31 Mac 2014

GRANADA: Tragedi berdarah 1st April ?

APABILA disebut Eropah, majoriti dalam fikiran menggambarkan ia merupakan satu negara yang penghuninya cuma terdiri daripada warga Barat. Mungkin tidak terlintas langsung untuk menjengah secara lebih mendalam berhubung asal usulnya.

Tetapi ketahuilah, di sana ada fakta sejarah iaitu di Eropah pernah terbinanya negara Islam yang paling kuat di dunia. Salah satu daripada negara di Eropah yang memiliki khazanah Islam yang terkaya adalah di Andalusia atau nama sekarangnya Sepanyol.

Nama Andalusia diambil sempena istilah bahasa Arab, Al Andalus, merujuk kepada bahagian jazirah Iberia yang dahulunya berada di bawah pemerintahan muslim.

Sebenarnya, ada kisah amat menarik, tetapi terlalu pahit untuk ditelan buat umat Islam. Mungkin ramai yang tidak menyedari atau mengetahui sejarah hitam itu, tetapi sedikit info kali ini mungkin boleh dikongsi.

“Menangislah anakku, bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki".

Begitulah ucapan seorang bonda raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol.

Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya, Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharam 897 Hijrah yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah setelah berkuasa 800 tahun.

Bani al-Ahmar merupakan puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada dari 620 Hijrah hingga 897 Hijrah iaitu pada tahun di mana perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella dimeterai.

Perjanjian yang melibatkan 67 perkara itu, termasuklah jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol, tetapi pada akhirnya ia tidak pernah direalisasikan. Malah, 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya semakin terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya 800 tahun.

Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol, termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 Hijrah. Ketika itu, beribu-ribu umat Islam yang dijanji boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam atau tanpa perikemanusiaan.

Dalam tragedi tersebut, umat Islam mati bermandikan darah angkara tentera Kristian. Sebelum dibunuh, mereka bersembunyi di rumah masing-masing. Bagi membunuh penganut Islam, tentera Kristian menggunakan satu penipuan besar. Tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh meninggalkan rumah secara aman bagi menaiki kapal untuk berlayar meninggalkan Sepanyol sambil membawa barangan keperluan masing-masing. Tentera yang sama juga memaklumkan jaminan keselamatan bagi mereka yang ingin meninggalkan Sepanyol. Pun begitu, masih ramai yang meragui tawaran tersebut.

Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal di pelabuhan telah disediakan untuk membawa mereka belayar, barulah mereka menerima tawaran berkenaan. Keesokan harinya, beribu-ribu warga Muslim Granada keluar membawa barang keperluan menuju pelabuhan. Pun begitu, bagi yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu, mereka terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing.

Sesudah umat Islam berkumpul di pelabuhan, tentera Kristian segera menggeledah rumah yang ditinggalkan, kemudian membakarnya. Umat Islam yang ada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan membawa mereka keluar dari Sepanyol. Ketika kapal ditenggelamkan, umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Majoritinya wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung dengan pedang terhunus. Setelah menerima arahan ketua tentera, umat Islam di pelabuhan itu dibunuh kejam tanpa secebis simpati. Jerit tangis dan takbir terus terdengar, tetapi secara buas tentera Kristian semakin ganas membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya.

Seluruh Muslim Andalusia yang ada di pelabuhan ketika itu berakhir dengan maut. Darah mengalir di merata-rata. Laut yang biru di pelabuhan bertukar menjadi merah kehitamhitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan. Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, apa yang pasti, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara tersebut. Umat Islam diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan serta tidak ada langsung belas kasihan.

Mereka (penganut Kristian di Sepanyol ketika itu) tidak mahu Islam wujud langsung. Ekoran itu, umat Islam amat tersepit, sehingga ada yang mengaku Kristian, padahal mereka masih Muslim. Ia terpaksa dibuat kerana terlalu perit ancaman yang terlalu sukar untuk diceritakan secara lisan.

Sebenarnya, Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 Hijrah di bawah kepemimpinan Panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol kemudian muncul menjadi negeri paling makmur.

Pasukan Islam tidak hanya berhenti di Sepanyol, malah terus memperbesarkan empayar ke negara sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou dan Tours. Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, tetapi mereka tetap mengutamakan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah barat yang juga kawasan pergunungan.

Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah diri, ia terus mendorong warga Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam. Mereka bukan hanya beragama Islam, namun amat mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran, malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Suasana sedemikian berlangsung hampir enam abad.

