Keputusan SPM baharu sahaja diumumkan. Pelbagai reaksi dan respon dapat didengar dan diperhatikan. Baik dipihak pelajar, guru mahupun ibubapa semua pihak ada komentar masing-masing. Setiap orang pasti berbangga dengan pencapaian memperoleh banyak 'A' anak-anak mereka dalam peperiksaan awam.
Bagi pihak sekolah pula, peratus kelulusan akan diberi perhatian. Seterusnya di peringkat negeri, pihak kementerian akan membuat perbandingan negeri mana yang memperoleh keputusan terbaik untuk dinobatkan sebagai " juara antara negeri dalam pendidikan".
Fenomena seperti ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Tidak mengira apa pun strategi, teknik atau kaedah yang guru gunakan keputusan peperiksaan menjadi fokus utama yang dititik beratkan. Natijahnya, kecenderungan yang diberi kepada perkembangan intelek tidak seiring dengan perkembangan lain, khususnya rohani dan emosi.
Kesannya, lahirlah golongan terpelajar tetapi kurang terdidik akhlaknya. Seumpama para intelek yang pakar dalam bidang yang diceburi tetapi kurangnya penghayatan adab yang baik serta tidak menyedari kewujudan Allah yang sentiasa mengawasi segala pemikiran, perbuatan dan perlakuan mereka pada setiap masa dan ketika.
Justeru, tidak hairanlah kewujudan "jenayah kolar putih" sering dipaparkan oleh media massa yang menunjukkan salah laku melibatkan individu-individu terpelajar ini. Sebagai pendidik, kita tidak perlu menuding jari ke arah orang lain atau meletakkan kesalahan kepada sistem pendidikan. Sebaiknya, beri perhatian kepada perkara-perkara yang mampu dan boleh dilakukan untuk membaiki keadaan. Optimumkan usaha untuk mengubah berdasarkan perkara yang mampu dan perlu dilakukan serta berpaksikan kemahuan kita yang kuat.
Berbekalkan elemen-elemen mampu, perlu dan mahu, Insya-Allah kita boleh bersama-sama menyumbang ke arah perubahan yang diimpikan. Walaupun perlahan, tetapi pasti. Ini kerana sebaik-baik perkara yang dilakukan adalah berterusan walaupun sedikit.
Cuba kita lihat di bilik darjah, makmal, kuliah dan lain-lain, di sinilah terkumpulnya tunas-tunas hijau yang bakal tumbuh untuk menyambung tugas generasi terdahulu dalam pelbagai bidang. Ya, di sinilah gelanggang kita! Setiap hari mereka datang dengan harapan mendapat sebanyak mungkin ilmu daripada kita.
Berdasarkan kesedaran tugas bukan sekadar mengajar, tetapi juga mendidik selain menghabiskan sukatan pelajaran, amat wajar bagi kita mengintegrasikan elemen kerohanian dalam setiap isi pelajaran yang diajar. Cuba sedarkan pelajar bahawa ilmu bukan sekadar lulus peperiksaan, tetapi bekalan mencapai kebaikan, kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Ilmu juga merupakan jalan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, membina takwa dan menyedari kewujudan-Nya setiap masa. Ini merupakan kaedah yang berkesan dalam menangani segala bentuk jenayah. " CCTV" Allah ada di mana-mana. Sekiranya perkara ini difahami, disedari dan dihayati oleh anak-anak didik kita nescaya kita akan berjaya menyumbang ke arah menjana generasi cemerlang, bukan sekadar ilmu pengetahuan tetapi juga ketakwaan.
Kita juga boleh menyemai "rasa bertuhan" dalam diri pelajar pada setiap kesempatan. Contohnya seorang pelajar menolong rakannya yang terjatuh. Berilah pujian kerana perbuatan tersebut dan beritahunya walau sekecil mana pun kebajikan yang dilakukan, ia akan dinilai oleh Allah SWT.
Anggaplah setiap ruang dan peluang dalam P&P itu sebagai tempat kita menyemai benih-benih keimanan dan ketakwaan dalam diri anak-anak didik kita. Lakukannya secara bersahaja, istiqamah, tanpa rasa jemu dan putus asa. Biarpun secanggih mana teknologi, keseimbangan perkembangan potensi manusia tidak harus diabaikan. Kegagalan membentuk generasi yang seimbang ini boleh mendatangkan masalah. Ibarat kereta yang bergerak laju, perlu dipastikan penjajaran dan keseimbangan tayarnya bagi mengelakkan kemalangan. Begitu jugalah dengan manusia yang bergerak pantas dalam roda kehidupan, perlu seimbang dari segi potensi insannya untuk mengelakkan "kemalangan" di lebuh raya kehidupan.
Pelajar yang dibangunkan potensi rohaninya akan turut terbangun dari segi emosi, seterusnya menyumbang ke arah perkembangan intelek yang sihat. Ini kerana seseorang itu dapat berfikir dengan baik sekiranya memiliki emosi yang damai. Ketenangan hanya boleh diperoleh dengan mengingati Allah. Firman Allah, maksudnya: "Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang". (Al-Ra'd 13: 28)
Berbekalkan kesedaran mengenai kehadiran Allah setiap masa dalam hati, kita akan merasai rahmat dan kasih sayang-Nya. Ini membuahkan rasa syukur, sabar dan reda dalam diri. Pelajar yang tenang tidak akan menimbulkan masalah disiplin dan menyumbang kepada pengurusan kelas yang baik kerana antara prinsip pedagogi ialah disiplin mendahului pengajaran.
Pelajar yang dibajai dengan sifat syukur akan menghargai guru dan menjaga adab-adab terhadap guru, menjadi penyejuk mata guru sekaligus menyumbang kepada keberkatan ilmu yang ditimba. Pelajar yang kaya dengan sikap sabar pula akan mempunyai daya juang yang tinggi, tidak mudah berputus asa dalam perjuangan mencari ilmu pengetahuan.
Justeru, pelajar yang berdisiplin serta mempunyai sifat syukur dan sabar menatijahkan pelaksanaan P&P yang baik, berkesan dan harmoni. Mengintegrasikan elemen rohani dalam P&P tidak membuang masa, malah ia boleh menjimatkan masa lantaran guru tidak disibukkan dengan masalah disiplin atau menyediakan kem-kem motivasi bagi menyuntik semangat dan daya juang dalam diri pelajar ini kerana jati diri mereka telah dipupuk secara berterusan.
Tamadun yang gemilang hanya akan dibina oleh generasi yang kaya dari segi ilmu dan akhlak. Ia dapat dicapai melalui penghayatan agama yang mantap. Dalam pelaksanaan P&P, potensi intelek dan rohani perlu seiring dibangunkan dengan penuh keikhlasan, istiqamah dan kesedaran oleh setiap warga pendidik. " Sesuatu bangsa tetap hidup selagi akhlaknya tetap baik. Apabila akhlak mereka rosak, musnahlah bangsa tersebut." (Shauqi Bay, Penyair Arab).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan