Pada prinsipnya setiap manusia adalah pemimpin. Pemimpin yang berjaya adalah seseorang yang mengetuai dirinya sendiri, keluarga, organisasi atau pertubuhan, meneraju membuat perubahan ke arah mencapai matlamat yang ditentukan. Tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan ujian yang akan dihadapi. Peranan penting seorang pemimpin ini pernah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud :
"Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya".(Riwayat al-Bukhari)
Rasulullah SAW adalah pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat melalui sifat-sifat mulia seperti amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Menurut sirah, sebelum dari kerasulannya pemimpin Quraish pernah memberi gelaran "al-Amin" kerana keunggulan Baginda dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran " al-Amin" ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraish kepada Baginda.
Walau bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh Baginda juga cukup hebat. Sebagai contoh Abu Jahal seorang pemimpin kanan Quraish, pernah menawarkan jawatan Raja, perempuan cantik, dan harta kekayaan, supaya Rasulullah SAW tidak meneruskan perjuangan Islam. Namun, berdasarkan keunggulan dan maruah kepimpinan Islam, maka Rasulullah SAW menolak semua tawaran itu.
Selain Abu Jahal, al-Qur'an juga menyebut beberapa watak kepimpinan korup yang tidak bermaruah sehingga merosakkan negara, memecah belahkan masyarakat, dan kesengsaraan kepada keluarga, yang akhirnya semasa di dunia lagi telah menerima balasan azab terhadap kekejaman yang dilakukannya antaranya ialah Fir'aun, Haman, dan Qarun.
Menurut Prof Dr Sheikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa Fir'aun adalah pemerintah diktator, mempunyai bidang kuasa mutlak menghukum musuhnya sesuka hati dan mendakwa dirinya tuhan kerana meyakini tidak ada kuasa lain boleh menggugat pemerintahannya; Haman pula seorang yang sentiasa berlegar mengelilingi Fir'aun menjalankan tugas untuk memperkukuhkan kekuasaan Fir'aun; manakala Qarun pula seorang tokoh korporat yang kaya raya mengambil peluang daripada pemerintah. Beliau membantu pemerintah dengan kewangannya dengan harapan akan mengaut habuan lebih besar tanpa mempedulikan penderitaan orang lain. kesemua watak-watak pemimpin ini yang dirakamkan di dalam al-Quran memperlihatkan golongan yang tamak kuasa, mengejar jawatan , mengaut keuntungan dan kemewahan dunia di atas penderitaan orang lain, yang akhirnya mereka ini dimusnahkan oleh Allah SWT di dunia dengan menjadi sehina-hina manusia.
Setiap kali kita solat, kita sering membaca al-Qur'an, takbir, tasbih, syahadah dan selawat kepada Nabi SAW. Semua ini adalah amalan Islam untuk mengukuhkan keunggulan dan jati diri umat Islam selari dengan al-Qur'an dan as-Sunnah. Jika solat dan ibadah khusus lain yang dilaksanakan dari masa ke masa gagal membentuk kita menjadi pemimpin yang jujur, amanah, telus atau berintegriti, maka kita tergolong daripada manusia yang rugi dan menipu diri sendiri.
Malahan keunggulan seorang pemimpin berkait rapat dengan imej dan amalan individu itu sendiri. Lihat sahaja bukti kepimpinan Rasulullah SAW yang mengasihi umatnya, sehinggakan di waktu sakaratulmaut pun Baginda masih terkenang mengenai nasib umatnya di dunia ini dengan keluhan yang berat. Berulang kali Baginda menyebut umatku! umatku! umatku!. Apa yang tidak terjangkau oleh fikiran kita ialah keunggulan kepimpinan Rasulullah SAW membawa kepada terselamatnya umat Islam dari azab Allah SWT .Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka".(Riwayat al-Bukhari).
Begitu juga umat yang senantiasa mengingati Rasulullah SAW dengan bersalawat kepadanya akan mendapat pelbagai manfaat antaranya dikurniakan kebajikan, dimakbulkan berbagai do'a, mendapatkan syafa'at dan selamat dari kebakhilan. Berdasarkan kepada sirah ini menunjukkan bahawa kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya senantiasa tertanam dalam jiwanya dan terpahat di hati sehingga ke akhirat.
Ketinggian akhlak dan keunggulan Rasulullah SAW terus dikagumi umat Islam walaupun Baginda telah lama wafat. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan golongan tertentu sehingga sanggup menyebarkan fitnah dan mengaibkan Rasulullah SAW dan umat Islam.
Pada masa yang sama, semua pihak hendaklah menginsafi diri dengan mempertingkatkan kualiti jati diri dan keunggulan yang telah dicontohi Rasulullah SAW dan para sahabat melalui langkah berikut: Pertama: Memantapkan urus tadbir negara, masyarakat, dan keluarga dengan mencontohi Rasulullah SAW dan berpandukan syariat Islam, Kedua: Menjauhi daripada mencontohi watak tokoh pemimpin yang korup dan tidak beretika, ketiga: Mereka yang tiada integriti dan akauntabiliti walaupun terlepas hukuman di dunia tetapi tidak terlepas daripada hukuman Allah SWT pada hari akhirat, dan keempat: Pemimpin yang unggul akan lebih dihormati, dikagumi dan disayangi oleh masyarakat. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Saff ayat 2-3:
Maksudnya: " Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya. "
Tiada ulasan:
Catat Ulasan