30 Mac 2013

Hukum Mengenai Ahlul Zhimmah

Daulah Khilafah Islamiyyah secara berkesinambungan telah memerintah selama lebih 1300 tahun dan wilayah kekuasaannya meliputi hampir dua pertiga dunia. Dalam perjalanannya yang cukup lama ini, Islam telah diterima oleh pelbagai kaum dan keadilannya telah dikecapi oleh pelbagai bangsa di dunia ini. Rahsia kejayaan Islam dalam mengembangkan sayapnya ini terletak pada aqidahnya yang benar dan bertepatan dengan fitrah manusia. Kemurnian aqidah Islam mudah diterima oleh pelbagai bangsa. Setelah menganut Islam, mereka bukan setakat meyakini, malah menjadi pengembang aqidah dan Deen ini. Bagi yang kekal dalam kekafiran, mereka membayar jizyah, sebagai ketundukan mereka kepada Daulah Islam dan mereka mengecapi keadilan Islam sebagai warganegara Daulah. Mereka ini digelar sebagai Ahlul Zhimmah atau kadangkala disebut sebagai kafir zhimmi. Asal katanya adalah azh-zhimmah yang bererti al-'ahd atau perjanjian. Islam telah banyak menjelaskan tentang hukum Ahlul Zhimmah. Bahkan ada ulama yang menulis kitab khusus mengenai hukum-hukum Islam yang berkaitan dengan Ahlul Zhimmah. Misalnya Ibn Qayyim al-Jawziyah yang menulis kitab Ahkam Ahlul Zhimmah. Hukum-hukum yang bersangkutan dengan Ahlul Zhimmah merupakan suatu subjek yang luas. Namun di sini kami ketengahkan beberapa hukum utama mengenainya:

(a) Ahlul Zhimmah tidak boleh dipaksa masuk Islam. Rasulullah pernah menulis surat untuk penduduk Yemen,

"Siapa sahaja yang beragama Yahudi atau Nasrani, dia tidak boleh dipaksa meninggalkannya dan wajib atasnya jizyah" [HR Abu Ubaid].

Hukum ini berlaku untuk golongan kafir secara umumnya, termasuk yang beragama Hindu, Buddha mahupun Majusi. Mereka bebas menganut aqidah mereka dan menjalankan ibadah menurut keyakinan mereka.

(b) Ahlul Zhimmah wajib membayar jizyah kepada Daulah. Jizyah dipungut dari Ahlul Zhimmah lelaki, baligh dan mampu; Abu Ubaid radhiAllahu 'anhu meriwayatkan bahawa Khalifah Umar al-Khattab pernah mengirim surat kepada Amir al-Ajnad bahawa jizyah tidak diwajibkan ke atas perempuan, anak-anak dan mereka yang belum baligh. Bagi yang tidak mampu kerana cacat atau tua, Baitul Mal akan membantu pembayaran jizyah mereka. Pada saat pembayaran jizyah, Negara wajib melakukannya secara baik dan tidak boleh disertai penyiksaan atau kekerasan.

(c) Dibolehkan bagi kaum Muslimin memakan sembelihan dan bagi seorang Muslim untuk menikahi wanita Ahlul Zhimmah jika mereka adalah ahlul-kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani. Ini adalah berdasarkan firman Allah,

"Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan al-Kitab halal bagimu dan makanan (sembelihan) kamu halal bagi mereka. Demikian pula wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan dari orang-orang yang diberi al-Kitab sebelum kamu" [TMQ al-Maidah(5):5].

Namun begitu, jika Ahlul Zhimmah bukannya ahlul kitab, maka sembelihan dan wanita mereka adalah haram bagi seorang Muslim. Sebagai tambahan, adalah haram bagi seorang Muslimah untuk menikahi seorang lelaki ahlul kitab.

(d) Boleh dilakukan muamalah antara kaum Muslimin dengan Ahlul Zhimmah dalam berbagai bentuknya. Ini termasuklah jual beli, sewa menyewa, persyarikatan, pajak gadai dan sebagainya. Rasulullah pernah melakukan muamalah dengan kaum Yahudi di Khaibar di mana kaum Yahudi itu mendapatkan separuh dari hasil kurmanya. Cuma yang perlu diperhatikan di sini adalah bahawa setiap jenis muamalah ini mestilah menurut hukum Islam, bukannya hukum kufur.

(e) Ahlul Zhimmah adalah rakyat Daulah Islamiyyah. Mereka mendapatkan hak sebagaimana rakyat lainnya yang Muslim. Mereka mendapat hak perlindungan, pendidikan, keamanan, kesihatan dan diperlakukan secara baik dalam segala bentuk muamalah. Dilarang menyakiti Ahlu Zhimmah. Kedudukan mereka sama di hadapan penguasa dan hakim. Tidak boleh wujud sebarang perbezaan apa pun antara mereka dengan rakyat yang Muslim, kecuali dalam hal yang telah dijelaskan syara'. Negara Islam wajib berlaku adil kepada mereka sepertimana ia berlaku adil kepada rakyatnya yang Muslim.

Wahai kaum Muslimin! Hukum-hakam ini telah direalisasikan selama 13 abad dan selama itu, kesejahteraan dan keharmonian hakiki telah dikecapi oleh kaum Muslimin dan kafir zhimmi. Pelbagai peristiwa di dalam sejarah telah membuktikan hakikat ini. Ketika kaum Salibiyyin Nasrani ingin menghancurkan kaum Muslimin, mereka mengharapkan dua perkara yang membantu mereka. Salah satu darinya adalah harapan bahawa golongan Nasrani yang tinggal di dalam Daulah akan membantu mereka menghancurkan kaum Muslimin. Namun apa yang berlaku adalah amat memeranjatkan mereka. Golongan Nasrani (yang ada di dalam Daulah) telah bersama-sama dengan kaum Muslimin menentang kaum Salibiyyin. Bagi golongan Nasrani ini, mereka menganggap bahawa Daulah ini adalah tanah tumpah darah mereka, mereka hidup bersama-sama kaum Muslimin dengan kesejahteraan dan keadilan Islam. Mereka yakin hanya Islam sahajalah yang dapat menjamin hak-hak mereka dan mereka benar-benar hidup harmoni bersama kaum Muslimin di bawah naungan Islam. Dalam konteks ini, al-Qurafi menyebut:

'Adalah wajib bagi kaum Muslimin untuk melayan golongan zhimmi dengan kelembutan, membantu golongan fakir antara mereka, memberi makan bagi yang lapar antara mereka, memberi pakaian bagi yang tidak berpakaian antara mereka dan menyeru mereka dengan kata-kata yang baik. Kaum Muslimin juga harus sama-sama menanggung penderitaan jiran ahlul zhimmah mereka, meskipun sekiranya penderitaan itu berjaya diatasi; ini adalah sebahagian dari sifat pengasih yang perlu ada, bukan kerana mengagungkan mereka. Kaum Muslimin juga haruslah memberikan nasihat yang baik dalam setiap urusan kepada mereka, menghalang sesiapapun yang cuba mencederakan mereka serta menjaga harta benda, keluarga dan kemuliaan mereka. Pertahankan juga segala hak mereka dan layanilah mereka dengan penuh kemuliaan dan akhlak yang mulia' [Daulah Islamiyyah, Taqiyuddin An-Nabhani].

Wahai kaum Muslimin! Inilah layanan yang dijanjikan Daulah Islam kepada golongan kafir zhimmi. Banyak lagi catatan-catatan sejarah yang membuktikan kemaslahatan hakiki yang dinikmati oleh orang kafir yang hidup di dalam Daulah Khilafah, termasuklah yang ditulis oleh orang kafir itu sendiri, terutamanya para orientalis. Penerapan kaffah Islam oleh Rasulullah dan para Khalifah sesudahnya benar-benar telah membawa rahmat, keharmonian dan kesejahteraan kepada umat manusia sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Inilah rahmat yang datang dari Zat Yang Mencipta manusia, alam dan kehidupan. Pencipta yang sepatutnya dan sewajibnya disembah oleh semua manusia. Barangsiapa yang menyekutukanNya, maka nerakalah tempat kembali yang paling sesuai untuknya. Rahmat yang telah hilang sejak runtuhnya Daulah Khilafah ini Insya Allah, akan kembali diturunkan olehNya, apabila Khilafah memerintah dunia sekali lagi dan menerapkan segala hukum-hakamNya. Di ketika dan saat itu, manusia akan berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah dan meninggalkan segala kekufuran. Semoga Allah menyegerakan kembalinya hari tersebut kepada kita. Amin ya Rabbal 'alamin.

Susah Sangatkah Untuk Bersatu?

Orang Melayu akan hilang kuasa! Demikianlah nada kebimbangan yang diluahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri  Harussani Zakaria ketika merasmikan Perhimpunan Melayu  Perak anjuran Gagasan Melayu Perak di Ipoh baru-baru ini. Kenyataan itu dibimbangi menjadi realiti sekiranya UMNO dan PAS terus berdegil untuk tidak bersatu, terutamanya selepas piliharaya umum ke-13 (PRU-13) yang akan datang. Rentetan dari kenyataan tersebut beberapa pemimpin parti yang terlibat turut mula bersuara melalui media massa. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu haruslah dijadikan iktibar kepada semua pihak supaya lebih mengutamakan perpaduan. [Utusan Online 19/7/2010]. Lain pula halnya dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menolak sama sekali hasrat Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan supaya UMNO dan parti itu segera menamatkan persengketaan melalui satu pelan damai demi perpaduan umat Islam di negara ini. Beliau juga menyifatkan orang tengah yang cuba mendamaikan kedua-dua parti politik terbesar itu sebagai 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong' kerana PAS tidak memerlukan pihak ketiga untuk tujuan tersebut. Manakala Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, hanya dengan kembali bersatu menurut 'rukun ibadah' sahaja yang berkesan untuk mewujudkan penyatuan umat Islam di negara ini dan ia tidak perlu bergantung kepada parti politik semata-mata, tidak kira PAS ataupun UMNO. Persoalannya ialah apakah susah sangat untuk umat Islam itu bersatu?

Umum mengenali UMNO merupakan sebuah parti politik yang memperjuangkan ketuanan Melayu; mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara [Fasal 3 Perlembagaan UMNO]. Ia mengakui mempunyai jumlah ahli terkini seramai 3 186 850 orang dan merupakan parti Melayu yang terbesar di Malaysia. Sedangkan PAS, yang asas penubuhannya berdasarkan Islam pula, memperjuangkan kewujudan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah [Fasal 5 Perlembagaan Pas]. Namun, berikutan dari kehilangan pengaruh UMNO-BN dalam pilihanraya ke-12 baru-baru ini, PAS dilihat sebagai salah satu alternatif UMNO untuk bergabung bagi mengembalikan kekuatannya. Dari perspektif itulah, Nik Aziz menolak sebarang usaha untuk menyatukan kedua-dua parti Melayu tersebut kerana sejarah hitam PAS sekitar 1978 melakar gurisan pedih yang menjadikannya serik untuk bergabung semula dengan UMNO. [Utusan Online 26/7/2010]. Demikianlah warna-warni politik yang ada hari ini terutama di Malaysia, masing-masing memiliki pendirian dan pandangan tertentu dalam persoalan penyatuan seluruh umat Islam di Malaysia. Tindakan mereka itu menampakkan kepada umum seolah-olah umat Islam ini adalah umat yang sangat sukar untuk bersatu, sedangkan hakikatnya mereka menyembah tuhan yang satu, nabi mereka satu, kiblat mereka pun satu dan al-quran mereka juga satu. Namun begitu, sekalipun mereka menyeru untuk bersatu, kesatuan itu bukan secara global iaitu bersatunya seluruh dunia umat Islam dibawah seorang khalifah yang memerintah dengan hukum al-quran dan as-sunnah. Bagi mereka cukup bersatu pada asas negara bangsa, OIC, D8 dan seumpamanya Mereka tidak langsung menyelami permasalahan yang berlaku dan hakikat penyelesaiannya. Mereka nampaknya lebih mengutamakan parti bahkan seolah-olah sedang mabuk dirasuk sindrom gila kuasa!

GILA KUASA UNTUK RASIS?

Dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang lepas, rata-rata ianya memihak kepada Pakatan Rakyat (PR). Para penganalisis politik melihat bahawa salah satu faktor kemenangan PR adalah kerana pengundi bukan melayu semakin menerima gagasan atau manifesto PR. Ada kebenarannya apabila statistik sokongan pengundi bukan Melayu terutama masyarakat Cina adalah sesuatu yang luar biasa jumlahnya berbanding dengan sebelumnya. Maka sejak itu, UMNO-BN berkempen untuk meraih semula pengaruh undi bukan Melayu namun masih belum berjaya. Salah satu alternatif lain, untuk kembali memperkasakan kedudukan Melayu dalam landskap politik tanah air, maka PAS dilihat sebagai tempat untuk 'berpaut' terutama menjelang PRU-13 nanti. Dari itu, polemik penyatuan ini mula berkumandang disana-sini. Mengapa senario ini timbul? Tidak lain tidak bukan adalah kerana UMNO-BN ingin terus berkuasa. Dipihak yang satu lagi pula, mengapa tawaran untuk bersatu itu ditolak oleh PAS? Jawapannya mungkin kerana ingin melihat UMNO-BN jatuh dari kekuasaannya. Jelas kita dapat melibat betapa sistem demokrasi yang ditunggangi oleh kedua-dua parti politik ini telah berjaya menghasilkan konfik sesama umat Islam. Apakah parti politik Melayu/Islam ini sedar bahawa dasar negara yang ada hari ini adalah merupakan satu masalah utama yang wajib ditukar kepada sistem Islam? Apakah kedua-dua golongan ini tidak menyedari nasionalisme dan patriotisme adalah asas yang tidak layak dijadikan sebagai pengikat antara sesama manusia! [Rujuk SN138-ASSABIYYAH dan WATHANIYYAH-Pencetus Malapetaka Dan Perpecahan]

Betapa tidak, UMNO sentiasa menyerukan agar kaum Melayu dipertuankan di Malaysia, ini membawa konotasi sebaliknya apabila kaum bukan Melayu seolah-olah dianak-tirikan. Kaum Melayu mendapat hak istimewa dalam aspek pengagihan kekayaan dan kuasa, sedangkan kaum selainnya tidak. Jelas bagi kita ianya merupakan suatu idea rasis (perkauman) yang membahayakan kemakmuran hidup bernegara. Begitu pula sekiranya agenda perjuangan hanya ditumpukan kepada suatu sempadan negara sahaja. Maka ia juga merupakan sesuatu yang mengundang kerosakan hidup bernegara kerana bagi pendatang luar, baik yang dibenarkan ataupun sebaliknya, jika tidak dapat dikawal jumlahnya boleh menyebabkan kerusuhan, porak peranda bahkan boleh jadi sampai keperingkat penjajahan. Semua ini merupakan manifestasi dari kegagalan nasionalisme dan patriotisme sebagai pengikat hubungan antara sesama manusia. Ia sangat lemah, rendah nilainya serta bersifat sementara, tidak sesuai bagi kehidupan manusia!

Lain pula bagi Islam sebagai suatu mabda, dimana pada hakikatnya ia telah terbukti mampu mengikat hubungan
antara sesama manusia dalam suatu wadah yang menyerlahkan keharmonian dan kesejahteraan [Rujuk SN094 - HIDUP HARMONI HANYA DI BAWAH NAUNGAN ISLAM] bahkan jauh lebih dari itu, Islam pernah menyatukan seluruh bangsa yang wujud dari Andalusia mengunjur ke Nusantara selama ribuan tahun! Ini suatu yang menakjubkan, inilah bukti sebenar kekuatan Islam yang mampu menjadi dasar penyatu seluruh umat manusia. Islam tidak membenarkan ikatan yang berasaskan nasionalisme, patriotisme, manfaat serta ikatan-ikatan lain yang merosakkan kehidupan manusia.

SEJARAH PENYATUAN ISLAM

Ketika di Mekkah, Rasulullah SAW mendakwahi Islam kepada seluruh manusia agar memeluk deenullah itu, dan seterusnya membentuk kutlah (kelompok) Islam. Dengan kutlah itu, Islam disebar di tengah-tengah kehidupan masyarakat Arab Mekkah. Kaum muslimin menghadapi pelbagai ujian dan rintangan yang hebat dari masyarakat jahiliyyah, biarpun begitu Rasulullah SAW tetap terus melakukan dakwah sehingga datang perintah Allah SWT agar berhijrah ke Madinah. Namun begitu suatu hal yang perlu diperhatikan disini ialah Rasulullah SAW tidak pernah memerintahkan para sahabat untuk bersikap uzlah (mengasingkan diri) dan membina kekerabatan tanpa mencampuri masyarakat, bahkan mereka tinggal bersama masyarakat dan mendakwahkan Islam; baik akidah mahupun syariatnya. Tatkala penghijrahan dilaksanakan, Rasulullah SAW mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar demi mencapai suatu sasaran yakni ukhuwwah Islamiyyah disamping membentuk ikatan akidah yang mantap dikalangan mereka. Selain itu, ikatan Islam tersebut membentuk kehidupan yang lebih kuat dalam erti kata persaudaraan dan bantuan kebendaan kerana golongan Ansar sangat bermurah hati. Rasulullah SAW mempersaudarakan dirinya dengan Ali bin Abi Talib, Hamzah dengan Zaid bin Haritsah, Abu Bakar dengan Kharijah bin Zaid. Baginda juga mempersaudarakan Umar Al-Khattab dengan 'Atban bin Malik al-Khazra'iy, Thalhah bin 'Ubaidillah dengan Abu Ayyub al-Ansariy, Abdul Rahman bin 'Auf dengan Saad bin Rabi'. Ketika berlaku perselisihan diantara kaum Ansar (puak Aus dan Khazraj) setelah mereka memeluk Islam, Allah SWT menurunkan beberapa firmanNya bagi mendamaikan keadaan tegang tersebut. Menurut Ibnu Ishaq dan Abu Asy-Syaikh yang bersumber dari Zaid bin Aslam meriwayatkan bahawa turunnya ayat 99-103 surah Ali-Imran adalah bersabit dengan kejadian seorang yahudi bernama Syash bin Qais yang tampil ditengah-tengah kaum muslimin serta melaga-lagakan sesama mereka hingga timbul perbalahan. Syash bin Qais dibantu seorang pemuda yang juga anak buahnya menggunakan isu perang Bu'ats untuk melagakan kaum Aus dan Khazraj. Hasil pojokan si yahudi ini, maka bangkit Aus bin Qaizhi serta Jabbar bin Sakhr yang masing-masing mengagung-agungkan kaum sendiri serta berbalah hingga hampir bergelut, maka datang Rasulullah SAW mendamaikan semula keadaan dengan membacakan ayat-ayat Allah SWT tadi.

Begitu jugalah dengan keadaan realiti hari ini, umat Islam yang dahulunya hidup bersatu dibawah naungan Khilafah selama 1300 tahun lamanya sebagai satu bangsa yang tidak mengenal warna kulit, asal-usul (keturunan), bahasa dan budaya; semuanya hidup bersatu dengan ikatan Islam. Suatu ikatan yang berjaya menambat hati-hati manusia kepada Allah baik yang tinggal di Andalusia (Sepanyol), Maghribi, Mesir, Tanah Arab, Khurasan waimma di Nusantara. Semuanya menikmati nikmatnya kesatuan akidah, masing-masing hidup damai dengan syariah. Namun setelah kehidupan umat Islam dilanda badai sekularisme yang mendukung idea-idea perpecahan seperti nasionalisme dan patriotisme, maka kehidupan kaum muslimin terus berantakan dan berselerakkan. Masingmasing dijajah dan dipecah-belah menjadi serpihanserpihan kecil. Negeri-negeri kecil kaum muslimin ini menjadi lemah dan dengan begitu mudahnya diratah oleh kuasakuasa kufar barat sepertimana yang kita saksikan hari ini. Sistem pemerintahan demokrasi yang dipaksakan oleh kufur barat keatas kaum muslimin telah berjaya mengkucarkacirkan politik mereka. Mereka berbalah sesama sendiri, berpecah menjadi simpang-siur dan hati-hati mereka terus bermusuhan, benci membenci, jatuh-menjatuh antara sesama mereka. Semua ini persis seperti kehidupan jahiliyyah sebagaimana yang dikhabarkan kepada kita melalui nas-nas yang sahih. Malangnya, kita tetap tidak mengambil pengajaran dan iktibar darinya. Dengan nasionalisme dan patriotisme yang sedang mendarahdaging dalam tubuh umat Islam hari ini, kita tidak merasakan kesatuan dikalangan kaum muslimin. Bahkan wujud pula ditengah-tengah kehidupan ini undang-undang yang memisahkan hubungan sesama kaum muslimin. Di Malaysia, warga negara luar biarpun beragama Islam dilayan sebagai warganegara asing walaupun mereka seaqidah dengan kita. Hak dan keistimewaan adalah berbeza menurut peruntukan undang-undang thagut ciptaan manusia. Ini membuktikan bahawa nasionalisme dan patriotisme merupakan ideologi kufur yang membeza-bezakan individu muslim antara sesamanya. Inilah penyakit masyarakat yang melanda dunia hari ini dimana nilai kemanusiaan telah tersingkir dari kehidupan dan kemuliaan Islam.

