08 November 2012

Memahami Konsep 'Tiada Paksaan Dalam Beragama'

Wacana Intelektual Siri 3 di ITQAN
Tiada Paksaan Dalam Agama: Satu Huraian Al-Qur'an

Tiada paksaan dalam agama' adalah satu bahagian daripada ayat al-Qur'an di dalam Surah Al-Baqarah, yakni ayat ke-256. Ia sering diungkapkan dalam kata-kata dan hasil-hasil penulisan, yang sebahagiannya mempunyai dimaksudkan dalam konteks yang berbeza daripada yang lain. Kajian ringkas ini ingin melihat huraian ungkapan ini menurut kacamata beberapa karya tafsir Al-Qur'an, daripada kategori klasikal mahupun kontemporari.

Pendahuluan: Antara Pelbagai Tafsiran

Kegagalan dalam memahami penafsiran sebenar ayat Al-Qur'an kerap melahirkan beberapa tanggapan dan pemikiran yang salah di dalam minda ramai orang, apatah lagi apabila ia disampaikan melalui penulisan-penulisan, sesi-sesi pembelajaran, media sebaran umum dan seumpamanya. Dalam keadaan kebanyakan orang Islam mengakui autoritatif dan sahihnya Al-Qur'an, dan semakin ramai antara mereka yang inginkan suatu pengembalian kepada Al-Qur'an (dan Al-Sunnah), sebarang ungkapan yang berkait dengan Al-Qur'an dianggap benar dan putus. Sedangkan ia mungkin tidak menepati penafsiran ayat yang muktabar.

Kerapkali ayat Al-Qur'an diambil maksudnya dalam skop yang sempit, sedangkan maksudnya adalah lain dalam skop yang lebih luas. Oleh itu sebarang pemahaman Al-Qur'an hendaklah diambil dalam konteks yang lebih bersepadu dan bukan berpisahan[1].

Begitu juga dengan ayat 256 surah Al-Baqarah ini, ia tidak lari daripada pelbagai tafsiran. Adakah ia bermaksud, tiada paksaan untuk seseorang memeluk Islam? Adakah ia bermaksud, tiada paksaan untuk seorang Muslim melaksanakan tuntutan-tuntutan ke atasnya oleh agama Islam? Adakah ini memungkinkan, bahawa pihak yang berkuasa (atau kerajaan) tidak boleh mengenakan penguatkuasaan sesuatu hukum, undang-undang atau enakmen Islam ke atas seorang rakyat Islam, berdasarkan ayat ini?
Adalah menjadi objektif kajian ini untuk melihat tafsiran kepada ungkapan 'tiada paksaan dalam agama' menurut karya-karya tafsir muktabar dan masyhur. Karya-karya yang dikaji mempunyai metodologi tafsir serta latarbelakang sejarah penulisan yang berbeza sengaja dipilih sebagai perbandingan, baik daripada sudut maksud tafsiran mahupun pendekatan.

Sampel Tafsir Al-Qur'an

Sebanyak empat karya tafsir telah dijadikan rujukan utama untuk kajian ini:

1. Tafsir al-Qur'an al-`Adhim oleh Ibnu Kathir

Tafsir ini merupakan tafsir daripada kategori tafsir bi al-ma'thur. Dikarang oleh Al-Hafiz Isma`il bin `Amr bin Kathir (m. 774 H) – atau Ibnu Kathir – ia adalah antara karya tafsir klasikal yang paling masyhur dan kerap dijadikan rujukan. Rujukan yang digunakan adalah versi mukhtasar yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu bertajuk 'Ringkasan Tafsir Ibnu Katsier' (Mukhtasar Ibnu Kathir).

2. Tafsir al-Jalalayn oleh Jalal al-Din al-Mahalli dan Jalal al-Din al-Suyuti

Tafsir al-Jalalain dikategorikan sebagai kategori tafsir bi al-ra'y[2] [3]. Tafsir ini dikarang sebahagiannya oleh al-Imam Jalal al-Din al-Mahalli (m. 864 H) dan dilengkapkan oleh al-Imam Jalal al-Din al-Suyuti (m. 910 H). Versi yang digunakan adalah terjemahan Bahasa Melayu.

3. Fi Zilal al-Qur'an oleh Sayyid Qutb

Tafsir Fi Zilal merupakan antara tafsir yang banyak mempengaruhi golongan-golongan muda Islam akhir-akhir ini terutamanya yang terlibat di dalam gerakan Islam. Ditulis oleh Sayyid Qutb  (m. 1386 H) ia mempersembahkan suatu tafsir al-Qur'an yang kontemporari pendekatannya dan pada masa yang sama menekankan tajuk penegakan Islam di dalam individu mahupun di dalam masyarakat. Terjemahan Bahasa Melayu terbitan Pustaka Aman digunakan untuk kajian ini.

4. Tafhim al-Qur'an oleh Abu al-A`la Mawdudi

Seperti Fi Zilal, Tafhim al-Qur'an dianggap antara tafsir al-Qur'an kontemporari abad ke-20 yang terkemuka[4]. Ia adalah karya pemikir dan arkitek gerakan Islam di benua Indo-Pakistan abad ke-20, Sayyid Abu al-A`la Mawdudi  (m. 1400 H). Tafhim al-Qur'an asalnya diterbitkan di dalam Bahasa Urdu di dalam jurnal Tarjuman al-Qur'an, sebahagian daripada karya ini telah diterjemah ke Bahasa Inggeris (yang menjadi rujukan kajian ini).
Ayat al-Baqarah 2: 256
Tiada paksaan dalam agama' adalah sebahagian daripada ayat ke-256 surah al-Baqarah:
"Tidak ada paksaan dalam agama, kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dan kesesatan. Oleh itu sesiapa yang tidak percayakan taghut dan ia pula beriman kpeada Allah maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan yang teguh, yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." [al-Baqarah 2: 256][5]

'Tiada Paksaan Dalam Agama': Menurut Karya Tafsir

1. Tafsir Ibnu Kathir
Ibnu Kathir mentafsirkan ayat 256 surah al-Baqarah ini sebagai suatu arahan daripada Allah kepada umat Islam tidak memaksa sesiapa pun untuk memeluk Islam. Ini adalah kerana agama Islam telah jelas akan ajaran dan bukti ajarannya, jadi ia perlu dibukakan kepada umat manusia dengan kerelaan hati dan bukan paksaan. Maka orang yang mendapat hidayah akan dibukakan hatinya untuk menerima Islam, dan sebaliknya orang yang ditutup hati, mata dan pendengaran tidak akan menerima Islam walaupun bukti kebenarannya telah nyata[6].

Seterusnya Al-Hafiz menyebut beberapa riwayat yang boleh dijadikan asbab al-nuzul kepada ayat ini. Suatu riwayat daripada Ibnu `Abbas (r) menyebut tentang keadaan wanita yang bernazar untuk menjadikan anaknya Yahudi kerana selalu kematian anak ketika kelahiran. Kemudiannya apabila Yahudi Bani Nadir diusir daripada Madinah, di kalangan mereka terdapat anak-anak dari kalangan sahabat Ansar, dan ayahnya berkata bahawa dia tidak akan melepaskan anaknya untuk mengikuti Yahudi. Dan seterusnya turunlah ayat ini. Athar ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Nasa'i.
Dalam riwayat lain yang juga diceritakan oleh Ibnu `Abbas (r), ayat ini diturunkan setelah seorang sahabat bernama Husain, cuba memaksa anak-anaknya memeluk Islam sedangkan mereka adalah Nasrani. Kisah ini diriwayatkan oleh oleh Ibnu Jarir dan Al-Suddi. Disebut juga di dalam tafsir Ibnu Kathir berkenaan kisah Asbaq yang pernah diajak kepada Islam oleh Umar (r), dan ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim.

Dinukilkan oleh Ibnu Kathir juga pandangan ulama yang menyebut bahawa ayat ini telah dinasakhkan oleh hukum pembayaran cukai oleh orang-orang bukan Islam. Manakala satu pandangan yang lain pula menyebut akan nasakh[7] ke atas ayat ini oleh ayat yang mewajibkan perang, seperti al-Taubah 7: 73[8] dan al-Taubah: 123[9].

