01 Mei 2013

Salam: Penguat Ukhuwah

Sesungguhnya salah satu daripada sifat orang mukmin itu adalah mereka saling mencintai antara satu sama lain kerana Allah. Antara cara untuk menzahirkan rasa cinta tersebut adalah dengan menyebarkan salam antara satu sama lain. Pengucapan salam adalah sesuatu yang sinonim bagi umat Islam dan ia sudah menjadi kebiasaan untuk dilafazkan apabila ia bertemu dan berpisah sesama Muslim, baik sama ada ia memahami ataupun tidak lafaz salam tersebut.

Perkataan salam dalam bahasa Arab bererti kesejahteraan, keamanan, kedamaian dan keselamatan. Lafaz salam bagi orang Mukmin adalah assalamu’alaikum (salam sejahtera ke atas kalian), atau assalamu’alaikum warahmatullah (salam sejahtera ke atas kalian dan dengan rahmat Allah) ataupun assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh (salam sejahtera ke atas kalian dan dengan rahmat serta berkat Allah). Biar pendek ataupun panjang ucapan salam yang diberikan, kesemuanya memberikan makna yang sama kepada si penerima salam, yakni suatu doa yang diberikan daripada seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain. Tidak ada satu pun agama di dunia ini selain Islam yang mengajar umatnya untuk memanifestasikan syiar dan  kecintaan sesama saudara seakidahnya melalui ucapan doa. 

Dalil-dalil tentang perintah dan keutamaan salam

Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Maka apabila kamu memasuki ke rumah-rumah (yang tidak berpenghuni), maka ucapkanlah salam kepada diri kamu sendiri (sebagai) penghormatan daripada sisi Allah yang dipenuhi keberkatan dan kebaikan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kalian, supaya kalian memahaminya.” [TMQ An-Nur (24) : 61]

Ayat di atas memerintahkan agar salam diberi sebagai tanda penghormatan walaupun sesuatu rumah atau tempat itu tidak berpenghuni. Selain itu, perintah yang lebih tegas dapat dilihat dalam surah yang sama iaitu:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki ke rumah-rumah (yang) bukan rumah kamu, sehinggalah kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kalian supaya kamu mengambil pengajaran.”
 [TMQ An-Nur (24): 27]

Terdapat juga  hadis-hadis daripada Rasulullah saw yang menerangkan tentang fadhilat dan kebaikan dalam menyebarkan salam.  Hadis daripada Abdullah bin Salam, beliau mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam di antara kalian, berikanlah makanan, sambunglah tali silaturahim dan solatlah ketika manusia sedang tidur pada malam hari, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.” [HR Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad]

Rasulullah saw juga bersabda:

“Kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman,dan  tidaklah kalian beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan  suatu perbuatan yang apabila kalian mengerjakannya, nescaya kalian akan saling mencintai?  Sebarkanlah salam di antara kalian.” [HR Muslim]

Selain hadis-hadis yang telah disebutkan, terdapat sebuah hadis yang menerangkan tentang ganjaran bagi setiap ucapan salam yang diberikan. Hadis ini sekaligus mengajar kita tentang bagaimana ucapan salam itu sepatutnya diberikan kepada orang mukmin. Imran bin Hussain berkata:

“Ada seorang lelaki  datang kepada Nabi seraya mengucapkan assalamu ‘alaikum. Maka Nabi menjawabnya dan orang itu kemudian duduk. Nabi berkata, “dia mendapat sepuluh pahala.” Kemudian datang orang yang lain mengucapkan assalamu ‘alaikum warahmatullah. Maka Nabi menjawabnya dan berkata, “dua puluh pahala baginya.” Kemudian datang seorang lagi seraya mengucapkan assalamu ’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Nabi pun menjawabnya dan berkata, “Dia mendapat tiga puluh pahala.” [HR. Abu Dawud, Tirmidzi dan Ahmad]

Adab memberi salam



Antara adab-adab dalam memberi salam adalah:


1. Mendahului dalam memberi salam

“Seutama-utama manusia bagi Allah adalah yang terlebih dahulu dalam memberi salam” [HR Abu Dawud]

Walaupun memberikan salam itu hukumnya sunat  berbanding menjawab salam, tetapi hadis di atas menunjukkan  keutamaan bagi orang yang berlumba-lumba dalam memberi salam dan bukannya bersikap menanti salam itu diberikan kepadanya. Sebagai balasan, Allah SWT meletakkan mereka sebagai manusia yang utama di sisiNya.

2. Menjawab dengan ucapan yang sama atau lebih baik

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu (salam) penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah ia (dengan  yang sepadan dengannya). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung setiap sesuatu.” [TMQ An-Nisa’ (4) : 86]

Jawablah salam dengan ucapan yang lebih baik sebagaimana ucapan salam yang telah disebutkan. Bahkan jawablah dengan kalimah yang paling sempurna sebagai sikap mencari keutamaan dan mencari kebaikan.

3. Mengikut turutan yang betul

Rasulullah saw bersabda:

“Hendaklah orang yang berkenderaan memberikan salam kepada orang yang yang berjalan. Yang berjalan kepada yang duduk, yang sedikit kepada yang ramai (dan hendaklah yang muda kepada yang lebih tua).”  [HR Bukhari dan Muslim]

4. Pada kadar suara yang secukupnya

Al-Miqdad ra biasa menyediakan susu untuk Rasulullah. Maka Rasulullah datang pada waktu malam  lalu beliau memberi salam dengan perlahan supaya tidak mengejutkan orang yang sedang  tidur, dan cukup didengari oleh mereka yang terjaga. Dan beliau mengucapkan salam sebagaimana biasa beliau mengucapkan salam. [HR. Muslim]

Oleh itu adalah tidak wajar bagi kita menjerit-jerit dalam memberi salam sehingga mengganggu orang yang sedang tidur ataupun memberi salam terlalu perlahan sehingga tidak didengari langsung bagi orang yang berjaga. Lakukanlah pada kadar yang secukupnya agar didengari dan pada masa yang sama tidak menyakiti sesiapa. 

5. Tidak menyebut ‘alaikassalam

Ucapan ‘alaikassalam adalah bagi orang yang telah meninggal. Ini berdasarkan hadis Nabi yang berbunyi:

“Jangan berkata ‘alaikassalam kerana ‘alaikassalam itu merupakan salam bagi orang mati” [HR Abu Dawud dan Tirmizi]

Renungan

Ucapan salam mungkin sesuatu yang lumrah bagi kita. Ia merupakan sunnah yang ringan namun berat pahalanya di sisi Allah. Amalan ini merupakan penjalin ukhuwwah sesama Mukmin dan merupakan pembuka bicara bagi yang belum mengenali. Namun selama kita hidup, berapa banyakkah salam yang telah kita sebarkan baik kepada yang dikenali mahupun yang asing? Marilah kita merenung sebuah atsar tentang sahabat Rasulullah, Abdullah bin Umar ra:

Daripada At-Tufail bin Ubay bin Ka`ab, bahawasanya ia datang ke tempat Abdullah bin Umar kemudian mereka pergi bersama-sama ke pasar.  Tufail berkata:

“Apabila kami berada di pasar, maka setiap kali kami melewati tukang jual baju, orang yang menjual barang dagangannya, orang miskin dan bahkan melewati sesiapa pun, Abdullah pasti mengucapkan salam kepadanya.”  At-Tufail berkata:  ”Suatu hari saya datang ke tempat Abdullah bin Umar kemudian dia mengajak saya ke pasar.  Maka saya berkata kepadanya,  “Apa yang akan kamu buat di pasar nanti kerana kamu tidak membeli sesuatu apapun, tidak juga mencari sesuatu, tidak akan menawar(menjual)  sesuatu dan tidak juga duduk-duduk di pasar?  Lebih baik kita berbincang-bincang di sini sahaja.”  Abdullah menjawab,  “Wahai Abu Bathn (kerana At-Tufail mempunyai perut yang besar), kita akan ke pasar untuk menyebarkan salam kepada sesiapa yang bertemu dengan kita.”
 [Riwayat Imam Malik di dalam kitabnya al-Muwatta’ dengan sanad yang sahih]

Semoga kita beroleh kebaikan sebagai manusia yang utama di sisi Allah dengan menyebarkan salam sebagaimana Abdullah bin Umar. Wallahu a’la

Manifesto Islam Untuk Semua

Sumber: http://www.mykhilafah.com



26 April 2013

Ciri Pemimpin yang Didambakan

Dalam Islam, menentukan dan memilih pemimpin adalah suatu perkara yang sangat penting dan wajib. Ini dibuktikan dalam sejarah Islam apabila wafatnya junjungan  besar Nabi kita Muhammad  S.A.W, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi mengantikan baginda sebelum pemakaman baginda  S.A.W dilangsungkan. 

Ijmak sahabat sepakat bahawa haram hukumnya kaum muslimin hidup tanpa adanya seorang khalifah atau pemimpin lebih dari tiga hari tiga malam.

Sabda Nabi S.A.W maksudnya, "Apabila keluar tiga orang dalam bermusafir maka hendaklah dilantik seorang ketua".   (Hadis Riwayat Abu Daud) 

Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah SAW yang bermaksud," Tidak halal bagi tiga orang yang berada di satu tempat melainkan dilantik seorang daripada mereka seseorang sebagai ketua."  (Hadis Riwayat Ahmad)

(Ini bermakna kepentingan melantik pemimpin untuk mengantikan kepimpinan yang telah berlalu untuk mengurus hal ehwal Islam dan melaksanakan kemaslahatannya adalah wajib.  Atas sebab inilah Islam begitu memandang berat soal memilih pemimpin dalam semua peringkat kehidupan.

Persoalannya, bagaimanakah kita  hendak menjadi pemimpin yang baik? Kita harus sedar bahawa  pemimpin yang baik akan memberikan kesan yang amat besar terhadap masa depan Islam dan umatnya. Kita juga hendaklah memahami bahawa soal  kepimpinan
mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan ia adalah sebahagian tindakan atau perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak. 

Firman Allah dalam Surah al-Muddathir ayat 38 yang bermaksud : "Setiap diri terikat (bertanggungjawab) dengan apa yang telah dikerjakannya".

Sebagai pemimpin, kita hendaklah melaksanakan tugas secara berhati-hati dan tiada berkepentingan peribadi dan sebagainya. Jika kita gagal melaksanakan tugas dengan adil dan mengutamakan kebajikan untuk rakyat maka sudah tentulah amat bersalah dan akan diazab oleh Allah di akhirat kelak. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 41 yang bermaksud : "Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari kiamat  pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan".  

Sahabat yang dimuliakan,
Islam telah  menjelaskan kepada kita bagaimana untuk menjadi pemimpin yang baik. 

Terdapat lapan ciri-ciri utama sebagai seorang pemimpin yang baik;  

1. Seorang yang berupaya untuk menjaga agama dan menegakkan syariat Allah di atas muka bumi, sebaliknya bukan menjadikan agama sebagai 'istihza'  atau  dipermainkan. Justeru amanah sebagai pemimpin sebenarnya adalah ganti diri Rasulullah S.A.W 'niabatan 'anin nabi SAW' untuk memelihara, menjaga dan melaksana syariat Allah SWT. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 41 yang maksudnya : "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar.  (Ingatlah)  bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".

2. Seseorang yang memiliki 'al-Quwwah' yakni kekuatan dari semua sudut samada fizikal, spiritual, emosi dan mental. 

Dalam al-Quran  telah dijelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu'aib a.s. meminta kepadanya agar memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat 
bekerja dan amanah, inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya yang lebih  luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut dan bidang. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 26 yang maksudnya : "Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (kita), sesungguhnya sebaikbaik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".