Pemimpin Islam ketika itu cukup berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil sebagai contoh, adalah individu yang menyambung Kerajaan Bani Umayyah di Andalus setelah Umayyah di pusat iaitu di Damsyik telah jatuh.

Abdul Rahman al-Dakhil pernah dijemput oleh pemimpin Kristian yang dibantunya ketika memerangi musuh. Beliau turut dipelawa minum arak, tetapi ditolak secara diplomasi dengan berkata: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya".

Pun begitu, ketika Islam kian kukuh di Andalus berabad-abad lamanya, ia tetap dikeliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam, tetapi selalu gagal. Beberapa kali dicuba, namun tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik menemui cara bagi menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman dengan serangan pemikiran dan budaya.

Musuh kemudian secara senyap menghantar arak secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk golongan muda agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Punca lain adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri sehingga mewujudkan 20 puak yang mempunyai negeri masing-masing. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas dan Bani Nun.

Ekoran wujudnya pelbagai puak, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah. Apa yang menyedihkan, ada umat Islam yang ‘menjual’ agama dan negara demi kepentingan peribadi.

Contohnya, Gabenor Daerah Balansiah, Abu Zaid ketika berdepan dengan rakyatnya yang memberontak, dia terus membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu menghapuskan pemberontakan tersebut.

Habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar oleh bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan oleh Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik, apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.

Sebenarnya, 800 tahun bukan singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa bertamadun berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya seolah-olah kehebatan tersebut tidak pernah wujud.

Apa yang pasti, Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu ketika dahulu.

Sebahagian pengkisah sejarah mencatatkan TRAGEDI BERDARAH INI BERLAKU PADA 1ST APRIL 1847 M DAN DIKENALI SEBAGAI "THE APRIL FOOL DAY" OLEH GOLONGAN KRISTIAN. Jadi umat Islam sekalian apakah kita turut terikut ikut dengan 1st April ini dengan mengenakan orang lain dan tertawa. Kemudian menyebut dengan bangga dan gembira "APRIL FOOOOL" di sebalik saudara kita yang tertipu oleh golongan penipu lagi memang tidak ada dalam kehidupan mereka melainkan PENIPUAN.

30 Mac 2014

REMAJA MUSLIM SEMAKIN TERCABAR

Berikut adalah salah satu artikel yang menarik dan perlu dibaca oleh semua khususnya bagi kita yang punyai rasa tanggungjawab untuk menyebar kebaikan dan memperbetulkan  permasalahan yang ada. Bacalah kerana membaca jambatan ilmu.

Oleh AMIRA NUR SYAFIQA MOHAMMAD

KEMATIAN beberapa remaja termasuk pelajar universiti ketika menyertai konsert Future Music Festival Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini adalah petanda jelas bahawa masalah golongan muda semakin parah.

Selain penyalahgunaan dadah dan ubat-ubatan, perlakuan buruk dan keji seperti zina, rogol, rompak, copet dan peras ugut semakin menjadi-jadi.

Baru-baru ini seorang siswi berumur 20 tahun dari sebuah institusi pengajian tinggi awam telah ditahan pihak polis kerana disyaki membuang bayi apabila mayat seorang bayi yang baru sahaja meninggal dunia ditemui kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Walaupun dia menafikan dakwaan tersebut, pemeriksaan kesihatan telah mengesahkan bahawa ada banyak tandatanda bahawa dia baru sahaja melahirkan kandungannya.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (QS. Al Isra 32)

Allah SWT, Tuhan Pencipta seluruh umat manusia, dalam ayat di atas menegaskan agar manusia jangan mendekati perbuatan zina, apalagi melakukannya. Allah SWT menekankan zina sebagai perbuatan keji dan jalan yang buruk.

Penyimpangan,masalah sosial dan pergaulan bebas, khususnya di kalangan remaja amat membimbangkan. Perselisihan kefahaman mengenai dosa masing-masing tanggung, kubur masing-masing jaga, membuatkan masalah dosa dan zina sesuatu yang mula dipandang remeh.

Remaja pada memandang dosa sebagai perkara kecil dan remeh sehingga mereka berani melakukan maksiat dan kegiatan tidak bermoral secara terangterangan.

Pergaulan bebas dan bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seolah-olah sudah menjadi kebiasaan sehinggakan mereka tidak merasai dosa besar yang sedang ditanggung mereka saat ini.