2. Tafsir al-Jalalayn
Tafsir Jalalain dengan ringkas turut menafsirkan 'Tiada paksaan dalam agama' sebagai tiada paksaan untuk memasuki agama Islam. Bahagian seterus ayat ini ('Jalan yang benar telah nyata dari jalan yang sesat.') ditafsirkan sebagai 'keimanan itu kebenaran dan kekafiran itu kesesatan'. Seterusnya dikaitkan penurunan ayat ini dengan kisah Ansar yang ingin memaksa anak-anaknya untuk memeluk Islam[10].
Pada bahagian 'Asbabun Nuzul' surah al-Baqarah tafsir ini disebut kedua-dua athar riwayat Ibnu `Abbas (r) yang sama yang telah disebutkan di dalam tafsir Ibnu Kathir.

3. Fi Zilal al-Qur'an
Di dalam Fi Zilal al-Qur'an Sayyid Qutb menghuraikan keadaan semulajadi persoalan `aqidah yang berupa keyakinan setelah mendapat penerangan dan pemahaman, bukannya dengan paksaan. Agama Islam meraikan penggunaan akal dan perasaan, yang mana bersama sifat-sifat fizikal melengkapi seorang manusia. Ini berbeza dengan agama lain seperti Kristian yang pernah menggunakan kekerasan untuk agama[11].

Kebebasan berfikir dan membuat keputusan oleh manusia dibahaskan oleh Sayyid Qutb sebagai bentuk kebebasan yang paling besar, dan dianggap olehnya sebagai suatu yang tertindas di abad ke-20. Ia dicontohkan dengan keadaan manusia yang dipaksa menganut suatu sistem hidup ciptaan manusia dan dihalang daripada menganut sistem Allah. Islam berbeza dengan cara ini kerana menghormati kebebasan i`tiqad sebagai hak pertama manusia yang memberinya sifat insaniyah.
Sayyid Qutb turut memberikan analisa kepada ungkapan penafian di dalam ayat ini daripada segi bahasa, dan mengatakan ia berbentuk penafian yang mutlak. Maka ayat ini bermaksud Islam menolak dan melarang segala bentuk paksaan dari awal-awal lagi. Larangan ini adalah lebih dalam maksudnya dan kuat kesannya daripada sekadar menahan daripada paksaan[12].

4. Tafhim al-Qur'an
Perkataan "al-Din" di dalam ayat 256 surah al-Baqarah ini ditafsirkan oleh Mawdudi sebagai kepercayaan kepada Allah dan sifat-sifatnya sebagaimana yang diceritakan di dalam ayat sebelumnya, iaitu ayat 255 (dikenali sebagai Ayat al-Kursi)[13] dan seluruh sistem kehidupan yang berdasarkan kepadanya. Manakala "Tiada paksaan di dalam agama" bermaksud penerimaan keseluruhan sistem Islam ini – yang mencakupi kepercayaan, akhlak dan pembawaan praktikal –dan ia tidak dapat dipaksakan penerimaannya ke atas seseorang[14].

Penerangan ini dihuraikan lagi oleh Mawdudi dalam menafsirkan Al-An`am: 35[15] dan Yunus 10:99[16]. Bukanlah Allah mengkehendaki agamaNya ini dipaksakan ke atas sekalian umat manusia (walaupun Dia mampu jika Dia mengingininya), tapi sebaliknya kebenaran ini dikehendakiNya untuk ditunjukkan kepada mereka. Jika Allah mengkehendaki penerimaan melalui paksaan ke atas umat manusia sudah tentu tiada perlunya perutusan para rasul. Tetapi sebaliknya, berdasarkan penyampaian kebenaran ini oleh para Rasul dan orang-orang Islam lain, berserta bukti-bukti dan hujah-hujah yang menyokongnya, manusia lainnya sepatutnya mengenali kebenaran itu dan menerimanya sebagai kepercayaan dan agama mereka atas kerelaan mereka sendiri. Konsep penerimaan Islam menurut kerelaan sendiri ini menepati hikmah kejadian manusia yang dilengkapi akal dan pilihan[17].

Tiada Paksaan Dalam Agama: Perbandingan Tafsir Dalam Maksud dan Metodologi

Terdapat persetujuan di dalam keempat-empat tafsir berkenaan maksud 'Tiada paksaan dalam agama', yakni ia adalah berkaitan dengan kemasukan manusia kepada agama Islam. Tafsir Ibnu Kathir, Fi Zilal dan Tafhim al-Qur'an menghuraikan dengan jelas kaitan pecahan ayat 'Tiada paksaan dalam agama' dengan bahagian ayat seterusnya 'Jalan yang benar telah nyata dari jalan yang sesat', yakni apabila telah dijelaskan dan dibuktikan kebenaran Islam itu kepada manusia maka ia tidak perlu kepada paksaan. Tafsir Fi Zilal menghuraikan lebih lanjut tentang sifat Islam yang menghormati institusi akal dan fikiran dalam diri manusia, dan meletakkan penekanan yang lebih dalam aspek penafian di dalam ayat ini.

Terhadap ayat 256 daripada surah al-Baqarah ini, keempat-empat tafsir menggunakan pendekatan yang agak berbeza. Tafsir Ibnu Kathir – sesuai dengan kedudukannya sebagai antara karya tafsir bi al-ma'thur yang masyhur – mengaitkan ayat ini dengan beberapa athar sahabat, yang juga menurut Ibnu Kathir menjadi asbab al-nuzul kepada ayat ini. Dinukilkan juga olehnya beberapa pandangan ulama yang mencadangkan berlakunya nasakh ke atas ayat ini oleh ayat yang lain. Tafsir Jalalain, walaupun diklasifikasikan sebagai tafsir bi al-ra'y, tidak memberikan penjelasan yang panjang lebar kepada ayat ini, memadai dengan tafsiran yang ringkas dan nukilan athar Ibnu `Abbas sebagai asbab al-nuzul.

Fi Zilal al-Qur'an dan Tafhim al-Qur'an mempunyai kelainan daripada segi pendekatan, walaupun selari daripada segi makna. Sayyid Qutb dan Mawdudi memberikan pandangan mereka di dalam tafsir masing-masing tanpa menyebut ayat al-Qur'an atau hadith yang berkaitan. Melihatkan latarbelakang yang sama bagi kedua-dua tokoh ilmu ini daripada segi zaman kehidupan dan penglibatan kedua-duanya di dalam gerakan Islam[18], mungkin boleh diandaikan mereka lebih menyukai memberikan tafsir menurut pemahaman mereka yang menyeluruh terhadap nas agama dan realiti semasa, manakala mengurangkan penyalinan semula dalil-dalil al-Qur'an dan al-Hadith di dalam karya mereka.

Penutup

Huraian mengenai 'Tiada paksaan dalam agama' di dalam ayat 256 surah al-Baqarah menurut karya-karya tafsir yang dirujuk di dalam kajian ini tidak berbeza daripada segi maksud, walaupun mempunyai pendekatan atau metodologi yang berbeza. Kesemuanya memberikan maksud tiada paksaan dalam pengajakan manusia kepada agama Islam, kerana sifat agama Islam itu menghormati kedudukan penggunaan akal dan penerimaan oleh hati di dalam diri manusia. Apa yang menjadi tugas al-Rasul (s) dan orang-orang beriman adalah untuk menyebarkan kebenaran Islam kepada orang lain, membantu mereka menggarap kebenaran agama Allah berserta bukti-buktinya, dan seterusnya adalah terpulang kepada Allah untuk memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya[19].

Rujukan

`Abdul `Azeez ibn `Abdullaah ibn Baaz, Words of Advice Regarding Da`wah, traslation by Bint Feroz Deen & Bin `Abd al-Ghafoor, Al-Hidaayah Publishing and Distribution, 1998.
Abu Ameenah Bilal Philips, Usool al-Tafseer (The Methodology of Qur'aanic Explanation), Dar Al Fatah, 1997.
Ahmad von Denffer, `Ulum al-Qur'an: An Introduction to The Sciences of The Qur'an, The Islamic Foundation, 1994.
Ibnu Kathir, Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir, terjemahan oleh H. Salim Bahreisy & H. Said Bahreisy, Jilid 1, PT Bina Ilmu, 2002.
Jalaluddin al-Mahalli & Jalaluddin al-Suyuti, Tafsir Jalalain, terjemahan oleh Bahrun Abu Bakar, Jilid 1, Sinar Baru Algensindo, 2003.
Muhammad al-Ghazali, Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Qur'an (terjemahan Bahasa Malaysia Kayfa Nata`amalu Ma`a al-Qur'an), terjemahan oleh Muhammad Rivai Batubara, Angkatan Belia Islam Malaysia, 1994.
Muhammad al-Ghazali, Journey Through The Qur'an (English version of Al-Tafsir Al-Maudu`i li Suwar Al-Qur'an Al-Karim), translation by Aisha Bewley, Dar Al-Taqwa, 1998.
Sayyid Abu al-A`la Mawdudi, Towards Understanding The Qur'an (English version of Tafhim Al-Qur'an), Vol. I, The Islamic Foundation, 1988.
Sayyid Abu al-A`la Mawdudi, Towards Understanding The Qur'an (English version of Tafhim Al-Qur'an), Vol. II, The Islamic Foundation, 1992.
Sayyid Abu al-A`la Mawdudi, Towards Understanding The Qur'an (English version of Tafhim Al-Qur'an), Vol. IV, The Islamic Foundation, 1993.
Sayyid Qutb, Fi Zilal Al-Qur'an, terjemahan oleh Yusoff Zaky Haji Yacob, Jilid 2, Pustaka Aman Press, 2000.
Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur'an, terjemahan oleh Sheikh Abdullah Basmaih, Darulfikir, 2001.
Nota Akhir
[1] Muhammad Al-Ghazali, Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Qur'an p. 80
[2] Ahmad Von Denffer p. 137
[3] Abu Ameenah Bilal Philips pp. 66-67
[4] Ahmad von Denffer p. 138
[5] Terjemahan daripada 'Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur'an'
[6] Ibnu Kathir p. 504
[7] Ibnu Kathir pp. 505-506
[8] "Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka.." [al-Taubah 9: 73]
[9] "Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu, dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan yang ada pada kamu." [al-Taubah 9: 123]
[10] Jalaluddin Al-Mahalli & Jalaluddin Al-Suyuti, p. 141
[11] Sayyid Qutb, p. 70
[12] Sayyid Qutb, p. 71
[13] "Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekelian makhlukNya. Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmu melainkan apa yang Allah kehendaki. Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi, dan tidaklah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar." [al-Baqarah 2: 255]
[14] Sayyid Abu al-A`la Mawdudi Vol I p. 199
[15] "Dan sekiranya Allah mengkehendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk.." [Al-An`am 6: 35]
[16] "Dan jika Tuhan mengkehendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi." [Yunus 10: 99]
[17] Sayyid Abu al-A`la Mawdudi Vol II pp 228-229, Mawdudi Vol IV pp. 68-69
[18] Sayyid Qutb bergiat dengan gerakan Ikhwan al-Muslimin manakala Mawdudi adalah pengasas Jama`at-i-Islami.
[19] `Abdul `Azeez ibn `Abdullaah ibn Baaz p. 111

05 November 2012

Pesanan Imam Al Ghazali Buat Pendakwah

"Jika engkau mahu mengikut petunjuk para Imam, kuatkanlah dirimu untuk menerima musibah-musibah dengan jiwa yang tabah, sewaktu menghadapi setiap kepahitan, dan dengan hati yang sabar, walaupun dadamu bergoncang.

"Lisanmu dikunci, matamu dikendalikan, rahsiamu di sembunyikan hanya untuk diketahui oleh Tuhan mu sahaja

"Namamu biar tidak terkenal, pintu rumah mu tertutup rapat, bibirmu tersenyum, perutmu kelaparan, hatimu terluka, pasarmu tiada sambutan, pangkatmu di pendam dan keaibanmu di tonjolkan.

"Setiap hari kamu menelan rasa pahit daripada pengaruh zaman dan teman, sedangkan hatimu menurut dalam sedar.

"Pada waktu siang, kamu sibuk mengislahkan manusia tanpa berkira-kira. Malam pula kamu tenggelam dalam keasyikan kepada Tuhan.

"Ambillah kesempatan pada waktu malam. Jadikannya jalan dan persiapan untuk hari kiamat yang padanya sukar sekali untuk mencari jalan.

Pesanan Buat Pemuda Muslim

Petikan dari "Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini", Abdullah Nasih Ulwan

Remaja/ Pemuda yg menghambakan diri
" Tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah di hari yang tidak ada perlindungan kecuali perlindunganNya… …pemuda yang hidup di dalam keadaan memperhambakan diri kepada Allah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rebutlah masa muda
" Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, mudamu sebelum tuamu dan kayamu sebelum miskinmu." (Riwayat al Hakim)

Hati-hati dengan kehidupan

" Tidak melangkah seorang hamba pada hari akhirat kelak sehingga dia ditanya tentang umurnya pada apa yang telah dihabiskannya, masa mudanya pada apa yang telah dipenuhkannya, hartanya dari mana dia mendapatinya dan ke mana dia membelanjakannya dan ilmunya apakah yang telah dilakukan dengannya." (Riwayat Tirmizi)

Hidup dengan ibadah
" Sesungguhnya Allah sangat kagum pada pemuda yang tidak ada baginya masa muda (untuk bergembira dan bersuka-suka kerana masa mudanya dipenuhi dengan beribadat kepada Allah)."
(Riwayat Imam Abu Ahmad dan Ya'la)

Remaja/ Pemuda pendokong Dakwah
  • Rasulullah SAW menerima wahyu ketika umur 40 tahun
  • Abu Bakr ketika itu 37 tahun
  • Umar Al Khattab memeluk Islam ketika umur 27 tahun
  • Ali ketika itu di awal remaja
  • Abdullah Mas'ud, Said bin Zaid, Abd Rahman bin Auf, Bilal bin Rabah, Mus'ab bin Umair dll
Pemuda peneraju perjuangan. Tewasnya dua kerajaan besar dan kuat iaitu Rom dan Parsi, begitu juga tunduknya Syam, Mesir, Iraq, Tripoli dan Utara Afrika di bawah keadilan Islam adalah melalui tangan para pemuda.

Harapan untuk Pemuda

Ya Allah! Sediakan bagi umat ini para pemuda yang mempunyai keazaman, pengorbanan dan jihad seperti orang-orang yang terdahulu daripada mereka...

Kembalikan kegemilangan

Semoga merekalah orang-orang yang akan mengembalikan kekuasaan daulah Islamiah, kemuliaan dan keagungan bagi umat Muhammad ini.

Al Imam As-syahid Hasan al-banna ada menyatakan..

"Generasi muda merupakan rahsia kehidupan umat dan sumber kebangkitannya.Kuat lemahnya umat sesungguhnya diukur dari sejauh mana kemampuan 'rahim' umat itu melahirkan tokoh-tokoh yang memenuhi syarat rijal (pemuda islam) yang sebenarnya."

"Wahai Pemuda! Seruan pertama sekali kepada tugas ini untuk kamu iaitu hendaklah kamu percaya kepada diri sendiri,hendaklah kamu mengetahui kedudukan kamu dan kamu yakin bahawa kamu adalah para pemimpin dunia sekiranya kamu mahu musuh kamu menjadi hina..Tentukanlah wahai pemuda iman kamu,matlamat dan tujuan kamu."

04 November 2012

BUANG BAYI - NATIJAH DARI DIBUANGNYA HUKUM ALLAH!

Sudah tidak terkata! Itulah keluhan sesetengah pihak apabila membaca berita pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi sekarang ini. Menurut statistik rasmi, sejumlah 472 kes buang bayi dilaporkan sejak 2005 sehinggalah ke Ogos 2010. Daripada jumlah tersebut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin mengatakan bahawa 214 bayi yang ditemui masih hidup manakala 258 lagi sudah meninggal [UM16/08/10].

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dalam reaksi kepada isu yang semakin serius ini menegaskan bahawa kerajaan membuat keputusan untuk mengenakan hukuman mati ke atas pihak yang terbabit dengan kes kejam ini. Beliau turut mengatakan bahawa punca sebenar permasalahan ini adalah dari bidang pendidikan. Dan penyelesaiannya juga turut membabitkan sektor tersebut. Bagaimanapun, Najib menyerahkan isu ini kepada pihak polis dan Peguam Negara bagi menangani hukuman bagi pesalahlaku terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori. Daripada menteri hinggalah kepada pelajar-pelajar sekolah, banyak pihak yang memberikan respons terhadap isu ini dengan pelbagai bentuk cadangan dan penyelesaian menurut akal masing-masing.

Namun seperti biasa, cadangan yang diberikan itu adalah lebih kepada bentuk ‘merawat’ daripada ‘mencegah’. Jika ada pun cadangan untuk mencegah, maka cadangan-cadangan lapuk jualah yang sering diulang-ulang yang terbukti tidak pernah menyelesaikan masalah tersebut. Dan jika ada cadangan baru sekalipun, kebanyakannya tidak pernah keluar dari kepompong berfikir sekular yang memisahkan agama dari pemerintahan negara. Antara cadangan yang dihidangkan dengan penyelesaian ‘baby-hatch’ yakni sebuah tempat yang disediakan khas kepada mereka yang ingin membuang bayi. Idea ‘canggih’ ini ditiru dari cara berfikir orang-orang kafir dari negara Jerman dan Jepun. Hasilnya, setakat ini sudah ramai bayi yang selamat ‘dibuang’ di sini. Justeru, bagi pasangan yang telah atau ingin berzina atau sesiapa sahaja yang ingin membuang anak, sudah tidak lagi perlu risau kerana adanya baby-hatch sebagai tempat ‘pembuangan yang sah’ dan diiktiraf oleh kerajaan. Dengan kata lain, siapa sahaja yang telah berzina dan mengandung dan hendak membuang anaknya, ‘dipersilakan’, cuma buanglah di tempat yang telah disediakan, jangan buang merata-rata. Selain itu, untuk penzina wanita sama ada yang hamil atau tidak, mereka juga tidak perlu risau kerana telah ada banyak pusat-pusat perlindungan untuk mereka, antaranya ialah Raudhatus Sakinah, Rumah Perlindungan Wanita Gombak, Kem Modal Insan Kewaja dan lain-lain. Majlis Agama Islam Selangor juga menyediakan Pusat Pemulihan Akidah dan Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan. Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula mempunyai Pusat Perlindungan Wanita Taman Seri Puteri, Cheras.

Banyak lagi cadangan dan ‘langkah-langkah penyelesaian’ lainnya yang telah dan sedang diambil yang tidak perlulah kita bincangkan di sini satu per satu. Pokoknya, kebanyakan langkah yang diambil hanyalah untuk ‘mengubati’ simptom, bukannya untuk mencegah ‘punca’ berlakunya pembuangan bayi dan langkah-langkah itu pula diambil berlandaskan akal tanpa merujuk kepada hukum Islam sedikitpun! Antara Mencegah Dan Merawat Apabila kita membincangkan isu pembuangan bayi, kita sebenarnya tidak dapat lari dari membincangkan isu perzinaan. Secara logiknya dan juga terbukti dari segi statistik bahawa pembuangan bayi lebih banyak dilakukan oleh pasangan kekasih yang berzina dan apabila ‘si betina’ mengandung, lantas tidak sanggup menanggung malu dan pelbagai risiko lainnya, maka jalan mudah adalah dengan membuang atau membunuh bayinya sendiri. Boleh dikatakan mustahil bagi pasangan suami isteri untuk membuang anak. Anak yang terhasil dari pernikahan yang sah adalah anak yang lahir dari hubungan kasih sayang antara suami isteri dan tidak mungkin mereka akan membuang bayi mereka. Begitu juga jika seseorang perempuan hamil kerana dirogol. Perempuan yang dirogol tidak menanggung ‘malu’ sebagaimana yang ditanggung oleh perempuan yang berzina. Justeru tidak ada sebab untuk mereka membuang bayi mereka. Oleh itu, kita boleh membuat kesimpulan mudah bahawa sebahagian besar dari kes pembuangan bayi adalah disebabkan oleh pasangan yang berzina.

Apa yang lebih menakutkan kita adalah terdapat pasangan yang berzina ini yang terdiri dari golongan remaja seawal peringkat persekolahan. Inilah antara punca utama kes pembuangan bayi ini di mana manusia telah membuang hukum Allah dari kehidupannya. Tambahan pula, penyelesaian yang diambil oleh pihak kerajaan lebih menekankan kepada kaedah ‘rawatan’, bukannya ‘pencegahan’. Tindakan ‘merawat’ ini hakikatnya tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya akan terus menyebabkan ia berulang dan berulang. Ia tidak akan pernah tuntas kerana tidak dibendung dari ‘punca’nya. Metod rawatan ini juga, di samping gagal dan tidak bertepatan dengan syarak, ia menelan belanja yang tidak sedikit kerana melibatkan pelbagai bentuk penyelidikan, pelaksanaan dan pemantauan yang berterusan. Walhal, satu-satunya penyelesaian sebenar kepada setiap permasalahan adalah dengan kembali kepada Islam.

Dalam ruangan yang serba terbatas ini, kami cuba memperjelaskan sepuluh perkara yang diajar oleh Islam di dalam mencegah dan mengubati gejala sosial yang sudah tidak terbendung oleh sistem kufur pada hari ini:-

Pertama: Keimanan individu. Keimanan yang dimaksudkan di sini ialah seseorang Muslim itu, dengan akidah Islam yang ada di dalam dirinya, semestinya tahu dan meyakini bahawa tujuan hidupnya di dunia adalah semata-mata untuk mematuhi perintah dan larangan Allah. Justeru, apabila Allah melarangnya untuk berzina atau mendekati zina, maka dia akan terus menjauhinya kerana akidahnya telah menetapkan bahawa hal ini adalah haram. Jika dia beriman kepada Allah, maka akan terjauhlah segala kemaksiatan dari dirinya.

Kedua:  Hukum menundukkan pandangan. Allah SWT memerintahkan agar masing-masing baik lelaki mahupun wanita menundukkan pandangan mereka ketika bergaul dalam suatu keadaan yang diperbolehkan oleh syarak. Allah SWT berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan (menundukkan) pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka...Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan (menundukkan) pandangan mereka (daripada memandang yang haram)...” [TMQ An-Nur (24):30-31]. Apabila masing-masing dari lelaki dan wanita bertakwa kepada Allah dan mematuhi perintah Alllah untuk menundukkan pandangan, maka syahwat yang berasal dari pandangan (mata) dapat dihindari. Jika pandangan sudah dapat ditundukkan, maka Insya Allah zina sudah pasti dapat dijauhi oleh seseorang itu.

Ketiga: Hukum menutup aurat. Islam mengajar hukum menutup aurat dengan terperinci untuk lelaki dan juga wanita. Islam memperjelaskan satu persatu hukum berkenaan aurat di dalam kehidupan khusus (di dalam rumah) dan juga kehidupan umum (di luar rumah). Sekiranya aurat ditutup sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka syahwat lelaki mahupun wanita akan secara automatik terhindar atau tertutup. Aurat yang tertutup dapat menghindari atau mengurangkan daya tarikan dan gangguan seksual yang menjadi salah satu faktor kepada perbuatan zina atau rogol. Di samping hukum Allah (ke atas individu) untuk menutup aurat, Negara pula wajib mengenakan uqubat (hukuman) berupa ta’zir ke atas sesiapa sahaja yang membuka auratnya di tempat awam.

