah tidak berakhir dan tidak akan pernah berakhir hingga Kiamat. Kerana itulah kita menyaksikan sebaik sahaja Rasulullah wafat, tugas kepimpinan dan penerapan hukum Allah dilanjutkan oleh para Khalifah Rasyidin dan ia terus berlanjutan di bawah kepimpinan Khulafa’ dari bani Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah, sesuai dengan sabda Nabi SAW,
“Dahulu Bani Israel diatur urusannya oleh para Nabi. Setiap kali seorang nabi wafat, ia digantikan Nabi yang lain. Dan sesungguhnya tak ada lagi Nabi sesudahku, yang ada adalah para Khalifah dan jumlah mereka banyak…” [HR Muslim].
Maulid Khilafah Rasyidah
Nabi SAW wafat pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun 11H [Ibnu Katsir, As-Sirah An-Nabawiyah, IV/507], tepatnya pada waktu dhuha hari tersebut. Peri pentingnya melantik seorang ketua negara sepeninggal baginda, lalu sebahagian sahabat terus menyibukkan diri untuk memilih pengganti Nabi sebagai Khalifah, sehingga pengebumian jenazah Rasulullah SAW tertangguh selama tiga hari. Penangguhan pengebumian itu disetujui oleh para sahabat dan tidak ada seorang pun yang mengingkarinya. Pada hari Isnin itu juga, Abu Bakar as-Siddiq dipilih lalu dibaiat dengan baiatin’iqad sebagai Khalifah. Esoknya pada hari Selasa, Abu Bakar as-Siddiq dibaiat oleh kaum Muslimin di masjid dengan baiattha’at. Setelah sempurna semua itu, barulah Abu Bakar as-Siddiq memimpin proses pemakaman jenazah Rasul SAW yang mulia pada pertengahan malam Rabu.
Jadi tanggal 12 Rabiul Awal menjadi tanggal wafatnya Nabi SAW, sekali gus merupakan tanggal maulid Khilafah Rasyidah dengan pimpinan Saidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai Khalifah yang pertama kaum Muslimin, untuk melanjutkan penerapan syariah Islam dan menyebarkan dakwah Islam ke seluruh dunia yang sebelumnya dilakukan dan dipimpin oleh Nabi SAW. Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah itu pada hakikatnya adalah kesinambungan dari DaulahIslamiyyah yang didirikan oleh Rasulullah SAW. Eksistensi Khilafah Rasyidah itu benar-benar dijaga oleh para sahabat. Khilafah Rasyidah itu merupakan sebahagian dari sunnah Khulafa’urRasyidin yang diperintahkan oleh Nabi SAW agar kita menggenggamnya dengan erat. Nabi SAW berpesan,
“…Maka kalian wajib berpegang kepada sunnahku dan sunnah Khulafa’urRasyidin yang mendapat petunjuk. Berpegang teguhlah kepadanya dan gigitlah ia erat-erat dengan gigi geraham…” [HR Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Tirmidzi].
Sesungguhnya ketiga peristiwa maulid ini (maulid Nabi SAW, maulid DaulahIslamiyyah pertama dan maulid Khilafah Rasyidah) tidak boleh dipisahkan antara satu sama lainnya kerana merupakan satu kesatuan dari rangkaian perjalanan kehidupan Nabi SAW dan dari sinilah tersebarnya risalah Allah dan dakwah Islamiyyah ke seluruh penjuru alam. Dari perspektif inilah maulid seharusnya dilihat, yakni dalam rangka meneladani sebaik-baik manusia yang lahir dan melahirkan sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia.
Maulid Nabi tidak seharusnya dirai dengan jalan yang tidak diperintahkan. Lebih buruk lagi sekiranya maulid Nabi disambut besar-besaran tetapi dalam masa yang sama sunnah Nabi dibuang dan risalah yang dibawa oleh Nabi ditolak ke tepi. Nabi SAW berjuang selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah dalam rangka menerapkan seluruh hukum Allah, menyebarkan dakwah Islam dan jihad fi sabilillah…inilah sunnah baginda. Namun realitinya pemerintah hari ini mencampakkan sunnah ini. Nabi SAW membawa risalah (Al-Quran) untuk dijadikan panduan hidup dan peraturan bernegara…namun realitinya pemerintah hari ini menjunjung perlembagaan yang dibuat dan ditinggalkan oleh orang-orang kafir!
Khatimah
Wahai Kaum Muslimin! Pada hari ini, dalam pada segelintir umat Islam bersungguh-sungguh memperingati maulid Nabi SAW dengan cara yang tidak diperintahkan, perjuangan baginda sehingga memaulidkanDaulahIslamiyyah dan seterusnya memaulidkan Khilafah Rasyidah yang kita diperintahkan untuk mengikutinya, ditinggalkan begitu sahaja oleh sebahagian umatnya. Oleh yang demikian, sebagai tanda kita mengingati Nabi dan benar-benar mencintai Nabi SAW, maka kita hendaklah terlibat aktif dalam perjuangan untuk mewujudkan penerapan syariah Islam secara kaffah serta mendunia dan bersungguh-sungguh melibatkan diri di dalam perjuangan untuk menegakkan kembali DaulahIslamiyyah dengan mengikuti thariqah (jalan) yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW. Sesungguhnya, penegakan Khilafah Rasyidah untuk kali yang kedua bukan sahaja merupakan sebuah kewajiban ke atas kita semua, tetapi kemunculannya di akhir zaman ini telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW menerusi sabda baginda,
“Kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian” [HR Ahmad].
Selawat dan salam semoga tercurah ke atas baginda, keluarga dan sahabat-sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jalan baginda hingga hari Kiamat. Maka beruntunglah orang-orang yang berjuang mengikuti jalan Nabi SAW.....Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan