27 Mei 2013

Muhasabah Terbuka buat Gerakan Islam.-HTM

Umat Islam pernah hidup di bawah naungan Khilafah selama lebih 1300 tahun, bermula dari tegaknya Daulah Islam yang pertama di Madinah sehinggalah kepada keruntuhanDaulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924) di Turki. Selama lebih 13 abad, umat Islam berada di bawah satu payung pemerintahan dan di bawah satu bendera. Umat Islam menjadi umat yang mulia, umat yang terbaik, umat yang disegani kawan dan lawan. Hukum Allah SWT yang penuh keadilan dan keberkatan diterapkan oleh Khalifah dan kebaikannya dirasai oleh segenap lapisan manusia. Peradaban Islam memancarkan cahaya yang bergemerlapan ke seluruh penjuru alam sehingga dunia menjadi terang benderang kerananya. Daulah Khilafah menjadi super power dunia sehingga tidak ada satu kekuatan pun yang dapat menandinginya.

Namun, kafir Barat yang iri hati dan mendendami Islam sejak sekian lama, akhirnya berjaya memasukkan racun berbisa, assabiyyah dan wathaniyyah ke dalam tubuh umat Islam sehingga tubuh yang gagah perkasa itu mengalami kehancuran dari dalam dengan kehancuran yang sangat cepat dan membinasakan. Barat seterusnya berjaya menjajah Daulah Islam, mencerai-beraikan Negara Islam kepada negeri-negeri yang kecil dan lemah dan meletakkan umat Islam dalam keadaan yang cukup terhina. Barat lalu menghapuskan sistem Khilafah dan menghunjamkan ke tanah kaum Muslimin satu sistem baru yang tidak pernah dikenal oleh umat Islam iaitu sistem demokrasi. Barat mengajar umat Islam bahawa sistem demokrasi adalah satu-satunya sistem yang terbaik dan lebih layak untuk umat Islam, berbanding dengan sistem Khilafah yang dikatakan penuh keburukan. Sejak itulah bermulanya era pemerintahan demokrasi di tanah-tanah kaum Muslimin sekali gus menandakan berakhirnya sebuah sistem pemerintahan yang datangnya dari Tuhan manusia dan diganti dengan satu sistem pemerintahan yang datangnya dari akal manusia!

Demokrasi Penghalang Islam

Setelah Barat berjaya menghapuskan Khilafah dan memecah-belahkan negara kaum Muslimin kepada negara-negara kecil yang lemah dengan sempadan bangsa masing-masing, maka sistem Khilafah tidak lagi berjalan di muka bumi dan digantikan dengan sistem demokrasi. Melalui demokrasi, Barat mengajar bahawa kedaulatan itu berada di tangan rakyat (as-siyadah li asy-sya'bi) yang menjadikan suara rakyat sebagai suara keramat di mana rakyat berhak menentukan hukum sendiri menurut apa yang mereka kehendaki. Walhal, Islam mengajar bahawa kedaulatan itu berada di tangan syarak (as-siyadah li asy-syarie) di mana rakyat wajib tunduk kepada hukum syarak dan rakyat tidak boleh (haram) untuk membuat hukum sendiri. Namun, oleh kerana para penguasa kaum Muslimin yang ada adalah boneka Barat dan pada masa yang sama taraf berfikir umat sungguh merosot ketika itu, maka penerapan sistem demokrasi dapat dilakukan oleh Barat dengan mudah.

Barat mengajar umat Islam bagaimana untuk memerintah negara dan membuat undang-undang, berdasarkan akal sendiri. Caranya adalah dengan mengadakan pilihan raya untuk memilih wakil-wakil, di mana wakil-wakil yang menang akan pergi ke Parlimen (dan Dewan Undangan Negeri) dan di sini akan berlakunya proses pelantikan pemimpin (oleh parti yang menang) manakala kesemua wakil diberi hak untuk membuat undang-undang yang (kononnya) dikehendaki oleh rakyat yang mereka wakili. Maka wujudlah bermacam-macam parti, termasuklah parti-parti Islam, yang bersaing untuk mendapatkan kekuasaan melalui cara yang ditetapkan oleh Barat ini. Parti Islam ini tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya telah terjebak ke dalam permainan yang dicipta oleh kuffar Barat. Niat mereka asalnya baik, yakni ingin menegakkan Islam, tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka telah mengikuti jalan yang Barat sediakan.