Keempat: Haramnya khalwat dan ikhtilat (percampuran). Islam membenarkan lelaki dan perempuan bergaul di dalam kehidupan umum seperti membeli-belah, belajar, melakukan kontrak dan seumpamanya, namun kesemua ini ada batasnya. Islam mengharamkan lelaki dan wanita berada berdua-duaan tanpa disertai mahram (berkhalwat). Islam juga mengharamkan ikhtilath (percampuran bebas) di antara lelaki dan perempuan. Pada hari ini, khalwat dan pergaulan bebas antara dua lawan jenis ini langsung tidak disekat oleh pemerintah sekular yang ada dan sudah menjadi fenomena biasa di mana-mana sahaja baik di dalam rumah, apatah lagi di tempat-tempat awam. Hal inilah yang menyumbang kepada perzinaan apabila syahwat manusia sering dirangsang dengan pergaulan tanpa batas umpama haiwan ini. Di samping mengharamkan khalwat dan ikhtilath, Islam merincikan lagi batas-batas komunikasi antara lelaki dan perempuan di mana perempuan diharamkan bercakap dalam bentuk manja atau menggoda terhadap lelaki. Negara pula akan menangkap dan mengenakan uqubat ke atas mereka yang berkhalwat dan bergaul bebas yang jelas-jelas menyalahi Islam ini. Uqubat (oleh Negara) di peringkat awal lagi ini sudah pasti akan dapat mencegah atau mengurangkan kes perzinaan.

Kelima: Haramnya pornografi, baik berbentuk gambar mahupun video dan haramnya aktiviti pelacuran. Pemodenan yang berlaku hari ini telah mewujudkan sebuah ‘industri seks’ di seluruh dunia dengan sarang pelacuran, video-video dan gambar-gambar lucah yang boleh didapati dengan mudah, malah kesemua ini ‘sah’ di beberapa buah negara. Hasil dari kajian dan realiti menunjukkan bahawa kesemua kekejian ini telah menyumbang kepada berleluasanya aktiviti perzinaan di mana ramai individu menjadi ketagih seks disebabkan selalu menonton video lucah yang mudah di dapati di internet. Islam mengharamkan pornografi dan pelacuran dengan jelas yang sekaligus menjauhkan seseorang dari rangsangan perzinaan. Negara akan menyekat segala aktiviti pelacuran dengan serius, menyekat kemasukan dan pengedaran kesemua bahan lucah dan jika ada pihak yang masih berdegil melakukannya, maka uqubat akan dikenakan ke atasnya.

Keenam: Sistem pendidikan Islam. Kita semua tahu bahawa sistem pendidikan memainkan peranan penting untuk membentuk generasi muttaqin dan kita semua tahu bahawa sistem pendidikan sekular hari ini telah terbukti merosakkan anak-anak umat Islam dan berjaya melahirkan ramai penzina di kalangan pelajar. Polisi pendidikan seharusnya dibina atas akidah Islam yang bertujuan untuk melahirkan individu yang mempunyai syakhsiyyah Islam baik dari segi pola fikir mahupun pola jiwa yang Islami, bukannya dicedok atau diwarisi dari sistem kuffar penjajah. Selain pendidikan dalam ilmu kehidupan (akademik) seperti sains, matematik, geografi, kemahiran dan seumpamanya, para pelajar mesti ditanam dengan pengetahuan Islam (akidah dan syariat) dan tsaqafah Islam dengan baik. Dalam proses pendidikan Islam, pelajar lelaki adalah terpisah dari pelajar wanita, di mana pemisahan ini sudah tentu akan menjauhkan rangsangan syahwat di antara kedua lawan jenis ini, yang seterusnya dapat menghindari dari terjadinya perzinaan.

Ketujuh: Peraturan dan prosedur pernikahan dan perceraian yang betul dan mudah. Sesebuah pernikahan di dalam Islam dikira sah apabila memenuhi rukun dan syaratnya. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk berkahwin dan menggalakkan wanita agar meletakkan mas kahwin yang memudahkan pasangannya untuk membayarnya. Prosedur yang mudah tentunya dapat menenangkan jiwa pasangan yang ingin bernikah sekaligus dapat mengawal gharizah nau’ (naluri seksual) yang ada pada pasangan yang ingin berkahwin. Berbeza dengan undang-undang yang ada pada hari ini yang amat menyukarkan pasangan yang ingin bernikah apatah lagi untuk bercerai. Mas kahwin (yang biasanya ditetapkan oleh keluarga) yang tinggi juga turut memainkan peranan menyebabkan ramai ‘pasangan’ tinggal lama dalam hubungan percintaan (baca: maksiat) sehingga menyebabkan mereka mengambil ‘jalan mudah’ untuk melampiaskan naluri masing-masing dengan melakukan perzinaan.

Kelapan: Kemudahan poligami. Poligami adalah hak yang Allah SWT berikan kepada lelaki/suami. Adapun kedudukan undang-undang pada hari ini telah menyekat atau menyukarkan pelaksanaan hak yang Allah berikan ini dengan pelbagai syarat dikenakan ke atas lelaki yang ingin berpoligami. Seringkali kita mendengar kes suami yang bermain kayu tiga, yang nyatanya terhasil dari kesukaran proses untuk berpoligami. Kita tidak menafikan kesalahan dan dosa si suami yang bermain kayu tiga, cuma apa yang ingin ditekankan di sini adalah undang-undang yang ada pada hari ini telah ‘menyumbang’ kepada meningkatnya kes perzinaan oleh mereka yang tidak dapat menahan nafsu seksnya yang ‘disekat’ oleh peraturan poligami yang ketat. Walhal, Islam membolehkan poligami tanpa syarat-syarat sebagaimana yang dikenakan oleh kerajaan sekular pada hari ini.

Kesembilan: Pelaksanaan sistem ekonomi Islam. Sistem ekonomi yang digunapakai oleh negara cukup besar peranannya dalam memastikan kemakmuran hidup rakyat. Penerapan sistem ekonomi Kapitalisme oleh pemerintah sekular telah terbukti mengkucar-kacirkan kemakmuran manusia yang turut memberi impak ke atas sosiologi sesebuah negara. Pemerintah hari ini memerintah untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan untuk diri sendiri dan kroni di mana darah rakyat dihisap sehabis-habisnya. Berbeza dengan sistem Islam di mana pemerintah wajib mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat, apatah lagi kepada rakyat yang memerlukan, termasuklah di dalam keperluan perkahwinan. Contoh terbaik adalah bagaimana Khalifah Umar bin Abdul Aziz membantu memudahkan lagi urusan perkahwinan rakyatnya dengan menyediakan mas kahwin (dari Baitul Mal) kepada kaum lelaki yang tidak mampu dari segi kewangan. ‘Keindahan’ ini tidak akan wujud dalam sistem sekarang di mana pemerintah hanya rakus berkuasa dengan menyedut segala kekayaan rakyat tanpa langsung mempedulikan masalah rakyat.

Kesepuluh: Penerapan hukum Islam secara kaffah (menyeluruh) oleh negara yang termasuk di dalamnya hukum uqubat (jinayat, hudud, ta’zir dan mukhalafat). Di dalam keadaan kesembilan ‘langkah pencegahan’ di atas berjalan (diterapkan) di dalam negara mengikut ketentuan Islam, namun jika tetap juga terjadi perzinaan, maka negara akan menerapkan pula hukum hudud ke atas penzina, sesuai dengan firman Allah, “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” [TMQ An-Nur (24): 2]. Di dalam sejarah penerapan hukum Islam, kita mendapati bahawa kebanyakan penzina yang dihukum adalah akibat dari pengakuan mereka sendiri. Ini menunjukkan kepada kita akan kesedaran dan ketakwaan mereka terhadap Allah. Mereka tidak sanggup menerima hukuman yang lebih berat di akhirat, justeru mereka memilih untuk dihukum di dunia sebagai jawabir (penebus/penghapus) dosa mereka. Uqubat Islam juga bertindak sebagai zawajir (pencegah) manusia dari melakukan kemaksiatan kepada Allah. Ini kerana dengan hukuman yang dilakukan di tempat terbuka dan disaksikan oleh sekumpulan orang, maka sudah tentu ia akan menakutkan dan mencegah orang lain (dan si pelaku sendiri) dari melakukan kesalahan yang sama.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin yang merindukan syariah dan kehidupan Islam! Ketahuilah bahawa punca utama kepada semua masalah ini adalah kerana umat Islam telah membuang hukum Allah dari kehidupannya. Kita menyaksikan berapa ramai dari individu Muslim yang telah membuang hukum Allah dari dirinya. Masyarakat pula turut membuang hukum Allah dalam kehidupan bermasyarakat. Dan yang lebih buruk dari semua itu adalah pemerintah yang membuang hukum Allah dari pemerintahan negara. Natijah dari dibuangnya hukum Allah ini, maka kita menyaksikan pelbagai kerosakan di dalam negara yang tidak kunjung padam. Pemerintah pada hari ini bukan sekadar tidak mahu menerapkan hukum Allah, malah jika kita memuhasabah mereka untuk menerapkan hukum Islam, kita pula yang akan dipersalahkan dan akan dianggap sebagai penjenayah dan akan ditangkap. Sesungguhnya kita amat-amat memerlukan penerapan sistem Islam di dalam negara. Namun kesemua ini sudah pastinya suatu yang sangat berat untuk dilaksanakan dalam negara sekular seperti Malaysia, tambahan pula di bawah kepimpinan mereka yang jahil dan telah berkarat hatinya. Justeru, apakah kalian masih mengharapkan sisa-sisa hidup kalian untuk terus dibelenggu dengan undang-undang dan sistem kufur buatan manusia? Ayuh kita kembalikan semula Daulah Khilafah yang akan menerapkan hukum Allah dan RasulNya. Kita berusaha sedaya upaya di samping sentiasa memohon pertolongan dari Allah agar Daulah Islam ini segera berdiri di masa hayat kita agar kita dapat menyaksikan segala keindahan Islam. Amin ya Rabbal alamin.

03 November 2012

Jalan Menuju Kejayaan Dalam Perjuangan?

Dari Abi Abdullah Khabbab bin al Arat R.ha telah berkata, "Kami telah mengadu kepada Rasulullah S.A.W sedang Baginda pada waktu berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban. Maka kami bertanya, apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita? Maka bersabda Rasulullah S.A.W, "Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditangkap, lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya, namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya. Demi Allah, Allah pasti akan menyempurnakan urusan ini (Islam) sehinggalah musafir dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah, akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh". - Riwayat Imam Bukhari

Keghairahan untuk meraih kemenangan perlu ditenangkan seraya kita merujuk kepada manhaj perjuangan Nabi kita Muhammad S.A.W bagaimana Baginda S.A.W membina kemenangan. Hadis yang saya bawa sebagai renungan yang memaparkan bagaimana sikap Nabi S.A.W disaat berhadapan dengan keadaan yang sangat kritikal, apabila Para Sahabat sering di siksa dengan dahsyat oleh kuffar musyrikin. Antara mereka ialah Khabbab al Arat yang disalai oleh musyrikin di atas bara api dan dikelar jasadnya dengan besi panas sehingga masak dan luluh daging jasadnya. Kesan penyeksaan tersebut meninggalkan parut yang sangat hodoh pada diri Khabbab.

Satu ketika Khabbab pergi bertemu Nabi S.A.W yang sedang beristerehat di tepi Kaabah lantas bertanya, "Apakah Tuan tidak berdoa kepada Allah agar kita menang?

Sahabat sekalian, yang bertanya ini adalah insan yang berjuang malah menghadapi penyeksaan dahsyat oleh musuh dengan begitu tabah sekali. Yang bertanya ialah sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk pertahankan prinsip dan pegangan agama. Insan yang bertanya ialah Sahabat yang telah mewaqafkan dirinya untuk Islam dan perjuangan suci ini, tiba-tiba... Nabi S.A.W menjawab bahawa orang terdahulu lebih teruk menerima penyeksaan dari musuh-musuh Allah Taala sehingga ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan jasadnya disikat dengan sikat besi sehingga bercerai daging dari tulangnya namun mereka tetap mempertahankan agamanya.

Maka kamu yang datang meminta-minta agar didoakan kemenangan, biarpun kamu sangat perit berhadapan dengan kezaliman musuh, kamu adalah golongan yang gopoh dan tidak sabar menanti kemenangan yang dijanjikan Allah Taala.

Sifat Kemenangan

Kemenangan adalah suatu yang dianugerah oleh Allah Taala. Ia ( kemenangan ) tidak boleh dicipta oleh kita dengan maksud tiada kemenangan buatan kita selain ia anugerah Allah Taala dan tiada short cut untuk mencapai kemenangan. Demikianlah sunnatullah terhadap kemenangan atau nusrah yang dijanjikan buat mereka.

Pengertian lain yang senada dengan maksud perbahasan ini ialah betapa tidak sekali-kali tidak kita memetik buah yang belum masak. Sebagai analogi yang boleh saya bentangkan sebagai renungan kita bersama ialah bagaimana situasi seekor anak ayam yang masih berada di dalam cengkeram telur sebelum ia dilahirkan ke bumi yang ganas ini. Anak ayam di dalam cengkerang telur tersebut, mahu tidak mahu ia terpaksa menunggu satu tempoh matang ia menetas dan akhirnya hidup untuk membesar seperti ayam yang lain. Andai kata anak ayam ini tidak sabar untuk menetas demi melihat alam yang indah ini lalu ia cuba untuk memecahkan cengkerang telur dari dalam dengan paruhnya yang masih muda, nescaya usahanya itu gagal dan sia-sia.

Sikap tidak sabar ibunya juga boleh membawa padah kiranya tidak sabar ingin melihat anak kesayangannya lahir atau menetas lalu ia memecahkan cengkerang telor itu dengan paruhnya yang kuat, maka keluarlah anaknya tetapi tidak mampu bertahan lama kerana belum masanya yang matang bagi ia hidup. Anak ayam itu akan mati binasa angkara sikap gopoh ibunya.

Syarat Kemenangan

Saya kira demikianlah perihal perjuangan yang kita dokong ini. Walaupun kita ini bukanlah anak ayam yang masih lemah tetapi kita mesti sabar menanti detik kemenangan yang bakal di anugerahkan oleh Allah Taala setelah kita berjaya mendatangkan syarat-syarat kemenangan dengan baik dan berkesan. Kita mesti mengambil sunnatullah dalam perjuangan suci ini dengan kita gigih berjuang, ikhtiar melepasi segala cabaran, ikhlas dan istiqamah dalam mengenderai perjuangan, tabah mendepani ujian serta halangan dan berkorban apa jua sebagai taruhan buat perjuangan mulia ini.
Jangan sekali-kali kita menerobos keluar dari landasan sunnatullah ini kerana tidak sabar hendak menang dengan hanya kita melihat riak-riak kemenangan yang tidak pasti tetapi sarat dengan janji-janji manis kemenangan kononnya.

Saya menjangkakan, jika kita berfikir seperti ini pasti ada orang kata inilah golongan yang masih berminda pembangkang bukan minda pemerintah. Kita bukan tidak mahu kemenangan, tetapi kita mestilah melihat kepada beberapa persoalan bersama jawapannya terlebih dahulu.

Pertama : Untuk apa kemenangan itu mahu dicapai? Apakah ia bermaksud memberi kemenangan kepada Islam?

Kedua : Bersediakah kita dengan kemenangan? Apakah kemenangan itu kelak tidak menjadi fitnah kepada kita dan perjuangan yang didokong ini?

Ketiga : Bagaimana kemenangan itu dicapai? Apakah ia tidak melanggar batas syara' dan prinsip amal Islami? Kerana sudah tentu kaedah Islam ialah "matlamat tidak menghalakan cara".