Memang lumrah, perasaan ingin berpasangan memuncak ketika berada di alam remaja.

Tetapi jika perasaan ini tidak dikawal sudah tentu ia akan membawa kepada perkara yang lebih besar seperti zina dan kelahiran anak luar nikah serta masalah-masalah sosial lain.

Mengapa remaja pada hari ini begitu berani melanggar hukum Allah sedangkan di akhirat kelak segala perbuatan mereka akan dihitung hatta dosa yang sekecil kuman yang dilakukan mereka.

Bagaimanapun,tidak sepatutnya kita meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada mereka kerana pepatah ada mengatakan ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya.’

Bagaimana cara mereka diberi didikan pada masa kecil akan membentuk akhlak dan perlakuan mereka apabila mereka dewasa kelak.

Kelemahan iman,ketandusan ilmu dan kurangnya penghayatan agama dalam diri remaja-remaja ini mendorong mereka melakukan maksiat dan kegiatan tidak bermoral. Iman yang lemah di dalam diri mendorong seseorang itu dikuasai nafsu daripada menggunakan akal fikiran yang waras.

Manusia yang lemah imannya tidak akan takut dan gentar akan hari pembalasan di akhirat kelak. Akibatnya, mereka tidak dapat membezakan kebaikan atau keburukan dan antara kebenaran dan kebatilan.

Daripada Anas bin Malik r.a. katanya; Rasulullah s.a.w., bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya antara tandatanda kiamat itu ialah; diangkat ilmu (agama), tersebar kejahilan (terhadap agama), arak diminum (secara berleluasa), dan zahirnya zina (secara terang-terangan).” - Riwayat al-Bukhari nombor 78 dan Muslim nombor 4824

Hadis ini menerangkan antara tanda-tanda kiamat ialah ramai orang jahil terhadap agama, arak serta zina bermaharajalela sehingga tidak dapat dikawal. Apa yang dinyatakan di dalam hadis itu bertepatan dengan apa yang berlaku di akhir zaman ini.

Umat manusia yang jahil tentang agama mereka sendiri, tidak tahu hukum halal dan haram dan tidak takut balasan akhirat yang sedang menunggu mereka yang lalai kepada-Nya.

Kejahilan mereka ini adalah satu kerugian buat mereka kerana nikmat dan ganjaran yang besar akan menanti mereka yang taat kepada perintah Tuhannya. Nikmat ini tidak akan dirasai sama sekali oleh mereka yang jahil akan agamanya.

» Penulis adalah siswi Bahasa Arab dan Komunikasi USIM

24 Mac 2014

Menutup Aurat: Antara HAM dan Perintah Allah

Menutup aurat adalah kewajipan ke atas seluruh Muslim, di mana wanita dan juga lelaki Islam diwajibkan menutup aurat mengikut batas-batas yang telah ditentukan oleh syarak. Khusus untuk wanita, Allah SWT memerintahkan mereka untuk menutup aurat melalui firmanNya,
“Katakanlah kepada perempuan yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya…” [TMQ an-Nur (24):31].

23 Mac 2014

Menjadi Pemuda Yang dicintai Allah

Saya akan membawa pembaca melihat bagaimanakah kita sebagai generasi muda dapat meraih cinta Allah.
Tajuk ini sering saya bincangkan dalam setiap kali pertemuan atau usrah saya bersama anak muda.
Masa muda adalah masa yang paling menyeronokkan, Masa muda inilah dimana kita sedang mencari identiti diri kita yang sebenar untuk menempuh kehidupan dunia yang mencabar dimasa hadapan. Pengalaman ketika di usia muda ini akan dibawa ke alam dewasa dan bakal mencorak kehidupan kita dimasa hadapan kelak. Justeru semestinya semasa berada di masa muda banyak ujian dan cabaran yang terpaksa kita hadapi.

22 Mac 2014

Muhasabah: Akukah Guru?

PERANAN GURU
Guru sebenar guru ialah seorang guru yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul sebagai penyampai ilmu (yang benar), sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi pedoman hidup serta yang paling penting dan berkesan sebagai contoh dan teladan kepada setiap anak didiknya.
Prinsip utamanya seorang guru mesti faham bahawa tugas mengajar dan mendidik serta meneladan adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru mestilah dapat menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad iaitu menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kebodohan, kebebalan, kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan. Kerja mengajar pula adalah sebagai suatu ibadah. Oleh itu seseorang guru itu akan memainkan peranan mengikut keadaan dan situasi secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas.

21 Mac 2014

Demokrasi Melahirkan Hedonisme

Tatkala seluruh negara masih dirundung kesedihan dan sedang mendoakan dijumpainya MH370, pesawat Malaysia Airlines yang hilang dalam perjalanannya dari Kuala Lumpur menuju Beijing, pada masa yang sama Bukit Jalil gegak gempita dengan pesta maksiat yang diraikan dengan penuh kebesaran secara terbuka. Pesta Future Music Festival Asia (FMFA) yang dikatakan dibuat secara senyap itu telah menggemparkan negara apabila 6 orang disahkan mati akibat pengambilan dadah yang berlebihan. Lebih memalukan dan mendukacitakan, antara yang meninggal dan yang menyertai festival muzik antarabangsa itu adalah dari kalangan anak-anak muda Muslim. Sungguh memalukan dan mendukacitakan juga apabila pihak polis hanya bertindak untuk membatalkan konsert yang penuh dengan maksiat itu pada hari ketiga, setelah berlakunya kematian sehari sebelumnya. Umum mengetahui bahawa pesta seumpama itu memang tidak sah jika tidak disertai dengan arak dan dadah, malah perzinaan juga. Di manakah letaknya maruah Malaysia yang pemerintahnya mengaku sebagai sebuah “Negara Islam”? Apakah konsert liar ini bertepatan dengan konsep wasatiyyah (sederhana) yang dicanangkan oleh Perdana Menteri sehingga pesta maksiat ini dibenarkan oleh kerajaan? Apakah sudah tidak ada mufti dan alim ulama dalam kerajaan yang berani menegur tindakan maksiat pemerintah ini? Atau semuanya lebih memilih untuk menjadi syaitan bisu dek pendapatan lumayan yang diperolehi setiap bulan?

13 Mac 2014

DI SEBALIK MISTERI KEHILANGAN MH370

Seluruh negara, malah seluruh dunia gempar dengan kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas. Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dikatakan hilang dari radar di Laut China Selatan di kawasan perairan Vietnam. Sejak itu, usaha mencari dan menyelamat terus dijalankan yang sehingga kini telah melibatkan banyak pihak termasuk seluruh pakar, kenderaan dan peralatan yang paling canggih di dunia dari lebih 10 buah negara. Walaupun segala usaha telah dan sedang dilakukan, namun ternyata setakat ini langsung tidak ada petunjuk atau tanda-tanda untuk menemui pesawat berkenaan. Kebuntuan terus melanda setiap pihak yang terlibat dalam pencarian pesawat malang berkenaan hingga ke saat nasyrah ini ditulis. 

10 Mac 2014

JAUH YANG DEKAT

Bukanlah rasa kebersamaan itu pada selalu bersama. Atau selalu berjumpa. Ianya jauh lebih baik dan lebih mulia dari itu. Berapa ramai orang disekeliling kita tetapi tidak bersama kita. Yang ada hanya tubuhnya, tapi jiwa dan rasanya...jauh sekali!
Berapa ramai juga orang yang jauh dari kita, tetapi hakikatnya dekat sekali dihati. Yang jauh hanya jarak, tapi hatinya...seakan satu!
Berkongsi rasa rindu yang satu..      
Rasa cinta yang yang satu..
Cita-cita terutama yang satu..
Sehingga membentuk frequensi amal-amal yang berpadu!

04 Mac 2014

3 Mac 1924. ..

MEMPERINGATI KEJATUHAN KHILAFAH UTHMANIAH 3 MAC 1924
Oleh:  Dr Riduan Mohd Nor
Ramai yang tidak menyedari tarikh 3 Mac ialah sejarah pilu ummah, akibat runtuhnya sebuah kerajaan Islam yang telah memayungi sarwajagat dunia Islam termasuk alam Melayu. Kerajaan Islam yang berpusat di Turki itu melingkar jauh kekuasaannya sehinggalah ke Balkan di Eropah.
Negara Turki terletak di Asia kecil dan di sebelah Tenggara Benua Eropah. Kedudukan Turki memang unik, kerana sebahagian besar wilayahnya terletak di Asia, dan sebahagian kecilnya terletak di Eropah. Kedua-dua wilayah yang terpisah ini dihubungkan dengan jambatan yang merentasi Selat Bosporus.