3. Seseorang yang memiliki sifat  takwa, kerana ciri-ciri inilah yang menjamin seseorang pemimpin itu berintegriti dan  takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud :"Dan seandainya mereka itu tetap beriman dan bertakwa nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu 
adalah lebih baik, seandainya mereka mengetahuinya". (Surah al-Baqarah ayat 103)

4. Seseorang pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada  mereka yang di bawah pimpinannya. Sifat-sifat ini mesti dimiliki oleh mana-mana pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin 
kepimpinannya yang dihormati, disegani dan disayangi. Jauhkan diri daripada pemimpin yang zalim yang tidak memberi keadilan dan hak rakyat untuk  bersuara dan berhimpun secara aman.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 58 maksudnya : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil…".

5.Seseorang pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap bertanggungjawab kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap bertanggungjawab ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad S.A.W), yang mengambil berat  atas sebarang kesusahan yang  menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap makhluk
terhadap orang yang beriman". (Surah at-Taubat ayat 128)

6. Seseorang pemimpin itu hendaklah  tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuklah mengambil tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun lawan. 

Hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan memotong tangannya". (Hadis Riwayat al-Bukhari)

7. Seseorang pemimpin itu hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya. 

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi S.A.W bersabda (maksudnya) : "Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya". (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

8. Seseorang pemimpin itu hendaklah menunaikan janji-janjinya kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai oleh orang bawahannya, bukan berdusta dan menghampakan orang bawahannya. 

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Jelaslah kepada kita bahawa dalam soal kepimpinan yang baik tidak boleh dilakukan secara tangkap muat. Sehubungan dengan itu Imam alQurtubi  menjelaskan  dalam kitab 'Al-Jamik li Ahkamil Quran' bahawa, "Bagi umat Islam  dalam memilih pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasik dan zalim mereka tidak layak 
menjadi pemimpin".

Hadis daripada  Huzaifah r.a. bahawa Rasulullah  S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas 
kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga Rasulullah di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak 
membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya  dan dia akan  menemuiku di haudh".  (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Marilah kita menjadi pemimpin yang takutkan Allah melebihi daripada segala-galanya. Kerana hanya pemimpin yang benar-benar takutkan Allah sajalah yang mampu 
menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dengan jujur, amanah dan berdidikasi.

Pemerintah Wajib Tegakan Islam

Dalam perlawanan merebut kekuasaan melalui pesta lima tahun sekali yang tidak syari'e ini, masing-masing hanya ada satu matlamat sahaja yakni kemenangan. Apa yang paling penting ialah menumbangkan lawan, tidak kira dengan apa cara sekalipun dan tidak kira berapa banyak sekalipun wang ringgit, masa dan tenaga dihabiskan. Orientasi parti-parti sekular dan kufur sememangnya begitu, kerana tujuan hidup mereka adalah untuk dunia. Namun malangnya parti atau gerakan-gerakan Islam yang turut bertanding pun nampaknya mempunyai orientasi yang sama. Kerana hanya berfikir untuk menang, banyak pihak yang bertanding tidak lagi mengambil kira dosa dan pahala dan sering lupa akan natijah kemenangan. Sepatutnya mereka meletakkan matlamat bahawa tujuan mereka menuju ke tampuk pemerintahan adalahuntuk menerapkan hukum Allah, bukan sekadar meraih kemenangan semata-mata. Tidak ada gunanya kalau menang, namun sistem kufur demokrasi dan undang-undang buatan manusia tetap dikekalkan manakala hukum Allah terus tersimpan di dalam al-Quran.