Semua persoalan diatas mesti dijawab dengan hati yang jujur, jiwa yang tulus dan aqal yang ikhlas mengenai bagaimana situasi kita terhadap kemenangan yang ingin dicapai.

Ulama Seperti Tukang Tolak Kereta Buruk

Kita pasti sahaja tidak mahu mengulangi sejarah pejuang-pejuang Islam dan para Ulama al mujahidin sewaktu mereka menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan negara. Setelah mereka berjuang mempertaruhkan tenaga, darah dan nyawa mereka akhirnya apabila negara tersebut mencapai kemerdekaan, golongan sekular yang mengambil alih pemerintahan negera. Inilah yang berlaku ke atas ulama pejuang kita di Indonesia. Tengku Daud Baerueh pernah berulang kali (3 kali) bertanya kepada Sukarno, "Untuk apa kita menentang Belanda?"

Soalan ini ditimbulkan setelah Sukarno berhempas pulas memujuk Tengku Daud Baerueh membantunya menentang penjajahan Belanda setelah menyedari Tengku mampu menggerakkan ummat Islam amnya dan pemimpin-pemimpin mereka khasnya. Sukarno juga berulang kali menjawab bahawa kita mahu merdekakan negara kemudian dirikan syariat Islam di atas tanah tinggalan penjajah. Setelah berpuas hati dengan jawapan tersebut, Tengku telah mengerahkan seluruh anak-anak muridnya serta guru-guru pasentren untuk bangkit menentang Belanda.

Akhirnya apabila Indonesia mencapai kemerdekaan, bukan sahaja Tengku diketepikan dan dipenjara malah Sukarno tidak melaksanakan Islam di Indonesia sebagaimana yang dijanjikan. Tengku dipenjara sehingga ia hanya dibebaskan di akhir pemerintahan Suharto.

Negara kita juga menyaksikan sejarah yang sama. Setelah nyawa ditaruhkan oleh Tuan Guru Hj. Hassan bin Munas, Ustaz Abu Bakar al Baqir dan Tuan Guru Hj. Abdul Rahman bin Limbong untuk menentang Inggeris, akhirnya negara merdeka menyaksikan golongan sekular yang mengambil alih pemerintahan negara.

Ulama' hanya menjadi golongan yang diajak untuk menolak kereta buruk. Apabila kereta telah hidup, ia terus meluncur laju ke hadapan tanpa sempat mengucapkan terima kasih pun sebaliknya yang ditinggalkan ialah asap hitam berkepul dari ekzos kereta buruk tersebut.

Tiada Short Cut Mencapai Kemenangan

Short cut bagi mengusahakan kemenangan buat perjuangan kita yang murni ini, ia mungkin boleh tercapai tetapi ia hanyalah sebuah kemenangan yang rapuh dan fragile. Short cut hanya laluan yang sering digunakan oleh golongan musta'jilun (gopoh) yang mungkin berjuangnya tidaklah setara mana tetapi angin nak menang kelihatan berganda-ganda volumenya .

Pengalaman ditangkap, dipenjara, dimaki-hamun, di ISA dan pelbagai penyeksaan tentu sahaja belum menyamai seksaan yang dialami oleh Khabbab al Arat yang telah dikelar jasadnya dengan besi panas. Bayangkanlah, betapa insan pejuang seperti Khabbab al Arat itu masih disifatkan oleh Nabi S.A.W sebagai gopoh, maka apalah halnya kita hari ini yang masih tidak setahap mana pengorbanan untuk Islam.

Bukan bermakna kita tidak mahu menang dan selesa pula menjadi orang yang kalah, tetapi kita doakan agar kemenangan yang kita capai tidak menjadi fitnah kepada diri dan perjuangan Islam ini. Apa yang lebih jelas ialah kita berjuang dan berkorban sehabis daya dan upaya guna memastikan Islam berdaulat di atas tanahair kita dengan mengambil sunnatullah dalam perjuangan ini.

Antara sunnatullah dalam perjuangan ini, firman Allah Taala bermaksud, "Jika sekiranya (perjuangan) ini suatu capaian hasil yang dekat dan perjalanan yang singkat nescaya mereka (musyrikin) akan mengikut engkau, akan tetapi (perjuangan) ini jauh perjalanannya dan dirasakan sukar ke atas mereka" - Surah At Taubah:42

Demikian juga Firman Allah yang bermaksud, "Dan ingatlah ketika orang-orang kafir merancang untuk memenjarakan kamu, membunuh kamu dan menghalau kamu keluar daerah, mereka merancang dan Allah Taala juga merancang dan Allah Taala sebaik-baik perancang" - Surah al Anfal:30

Jauh perjalanan, sukar halangannya, di penjara, dibunuh dan dihalau adalah 5 item sunnatullah yang mesti ditempuh melengkap manhaj perjuangan ini. - Oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

11 November 2010

Tanda Hati Bahagia

Ibnu Abbas ra. adalah salah seorang sahabat Nabi SAW yang sangat teliti dalam menjaga dan melayani Rasulullah SAW, di mana ia pernah secara khusus didoakan Rasulullah SAW, sentiasa ikut pengajian nabi, selain itu pada usia 9 tahun Ibnu Abbas telah hafal Al-Quran dan telah menjadi imam di masjid. Luas ilmunya. Orang yang menjadi rujukan para sahabat. Tidak pernah sakit. Rapat dengan 3 orang khalifah. Pernah dilantik sebagai gabenor. Suka kepada perdamaian. Terlibat dalam perang ali-muawiyah. Meninggal usia 71 tahun di thaif. Suatu hari ia ditanya oleh para Tabi'in (generasi sesudah wafatnya Rasulullah SAW) mengenai apa yang dimaksudkan dengan kebahagiaan dunia. Jawab Ibnu Abbas ada 7 (tujuh) indikator kebahagiaan dunia, iaitu :



Pertama, Qalbun syakirun atau hati yang selalu bersyukur.



Memiliki jiwa syukur bererti selalu menerima apa adanya (qona’ah), sehingga tidak ada cita-cita yang berlebihan, tidak ada stress, inilah nikmat bagi hati yang selalu bersyukur. Seorang yang pandai bersyukur sangatlah cerdas memahami sifat-sifat Allah SWT, sehingga apapun yang diberikan Allah ia malah terpesona dengan pemberian dan keputusan Allah. Bila sedang berada dalam kesulitan maka ia segera ingat sabda Rasulullah SAW iaitu : "Kalau kita sedang dalam kesusahan, perhatikanlah orang yang lebih susah dari kita". Bila sedang diberi kemudahan, ia bersyukur dengan memperbanyak amal ibadahnya, kemudian Allah pun akan mengujinya dengan kemudahan yang lebih besar lagi. Bila ia tetap “tabah dan redha” dengan terus bersyukur maka Allah akan mengujinya lagi dengan kemudahan yang lebih besar lagi. Maka berbahagialah orang yang pandai bersyukur!



Kedua. Al azwaju shalihah, iaitu pasangan hidup yang soleh.



Pasangan hidup yang soleh akan menciptakan suasana rumah dan keluarga yang soleh pula. Di akhirat kelak seorang suami (sebagai imam keluarga) akan diminta pertanggungjawaban dalam mengajak isteri dan anaknya kepada kesolehan. Berbahagialah menjadi seorang isteri bila memiliki suami yang soleh, yang pasti akan bekerja keras untuk mengajak isteri dan anaknya menjadi muslim yang soleh. Demikian pula seorang isteri yang soleh, akan memiliki kesabaran dan keikhlasan yang luar biasa dalam melayani suaminya, walau seberapa buruknya kelakuan suaminya. Maka berbahagialah menjadi seorang suami yang memiliki seorang isteri yang soleh.



Ketiga, al auladun abrar, iaitu anak yang soleh.