Dalam permainan demokrasi ini, parti yang mendapat undi majoriti dikira mendapat mandat (dari rakyat) untuk memerintah dan membuat undang-undang. Namun ternyata, setelah mereka menang, sebahagian besar undang-undang yang dibuat bukanlah mengikut kehendak rakyat, sebaliknya mengikut hawa nafsu mereka sendiri, manakala rakyat terus dizalimi dan diperbodohkan. Setelah sekian lama merasa tertindas dan dizalimi oleh para pemimpin yang kononnya memerintah atas kehendak rakyat ini, rakyat akhirnya sedar dan menuntut perubahan. Rakyat bangkit untuk menggantikan pemimpin dan parti yang memerintah dengan parti dan pemimpin yang baru. Malangnya rakyat tidak sedar bahawa tuntutan perubahan mereka masih tetap dilakukan melalui sistem yang sama (demokrasi). Rakyat tidak nampak bahawa sistem demokrasi itu sendirilah yang sebenarnya menjadi penyebab kepada berlakunya kezaliman. Atas usaha untuk menghapuskan kezaliman, maka parti-parti yang ada, termasuklah parti Islam, sanggup melakukan apa sahaja (tetapi masih dalam koridor demokrasi) demi mencapai kemenangan, termasuk bergabung dengan parti kufur dan parti sekular dalam rangka menumbangkan parti pemerintah.

Benar bahawa kita semua tidak mahukan kezaliman dan ia wajib dihapuskan. Sayangnya, makna kezaliman telah disempit dan disalahertikan. Allah SWT berfirman, "Barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim" [TMQ al-Ma'idah (5):45]. Ayat ini menjelaskan maksud kezaliman iaitu apabila manusia tidak menerapkan hukum Allah SWT. Ini bermakna, apa jua hukum (undang-undang) yang digubal oleh manusia di bawah sistem demokrasi, adalah kezaliman! Sistem demokrasi itu sendiri yang tidak berasal dari wahyu, yang jelas berasal dari kuffar Barat dan bertentangan dengan Islam, adalah sebuah kezaliman! Dengan kata lain, mengambil sistem demokrasi dan apa sahaja yang lahir dari rahim sistem kufur ini, segala-galanya adalah zalim kerana ia berlawanan dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT. Oleh itu, sekiranya kita ingin menghapuskan kezaliman, maka sistem demokrasi yang kufur inilah yang sebenarnya perlu dihapuskan kerana sistem inilah yang merupakan punca dan sumber kepada segala kezaliman! Malangnya gerakan Islam tidak sedar akan hal ini kerana mereka telah terbius dan terpukau dengan 'keindahan' demokrasi!

Gerakan Islam tidak sedar bahawa demokrasilah yang selama ini menjadi penghalang kepada tegaknya agama Allah. Demokrasilah yang selama ini menyebabkan umat Islam berpecah belah. Pilihan raya yang ada di dalam sistem demokrasi begitu ketara di dalam memporak-perandakan umat Islam di dalam sesebuah negara. Selagi umat Islam mengambil demokrasi, selagi itulah mereka akan sentiasa terpecah-belah, lemah dan terhina. Selagi wujudnya demokrasi, selagi itulah umat Islam tidak akan bersatu dan sempadan palsu negara bangsa akan terus wujud. Palestin tidak akan dibebaskan oleh pemerintah yang menganut demokrasi. Umat Islam di Myanmar akan terus dibunuh dan tidak akan dibebaskan oleh pemerintah negara demokrasi. Pemimpin umat Islam yang demokratik akan terus tunduk kepada Amerika Syarikat dan akan terus berkhidmat kepada PBB. Pendek kata, perpecahan, penderitaan dan kehinaan akan terus menimpa umat Islam selagi mana mereka berpegang teguh kepada demokrasi.

Justeru, gerakan Islam sepatutnya sedar bahawa jika mereka ingin menghapuskan kezaliman dan ingin kembali kepada keadilan, kemuliaan, penyatuan dan kerahmatan daripada Allah SWT, maka sistem demokrasi inilah yang mesti dihapuskan terlebih dahulu. Sistem demokrasi adalah sistem kufur yang dibawa masuk ke negara umat Islam bagi menghalang penegakan agama Allah. Parti-parti yang berjuang dalam demokrasi dan tunduk kepada kehendak rakyat (bukan kehendak Allah), sesuai dengan falsafah demokrasi, sudah pasti tidak akan menerapkan Islam. Kilang arak, judi dan segala pusat maksiat akan terus subur di dalam negara demokrasi, tidak kira siapa pemerintahnya sekalipun. Semulia mana sekalipun peribadi seseorang pemimpin, dia akan tetap terhina apabila menjadi pemimpin dalam sistem yang buruk ini. Sebersih mana sekalipun peribadi seseorang ulama, kekotoran akan tetap terpalit di wajah dan hatinya apabila ia menceburkan dirinya ke dalam sistem yang kotor ini. Sebaik mana sekalipun keadaan hidup di bawah sistem demokrasi, sungguh tidak ada gunanya kerana ia berlawanan dengan Islam. Seindah mana sekalipun yang tampak pada sistem demokrasi, ia tetap merupakan sebuah sistem kufur!