Khatimah

Sedarlah wahai kaum muslimin. Bahawa sesungguhnya nasionalisme dan patriotisme merupakan racun berbisa yang menghancurkan kesatuan umat Islam, baik dahulu mahupun sampai bila-bila. Ia pernah menghancurkan Khilafah Uthmaniyyah suatu ketika dahulu. Kini ia sedang menjalar dalam tubuh umat Islam agar kita tetap hidup dalam perpecahan. Apakah kalian masih redha tinggal dalam ruang yang sempit, terkebelakang dan tercorot ini? Kalian sepatutnya keluar dari kesempitan nasionalisme dan patriotisme menuju keluasan dunia dengan Islam. Kita pernah sama-sama memayungi lebih dua pertiga daratan dengan Khilafah yang mendukung aspirasi syariah bagi seluruh umat manusia berbilang bangsa. Apakah kalian hanya sekadar suka mendengar dan tersenyum membaca sejarah gemilang itu tanpa bangkit memperjuangkannya semula? Wahai kaum muslimin! Hentikanlah polemik politik kepartian yang sempit itu. Kita tidak sepatutnya lemah dan melemahkan antara sesama kita. Sebenarnya, kita menjadi lemah kerana diracun oleh nasionalisme dan patriotisme biarpun akal dan hawa nafsu kita menterjemahkan pengertian bersatu memperkasa ummah! Tapi selagi langkah kita berada dalam ruang yang dijajah oleh ideologi kufur itu, maka selagi itulah kita terpenjara dan memenjara saudara kita yang lain. Ini merupakan kezaliman yang kita cipta baik untuk diri sendiri mahupun kepada yang lain. Kita tidak sepatutnya menyusun agenda bersatu dengan mesyuarat, resolusi, rundingan dan meletakkan pelbagai syarat, padahal Allah dan RasulNya telah jelas-jelas memerintahkan agar kita sentiasa hidup bersatu! Baik dalam kesatuan aqidah mahupun syariah. Sudah pastinya, kita wajib mengembalikan kesatuan ini dalam bentuk asal seperti yang diwariskan oleh junjungan besar kita, Muhammad SAW yakni kehidupan dibawah payung Khilafah Rasyidah 'Ala Minhaj An-Nubuwwah. Ayuh kita tinggalkan ikatan nasionalisme dan patriotisme yang beriringan dengan sistem demokrasi yang wujud ini kerana ianya tiada bermanfaat bagi manusia yang berakal, bahkan ia muncul dari benak manusia yang tidak bertamadun lagi hina. Dan formula hakiki yang perlu digunakan hari ini agar munculnya kesatuan umat Islam itu ialah dengan membuang segala bentuk pemikiran kufur seperti sekularisme, nasionalisme dan patriotisme yang ada ditengah-tengah umat ini dan seterusnya bergerak bersatu dibawah naungan Khilafah. Itulah kesatuan yang digeruni oleh kufar barat sebenarnya.

29 Mac 2013

Syria: Apa sahaja untuk halang Khilafah

Kerajaan Peralihan GhassanHitto: Salah Satu Rangkaian Konspirasi Amerika Terhadap Revolusi Di Syria Untuk Mempertahankan Pemerintahan Agar Tetap Berada Di Tangannya Dan Merupakan Projek Fitnah Untuk Menghentam Para Revolusioner Islami Di Dalam Negeri Dan Menjadi Perahu Penyelamat Untuk Bashar Si Penyembelih
 
Di tengah-tengah perbezaan pendapat yang terjadi antara para anggota SyrianNational Coalition (SNC) sehingga menyebabkan sebahagian mereka berjalan keluar dari mesyuarat sebelum berlakunya pemilihan suara, sebagai tanda protes atas apa yang mereka sifatkan sebagai usaha terburu-buru yang didukung dari luar negeri untuk memilih Hitto. Ahli-ahli SNC yang berkumpul pada 18 dan 19 Mac 2013 di Retaj Royale Hotel, Istanbul telah memilih seorang warga Amerika berdarah Syria, GhassanHitto, untuk memimpin pemerintahan peralihan. Diumumkan bahawa dia akan mentadbir "daerah-daerah yang dibebaskan" dari dalam. Dia akan mengisi kekosongan pemerintahan di daerah-daerah tersebut kerana "kelompok bersenjata dan tokoh-tokoh masyarakat, tokoh-tokoh agama atau tentera tidak boleh mentadbirnya." Hitto mendapat sambutan hangat dari Amerika sebagaimana diungkapkan oleh jurucakap luar negeri AS, Victoria Nuland, kepada para wartawan, "pegawai-pegawai Amerika mengenali dan menghormati GhassanHitto." Victoria menambahkan pujiannya, "dia adalah seorang individu yang, kerana keperihatinannya terhadap nasib rakyat Syria, sanggup meninggalkan kehidupannya yang sangat baik di Texas dan pergi untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada orang-orang di negerinya." New York Times menggambarkan yang "Hitto adalah warga Amerika yang terpilih sebagai perdana menteri kerajaan peralihan untuk Revolusi Syria". 
 
Ini membawa kita kepada apa yang dinyatakan oleh Menteri Luar AS, John Kerry, hanya seminggu sebelum itu pada 13/3/2013, "kami ingin melihat Assad dan pembangkang Syria bertemu di meja rundingan untuk mencipta kerajaan peralihan berdasarkan kerangka kerja yang ditetapkan di Geneva". Kerry seterusnya mengatakan, "Pembangkang Syria juga harus bekerjasama untuk hadir ke meja rundingan dan kami sedang berusaha ke arah itu dan kami akan terus melakukannya." Dengan semua ini, jelaslah bahawa Hitto ini adalah pilihan Amerika untuk menjalankan agenda Amerika di Syria. Boleh dianggap bahawa dari satu sisi, bagi Amerika, pilihan ini merupakan langkah persiapan untuk rundingan dengan sang penyembelih abad ini, Bashar al-Assad. Di sisi lain, ini merupakan projek untuk menarik (merampas) revolusi dan menggugurkan orientasi Islaminya di mana ketakutan Barat terhadapnya semakin bertambah hari demi hari. Barat menjadikan hentaman dan penghancuran terhadap orientasi Islami revolusi Syria sebagai keutamaan paling tinggi dan menjadi syarat mendasar untuk memberi bantuan kepada para parasit revolusi di antara anggota-anggota SNC.
 
Bagi menjayakan projek ini, Hitto akan bekerjasama dengan siapa jua yang bersetuju dengan perancangan Barat, memasarkannya melalui media massa dan akan bekerja untuk menghentam para revolusioner yang memiliki orientasi Islami dengan dalih ekstremisme dan terrorisme. Kerana itu, pemerintahan peralihan ini hanya akan mengusung projek fitnah di dalam negeri dan pemerintahan ini merupakan satu rangkaian konspirasi internasional terhadap revolusi yang penuh keberkatan di bumi Syria, sekali gus menjadi perahu penyelamat untuk Bashar dan kelompok jahatnya dari lingkaran yang kini sedang menekan mereka. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa pemilihan Hitto akan diiringi dengan penggunaan senjata kimia oleh si penyembelih terhadap orang-orang yang tak berdosa dalam rangka  untuk menutup penolakan terhadap Hitto yang dijangka akan muncul, sebagai jalan untuk menyibukkan masyarakat dengannya (bertujuan untuk mengalihkan isu). Selain menekan masyarakat dengan kejahatan-kejahatan, ia juga akan memaksa masyarakat, secara tersirat, untuk menerima pemilihan ini. Tidak mustahil sekiranya Barat akan menggunakan isu penggunaan senjata kimia sebagai justifikasi campur tangan antarabangsa bagi mendukung pemerintahan peralihan yang ditawarkan, sebagai usaha untuk menghadapi pergerakan Islam yang benar di Syria.
 
Wahai kaum Muslimin yang beriman lagi bersabar di Syria-Syam! Begitulah dengan biadab dan hinanya, SNC di bawah pimpinan Ahmad Muadz al-Khatib mengkhianati darah para syuhada', mengkhianati orang-orang yang masih hidup dan yang sudah terkorban dan lebih dari segala-galanya, mengkhianati Allah, RasulNya, agamaNya dan orang-orang yang beriman. Sudah banyak pengkhianatan yang dilakukan oleh SNC ini dan pemimpinnya meskipun usia penubuhannya masih baru. Pemimpinnya dikatakan dipilih atas dasar populariti yang menyebabkan kita tertanya-tanya, apakah sandaran populariti yang mereka gunakan kerana  pemilihan para pemimpin SNC ini bukanlah datang dari masyarakat Syria! Mereka juga tidak membawa pemikiran dan aspirasi masyarakat! Sebaliknya, mereka ini dicetak di koridor perisikan dan di belakang pentas-pentas kedutaan. Sebahagian besar dari mereka tidak dikenali - seperti GhassanHitto ini. Disebutkan bahawa dia merupakan pengarah eksekutif sebuah firma teknologi komunikasi Amerika - 'Inovar'- di Texas selama 11 tahun, tetapi telah meninggalkan jawatannya pada bulan November yang lalu dan datang "untuk bergabung ke dalam revolusi Syria", seperti yang dia nyatakan sendiri. 
 
Tambahan lagi, sebahagian besar dari mereka berfikiran sekular. Hitto menyebutkan bahawa dia turut serta dalam mendirikan "Syrian Independent Coalition" di AS dan menjadi timbalan ketua sejak 2011. Tujuan  gabungan ini adalah untuk "mendukung harapan rakyat Syria dalam merealisasi kebebasan, keadilan, kebebasan sivil dan penghormatan terhadap undang-undang." Meskipun dia dikatakan sebagai seorang yang Islami, seperti Ahmad Muadz al-Khatib atau dikatakan bahawa ada organisasi yang Islami di belakang orang yang dipilih ini, sesungguhnya "Islami"nya mereka ini adalah "Islami" menurut gaya Barat (western-style). Mereka hidup di bawah sistem Barat yang kufur dan mempertahankannya dan keberadaan mereka hanyalah akan mengubah 'individu' yang memerintah tetapi bukannya sistem pemerintahan. 'Islami' inilah yang kita telah dan sedang saksikan di Mesir dan Tunisia, di mana keIslaman mereka ini lebih 'diambil kira' berbanding yang lain.
 
Wahai para revolusioner di bumi Syam pusat Darul Islam! Sesungguhnya pembentukan National Council sebelumnya, lalu diikuti dengan SNC dan kemudian pemerintahan peralihan sekarang ini, kesemuanya terjadi jauh dari kalian. Barat berusaha "memaksakan" hal-hal tersebut ke atas kalian melalui cara yang keji, dipintal sedemikian rupa untuk memperdaya kalian, sebagai "penyelesaian" yang sebenarnya tiada perbezaan pun dengan rejim Bashar kecuali sedikit sahaja. Sesungguhnya mereka itu langsung tidak mewakili kalian, sebaliknya hanya mewakili orang yang "melahirkan" mereka. Justeru, kalian wajib menolak mereka secara total. Mereka mengusung panji Sykes-Picot dan menolak untuk mengusung panji Rasulullah SAW. Mereka ingin menegakkan negara sivil sekular dan menolak untuk menegakkan Daulah al-Khilafah al-Islamiyah yang diperintahkan oleh syarak. Mereka mengemis kepada negara-negara kafir Barat walhal Islam mengharamkan hal itu dan mewajibkan kaum Muslimin seluruhnya menjadi satu tangan melawan musuh mereka. 
 
Apa yang sangat menghairankan ialah adanya kaum Muslimin di Syria yang menerima kewujudan para parasit itu di tengah-tengah mereka, malah mendengar kata-kata mereka. Kaum Muslimin harus sedar bahawa menerima untuk berinteraksi dengan mereka adalah bermaksud mengukuhkan kedudukan Amerika di Syria, membantu Amerika menghancurkan revolusi kaum Muslimin dan memungkinkan Amerika menabur fitnah di dalam negeri Syria…Kaum Muslimin seharusnya mengetahui bahawa Allah SWT yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui akan menghisab setiap amal sekecil mana sekali pun dan balasannya adalah sama ada syurga atau neraka…Jika kalian menghendaki jalan keluar, maka sesungguhnya tidak ada jalan keluar bagi kalian kecuali dengan penegakan Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah yang akan mampu menghadapi konspirasi internasional terhadap kalian; jika kalian menghendaki kemenangan, maka sesungguhnya tidak ada kemenangan untuk kalian kecuali melalui Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah; jika kalian menginginkan kemuliaan, maka sesungguhnya tidak ada kemuliaan kecuali dengan Islam dan melalui Islam. 
 
Begitulah generasi awal kalian, Rasulullah SAW dan para sahabat baginda yang mulia ridhwanullah 'alaihim. Maka teladanilah baginda seperti yang dituntut oleh Allah SWT melalui firmaNya, 
 
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah [TMQ al-Ahzab (33):21]. 
 
Dan Firman Allah SWT, 
 
"Sesungguhnya telah ada suri teladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengannya; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja [TMQ al-Mumtahanah (60):4].
 
Ini adalah seruan Rasul kalian dan seruan datuknya, Saidina Ibrahim dan orang-orang yang bersama mereka, maka apakah kita benar-benar bersama mereka?
 
HizbutTahrir Wilayah Syria
8 Jamadil Awal 1434H / 20 Mac 2013M

27 Mac 2013

Manusia Bukan Khalifah Allah!?

'Khalifah' secara bahasanya bermaksud 'pengganti' atau 'wakil'.  Apabila kita mengatakan manusia adalah khalifah ALLAH, ini bermakna kita mengatakan secara langsung atau tidak langsung bahawa manusia adalah pengganti ALLAH atau wakil ALLAH.  Bolehkah kita mengatakan begitu?

Tidak!  Sama sekali tidak!

Manusia bukanlah pengganti atau wakil ALLAH.  ALLAH tidak memerlukan pengganti atau wakil.  DIA lah Al-Hayyu, Tuhan Yang Maha Hidup yang tidak perlukan sesiapa pun menggantikanNYA.  DIA lah Al-Qayyum, Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri yang tidak memerlukan bantuan sesiapa dalam melakukan kehendakNYA.  ALLAH tidak memerlukan sesiapa pun untuk diserahkan urusanNYA kepada makhluq.  Tetapi makhluq lah yang menyerahkan urusannya kepada ALLAH.  ALLAH lah Al-Wakil, Tuhan Yang Maha Diserahkan Semua Urusan.  Maha Suci ALLAH dari sifat-sifat lemah dan kekurangan makhluq.

Jika digunakan perkataan 'manusia adalah khalifah ALLAH' dengan sedar dan tahu akan maknanya, kita khuatir aqidah seseorang yang mengatakannya boleh jadi rosak.  Moga-moga ALLAH mengampunkan kejahilan kita semua, amin.

Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam tidak pernah menggunakan perkataan 'khalifah ALLAH' sebagai menggambarkan dirinya yang mulia.  Tetapi Baginda menggunakan istilah 'Hamba ALLAH' atau 'Pesuruh ALLAH'.

Selepas kewafatan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, pemimpin ummat Islam yang menggantikan posisi Baginda dalam memimpin ummat Islam digelar sebagai 'Khalifaturrasul' atau 'Khalifah Rasul' yang membawa maksud 'Pengganti Rasulullah'.  Abu Bakr radhiAllahu `anhu menggunakan gelaran tersebut sehingga beliau meninggal dunia.  Kepimpinan Abu Bakr radhiAllahu `anhu kemudian disambung oleh `Umar radhiAllahu `anhu.  Beliau menggunakan gelaran 'Khalifatukhalifaturrasul' yang membawa maksud 'Pengganti kepada Pengganti Rasulullah', iaitu pengganti kepada Abu Bakr.  Kemudian beliau menukar gelaran tersebut kepada 'Amirul Mukminin' yang bermaksud 'Pemimpin Orang-orang Beriman' yang lebih memudahkan untuk generasi seterusnya.  (Bayangkan jika pemimpin selepas beliau menggunakan gelaran 'Khalifatukhalifatukhalifaturrasul', kemudian 'Khalifatukhalifatukhalifatukhalifaturasul' dan seterusnya.)

Jadi, kalimah 'khalifah' membawa maksud pengganti.  Sudah tentulah perkataan 'Khalifah ALLAH' tidak sewajarnya dilekatkan pada diri kita.  Sedangkan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam sendiri tidak pernah menggunakannya untuk dirinya yang mulia, apatah lagi kita.  Ditambah pula dengan maknanya yang tidak baik sebagaimana yang telah diterangkan di awal penulisan.

Kalimah 'Khalifah' Dan Berkaitannya Di Dalam Al-Quran

Di dalam al-Quran terdapat beberapa kalimah yang merujuk kepada kalimah 'khalifah', antaranya ialah:

(1)  Surah al-Baqarah, 2:30

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".  Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

(2)  Surah al-An`am, 6:133

وَرَبُّكَ الْغَنِيُّ ذُو الرَّحْمَةِ ۚ إِن يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَسْتَخْلِفْ مِن بَعْدِكُم مَّا يَشَاءُ كَمَا أَنشَأَكُم مِّن ذُرِّيَّةِ قَوْمٍ آخَرِينَ

Dan Tuhanmu Maha Kaya, lagi Melimpah-limpah rahmatNya. Jika Ia kehendaki, nescaya Ia binasakan kamu dan menggantikan sesudah (binasanya) kamu dengan sesiapa yang dikehendakiNya, sebagaimana Ia telah menjadikan kamu dari keturunan kaum yang lain.

(3)  Surah al-An`am, 6:165

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ ۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(4)  Surah al-A`raf, 7:69

أَوَعَجِبْتُمْ أَن جَاءَكُمْ ذِكْرٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَلَىٰ رَجُلٍ مِّنكُمْ لِيُنذِرَكُمْ ۚ وَاذْكُرُوا إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاءَ مِن بَعْدِ قَوْمِ نُوحٍ وَزَادَكُمْ فِي الْخَلْقِ بَسْطَةً ۖ فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

"Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya".

(5)  Surah al-A`raf, 7:74

وَاذْكُرُوا إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاءَ مِن بَعْدِ عَادٍ وَبَوَّأَكُمْ فِي الْأَرْضِ تَتَّخِذُونَ مِن سُهُولِهَا قُصُورًا وَتَنْحِتُونَ الْجِبَالَ بُيُوتًا ۖ فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

"Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi".

(6)  Surah al-A`raf, 7:129

قَالُوا أُوذِينَا مِن قَبْلِ أَن تَأْتِيَنَا وَمِن بَعْدِ مَا جِئْتَنَا ۚ قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْ وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

Mereka berkata: "Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami". Nabi Musa menjawab: "Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?"

(7)  Surah Yunus, 10:14

ثُمَّ جَعَلْنَاكُمْ خَلَائِفَ فِي الْأَرْضِ مِن بَعْدِهِمْ لِنَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.

(8)  Surah Yunus, 10:73

فَكَذَّبُوهُ فَنَجَّيْنَاهُ وَمَن مَّعَهُ فِي الْفُلْكِ وَجَعَلْنَاهُمْ خَلَائِفَ وَأَغْرَقْنَا الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُنذَرِينَ

Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.

(9)  Surah Hud, 11:57

فَإِن تَوَلَّوْا فَقَدْ أَبْلَغْتُكُم مَّا أُرْسِلْتُ بِهِ إِلَيْكُمْ ۚ وَيَسْتَخْلِفُ رَبِّي قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّونَهُ شَيْئًا ۚ إِنَّ رَبِّي عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَفِيظٌ

Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan dapat membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan Pemulihara tiap-tiap sesuatu."

(10)  Surah an-Nur, 24:55

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

(11)  Surah an-Naml, 27:62

أَمَّن يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ ۗ أَإِلَٰهٌ مَّعَ اللَّهِ ۚ قَلِيلًا مَّا تَذَكَّرُونَ

Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).

(12)  Surah Fatir, 35:39

هُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ فِي الْأَرْضِ ۚ فَمَن كَفَرَ فَعَلَيْهِ كُفْرُهُ ۖ وَلَا يَزِيدُ الْكَافِرِينَ كُفْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ إِلَّا مَقْتًا ۖ وَلَا يَزِيدُ الْكَافِرِينَ كُفْرُهُمْ إِلَّا خَسَارًا

Dia lah yang menjadikan kamu orang-orang yang berkuasa di muka bumi silih berganti; oleh itu sesiapa yang kufur ingkar maka balasan kufurnya itu akan menimpa dirinya sendiri; dan orang-orang yang kafir, kufurnya tidak menambahkan mereka di sisi Tuhan mereka melainkan kemurkaan dan kehinaan; dan juga orang-orang yang kafir itu, kufurnya tidak menambahkan mereka melainkan kerugian jua.

(13)  Surah Sad, 38:26

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

Jika diteliti di dalam ayat-ayat di atas, tiada satu pun kalimah 'khalifah' didampingkan dengan kalimah 'ALLAH' seperti 'khalifah ALLAH'.  Dan jika diamati kalimah-kalimah yang digunakan di dalam al-Quran yang mempunyai kaitan dengan kalimah 'khalifah', semuanya membawa maksud menggantikan, iaitu menggantikan kaum tertentu.

Jadi, Bagaimana Sekarang?

Sebaik-baiknya kita berhati-hatilah terhadap perkataan-perkataan yang boleh membawa makna yang tidak elok seperti menyebut 'manusia adalah khalifah (pengganti) ALLAH' kerana maknanya boleh melunturkan aqidah.  Jika mahu disebut juga, sebutlah 'ALLAH jadikan manusia sebagai khalifah' atau 'manusia adalah khalifah'.  Itu lebih selamat.  Dan sebegitulah disebut di dalam al-Quran.

Jika dilihat pada ayat 30 dari surah al-Baqarah, manusia telah dijadikan oleh ALLAH sebagai menggantikan kaum yang telah membuat kerosakan dan kemusnahan kepada bumi iaitu kaum jin.  Ya, manusia adalah pengganti kaum jin.  Mungkin kalau mahu disandarkan juga perkataan 'khalifah' itu dengan sesuatu, maka bolehlah disandarkan ia dengan perkataan 'jin'.  Jadilah ia 'manusia adalah khalifah jin'.  Tidak sedap bukan?  Itulah hakikatnya.  Jadi, cukuplah kita mengatakan 'manusia adalah khalifah'.  Jika hendak lebih menginsafkan dan lebih tepat, sebutlah kita ini hamba ALLAH yang setiap perbuatan kita semuanya akan dipertanggungjawabkan!

Manusia bukanlah khalifah ALLAH.  Maha Suci ALLAH dari diganti atau diwakil.

Semoga kita semua menginsafi asal kejadian dan matlamat kehidupan kita, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyembah dan menghamba-abdikan diri kita kepada ALLAH.

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. 

(Surah adz-Dzariyaat, 51:56)

26 Mac 2013

Bukan bluetooth, bukan Wifi

Agak melucukan! Begitu tanggapan awal saya saat membaca sebuah perumpamaan moden yang memperkatakan tentang perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam menanggapi perhubungan sesama mereka.

"Men are like Bluetooth. He is connected to you when you are nearby, but searches for other devices when you are away. Women are like Wifi. She sees all available devices, but connects to the strongest one."

"Hmmm…bila teknologi terkini dijadikan perumpamaan manusiawi…siapalah pengarangnya. Bagaimana agaknya kalau ayat itu diubah sedikit." Saya berbisik sendiri.

"Men are like Bluetooth, you are next to him, then he stays connected. You go away, he finds for new devices. And a lady, however, is like Wifi. Many devices can connect to her as long as she is not secured. "

Bibir saya terus menguntum senyum.

"Mungkin kerana itu, ada yang berpandangan bahawa pencarian seseorang yang 'betul' dan tepat bagi diangkat sebagai pasangan hidup yang serasi dan membawa bahagia,seumpama mencari sehelai rumput paling cantik." Bisikan saya bertali.


PENCARIAN

Suatu ketika, seorang guru yang bijaksana sedang berteduh di bawah sepohon pokok yang agak besar dan rendang. Bersamanya seorang pelajar yang masih muda tetapi gemar bertanya dan mengutip pengalaman daripada yang lebih berusia darinya.

