Berikut adalah salah satu artikel yang menarik dan perlu dibaca oleh semua khususnya bagi kita yang punyai rasa tanggungjawab untuk menyebar kebaikan dan memperbetulkan permasalahan yang ada. Bacalah kerana membaca jambatan ilmu.
Oleh AMIRA NUR SYAFIQA MOHAMMAD
KEMATIAN beberapa remaja termasuk pelajar universiti ketika menyertai konsert Future Music Festival Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini adalah petanda jelas bahawa masalah golongan muda semakin parah.
Selain penyalahgunaan dadah dan ubat-ubatan, perlakuan buruk dan keji seperti zina, rogol, rompak, copet dan peras ugut semakin menjadi-jadi.
Baru-baru ini seorang siswi berumur 20 tahun dari sebuah institusi pengajian tinggi awam telah ditahan pihak polis kerana disyaki membuang bayi apabila mayat seorang bayi yang baru sahaja meninggal dunia ditemui kira-kira 100 meter dari rumahnya.
Walaupun dia menafikan dakwaan tersebut, pemeriksaan kesihatan telah mengesahkan bahawa ada banyak tandatanda bahawa dia baru sahaja melahirkan kandungannya.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (QS. Al Isra 32)
Allah SWT, Tuhan Pencipta seluruh umat manusia, dalam ayat di atas menegaskan agar manusia jangan mendekati perbuatan zina, apalagi melakukannya. Allah SWT menekankan zina sebagai perbuatan keji dan jalan yang buruk.
Penyimpangan,masalah sosial dan pergaulan bebas, khususnya di kalangan remaja amat membimbangkan. Perselisihan kefahaman mengenai dosa masing-masing tanggung, kubur masing-masing jaga, membuatkan masalah dosa dan zina sesuatu yang mula dipandang remeh.
Remaja pada memandang dosa sebagai perkara kecil dan remeh sehingga mereka berani melakukan maksiat dan kegiatan tidak bermoral secara terangterangan.
Pergaulan bebas dan bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seolah-olah sudah menjadi kebiasaan sehinggakan mereka tidak merasai dosa besar yang sedang ditanggung mereka saat ini.
Memang lumrah, perasaan ingin berpasangan memuncak ketika berada di alam remaja.
Tetapi jika perasaan ini tidak dikawal sudah tentu ia akan membawa kepada perkara yang lebih besar seperti zina dan kelahiran anak luar nikah serta masalah-masalah sosial lain.
Mengapa remaja pada hari ini begitu berani melanggar hukum Allah sedangkan di akhirat kelak segala perbuatan mereka akan dihitung hatta dosa yang sekecil kuman yang dilakukan mereka.
Bagaimanapun,tidak sepatutnya kita meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada mereka kerana pepatah ada mengatakan ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya.’
Bagaimana cara mereka diberi didikan pada masa kecil akan membentuk akhlak dan perlakuan mereka apabila mereka dewasa kelak.
Kelemahan iman,ketandusan ilmu dan kurangnya penghayatan agama dalam diri remaja-remaja ini mendorong mereka melakukan maksiat dan kegiatan tidak bermoral. Iman yang lemah di dalam diri mendorong seseorang itu dikuasai nafsu daripada menggunakan akal fikiran yang waras.
Manusia yang lemah imannya tidak akan takut dan gentar akan hari pembalasan di akhirat kelak. Akibatnya, mereka tidak dapat membezakan kebaikan atau keburukan dan antara kebenaran dan kebatilan.
Daripada Anas bin Malik r.a. katanya; Rasulullah s.a.w., bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya antara tandatanda kiamat itu ialah; diangkat ilmu (agama), tersebar kejahilan (terhadap agama), arak diminum (secara berleluasa), dan zahirnya zina (secara terang-terangan).” - Riwayat al-Bukhari nombor 78 dan Muslim nombor 4824
Hadis ini menerangkan antara tanda-tanda kiamat ialah ramai orang jahil terhadap agama, arak serta zina bermaharajalela sehingga tidak dapat dikawal. Apa yang dinyatakan di dalam hadis itu bertepatan dengan apa yang berlaku di akhir zaman ini.
Umat manusia yang jahil tentang agama mereka sendiri, tidak tahu hukum halal dan haram dan tidak takut balasan akhirat yang sedang menunggu mereka yang lalai kepada-Nya.
Kejahilan mereka ini adalah satu kerugian buat mereka kerana nikmat dan ganjaran yang besar akan menanti mereka yang taat kepada perintah Tuhannya. Nikmat ini tidak akan dirasai sama sekali oleh mereka yang jahil akan agamanya.
» Penulis adalah siswi Bahasa Arab dan Komunikasi USIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan