Perkataan salam dalam bahasa Arab bererti kesejahteraan, keamanan, kedamaian dan keselamatan. Lafaz salam bagi orang Mukmin adalah assalamu’alaikum (salam sejahtera ke atas kalian), atau assalamu’alaikum warahmatullah (salam sejahtera ke atas kalian dan dengan rahmat Allah) ataupun assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh (salam sejahtera ke atas kalian dan dengan rahmat serta berkat Allah). Biar pendek ataupun panjang ucapan salam yang diberikan, kesemuanya memberikan makna yang sama kepada si penerima salam, yakni suatu doa yang diberikan daripada seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain. Tidak ada satu pun agama di dunia ini selain Islam yang mengajar umatnya untuk memanifestasikan syiar dan kecintaan sesama saudara seakidahnya melalui ucapan doa.
Dalil-dalil tentang perintah dan keutamaan salam
Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Maka apabila kamu memasuki ke rumah-rumah (yang tidak berpenghuni), maka ucapkanlah salam kepada diri kamu sendiri (sebagai) penghormatan daripada sisi Allah yang dipenuhi keberkatan dan kebaikan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kalian, supaya kalian memahaminya.” [TMQ An-Nur (24) : 61]
Ayat di atas memerintahkan agar salam diberi sebagai tanda penghormatan walaupun sesuatu rumah atau tempat itu tidak berpenghuni. Selain itu, perintah yang lebih tegas dapat dilihat dalam surah yang sama iaitu:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki ke rumah-rumah (yang) bukan rumah kamu, sehinggalah kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kalian supaya kamu mengambil pengajaran.” [TMQ An-Nur (24): 27]
Terdapat juga hadis-hadis daripada Rasulullah saw yang menerangkan tentang fadhilat dan kebaikan dalam menyebarkan salam. Hadis daripada Abdullah bin Salam, beliau mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam di antara kalian, berikanlah makanan, sambunglah tali silaturahim dan solatlah ketika manusia sedang tidur pada malam hari, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.” [HR Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad]
Rasulullah saw juga bersabda:
“Kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman,dan tidaklah kalian beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan suatu perbuatan yang apabila kalian mengerjakannya, nescaya kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.” [HR Muslim]
Selain hadis-hadis yang telah disebutkan, terdapat sebuah hadis yang menerangkan tentang ganjaran bagi setiap ucapan salam yang diberikan. Hadis ini sekaligus mengajar kita tentang bagaimana ucapan salam itu sepatutnya diberikan kepada orang mukmin. Imran bin Hussain berkata:
“Ada seorang lelaki datang kepada Nabi seraya mengucapkan assalamu ‘alaikum. Maka Nabi menjawabnya dan orang itu kemudian duduk. Nabi berkata, “dia mendapat sepuluh pahala.” Kemudian datang orang yang lain mengucapkan assalamu ‘alaikum warahmatullah. Maka Nabi menjawabnya dan berkata, “dua puluh pahala baginya.” Kemudian datang seorang lagi seraya mengucapkan assalamu ’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Nabi pun menjawabnya dan berkata, “Dia mendapat tiga puluh pahala.” [HR. Abu Dawud, Tirmidzi dan Ahmad]
Adab memberi salam
1. Mendahului dalam memberi salam
“Seutama-utama manusia bagi Allah adalah yang terlebih dahulu dalam memberi salam” [HR Abu Dawud]
Walaupun memberikan salam itu hukumnya sunat berbanding menjawab salam, tetapi hadis di atas menunjukkan keutamaan bagi orang yang berlumba-lumba dalam memberi salam dan bukannya bersikap menanti salam itu diberikan kepadanya. Sebagai balasan, Allah SWT meletakkan mereka sebagai manusia yang utama di sisiNya.
2. Menjawab dengan ucapan yang sama atau lebih baik
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu (salam) penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah ia (dengan yang sepadan dengannya). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung setiap sesuatu.” [TMQ An-Nisa’ (4) : 86]
Jawablah salam dengan ucapan yang lebih baik sebagaimana ucapan salam yang telah disebutkan. Bahkan jawablah dengan kalimah yang paling sempurna sebagai sikap mencari keutamaan dan mencari kebaikan.
3. Mengikut turutan yang betul
Rasulullah saw bersabda:
“Hendaklah orang yang berkenderaan memberikan salam kepada orang yang yang berjalan. Yang berjalan kepada yang duduk, yang sedikit kepada yang ramai (dan hendaklah yang muda kepada yang lebih tua).” [HR Bukhari dan Muslim]
4. Pada kadar suara yang secukupnya
Al-Miqdad ra biasa menyediakan susu untuk Rasulullah. Maka Rasulullah datang pada waktu malam lalu beliau memberi salam dengan perlahan supaya tidak mengejutkan orang yang sedang tidur, dan cukup didengari oleh mereka yang terjaga. Dan beliau mengucapkan salam sebagaimana biasa beliau mengucapkan salam. [HR. Muslim]
Oleh itu adalah tidak wajar bagi kita menjerit-jerit dalam memberi salam sehingga mengganggu orang yang sedang tidur ataupun memberi salam terlalu perlahan sehingga tidak didengari langsung bagi orang yang berjaga. Lakukanlah pada kadar yang secukupnya agar didengari dan pada masa yang sama tidak menyakiti sesiapa.
5. Tidak menyebut ‘alaikassalam
Ucapan ‘alaikassalam adalah bagi orang yang telah meninggal. Ini berdasarkan hadis Nabi yang berbunyi:
“Jangan berkata ‘alaikassalam kerana ‘alaikassalam itu merupakan salam bagi orang mati” [HR Abu Dawud dan Tirmizi]
Renungan
Ucapan salam mungkin sesuatu yang lumrah bagi kita. Ia merupakan sunnah yang ringan namun berat pahalanya di sisi Allah. Amalan ini merupakan penjalin ukhuwwah sesama Mukmin dan merupakan pembuka bicara bagi yang belum mengenali. Namun selama kita hidup, berapa banyakkah salam yang telah kita sebarkan baik kepada yang dikenali mahupun yang asing? Marilah kita merenung sebuah atsar tentang sahabat Rasulullah, Abdullah bin Umar ra:
Daripada At-Tufail bin Ubay bin Ka`ab, bahawasanya ia datang ke tempat Abdullah bin Umar kemudian mereka pergi bersama-sama ke pasar. Tufail berkata:
“Apabila kami berada di pasar, maka setiap kali kami melewati tukang jual baju, orang yang menjual barang dagangannya, orang miskin dan bahkan melewati sesiapa pun, Abdullah pasti mengucapkan salam kepadanya.” At-Tufail berkata: ”Suatu hari saya datang ke tempat Abdullah bin Umar kemudian dia mengajak saya ke pasar. Maka saya berkata kepadanya, “Apa yang akan kamu buat di pasar nanti kerana kamu tidak membeli sesuatu apapun, tidak juga mencari sesuatu, tidak akan menawar(menjual) sesuatu dan tidak juga duduk-duduk di pasar? Lebih baik kita berbincang-bincang di sini sahaja.” Abdullah menjawab, “Wahai Abu Bathn (kerana At-Tufail mempunyai perut yang besar), kita akan ke pasar untuk menyebarkan salam kepada sesiapa yang bertemu dengan kita.” [Riwayat Imam Malik di dalam kitabnya al-Muwatta’ dengan sanad yang sahih]
Semoga kita beroleh kebaikan sebagai manusia yang utama di sisi Allah dengan menyebarkan salam sebagaimana Abdullah bin Umar. Wallahu a’la
Tiada ulasan:
Catat Ulasan