"Guru, bagaimana kita dapat mencari pasangan hidup yang sejati? Bolehkah guru membantu saya?" Tiba-tiba pelajar itu menyoal.

Sang guru tidak terus menjawab, sebaliknya dia merenung jauh ke tengah kehijauan padang.

"Wahai muridku, saya akui soalanmu ini amat indah untuk dicerna, namun sukar untuk dilaksana...." Sang guru membuka bicara.

"Cuba kamu lihat padang yang luas itu. Terdapat banyak rumput di atasnya. Bagaimana kalau saya meminta kamu berjalan di sana, tetapi kamu tidak dibenarkan untuk mundur semula. Hanya berjalan terus, maju ke hadapan. Dalam perjalananmu itu, saya mahu kamu mencari sehelai rumput paling cantik, ambil dan berikan kepada saya."Sang guru mengarahkan.

Tanpa banyak bicara, pelajar itu menurut. Langkahnya diatur ke tengah padang yang luas. Dia berjalan sambil matanya melilau mencari sehelai rumput paling cantik menurut perkiraannya untuk diberikan kepada sang guru.

Namun, selang beberapa ketika…

"Saya tidak melihat sehelai rumput pun pada tanganmu?" Sang guru bertanya bila dilihat pelajarnya itu kembali ke bawah pohon besar dengan tangan kosong.

"Saya berjalan, dan terus berjalan. Bila sahaja mata saya tertancap pada sehelai rumput yang saya rasakan paling cantik, hati saya pula menyanggah : "Nanti dulu! Rumput-rumput di depan ini masih banyak, mungkin ada yang lebih cantik dari yang ini.

Lalu, rumput itu saya tinggalkan dan pencarian diteruskan. Namun akhirnya, tanpa saya sedari saya sudah pun sampai ke penghujung padang yang luas, tetapi tiada sehelai rumput pun yang berada di dalam genggaman..." Ujar pelajar itu dalam nada keletihan.

Mendengar jawapan balas pelajarnya, sang guru yang bijaksana tersenyum penuh makna.

"Inilah realiti hidup....Padang yang luas itu, umpama masa, rumput-rumput yang banyak itu umpama orang ramai di sekelilingmu, manakala rumput yang cantik pula adalah individu yang menarik perhatianmu. Justeru, keadaanmu tadi banyak berlaku dalam hidup manusia dalam mencari cinta sejati. Mereka mencari, bertemu yang menambat hati, tetapi dek mengenangkan mungkin ada yang lebih baik dari yang telah ditemui, mereka teruskan mencari sehingga tanpa sedar, sudah banyak masa yang terbuang, sudah banyak tenaga yang hilang. " Sang guru menjelaskan penuh hikmah.

"Oleh itu, dengarkan nasihatku ini. Dalam mencari pasangan hidup, janganlah selalu membanding-bandingkan dan berharap akan ada seseorang yang lebih baik di hadapan, kerana jika itu kau lakukan, masamu akan hilang, tubuhmu pasti kelelahan..." Sang guru menutup bicara disambut anggukan yang tidak putus dari pelajarnya.


PANDUAN ILAHI

Tidak perlu bertegang urat mempertahankan sama ada perumpamaan-perumpamaan di atas benar atau tidak, kerana sebagai seorang muslim, Islam telah menggariskan panduan yang amat adil lagi bijaksana dalam menentukan kriteria pasangan yang baik menurut kacamata agama.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda :

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا ، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya : "Wanita itu dinikahi kerana empat perkara; [pertama] kerana hartanya, (kedua) keturunannya, (ketiga) kecantikannya, dan (keempat) agamanya. Maka, carilah yang baik agamanya, jika tidak maka kamu akan tersungkur fakir." ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )

Di dalam hadis ini baginda SAW menyatakan bahawa faktor pendorong seorang lelaki untuk menikahi seorang wanita itu ada empat iaitu harta, keturunan, kecantikan dan agama, dan di akhir hadis baginda SAW memerintahkan agar memilih wanita yang baik agamanya serta memberikan dorongan untuk mencapai tujuan tersebut. Demikian juga, panduan ini turut terpakai ke atas wanita dalam mencari lelaki yang akan menyuntingnya sebagai suri.

Walaupun begitu, bukanlah satu perkara yang tercela jika seorang lelaki atau wanita itu memperhatikan faktor keturunan, kecantikan dan harta asalkan dia tidak meniggalkan faktor terpenting iaitu agama. Ini kerana, agama menjadi batas yang menghadkan perkataan dan perbuatan seseorang dari melampaui kadar yang sepatutnya yang telah ditentukan agama.

Sebagaimana satu riwayat yang menyatakan seorang lelaki datang kepada Imam Hassan al Basri dan berkata kepada beliau :

"Sesungguhnya saya memiliki seorang puteri yang saya cintai dan banyak orang ingin melamarnya, maka apakah pandanganmu kepadaku wahai Hassan al Basri ?"

"Nikahkanlah dia dengan lelaki yang takut kepada ALLAH kerana jika dia menyintai anakmu maka dia akan memuliakannya dan jika dia tidak menyukainya maka dia tidak akan menzaliminya". Hassan menjawab penuh keyakinan.

Sungguhpun demikian, walau sesukar manapun cabaran yang ditempuhi dalam misi pencarian si pecinta sejati, sama ada ia melahirkan tawa ceria mahupun esakan hiba, apa yang selalu diharapkan dari perhubungan antara dua jiwa ini adalah keberkatan. Wujudnya keberkatan sebagai peneman kehidupan berumahtangga, bermakna, lorong-lorong perhubungan antara lelaki dan wanita yang bergelar suami dan isteri itu selalu tampil aman dan sejahtera biar sesempit apapun lorong tersebut untuk diselusuri bersama.


JODOH TIDAK SEPADAN

Untuk itu, perkara pertama perkara yang perlu diinsafi dalam mencari yang terbaik mengikut kacamata agama ini, iaitu diri sendiri yang turut menyumbang kepada sama ada harmoni atau berantakannya rumahtangga yang akan dibina kelak. Lantaran itu, mencari yang soleh atau solehah perlu beriringan dengan menjadi yang soleh atau solehah juga.

Firman ALLAH SWT :

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ

Maksudnya : "Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." ( Surah an Nur ayat 26 )

Saya pernah ditanya berkenaan ayat ini, iaitu bagaimana jika seseorang itu sudah memperbaiki diri, setelah berusaha mencari dan mendapatkan pasangan yang dirasakan mampu bersam-sama mengharung suka dan duka, tetapi setelah berkahwin, dia mendapati jodohnya itu tidak sebaik dia?

Saya memberikan jawapan.

"Selagi mana tumpuan kita dalam perkahwinan adalah 'dia' ( pasangan ) dan bukannya diri sendiri ( saya ), maka selama itulah kita seakan terlepas pandang bahawa penegasan ayat ini sewajarnya lebih dulu ditumpukan kepada pembaikan diri sendiri terlebih dulu dan bukannya orang lain. Lalu usaha untuk menjadi lelaki atau wanita yang baik ( soleh atau solehah ) sebelum atau selepas akad berlangsung, haruslah berterusan dengan tidak menggantungkan apa-apa perkara yang berada di luar 'saya'.

Sungguhpun lelaki sebagai seorang suami, manakala wanita bergelar isteri, kedua-duanya memiliki perbezaan yang ketara, tetapi andai keduanya bersinergi mengikut acuan agama, ia pasti menghasilkan mithaaqan ghalizaa iaitu satu perjanjian yang utuh sesuai dengan firman-NYA :

كَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَى بَعْضُكُمْ إِلَى بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya : "Bagaimana kamu akan mengambilnya kembali, padahal sebagian kamu telah bergaul (bercampur) dengan yang lain sebagai suami isteri. Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat." ( Surah an Nisa' ayat 21)

Perjanjian antara suami isteri yang sedemikian kukuh, sehingga jika mereka terpisah di dunia kerana kematian, maka mereka tetap dipertemukan kembali oleh ALLAH SWT di akhirat setelah kebangkitan. Sebagaimana firman-NYA dalam surah Yasin ayat 56 yang bermaksud :

"…mereka bersama pasangan-pasangan mereka bernaung di tempat yang teduh."


TELADAN AL QURAN

Ada beberapa kisah yang ditampilkan ALLAH SWT menerusi kitab-NYA yang mulia, iaitu al Quran. Kisah beberapa pasangan suami isteri yang amat menarik untuk kita telusuri, mengambil ibrah dan pengajaran padanya yang penuh beerti untuk kehidupan ini.

Kisah-kisah tersebut boleh kita simpulkan kepada dua kategori :

1) Pasangan yang bersama di dunia, tapi terpisah di akhirat.

2) Pasangan yang terus bersama, di dunia dan akhirat sana.

Kisah pasangan suami isteri bagi kategori pertama ditampilkan oleh ALLAH SWT di dalam al Quran melalui kehidupan berumahtangga Nabi Nuh a.s dan Nabi Lut a.s yang mana kedua-duanya mengahwini wanita penderhaka kepada Yang Maha Esa, manakala sebuah kisah lain yang turut tersenarai di bawahnya ialah kisah Permaisuri Asiah dan pasangannya Fir'aun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan yang layak diserahkan pengabdian.

Gambaran pasangan ( isteri ) yang buruk disebutkan dalam ayat berikut :

ضَرَبَ اللهُ مَثَلاَ لِلَّذِيْنَ كَفَرُوا امْرَأَةَ نُوْحٍ وَامْرَأَةَ لُوْطٍ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا الصَّالِحِيْنَ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللهِ شَيْئًا وَقِيْلَ ادْخُلاَ النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِيْنَ

Maksudnya : "ALLAH menjadikan isteri Nabi Nuh dan istri Nabi Lut sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah ikatan pernikahan dengan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami. Lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suami mereka, maka kedua suami mereka itu tidak dapat membantu mereka sedikitpun dari siksa ALLAH, dan dikatakan kepada keduanya: 'Masuklah kalian berdua ke dalam neraka bersama orang-orang yang masuk neraka'." ( Surah At-Tahrim ayat 10 )

Sementara gambaran pasangan ( suami ) yang jelek pula diketengahkan oleh-NYA melalui ayat :

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ آمَنُوا اِمْرَأَةَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِندَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِن فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Maksudnya : "Dan ALLAH membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: "Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisi-MU dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim."( Surah at Tahrim ayat 11 )


NIAT PENENTU BERKAT

Paling menarik, bagi kategori kedua pula, ialah dalam banyak kisah pasangan bercinta yang dirakamkan al Quran, ada sebuah kisah cinta sejati yang amat perlu dijauhi.

Kisah itu adalah catatan perjalanan cinta pasangan 'musuh' ALLAH yang kehidupan mereka serasi bersama, dipenuhi agenda menzalimi, menyakiti dan menjadi duri kepada kehidupan Nabi SAW dan kaum muslimin. Begitulah aktiviti yang dilakukan oleh Abu Lahab dan isterinya yang mana kisah mereka dilontar penuh hina oleh ALLAH sebagaimana firman-NYA di dalam surah al Lahab. Mereka Bersama di dunia, dan terus setia bersama hingga ke neraka-NYA.