Tinggalkanlah Sistem Kufur Itu

Wahai para pejuang Islam yang ikhlas! Kalian sudah lama berjuang tanpa mengenal penat dan lelah. Kalian sanggup berkorban apa sahaja di dalam perjuangan ini. Kalian telah menghabiskan banyak masa, tenaga, wang, harta benda dan hampir segala-galanya yang kalian ada, demi memastikan perjuangan kalian mencapai kejayaan. Kalian juga telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran, dipukul, ditangkap, diheret ke mahkamah dan ada yang dipenjarakan. Pendek kata, bukan sahaja harta dan badan, nyawa pun kalian sanggup jadikan sebagai galang ganti di dalam perjuangan ini. Sesungguhnya apa jua yang kalian lakukan dengan niat yang ikhlas dan tindakan/jalan yang menepati kehendak Allah SWT, maka kalian berhak mendapat ganjaran di sisiNya. Namun, jika niatnya betul tetapi tindakan tidak menepati kehendakNya, ia akan tetap menghasilkan kesalahan. Contohnya, niat yang ikhlas ingin berpuasa tetapi dilakukan pada hari raya, maka hal ini tetap menyalahi perintahNya. Justeru, niat yang ikhlas untuk menegakkan agama Allah hendaklah diikuti dengan jalan yang benar yang ditetapkan oleh Allah juga.

Saudaraku para pejuang Islam sekalian! Kalian telah lama bergelumang dan berjuang di jalan demokrasi. Kalian memasuki pilihan raya di dalam sistem kufur ini dan mengharapkan dapat meraih kemenangan dan pemerintahan dalam rangka untuk menegakkan Islam. Kalian mengerahkan seluruh tenaga dan kekuatan demi mencapai cita-cita. Kalian berjaya mengerahkan para pemuda, wanita dan orang-orang tua di jalan ini. Sudah puluhan tahun kalian istiqamah di dalamnya walaupun kalian tahu yang kalian telah ditipu sejak awal dan terus ditipu dan terus ditipu dan akan terus ditipu. Akhirnya, apa yang kalian dapat ialah kekalahan demi kekalahan dan jika kalian menang sekalipun, Islam tetap tidak dapat ditegakkan melalui jalan yang kalian ambil itu. Semua ini menyebabkan semangat dan kekuatan yang luar biasa yang kalian miliki itu terbuang begitu sahaja. Walaupun kalian boleh mendakwa bahawa kalian telah mencapai sedikit kemenangan, namun persoalannya, adakah Islam berjaya ditegakkan dengan sedikit kemenangan yang dicapai itu? Jawablah persoalan ini dengan hati yang ikhlas dan terbuka, bukan dengan perasaan benci dan dendam.

Wahai gerakan Islam! Kenapakah kalian terus kalah, manakala musuh terus menang? Tidakkah kalian nampak bahawa hal ini berlaku kerana kalian sesungguhnya berjuang di jalan musuh? Kalian mengambil sistem demokrasi yang datangnya dari musuh Allah. Kalian bertanding di gelanggang yang dibuat oleh musuh. Kalian menggunakan senjata pihak musuh. Kalian diadili oleh pengadil yang berpihak kepada pihak musuh dan kalian mengharapkan yang pengadil ini berlaku adil. Dengan semua ini, apakah kalian merasakan yang pihak musuh akan memberikan kemenangan kepada kalian? Sekuat mana sekalipun kalian, namun apabila kalian telah masuk ke dalam perangkap musuh, maka kalian tidak akan dapat berbuat apa-apa!

Kalian bersungut dan melakukan protes, baik sebelum mahupun sesudah setiap kali pilihan raya. Kalian menuntut keadilan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya. Kalian menuntut agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja, Suruhanjaya Siasatan Bebas dan macam-macam lagi. Tidakkah kalian nampak bahawa berapa banyak dari tuntutan kalian itu tidak pernah dipenuhi? Jika dipenuhi sekalipun, tidakkah kalian sedar yang siapa pun yang dilantik menganggotai Suruhanjaya-suruhanjaya tersebut adalah terdiri daripada orang-orang yang tidak pernah menyebelahi kalian? Tidakkah kalian nampak yang jika tuntutan kalian dilayan sekalipun, kalian tidak pernah menang? Tidakkah kalian nampak bahawa sejak dulu hingga kini, pilihan raya tidak pernah dan tidak dapat merubah keburukan kepada kebaikan? Hal ini tidak lain kerana pilihan raya dalam sistem demokrasi bukanlah didesign untuk menukar sistem kufur kepada sistem Islam. Justeru, apakah kalian masih menaruh harapan dan berpendapat bahawa demokrasi dan pilihan raya adalah jalan terbaik dalam melakukan perubahan atau jalan terbaik untuk mendapatkan kekuasaan?

Bukalah matamu wahai para pejuang Islam! Sesungguhnya tidak ada kebaikan sedikit pun di dalam sistem demokrasi, walaupun kalian menyangka bahawa ada kebaikan di dalamnya. Ini kerana, sistem ini adalah bertentangan dengan Islam. Mana mungkin adanya kebaikan apabila sesuatu itu menyalahi Islam? Mana mungkin ada kebaikan apabila berjuang meraih pemerintahan melalui jalan yang bertentangan dengan wahyu? PRU-13, sebagaimana PRU-PRU sebelum ini, tidak pernah membawa kebaikan kepada umat Islam. Malah, pilihan raya itu sebenarnya menjadi pentas di mana umat Islam bercakaran sesama sendiri sejak dulu. Segala bentuk kemaksiatan seperti penipuan, fitnah, makian, hasutan, rasuah, pergaduhan  dan pelbagai lagi dapat disaksikan setiap kali pilihan raya. Parti mana pun yang menang , baik di peringkat persekutuan mahupun negeri, tidak pernah menegakkan dan tidak pernah berjaya menegakkan hududullah. Pilihan raya dalam sistem demokrasi mungkin sahaja dapat menukar wajah para pemimpin tetapi tidak pernah dan sekali-kali tidak akan dapat menukar wajah kufur demokrasi kepada wajah Islam!

Sedarlah wahai saudaraku! Sesungguhnya siapa jua yang memilih demokrasi, bermakna dia telah memilih untuk meninggalkan Islam. Dia telah memilih jalan yang diredhai oleh Yahudi dan Nasara. Dia telah memilih agar dirinya dan negaranya diatur oleh kitab Lord Reid, bukannya oleh Kitab Allah. Sebagai gerakan Islam dengan bilangan ahli yang ramai, kalian sesungguhnya mempunyai kekuatan untuk menegakkan agama Allah, tetapi kalian telah mensia-siakan kekuatan itu apabila kalian mengambil demokrasi. Kekuatan kalian berjaya dilumpuhkan dengan mudah oleh pihak musuh, kerana kalian telah mengambil racun yang diberikan oleh musuh dan kalian dengan sukarela dan dengan bersungguh-sungguh menelannya.

Khatimah

Wahai para pejuang Islam yang ikhlas! Kalian sanggup dan kalian telah melakukan segala-galanya demi demokrasi hatta segala harta, badan dan nyawa sanggup kalian korbankan! Namun kalian tidak pernah mencapai apa yang kalian mahukan. Tidak cukupkah semua itu menjadi pengajaran buat kalian? Tidakkah kalian terfikir bahawa satu-satunya perkara yang belum kalian lakukan ialah meninggalkan demokrasi dan menegakkan Khilafah? HizbutTahrir dengan ini ingin mengingatkan dan menyampaikan berita gembira kepada kalian. HizbutTahrir ingin mengingatkan kalian bahawa demokrasi itu adalah sistem kufur dan haram untuk diambil. Manakala berdasarkan nas-nas yang qath'ie lagi jelas, menegakkan Khilafah itu adalah wajib. Maka kalian wajib meninggalkan keharaman dan menunaikan kewajipan ini tanpa sebarang alasan. HizbutTahrir ingin mengingatkan kalian bahawa Islam tidak akan tegak dengan demokrasi tetapi Insya Allah Islam akan pasti tegak dengan Khilafah. HizbutTahrir ingin menyampaikan berita gembira bahawa berdirinya semula Khilafah itu adalah janji Allah dan janji Allah itu pasti berlaku. Sesungguhnya Khilafah itu sudah sangat hampir, dengan izin Allah. Marilah bergabung bersama para syababHizbutTahrir yang sedang berjuang menegakkan Khilafah di seluruh dunia. Marilah berganding bahu untuk merealisasi penegakan Khilafah di samping sentiasa menadah tangan memohon kepada Allah Azza wa Jalla agar kita sempat menyambut ketibaannya dan bernaung di bawahnya. Amin ya Rabbal alamin.

19 Mei 2013

Strategi Amerika Menghadapi Kebangkitan Islam

Buku Bertajuk Civil Democratic Islam: Partners, Resources, Strategies ini adalah kajian CIA yang dikeluarkan melalui agensi dibawahnya National Security Research Division (RAND).

Sememangnyaa RAND telah sekian lama menjalankan kajian terhadap umat Islam dan merupakan think tank bagi tindakan strategic US terutama bagi menghadapi kebangkitan Islam. Buku Civil Democratic Islam (CDI) ini boleh dikatakan antara kertas kerja yang paling progresif pernah dikeluarkan oleh RAND. Melihat tajuknya serba sedikit telah menggambarkan apa kandungan intipatinya.

Dalam pendahuluan bagi buku ini, tanpa selindung penulis mengumumkan bahawa musuh utama dunia (baca: US) adalah Islam yang akan menyebabkan perubahan ideology baru dunia. Maka buku ini adalah strategi yang perlu diambil US untuk menghalang kebangkitan ini. CDI mengklasifikasikan ummat Islam kepada 4 golongan yang mana setiap golongan ini mempunyai penerimaan yang berbeza terhadap nilai-nilai barat dan strategi menghadapi mereka juga berbeza.

Golongan pertama, adalah golongan fundamentalis. Ciri utama golongan fundamentalis adalah mereka sama sekali menolak demokrasi, hak asasi manusia dan seluruh nilai-nilai barat. Inilah musuh US yang tidak boleh bertolak-ansur. Mereka secara spesifik merujuk kepada gerakan yang menolak sama sekali nilai barat seperti demkorasi, menuju menegakkan khilafah seperti  gerakan-gerakan jihad sperti al-Qaeda,Taliban,Abu Sayyaf,Jemaah Islamiyah, Hizbut Tahrir dan sebagainya serta di label sebagai terrorist.

Golongan kedua, adalah golongan tradisionalis. Golongan tradisionalis ini lebih menumpukan soal kerohanian dan keilmuan. Walaupun ada yang terlibat dengan politik, tetapi pemikiran mereka lebih tertumpu soal kerohanian. Golongan yang dikaitkan adalah seperti golongan sufi, ahli kalam dan wahabi dan ulama-ulama yang lebih cenderung berbahas ilmu.

Golongan ketiga, adalah golongan modenis.  Golongan modenis ini mereka mahu melihat Islam menjadi sebahagian dari kemajuan global. Mereka memberi nafas Islam bagi nilai-nilai barat seperti demokrasi, hak asasi manusia, perekonomian dan nilai-nilai lain. Ia merujuk kepada sesetengah  ulama' dan pemikir Islam hari ini.

Golongan yang keempat, adalah golongan secular yang telah mengikut acuan barat termasuk pemerintah yang ada dan tokoh-tokoh pemikir mereka.

Jika kita teliti,US menjadikan sejauh mana  penerimaan atau penolakan ummat Islam kepada nilai-nilai barat seperti demokrasi, hak asasi manusia, perundangan, ekonomi dan nilai-nilau utama lain untuk mengklasifikasikan ummat Islam. Kita tidak terperangkap dengan klasifikasi ini kerana sebenarnya mereka mengklasifikasikan ummat Islam untuk kepentingan mereka menghadapi kebangkitan Islam. Dari situ mereka menetapkan kaedah dan strategi berbeza,  bergantung kepada bentuk pemikiran ummat Islam.

Dalam bab yang kedua, dibahaskan strategi untuk mencari 'partner' untuk apa yang mereka sebut menerima demokrasi Islam. Dalam perenggan yang pertama digariskan bahawa, mempromosi demokrasi dalam dunia Islam dan membantu perlaksanaannya adalah suatu tindakan jangka panjang untuk usaha menentang kebangkitan Islam. Dari penulisan buku ini, mereka seringkali menegaskan bahawa sokongan yang sekian lama diberikan kepada golongan sekular- golongan pemerintah dan pemikir sekular- bukan lagi tindakan yang semestinya tepat untuk keadaan geopolitik hari ini. Ini kerana, kebanyakan orang Islam sudah menyedari maneuver golongan ini dan tidak menjadikan mereka sebagai rujukan  dalam masalah politik mahupun agama.

Oleh itu RAND mencadangkan, untuk memberi sokongan, peluang-peluang muncul di akhbar, ruang untuk berpolitik, memberikan pendapat, ruang-ruang melalui NGO dan penonjolan bagi golongan Islam yang modenis. Ini kerana golongan modenis mereka walaupun tidak menerima demokrasi barat sepenuhnya, tetapi mereka masih tetap menerima demokrasi cuma dalam kerangka yang mereka anggap Islami. Maka mereka perlu diberikan peluang bergeraka dalam politik demokrasi dan sokongan atas-atas tekanan golongan sekular terhadap mereka. Pemimpin dan tokoh-tokoh golongan Islam modenis perlu diberi penghormatan dan pengiktirafan. 

Manakala golongan tradisionalis, mereka kurang membahaskan masalah politik. Maka kebiasaannya golongan tradisionalis tidak mempunyai pandangan yang khusus tentang demokrasi dan konsep politik lain. Maka golongan ini perlu digunakan untuk menyerang pandangan golongan fundamentalis yang menolak nilai barat secara keseluruhan. Ia dengan cara memberikan ruang kepada ulama' seperti ini mengalihkan pandangan ummat, dan menimbulkan  keraguan ummat terhadap golongan fundamentalis. Ini kerana golongan tradisionalis biasa mempunyai pengaruh yang kuat dalam ummat, menguasai madrasah-madrasah dan institusi pendidikan tradisional. Manakala bagi ulama' tradisionalis yang boleh menerima nilai barat walau secara selektif, mereka ini wajar diberi ruang untuk kedepan. Maka dengan ini nilai-nilai barat seperti demokrasi, hak asasi manusia, pengagihan kuasa, perundangan dan ekonomi boleh disemai dalam pemikiran ummat Islam. Dalam masalah demokrasi dan penerimaan nilai barat, golongan fundamentalis digariskan RAND sebagai musuh utama yang tidak boleh dikompromi dan sememangnya tidak boleh dibawa berkompromi.

Dalam bab ketiga, RAND menerangkan strategi-strategi untuk menghadapi golongan-golongan ini, baik samada berkawan dengan golongan ini, mengadu-domba mereka agar berseteru mahupun secara langsung menyerang mereka. Secara umumnya, golongan Islam modenis hendaklah diberi peluang dan sokongan politik, memberi pandangan Islam kontemporari. Ini kerana golongan Islam modenis hari ini telah dapat menarik sokongan rakyat berbanding pemerintah sekular. Sokongan kepada golongan Islam modenis ini boleh diberi secara langsung atau tidak secara langsung selagi dapat dipastikan kepercayaan ummat tidak terhakis. Benarkan mereka menyebarkan pandangan-pandangan mereka. Manakala sokongan kepada kerajaan sekular hanya diberi berdasarkan kes per kes basis. Ini kerana, banyak kerajaan sekular yang bersifat nasionalis hingga mengabaikan kepentingan US. Oleh itu, sokongan kepada mereka bergantung kes per kes basis. Bagi golongan tradisionalis, ulama'-ulama' mereka  perlu digunakan untuk menyerang golongan fundamentalis. Ini merupakan golongan yang terbaik yang perlu digunakan untuk menyerang fundamentalis kerana golongan ini mempunyai kemuliaan yang tinggi dikacamata ummat.

Keupayaan mereka membahas agama perlu digunakan, untuk menyerang pemikiran-pemikiran politik golongan fundamentalis. Secara spesifik disebut, bahawa golongan tradisionalis ini wajar disokong untuk mewujudkan perseteruan sesama Islam dan secara spesifik disebut mereka ini  ajar diberi dana untuk membina sekolah-sekolah untuk menyebarkan fahaman mereka. Secara jelas diberitahu, segala kerjasama antara golongan tradisionalis dengan golongan  fundamentalisme mestilah dihalang dan sepatutnya diwujudkan permusuhan sesame mereka. Bagi menghadapi golongan yang mereka labelkan sebagai fundamentalis, digariskan agar jangan memberi promosi, serang nilai-nilai yang dibawa, hilangkan kepercayaan ummat kepada mereka, wujudkan gambaran mereka ekstrimis dan tidak mampu membawa kemakmuran. Tidak ada  sikap lain kepada golongan fundamentalis kecuali menentang dan menghancurkan mereka. Itulah ringkasan apa yang digariskan oleh RAND  untuk US menghadapi kebangkitan Islam. Mereka melabelkan kita, untuk memudahkan mereka menentang kebangkitan Islam, walhal hakikatnya tidak begitu. Kita semua bukan fundamentalis, tradisionalis, modenis atau sekular. Cuma RAND mengklasifikasikan kita mengikut sejauh mana pnerimaan kita terhadap nilai-nilai US dan dari  itu diatur strategi yang berbeza.