Saat ketika Rasulullah SAW sedang thawaf. Rasulullah SAW bertemu dengan seorang anak muda yang bahunya lebam-melecet. Setelah selesai thawaf Rasulullah SAW bertanya kepada anak muda itu : "Kenapa bahumu itu ?" Jawab anak muda itu : "Ya Rasulullah, saya dari Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya melepaskan ibu saya hanya ketika buang hajat, ketika solat, atau ketika istirehat, selain itu selebihnya saya selalu mendukungnya". Lalu anak muda itu bertanya: " Ya Rasulullah, apakah aku sudah termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua ?" Nabi SAW sambil memeluk anak muda itu dan mengatakan: "Sungguh Allah redha kepadamu, kamu anak yang soleh, anak yang berbakti, tapi anakku ketahuilah, cinta orangtuamu tidak akan terbalaskan olehmu". Dari hadis tersebut kita mendapat gambaran bahawa amal ibadah kita ternyata tidak cukup untuk membalas cinta dan kebaikan orang tua kita, namun paling minumum kita boleh memulakannya dengan menjadi anak yang soleh, di mana doa anak yang soleh kepada orang tuanya dijamin dikabulkan Allah. Berbahagialah kita bila memiliki anak yang soleh.



Keempat, albi'atu sholihah, iaitu lingkungan yang kondusif untuk iman kita.



Yang dimaksudkan dengan lingkungan yang kondusif ialah, kita boleh mengenal siapapun tetapi untuk menjadikannya sebagai sahabat karib kita, haruslah orang-orang yang mempunyai nilai tambah terhadap keimanan kita. Dalam sebuah hadisnya, Rasulullah menganjurkan kita untuk selalu bergaul dengan orang-orang yang soleh. Orang-orang yang soleh akan selalu mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan kita bila kita berbuat salah. Orang-orang soleh adalah orang-orang yang bahagia kerana nikmat iman dan nikmat Islam yang selalu terpancar pada cahaya wajahnya. Insya Allah cahaya tersebut akan turut menyinari orang-orang yang ada disekitarnya. Berbahagialah orang-orang yang selalu dikelilingi oleh orang-orang yang soleh.



Kelima, al maalul halal, atau harta yang halal.



Paradigma dalam Islam mengenai harta bukanlah banyaknya harta tetapi halalnya. Ini tidak bererti Islam tidak menyuruh umatnya untuk kaya. Dalam riwayat Imam Muslim di dalam bab sedekah, Rasulullah SAW pernah bertemu dengan seorang sahabat yang berdoa mengangkat tangan. "Kamu berdoa sudah bagus", kata Nabi SAW, "Namun sayang makanan, minuman dan pakaian dan tempat tinggalnya diperolehi secara haram, bagaimana doanya dikabulkan”. Berbahagialah menjadi orang yang hartanya halal kerana doanya sangat mudah dikabulkan Allah. Harta yang halal juga akan menjauhkan syaitan dari hatinya, maka hatinya semakin bersih, suci dan kokoh, sehingga memberi ketenangan dalam hidupnya. Maka berbahagialah orang-orang yang selalu dengan teliti menjaga kehalalan hartanya.



Keenam, Tafakuh fi dien, atau semangat untuk memahami agama.



Semangat memahami agama diwujudkan dalam semangat memahami ilmu-ilmu agama Islam. Semakin ia belajar, maka semakin ia terangsang untuk belajar lebih jauh lagi ilmu mengenai sifat-sifat Allah dan ciptaan-Nya. Allah menjanjikan nikmat bagi umat-Nya yang menuntut ilmu, semakin ia belajar semakin cinta ia kepada agamanya, semakin tinggi cintanya kepada Allah dan rasul-Nya. Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya. Semangat memahami agama akan meng ”hidup” kan hatinya, hati yang “hidup” adalah hati yang selalu dipenuhi cahaya nikmat Islam dan nikmat iman. Maka berbahagialah orang yang penuh semangat memahami ilmu agama Islam.



Ketujuh, iaitu umur yang baroqah.



Umur yang berkat itu ertinya umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya diisi dengan amal ibadah. Seseorang yang mengisi hidupnya untuk kebahagiaan dunia semata, maka hari tuanya akan diisi dengan banyak bernostalgia (berangan-angan) tentang masa mudanya, iapun cenderung kecewa dengan ketuaannya (post-power syndrome). Di samping itu fikirannya terfokus pada bagaimana caranya menikmati sisa hidupnya, maka iapun sibuk berangan-angan terhadap kenikmatan dunia yang belum ia sempat rasakan, hatinya kecewa bila ia tidak mampu menikmati kenikmatan yang diangankannya. Sedangkan orang yang mengisi umurnya dengan banyak mempersiapkan diri untuk akhirat (melalui amal ibadah) maka semakin tua semakin rindu ia untuk bertemu dengan Sang Penciptanya. Hari tuanya diisi dengan bermesraan dengan Sang Maha Pengasih. Tidak ada rasa takutnya untuk meninggalkan dunia ini, bahkan ia penuh harap untuk segera merasakan keindahan alam kehidupan berikutnya seperti yang dijanjikan Allah. Inilah semangat “hidup” orang-orang yang baroqah umurnya, maka berbahagialah orang-orang yang umurnya baroqah.



Demikianlah pesan-pesan dari Ibnu Abbas ra. mengenai 7 indikator kebahagiaan dunia.



Bagaimana caranya agar kita dikurniakan Allah ke tujuh buah indikator kebahagiaan dunia tersebut ? Selain usaha keras kita untuk memperbaiki diri, maka mohonlah kepada Allah SWT dengan sering dan sekhusyu’ mungkin membaca doa ‘sapu jagat’ , iaitu doa yang paling sering dibaca oleh Rasulullah SAW. Di mana baris pertama doa tersebut “Rabbanaa aatina fid dun-yaa hasanaw” (yang artinya “Ya Allah kurniakanlah aku kebahagiaan dunia ”), mempunyai makna bahawa kita sedang meminta kepada Allah ke tujuh indikator kebahagiaan dunia yang disebutkan Ibnu Abbas ra, iaitu hati yang selalu syukur, pasangan hidup yang soleh, anak yang soleh, teman-teman atau lingkungan yang soleh, harta yang halal, semangat untuk memahami ajaran agama, dan umur yang baroqah.



Walaupun kita akui sukar untuk mendapatkan ketujuh perkara itu ada di dalam genggaman kita, setidak-tidaknya kalau kita mendapat sebahagian saja sudah patut kita syukuri.



Manakala mengenai lanjutan doa sapu jagat tersebut iaitu “wa fil aakhirati hasanaw” (yang artinya “dan juga kebahagiaan akhirat”), untuk memperolehnya hanyalah dengan rahmat Allah. Kebahagiaan akhirat itu bukan syurga tetapi rahmat Allah, kasih sayang Allah. Syurga itu hanyalah sebahagian kecil dari rahmat Allah, kita masuk syurga bukan kerana amal soleh kita, tetapi kerana rahmat Allah.



Amal soleh yang kita lakukan sepanjang hidup kita (walau setiap hari puasa dan solat malam) tidaklah cukup untuk mendapatkan tiket masuk syurga. Amal soleh sesempurna apapun yang kita lakukan seumur hidup kita tidaklah sebanding dengan nikmat syurga yang dijanjikan Allah.



Kata Nabi SAW, “Amal soleh yang kalian lakukan tidak boleh memasukkan kalian ke syurga”. Lalu para sahabat bertanya: “Bagaimana dengan Engkau ya Rasulullah ?”. Jawab Rasulullah SAW : “Amal soleh saya pun juga tidak cukup”. Lalu para sahabat kembali bertanya : “Kalau begitu dengan apa kita masuk surga?”. Nabi SAW kembali menjawab : “Kita dapat masuk syurga hanya kerana rahmat dan kebaikan Allah semata”.



Jadi solat kita, puasa kita, taqarrub kita kepada Allah sebenarnya bukan untuk syurga tetapi untuk mendapatkan rahmat Allah. Dengan rahmat Allah itulah kita mendapatkan surga Allah (Insya Allah, Amiin).



(Sumber tulisan: ceramah Ustaz Aam Aminudin, Lc. di Sapporo, Jepun dengan pengubahsuaian dan olahan semula oleh Zubair Muhammad)