Oleh itu, sewajarnya bagi individu muslim yang baik pemahaman agamanya, menyedari bahawa bila sahaja menyebut tentang kemuliaan yang dikurniakan ALLAH menerusi ujian kehidupan, kemungkinan yang tiba antaranya adalah dari ujian berumahtangga. Lalu, dengan memahami itu, sewajarnya tindakan paling awal yang harus dipraktiskan ialah menyubur sabar di samping usaha yang tuntas untuk membawa rumahtangganya ke jalan kebenaran.

Hakikatnya, tiada siapa dapat menebak sejauh mana 'baik' yang berada dalam dirinya berbanding pasangan. Ini kerana kemungkinan yang dijadikan kayu ukur dan dacing penimbang keserasian hanyalah dari aspek luaran semata. Sedangkan andai diukur dari aspek dalaman rohani masing-masing, kemungkinan pasangannya itu lebih baik dari sudut keikhlasan kepada ALLAH SWT. Ingatlah, merasa baik selalu menjadi halangan tanpa sedar kepada usaha yang lebih jitu lagi untuk memperbaiki diri ke tahap selanjutnya.

Musuh kepada terbaik adalah baik!

Oleh itu, niat dari awal perlu dipastikan berada betul di atas landasan. Niat ketika menetapkan kriteria-kriteria bakal pasangan. Niat ketika melihat bakal raja dan ratu hatinya. Niat ketika menyatakan persetujuan untuk bertunang. Niat ketika gerbang pernikahan melebarkan pintunya dan niat-niat lain seterusnya.

Niatlah yang akan menjadi timbang tara awal kepada keberkatan dalam jalan-jalan kehidupan berumahtangga.

Dan sudah pasti niat unggul seorang mukmin sejati itu hanya satu, demi meraih reda ILAHI; mengharapkan perhubungan yang terjalin berhias kasih yang suci berbumbungkan teduhan rahmat dari Yang Maha Mengasihi lagi Maha Menyayangi.


BUKAN BLUETOOTH, BUKAN WIFI….

Buat akhirnya, mari kita insafi bersama bahawa dalam mendambakan keserasian pasangan, mengimpikan pencinta sejati baik dari lelaki atau perempuan sampai tangan keduanya berpimpin erat sebagai suami isteri, semua itu bertitiktolak dari keburukan dan kemuliaan yang dijana pada setiap individu di dalamnya. Ia adalah hasil dari pilihan diri mereka masing-masing.

Mungkin sahaja mereka berkahwin dengan seseorang yang sangat angkuh, buruk akhlak dan bermasalah moral yang dahsyat sehingga mengaku dirinya TUHAN, sebagaimana Asiah yang bersuamikan Si Mahazalim Firaun, tetapi akidah Asiah tetap utuh terpelihara lalu dengan yakin dia memohon Syurga dari Yang Maha Esa.

Seseorang itu juga mungkin sahaja menikahi individu yang sangat mulia dari kalangan manusia sebagaimana isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut alaihimassalam, tetapi kemuliaan si suami tidak berkesan sedikitpun kepada diri keduanya lalu mereka menjadi hamba yang ingkar dan bakal menghuni neraka yang menyala.

Untuk itu, bagi yang telah menemui 'kekasih sejati' dalam kehidupan rumahtangganya, berdoalah dengan tulus agar kerukunan rumahtangga anda dan pasangan yang dikasihi bersama di di dunia hingga ke syurga abadi, bukan sekadar hingga ke akhirat kerana al Quran sudah merakamkan perihal pasangan yang riwayat hidupnya 'berjuang' bersama di dunia, dan di akhirat kelak mereka masih setia berdua, tetapi pengakhiran mereka bukan di syurga, tetapi dalam neraka yang sungguh menyeksa.

Sementara kepada yang belum dan masih dalam pencarian, sudah pasti bukan jejaka 'Bluetooth' atau wanita 'Wifi' yang diinginkan oleh seorang muslim dan muslimah beriman, tetapi individu yang menjadikan cinta ALLAH dan Rasul-NYA sebagai cinta paling teratas. Individu sebegini memuliakan diri dan pasangannya dengan mendepankan syari'at ILAHI lalu mereka tahu kerana apa mereka berada di sisi pasangannya dan kerana apa pula mereka menjauh diri dari pasangannya pada satu-satu ketika. Kerana ALLAH, hanya DIA menjadi sebab utama!

Ingatlah, seseorang itu juga mungkin tidak berkesempatan mempunyai seorang suami atau isteri pun bagi melengkapi kebahagiaan hidupnya di dunia ini sebagaimana Maryam ibunda Nabi Isa a.s, tetapi keadaan itu tetap melayakkannya menjadi antara individu ( wanita ) paling terpandang di sisi Yang Maha Kaya.

Justeru, pilihlah jalan-jalan yang membawa diri kepada-NYA, pasangan hanyalah salah satu jalan untuk bahagia, sedang ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang itulah sebenar-benar sumber kebahagiaan.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
-nukilan Ummu Husna

24 Mac 2013

Elemen Intelek dan Rohani dalam P&P.

Keputusan SPM baharu sahaja diumumkan. Pelbagai reaksi dan respon dapat didengar dan diperhatikan. Baik dipihak pelajar, guru mahupun ibubapa semua pihak ada komentar masing-masing. Setiap orang pasti berbangga dengan pencapaian memperoleh banyak 'A' anak-anak mereka dalam peperiksaan awam.

Bagi pihak sekolah pula, peratus kelulusan akan diberi perhatian. Seterusnya di peringkat negeri, pihak kementerian akan membuat perbandingan negeri mana yang memperoleh keputusan terbaik untuk dinobatkan sebagai " juara antara negeri dalam pendidikan".

Fenomena seperti ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Tidak mengira apa pun strategi, teknik atau kaedah yang guru gunakan keputusan peperiksaan menjadi fokus utama yang dititik beratkan. Natijahnya, kecenderungan yang diberi kepada perkembangan intelek tidak seiring dengan perkembangan lain, khususnya rohani dan emosi.

Kesannya, lahirlah golongan terpelajar tetapi kurang terdidik akhlaknya. Seumpama para intelek yang pakar dalam bidang yang diceburi tetapi kurangnya penghayatan adab yang baik serta tidak menyedari kewujudan Allah yang sentiasa mengawasi segala pemikiran, perbuatan dan perlakuan mereka pada setiap masa dan ketika.

Justeru, tidak hairanlah kewujudan "jenayah kolar putih" sering dipaparkan oleh media massa yang menunjukkan salah laku melibatkan individu-individu terpelajar ini. Sebagai pendidik, kita tidak perlu menuding jari ke arah orang lain atau meletakkan kesalahan kepada sistem pendidikan. Sebaiknya, beri perhatian kepada perkara-perkara yang mampu dan boleh dilakukan untuk membaiki keadaan. Optimumkan usaha untuk mengubah berdasarkan perkara yang mampu dan perlu dilakukan serta berpaksikan kemahuan kita yang kuat.

Berbekalkan elemen-elemen mampu, perlu dan mahu, Insya-Allah kita boleh bersama-sama menyumbang ke arah perubahan yang diimpikan. Walaupun perlahan, tetapi pasti. Ini kerana sebaik-baik perkara yang dilakukan adalah berterusan walaupun sedikit.

Cuba kita lihat di bilik darjah, makmal, kuliah dan lain-lain, di sinilah terkumpulnya tunas-tunas hijau yang bakal tumbuh untuk menyambung tugas generasi terdahulu dalam pelbagai bidang. Ya, di sinilah gelanggang kita! Setiap hari mereka datang dengan harapan mendapat sebanyak mungkin ilmu daripada kita.

Berdasarkan kesedaran tugas bukan sekadar mengajar, tetapi juga mendidik selain menghabiskan sukatan pelajaran, amat wajar bagi kita mengintegrasikan elemen kerohanian dalam setiap isi pelajaran yang diajar. Cuba sedarkan pelajar bahawa ilmu bukan sekadar lulus peperiksaan, tetapi bekalan mencapai kebaikan, kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Ilmu juga merupakan jalan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, membina takwa dan menyedari kewujudan-Nya setiap masa. Ini merupakan kaedah yang berkesan dalam menangani segala bentuk jenayah. " CCTV" Allah ada di mana-mana. Sekiranya perkara ini difahami, disedari dan dihayati oleh anak-anak didik kita nescaya kita akan berjaya menyumbang ke arah menjana generasi cemerlang, bukan sekadar ilmu pengetahuan tetapi juga ketakwaan.

Kita juga boleh menyemai "rasa bertuhan" dalam diri pelajar pada setiap kesempatan. Contohnya seorang pelajar menolong rakannya yang terjatuh. Berilah pujian kerana perbuatan tersebut dan beritahunya walau sekecil mana pun kebajikan yang dilakukan, ia akan dinilai oleh Allah SWT.

Anggaplah setiap ruang dan peluang dalam P&P itu sebagai tempat kita menyemai benih-benih keimanan dan ketakwaan dalam diri anak-anak didik kita. Lakukannya secara bersahaja, istiqamah, tanpa rasa jemu dan putus asa. Biarpun secanggih mana teknologi, keseimbangan perkembangan potensi manusia tidak harus diabaikan. Kegagalan membentuk generasi yang seimbang ini boleh mendatangkan masalah. Ibarat kereta yang bergerak laju, perlu dipastikan penjajaran dan keseimbangan tayarnya bagi mengelakkan kemalangan. Begitu jugalah dengan manusia yang bergerak pantas dalam roda kehidupan, perlu seimbang dari segi potensi insannya untuk mengelakkan "kemalangan" di lebuh raya kehidupan.

Pelajar yang dibangunkan potensi rohaninya akan turut terbangun dari segi emosi, seterusnya menyumbang ke arah perkembangan intelek yang sihat. Ini kerana seseorang itu dapat berfikir dengan baik sekiranya memiliki emosi yang damai. Ketenangan hanya boleh diperoleh dengan mengingati Allah. Firman Allah, maksudnya: "Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang". (Al-Ra'd 13: 28)

Berbekalkan kesedaran mengenai kehadiran Allah setiap masa dalam hati, kita akan merasai rahmat dan kasih sayang-Nya. Ini membuahkan rasa syukur, sabar dan reda dalam diri. Pelajar yang tenang tidak akan menimbulkan masalah disiplin dan menyumbang  kepada pengurusan kelas yang baik kerana antara prinsip pedagogi ialah disiplin mendahului pengajaran.
Pelajar yang dibajai dengan sifat syukur akan menghargai guru dan menjaga adab-adab terhadap guru, menjadi penyejuk mata guru sekaligus menyumbang kepada keberkatan ilmu yang ditimba. Pelajar yang kaya dengan sikap sabar pula akan mempunyai daya juang yang tinggi, tidak mudah berputus asa dalam perjuangan mencari ilmu pengetahuan.

Justeru, pelajar yang berdisiplin serta mempunyai sifat syukur dan sabar menatijahkan pelaksanaan P&P yang baik, berkesan dan harmoni. Mengintegrasikan elemen rohani dalam P&P tidak membuang masa, malah ia boleh menjimatkan masa lantaran guru tidak disibukkan dengan masalah disiplin atau menyediakan kem-kem motivasi bagi menyuntik semangat dan daya juang dalam diri pelajar ini kerana jati diri mereka telah dipupuk secara berterusan.

Tamadun yang gemilang hanya akan dibina oleh generasi yang kaya dari segi ilmu dan akhlak. Ia dapat dicapai melalui penghayatan agama yang mantap. Dalam pelaksanaan P&P, potensi intelek dan rohani perlu seiring dibangunkan dengan penuh keikhlasan, istiqamah dan kesedaran oleh setiap warga pendidik. " Sesuatu bangsa tetap hidup selagi akhlaknya tetap baik. Apabila akhlak mereka rosak, musnahlah bangsa tersebut." (Shauqi Bay, Penyair Arab).