Ramai kaum Muslimin yg tidak menyedari hal ini dan tidak sedar mereka bergerak dalam acuan yang sememangnya diatur oleh CIA. Inilah  pentingnya kaum Muslimin terutama gerakan-gerakan Islam mempunyai kesedaran politik yang sangat jernih lagi tajam. Semoga ia membuka minda politik kita untuk melihat dunia dengan  kacamaata politik Islam agar dengan itu kita  dapat bergerak menuju kebangkitan Islam. InsyaALLAH..
Download buku ini :

01 Mei 2013

Salam: Penguat Ukhuwah

Sesungguhnya salah satu daripada sifat orang mukmin itu adalah mereka saling mencintai antara satu sama lain kerana Allah. Antara cara untuk menzahirkan rasa cinta tersebut adalah dengan menyebarkan salam antara satu sama lain. Pengucapan salam adalah sesuatu yang sinonim bagi umat Islam dan ia sudah menjadi kebiasaan untuk dilafazkan apabila ia bertemu dan berpisah sesama Muslim, baik sama ada ia memahami ataupun tidak lafaz salam tersebut.

Perkataan salam dalam bahasa Arab bererti kesejahteraan, keamanan, kedamaian dan keselamatan. Lafaz salam bagi orang Mukmin adalah assalamu’alaikum (salam sejahtera ke atas kalian), atau assalamu’alaikum warahmatullah (salam sejahtera ke atas kalian dan dengan rahmat Allah) ataupun assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh (salam sejahtera ke atas kalian dan dengan rahmat serta berkat Allah). Biar pendek ataupun panjang ucapan salam yang diberikan, kesemuanya memberikan makna yang sama kepada si penerima salam, yakni suatu doa yang diberikan daripada seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain. Tidak ada satu pun agama di dunia ini selain Islam yang mengajar umatnya untuk memanifestasikan syiar dan  kecintaan sesama saudara seakidahnya melalui ucapan doa. 

Dalil-dalil tentang perintah dan keutamaan salam

Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Maka apabila kamu memasuki ke rumah-rumah (yang tidak berpenghuni), maka ucapkanlah salam kepada diri kamu sendiri (sebagai) penghormatan daripada sisi Allah yang dipenuhi keberkatan dan kebaikan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kalian, supaya kalian memahaminya.” [TMQ An-Nur (24) : 61]

Ayat di atas memerintahkan agar salam diberi sebagai tanda penghormatan walaupun sesuatu rumah atau tempat itu tidak berpenghuni. Selain itu, perintah yang lebih tegas dapat dilihat dalam surah yang sama iaitu:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki ke rumah-rumah (yang) bukan rumah kamu, sehinggalah kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kalian supaya kamu mengambil pengajaran.”
 [TMQ An-Nur (24): 27]

Terdapat juga  hadis-hadis daripada Rasulullah saw yang menerangkan tentang fadhilat dan kebaikan dalam menyebarkan salam.  Hadis daripada Abdullah bin Salam, beliau mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam di antara kalian, berikanlah makanan, sambunglah tali silaturahim dan solatlah ketika manusia sedang tidur pada malam hari, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.” [HR Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad]

Rasulullah saw juga bersabda:

“Kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman,dan  tidaklah kalian beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan  suatu perbuatan yang apabila kalian mengerjakannya, nescaya kalian akan saling mencintai?  Sebarkanlah salam di antara kalian.” [HR Muslim]

Selain hadis-hadis yang telah disebutkan, terdapat sebuah hadis yang menerangkan tentang ganjaran bagi setiap ucapan salam yang diberikan. Hadis ini sekaligus mengajar kita tentang bagaimana ucapan salam itu sepatutnya diberikan kepada orang mukmin. Imran bin Hussain berkata:

“Ada seorang lelaki  datang kepada Nabi seraya mengucapkan assalamu ‘alaikum. Maka Nabi menjawabnya dan orang itu kemudian duduk. Nabi berkata, “dia mendapat sepuluh pahala.” Kemudian datang orang yang lain mengucapkan assalamu ‘alaikum warahmatullah. Maka Nabi menjawabnya dan berkata, “dua puluh pahala baginya.” Kemudian datang seorang lagi seraya mengucapkan assalamu ’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Nabi pun menjawabnya dan berkata, “Dia mendapat tiga puluh pahala.” [HR. Abu Dawud, Tirmidzi dan Ahmad]

Adab memberi salam



Antara adab-adab dalam memberi salam adalah:


1. Mendahului dalam memberi salam

“Seutama-utama manusia bagi Allah adalah yang terlebih dahulu dalam memberi salam” [HR Abu Dawud]

Walaupun memberikan salam itu hukumnya sunat  berbanding menjawab salam, tetapi hadis di atas menunjukkan  keutamaan bagi orang yang berlumba-lumba dalam memberi salam dan bukannya bersikap menanti salam itu diberikan kepadanya. Sebagai balasan, Allah SWT meletakkan mereka sebagai manusia yang utama di sisiNya.