22 Mac 2013

Al-Fatihah, Perginya Seorang Ulama "Musleh"....



DAMSYIK: Serangan pengebom nekad di dalam Masjid Eman yang terletak di tengah-tengah ibu kota Syria awal pagi tadi (waktu Malaysia) meragut 42 nyawa termasuk ulama terkenal Sunni negara itu, Sheikh Mohammad Said Ramadan al-Buti yang difahamkan cenderung kepada rejim pemerintah. 

Serangan yang dilakukan pada sebelah petang itu menyaksikan pengebom nekad meletupkan dirinya sendiri ketika Mohamed al-Bouti sedang mengadakan ceramah agama untuk pelajarnya. 

"Jumlah kematian susulan serangan pengganas ini meningkat kepada 42 di mana 84 mangsa lain mengalami kecederaan. 

Kematian Mohamed al-Buti disifatkan satu tamparan hebat kepada Presiden Bashar al-Assad, di mana beliau sedang berusaha menamatkan ancaman pemberontak di negara itu.

Datangnya Ulama' membawa Rahmat. Tanggal 21/03/2013 perginya seorang Ulama' terkemuka dunia dibawa bersama ilmunya. Dia dikurniakan Syahid tatkala di usia senja. Datangnya dinanti penduduk bumi, perginya ditunggu-tunggu penduduk langit.

Terlalu besar jasanya pada ummah ini. Dia adalah seorang Ulama' yang 'alim Rabbani. Semoga Allah merahmati dan mengampuni Al-Fadhil Syekh Dr Ramadhan Al-Buti al-Syahid, seorang Ulama' dari Syria. 

Marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan berdoa agar kita juga dikurniakan Syahid sepertimana pejuang-pejuang Islam yang ikhlas berjuang di jalan Allah. Al-Fatihah...

Sedikit Kisah...

Kata Al-Habib Ali-Al-Jufri "Aku telah menelefonnya dua minggu lepas dan beliau (Dr Ramadhan Al-Buti) berkata pada akhir kalamnya: "Tidak tinggal lagi umur bagi aku melainkan beberapa hari yang boleh dikira. Sesungguhnya aku sedang mencium bau syurga dari belakangnya. Jangan lupa wahai saudaraku untuk mendoakan aku."

Pada beberapa hari sebelum kewafatannya, beliau berkata "Setiap apa yang berlaku padaku atau yang menuduhku daripada ijtihadku, maka aku harap ia tidak terlepas dari ganjaran ijtihad" (yang betul mendapat dua ganjaran dan yang tidak mendapat satu ganjaran)

*Sheikh Ramadhan Al-Buti Syahid setelah dibom beberapa jam lepas di dalam Masjid Iman di Dimasyq. Beliau akhir-akhir ini mendoakan kehancuran kepada rejim Syiah Nusairiah, dan sedang dikawal ketat oleh pihak tentera. Dalam usahanya untuk keluar dari Syria beliau bersama pengikutnya dibom dan mendapat ganjaran Syahid.

Moga Allah merahmati dan memberi ganjaran yang sebanyak-banyaknya kepada Guruku dan Mujtahid Ummah Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buti. Hidupnya sebagai ulama, matinya sebagai syuhada.

15 Mac 2013

Kelebihan Para Huffaz

gelaran "al-Hafiz", akan mendapat 2 ganjaran :
Ganjaran di dunia.
Ganjaran di akhirat.
Ganjaran di dunia
Selain ganjaran-ganjaran di akhirat yang dijanjikan dalam Hadis Nabi S.A.W terhadap golonganHamlatul Quran, terdapat juga ganjaran di dunia yang diberikan terhadap mereka. Rakan sayaUstaz Asraff menyatakan bahawa :
Penghafaz al-Quran merupakan VVIP Allah S.W.T di dunia.
"Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya."(Riwayat Ibnu Majah)
Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.
"Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya." (Riwayat Muslim)
Penghafaz al-Quran mendapat certificate (pengiktirafan) dari Nabi S.A.W.
"Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, "Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat." (Riwayat Bukhari)
Al-Quran menjanjikan kebaikan.
"Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur'an dan yang mengajarkannya" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ganjaran di akhirat
Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.
Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)
Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)
Dari Abi Umamah ra. ia berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya)."(Riwayat Muslim)
Penghafaz al-Quran mendapat bonus berlipat kali ganda.
Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa "alif laam mim" itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)
Oleh itu tidak hairanlah ramai ibu bapa berlumba-lumba mengimpikan anak-anaknya menjadi penghafaz al-Quran. Marilah kita berdoa agar dalam keluarga kita mempunyai sekurang-kurangnya seorang penghafaz al-Quran.

Meluruskan Makna Jihad

Krisis Lahad Datu nampaknya masih belum menemui titik noktahnya. Di saat media kerajaan melaporkan bahawa keadaan terkawal dan kejayaan berpihak kepada pasukan keselamatan, namun terbaru,seorang lagi anggota tentera, Prebet Ahmad Hurairah Ismail telah terbunuh dalam kejadian serangan oleh pasukan Sulu. Diambang kekecohan ini, tiba-tiba Sultan Kiram III dilaporkan telah mengisytiharkan jihad terhadap Malaysia. [http://my.news.yahoo.com/kiram-declares-jihad-against-malaysia-085414183.html]. Diperjelaskan lagi oleh iparnya, AbrahanIdrijani bahawa jihad di sini dilakukan dalam konteks mendapatkan kembali hak milik mereka ke atas Sabah. Manakala Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan telah lebih awal memfatwakan bahawa pasukan keselamatan yang terbunuh dalam Ops Daulat adalah dikira syahid akhirat. Di pihak kerajaan Malaysia, walaupun belum ada pengumuman rasmi bahawa pertembungan di Lahad Datu adalah jihad, namun akhbar pro-kerajaan, Utusan Malaysia, telah pun menyatakan bahawa perjuangan pasukan keselamatan yang mempertahankan Lahad Datu adalah satu jihad [UM 12/03/13]. Oleh itu, kita boleh katakan di sini bahawa kedua-dua belah pihak telah menganggap bahawa perjuangan mereka adalah jihad!? Bagi mereka yang mempunyai sedikit kefahaman tentang jihad, maka hal ini mungkin akan mengelirukan. Manakala bagi mereka yang keliru, mungkin akan bertambah keliru. Apa tidaknya, bagaimana mungkin pertempuran dan pembunuhan sesama Muslim dianggap sebagai jihad dan mati syahid? Apalagi Malaysia bukanlah wilayah perang sebagaimana halnya di Afghanistan, Iraq atau Palestin. Bagi merungkai kekeliruan ini, maka kita perlu memahami dengan kefahaman yang benar apakah yang dimaksudkan dengan pengertian jihad dan mati syahid.

Jihad Dalam Islam

Sebagaimana solat, jihad adalah sebahagian dari ajaran Islam. Jihad bahkan termasuk di antara kewajiban dalam Islam yang sangat agung,yang menjadi syiar Islam.Secara bahasa, jihad (kata jahada) bermaksud, "mengerahkan kemampuan dan tenaga yangada, baik dengan perkataan mahupun perbuatan (Fairuz Abadi, KamusAl-Muhith). Secara bahasa, jihad juga boleh bererti, "mengerahkan seluruh kemampuan untuk memperoleh tujuan" [An-Naisaburi,Tafsir an-Naisaburi, XI/126].Adapun menurut pengertian syar'ie (syariat), para ahli fiqh(fuqaha)mendefinisikan jihad sebagai "usaha mengerahkan segenap kekuatan dalam perang fi sabilillah secara langsung mahupun memberikan bantuan kewangan, pendapat atau memperbanyakkan logistik dan lain-lain (demi memenangkan pertempuran). Kerana itu, perang dalam rangka meninggikan kalimat Allah itulah yang disebut dengan jihad" [An-Nabhani,Asy-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, II/153. Lihat jugaIbn Abidin,HasyiyahIbn Abidin, III/336].

Kewajiban jihad (perang) ini telah ditetapkan oleh Allah SWT dalamal-Quran di dalam banyak ayat [lihat Surah an-Nisa' (4):95; Surah at-Taubah (9):41, 86, 87, 88; Surah as-Saf (61):4]. Bahkanjihad (perang) di jalan Allah merupakan amalan utama dan agung yangpelakunya akan meraih syurga dan kenikmatan yang abadi di akhirat[lihat Surah an-Nisa' (4):95; Surah at-Taubah(9):111; Surah al-Anfal (8):74; Surah al-Maidah (5):35; Surahal-Hujurat (49):15; Surah as-Saff (61):11-12]. Sebaliknya, Allah telah mencela dan mengancam orang-orang yang enggan berjihad (berperang) dijalanNya [lihatSurah at-Taubah(9):38-39; Surah al-Anfal(8):15-16; Surah at-Taubah (9):24].Persoalannya, bila dan dimanakah jihad dalam pengertian perang itudilakukan? Jawapan secara ringkasnya, jihad dalam pengertian perang boleh berlaku dalam tiga keadaan:-

Pertama: Apabila kaum Muslimin atau negeri mereka diserang oleh orang-orang kafir atau negara kafir. Contohnya adalah dalam kes Afghanistan dan Iraq yang diserang dan diduduki AS sampai sekarang. Begitu juga dalam kes di Palestin yang sedang dijajah Israel. Inilah yang disebut dengan jihad defensif (difa'ie) di mana dalam keadaan seperti ini, Allah SWTtelah mewajibkan kaum Muslimin untuk membalas tindakan penyerang danmengusirnya dari tanah kaum Muslimin. Allah SWT berfirman,

"Perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kalian, tetapijanganlah kalian melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidakmenyukai orang-orang yang melampaui batas" [TMQ al-Baqarah (2):190].

Kedua:Apabila ada sekelompok komuniti Muslim yang diperangi olehorang-orang kafir atau negara kafir. Kaum Muslimin wajib menolong mereka.Ini kerana, kaum Muslimin itu bersaudara, laksana satu tubuh. Kerana itu,serangan atas sebahagian kaum Muslimin pada hakikatnya merupakan seranganterhadap seluruh kaum Muslimin di seluruh dunia. Kerana itu pula, usaha untuk membela kaum Muslimin di Afghanistan, Iraq atau Palestin misalnya,merupakan kewajipan kaum Muslimin di seluruh dunia. Allah SWT berfirman,

"Jika mereka meminta pertolongan kepada kalian dalam urusan agama inimaka kalian wajib menolong mereka" [TMQ al-Anfal(8):72].

Ketiga:Apabila dakwah Islam yang dilakukan oleh Daulah Islam(Khilafah) dihalang oleh penguasa kafir dengan kekuatan fizikal mereka.Dakwah adalah seruan pemikiran (non-fizikal), namun tatkala ia dihalangi secara fizikal, maka wajib bagi kaum Muslimin berjihad untuk melindungi dakwah danmenghilangkan halangan-halangan fizikal yang ada di hadapannya dibawahpimpinan Khalifah. Inilah yang disebut dengan jihad ofensif (hujumi).Inilah pula yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatsetelah mereka berhasil mendirikan Daulah Islam di Madinah. Merekatidak pernah berhenti berjihad (berperang) dalam rangka menghilangkanhalangan-halangan fizikal demi tersebarluasnya dakwah Islam dan demitegaknya kalimat-kalimat Allah. Dengan jihad ofensif itulah Islamtersebar ke seluruh dunia dan wilayah kekuasaan Islam pun semakinmeluas, menguasai pelbagai belahan dunia. Bahkan jihad (perang) merupakan thariqah (jalan) Islamdalam penyebaran dakwah oleh Negara apabila wujudnya halangan fizikal di dalam seruan meninggikan kalimah Allah. Allah SWTberfirman,

"Perangilah mereka (orang-orang kafir) hingga tidak adalagi fitnah (kekufuran) dan agama ini (Islam) hanya milik Allah" [TMQal-Baqarah (2):193].

Dalam semua keadaan di atas (jihad fi sabilillah), maka gugurnya setiap Muslim adalah dianggap sebagai syahid (dunia dan akhirat) Dari definisi dan konteks jihad di atas juga, jelas sekali bahawa tindakanhirabah (terorisme)bukanlahtermasuk jihad fi sabilillah. Sebab, tindakan tersebut nyata-nyatatelah mengorbankan ramai orang yang seharusnya tidak boleh (haram)untuk dibunuh, baik yang terbunuh itu Muslim mahupun bukan.Tindakan ini jelas haram dan termasuk dosa besar berdasarkan firman AllahSWT,


"Janganlah kalian membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali denganalasan yang hak" [TMQ al-Isra' (17):33].

Manakala dalam konteks pembunuhan tanpa hak yang berlaku ke atas sesama Muslim pula, keharamannya lebih keras lagi di mana Allah SWT berfirman,

"Siapa sahaja yang membunuh seorang Mukmin dengan sengaja, makabalasannya adalah neraka Jahanam; ia kekal di dalamnya; Allah punmurka kepadanya, melaknatnya dan menyediakan baginya azab yangbesar" [TMQ an-Nisa' (4):93].

Hukum Perang Fitnah (Perang Saudara)

Kami telah menjelaskan dalam Sautun Nahdhah keluaran lepas bahawa sesungguhnya setiap negara/wilayah umat Islam adalah negara/wilayah yang satu, yang dimiliki secara bersama oleh umat Islam. Setiap orang berhak tinggal di dalamnya dan berhak mendapat perlindungan dari pemerintah terhadap nyawa, darah dan hartanya. Tidak ada seorang Muslim pun boleh menuntut, apatah lagi untuk mengangkat senjata seraya menuntut bahawa negara/wilayah tertentu adalah milik mereka atau kaum mereka sahaja. Justeru, apa jua cubaan atau usaha untuk merampas wilayah kaum Muslimin untuk dimiliki oleh kaum tertentu dengan mengecualikan Muslim yang lain, adalah suatu yang jelas-jelas haram. Begitu juga dengan apa jua cubaan atau usaha oleh pemerintah untuk menghalau keluar atau menafikan hak setiap Muslim untuk bertempat tinggal di wilayah Islam adalah suatu yang jelas-jelas haram.

Sekiranya suatu pihak telah mengangkat senjata untuk menguasai sesuatu kawasan yang menjadi hak milik bersama kaum Muslimin, maka ia boleh dalam keadaan ini menjadi golongan yang dipanggil sebagai bughat (pemberontak kepada penguasa yang sah) atau muharibin (pengganas). Baik bughat atau muharibin, kedua-duanya haram untuk dilakukan oleh setiap Muslim dan Islam telah menggariskan hukum syarak tertentu untuk Negara (pemerintah) menangani kedua-dua golongan ini. Namun, satu hal yang kita sangat khuatir terjadi kepada dua golongan Muslim yang mengangkat senjata ini ialah, apabila ia tidak termasuk dalam golongan bughat dan tidak juga termasuk dalam golongan muharibin. Jika ini terjadi (pengangkatan senjata, peperangan atau pembunuhan) oleh dua atau lebih kelompok Muslim (termasuk antara sesama negara), maka hal ini boleh termasuk ke dalam"perang saudara" atau dikenali juga dengan "perang fitnah". Bermula dari tindakan memberontak (baghy) atau keganasan (hirabah), ia mungkin sahaja boleh berakhir dengan qital al-fitnah (perang saudara). Hal ini wajib dijauhi oleh kaum Muslimin. Ini kerana, Islam mengharamkan peperangan sesama Muslim (perang saudara) dengan keharaman yang sangat tegas.

Dr. Muhammad Khair Haekal di dalam kitabnya al-Jihad wa al-Qital memberikan definisi "perang fitnah"  yang disimpulkan beliau setelah mengemukakan banyak hadis yang menyebut tentang perang tersebut. Menurut beliau, perang fitnah adalah "peperangan yang tidak disyariatkan, yang terjadi antara dua kelompok kaum Muslimin atau lebih". Berdasarkan nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis yang begitu banyak beliau kemukakan, maka Dr. Khair menyimpulkan bahawa perang fitnah adalah haram dalam apa jua bentuknya sekalipun dan setiap Muslim wajib menjauhkan diri dari terlibat di dalamnya.

Dalam sebuah hadis dari Ibnu Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda,

"Akan ada fitnah, ketika itu orang-orang yang tidur lebih baik berbanding yang bangun, yang bangun lebih baik berbanding yang berjalan, yang berjalan lebih baik berbanding yang berkenderaan, yang berkenderaan lebih baik berbanding yang mengangkut. Korban yang terbunuh, semuanya masuk neraka. Aku (Ibnu Mas'ud) bertanya, 'Wahai Rasulullah, bilakah hal itu terjadi?' Baginda menjawab, 'Itu terjadi pada masa-masa fitnah (kekacauan)'. Aku bertanya lagi, 'Bilakah masa-masa fitnah (kekacauan) itu terjadi?' Baginda menjawab, 'Ketika seseorang merasa tidak aman dengan temannya'. Aku bertanya lagi, 'Lalu apa yang engkau perintahkan kepadaku?' Baginda bersabda, 'Tahanlah tangan dan lisanmu dan masuklah ke rumahmu" [HR Ahmad].

Dengan memetik hadis di atas, Dr. Muhammad Khair Haekal seterusnya berkomentar bahawa fitnah di sini dimaknai sebagai perang yang terjadi antara seseorang dengan seseorang yang lain dengan beragam kelompok mereka, kerana dosa. Saat itu korban yang terbunuh semuanya masuk neraka. Pada waktu itu, orang yang terbaik adalah orang yang tidur meninggalkannya. Siapa pun yang terkait dengannya kerana alasan tertentu, dinyatakan mempunyai sumbangan dosa, sedikit ataupun banyak, sesuai dengan kadar keterlibatannya mengumpulkan kekuatan untuk perang fitnah serta provokasinya dalam mengobarkan api peperangan. Fitnah terjadi pada zaman di mana ketakutan mengancam manusia, misalnya dalam keadaan mereka terancam mati di mana sahaja. Dalam keadaan seperti ini, manusia -sebagaimana sabda Nabi SAW- wajib menahan tangan dan lisannya serta masuk ke dalam rumahnya.

Di antara riwayat lain yang dinyatakan untuk menjelaskan perubahan dan permusuhan yang menimpa manusia pada zaman fitnah adalah sabda Nabi SAW,

"Sesungguhnya Allah Azza wa Jallatidak pernah menghalalkan sesuatu pun pada zaman fitnah yang sebelumnya diharamkan. Bagaimana mungkin salah seorang di antara kamu mendatangi saudaranya, mengucapkan salam kepadanya, kemudian setelah itu dia datang lalu membunuhnya" [HR ath-Thabrani].

Fitnah dalam pengertian ini bererti perubahan sikap dan perkembangan sejumlah interaksi di mana peperangan telah menggantikan perdamaian. Ketika itu, teman pada hari semalam, kini menjadi musuh di mana kehormatannya dinodai dan darahnya menjadi halal. Ibnu Umar mendeskripsikan keadaan orang pada zaman fitnah seraya berkata,

"Pada zaman fitnah, kalian tidak akan memandang pembunuhan sebagai sesuatu (yang bermasalah)" [Majma' az-Zawaid, Al-Haysami, juz VII, hal. 293].

Adapun mengenai hukum keterlibatan seorang Muslim dalam peperangan fitnah ini, Dr. Khair menyatakan bahawa ia boleh dikumpulkan dari pelbagai pandangan fiqh yang telah dikumpulkan oleh Imam as-Sun'ani dan Imam asy-Syaukani yang berserakan di pelbagai sumber. Pandangan-pandangan tersebut sepakat mengenai meninggalkan perang pada saat fitnah. Kesepakatan pandangan mereka adalah wajar kerana keharaman darah kaum Muslimin telah ditetapkan berdasarkan nas-nas syarak sebagaimana firman Allah SWT,

"Dan janganlah kamu membunuh jiwa yangdiharamkan oleh Allah (membunuhnya) melainkan dengan suatu (alasan) yang benar" [TMQ al-Isra' (17):33].

Juga berdasarkan sabda Nabi SAW yang menyatakan

"Setiap Muslim adalah saudara sesama Muslim; darah, harta dan kehormatannya adalah haram (bagi sesamanya)" [HR Muslim].

Keadaan fitnah bukan merupakan justifikasi untuk menghilangkan status ma'sum (terpeliharanya darah, kehormatan dan harta) dari kaum Muslimin kerana Nabi SAW bersabda,

"Sesungguhnya Allah tidak menghalalkan sesuatu pun dalam keadaan fitnah yang sebelumnya telah diharamkan oleh Allah" [HR ath-Thabrani].

Persoalan seterusnya, apakah perang fitnah merupakan jihad?Menjawab kepada persoalan ini, penulis kitab al-Jihad wa Qital dengan tegas mengatakan bahawajawapannya adalah tidak. Sebab, jihad merupakan perang kaum Muslimin melawan kaum kafir hingga tidak ada lagi fitnah dan agama ini seluruhnya milik Allah. Manakala perang fitnah, tidak lebih hanyalah perang kaum Muslimin dengan kaum Muslimin yang lain sehingga menjadi fitnah dan menjadikan urusan agama bukan ditangan Allah. Lalu, berdasarkan apa dikatakan bahawa perang seperti ini adalah jihad? Padahal Nabi saw telah menegaskan bahawa orang yang membunuh dan yang terbunuh sama-sama masuk neraka?Kerana itulah, perang fitnah bukan merupakan sebahagian dari jihad di jalan Allah. Malah perang ini dengan jihad merupakan dua kutub yang saling berlawanan [al-Jihad wa al-Qital, Dr. Muhammad Khair Haekal].

Khatimah

Kita berdoa dan mengharapkan agar pertumpahan darah di antara sesama Muslim ini dihentikan segera dan kedua-dua pihak kembali ke jalan yang benar. Kalau kedua-duanya ingin berjihad dan syahid, alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah dan kita meminta agar mereka memilih jalan jihad dan syahid yang tidak ada keraguan di dalamnya iaitu dengan masing-masing mengumpul dan mengerahkan kekuatan untuk melawan kafir Zionis, Amerika dan sekutu-sekutunya yang sekarang sedang menjajah dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin, Iraq, Afghanistan, Pakistan dan lain-lain. Berjihadlah melawan tentera-tentera kuffar ini demi membebaskan saudara-saudara kita dan juga tanah suci Islam yang dirampas oleh musuh-musuh Allah itu serta menyatukan semula umat Islam di bawah satu negara (Khilafah). Jika inilah yang dilakukan, maka Insya Allah mereka akan meraih kemuliaan di sisi Allah Azza wa Jalla.