2. Menjawab dengan ucapan yang sama atau lebih baik

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu (salam) penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah ia (dengan  yang sepadan dengannya). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung setiap sesuatu.” [TMQ An-Nisa’ (4) : 86]

Jawablah salam dengan ucapan yang lebih baik sebagaimana ucapan salam yang telah disebutkan. Bahkan jawablah dengan kalimah yang paling sempurna sebagai sikap mencari keutamaan dan mencari kebaikan.

3. Mengikut turutan yang betul

Rasulullah saw bersabda:

“Hendaklah orang yang berkenderaan memberikan salam kepada orang yang yang berjalan. Yang berjalan kepada yang duduk, yang sedikit kepada yang ramai (dan hendaklah yang muda kepada yang lebih tua).”  [HR Bukhari dan Muslim]

4. Pada kadar suara yang secukupnya

Al-Miqdad ra biasa menyediakan susu untuk Rasulullah. Maka Rasulullah datang pada waktu malam  lalu beliau memberi salam dengan perlahan supaya tidak mengejutkan orang yang sedang  tidur, dan cukup didengari oleh mereka yang terjaga. Dan beliau mengucapkan salam sebagaimana biasa beliau mengucapkan salam. [HR. Muslim]

Oleh itu adalah tidak wajar bagi kita menjerit-jerit dalam memberi salam sehingga mengganggu orang yang sedang tidur ataupun memberi salam terlalu perlahan sehingga tidak didengari langsung bagi orang yang berjaga. Lakukanlah pada kadar yang secukupnya agar didengari dan pada masa yang sama tidak menyakiti sesiapa. 

5. Tidak menyebut ‘alaikassalam

Ucapan ‘alaikassalam adalah bagi orang yang telah meninggal. Ini berdasarkan hadis Nabi yang berbunyi:

“Jangan berkata ‘alaikassalam kerana ‘alaikassalam itu merupakan salam bagi orang mati” [HR Abu Dawud dan Tirmizi]

Renungan

Ucapan salam mungkin sesuatu yang lumrah bagi kita. Ia merupakan sunnah yang ringan namun berat pahalanya di sisi Allah. Amalan ini merupakan penjalin ukhuwwah sesama Mukmin dan merupakan pembuka bicara bagi yang belum mengenali. Namun selama kita hidup, berapa banyakkah salam yang telah kita sebarkan baik kepada yang dikenali mahupun yang asing? Marilah kita merenung sebuah atsar tentang sahabat Rasulullah, Abdullah bin Umar ra:

Daripada At-Tufail bin Ubay bin Ka`ab, bahawasanya ia datang ke tempat Abdullah bin Umar kemudian mereka pergi bersama-sama ke pasar.  Tufail berkata:

“Apabila kami berada di pasar, maka setiap kali kami melewati tukang jual baju, orang yang menjual barang dagangannya, orang miskin dan bahkan melewati sesiapa pun, Abdullah pasti mengucapkan salam kepadanya.”  At-Tufail berkata:  ”Suatu hari saya datang ke tempat Abdullah bin Umar kemudian dia mengajak saya ke pasar.  Maka saya berkata kepadanya,  “Apa yang akan kamu buat di pasar nanti kerana kamu tidak membeli sesuatu apapun, tidak juga mencari sesuatu, tidak akan menawar(menjual)  sesuatu dan tidak juga duduk-duduk di pasar?  Lebih baik kita berbincang-bincang di sini sahaja.”  Abdullah menjawab,  “Wahai Abu Bathn (kerana At-Tufail mempunyai perut yang besar), kita akan ke pasar untuk menyebarkan salam kepada sesiapa yang bertemu dengan kita.”
 [Riwayat Imam Malik di dalam kitabnya al-Muwatta’ dengan sanad yang sahih]

Semoga kita beroleh kebaikan sebagai manusia yang utama di sisi Allah dengan menyebarkan salam sebagaimana Abdullah bin Umar. Wallahu a’la

Manifesto Islam Untuk Semua

Sumber: http://www.mykhilafah.com