Sesungguhnya termasuk di dalam perkara al-ma'lum min ad-deen bi adh-dharurah (perkara pokok dalam agama yang tidak ada alasan untuk Muslim tidak mengetahuinya) bahawa Allah SWT mewajibkan setiap Muslim, apatah lagi pemerintah, untuk berhukum dengan hukumNya. Pemerintah, sebagai orang yang menguasai sesebuah negara memikul tanggungjawab yang amat besar untuk menerapkan hukum Allah dalam negara, tanpa kompromi. Banyak ayat al-Quran yang memerintahkan hukum-hukumNyauntuk diterapkan, bahkan disertai dengan ancaman dan azab kepada mereka yang mengingkarinya. Firman Allah SWT,

"Dan siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang kafir" [TMQ al-Maidah (5):44],

"...mereka adalah orang-orang zalim" [TMQ al-Maidah (5):45]

dan

"…mereka adalah orang-orang fasik" [TMQ al-Maidah (5):47].

Allah SWT menjatuhkan hukumkafir kepada siapa sahaja yang tidak menerapkan hukumNya kerana tidak meyakini atau mempertikaikan kesesuaian hukumNya. Allah SWT menjatuhkan hukum zalim dan fasik kepada siapa sahaja yang tidak menerapkan hukumNya tetapi masih yakin terhadap kesesuaian hukum tersebut untuk diterapkan.

Kesemua ayat di atas dengan tegas dan tidak ada sedikit pun kekaburan, menyatakan bahawa pemerintah wajib menerapkan kesemua hukum Islam secara menyeluruh kerana kata "ma" dalam ketiga-tiga ayat di atas berbentuk umum, yang mencakup kesemua hukum syarak yang telah diturunkan oleh Allah, baik yang berbentuk perintah mahupun larangan.Allah SWT juga menafikan keimanan orang yang menolak daripada menjadikan Rasulullah sebagai ikutan di dalam berhukum dengan hukumNya. FirmanNya,

"Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan engkau (wahai Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan!" [TMQ an-Nisa' (4):65].

Ayat-ayat Allah itu dipertegaskan lagi dengan sabda Rasulullah SAW,

"Barang siapa yang melakukan satu perbuatan yang tidak mengikuti ketentuankami, maka ia tertolak" [HR Bukhari& Muslim].

Dalam riwayat yang lain,

"Siapa sahaja yang mengada-adakan sesuatu yang baru dalam urusan (agama) kami ini, yang bukan bahagian darinya, maka ia tertolak" [HR Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud&IbnMajah].

Sistem demokrasi adalah tertolak kerana ia merupakan satu sistem yang bukannya datang dari Islam. Menggubal undang-undang melalui suara majoriti juga merupakan suatu yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah di dalam agama Islam. Sebaliknya, Rasulullah SAW telah menyatakan dengan jelas di dalam banyak hadis bahawa pemerintahan selepas baginda ialah Khilafah, di mana umat Islam akan dipimpin oleh para Khalifah selaku ketua Negara. Firman Allah,

"Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka" [TMQ al-Ahzab (33):36].

Walaupun ayat-ayat dan hadis-hadis di atas amat tegas memerintahkan penerapan hukum Islam , ironinya pemerintah Muslim saat initetap sahaja memberikan pelbagai alasan untuk tidak menerapkan Islam seperti menyatakan hukum Allah mesti disesuaikan dengan realiti, masyarakat kita adalah majmuk, kena ambil kira pandangan minoriti dan macam-macam alasan lagi. Alasan ini sering diutarakan oleh penganut demokrasi. Malah di kalangan gerakan Islam sendiri pun ramai yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak menerapkan hukumNya. Alangkah beraninya mereka menghujah Allah dalam hal ini! Inilah di antara kejayaan besar demokrasi, di mana sistem kufur ini telah berjaya memalingkan orang-orang Islam yang bergelumang dengannya daripada berhukum dengan hukum Allah. Walhal Allah SWT berfirman,

"Dan hendaknya engkau menghukumi di antara mereka dengan apa yang Allah turunkan. Dan janganlah sekali-kali engkau mengikuti hawa nafsu mereka. Hati-hatilah engkau terhadap mereka, kerana mereka ingin menyesatkanmu dari sebahagian yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu" [TMQ al-Maidah (5):49].

Melalui ayat di atas, Allah SWTdengan tegas memerintahkan kepada RasulNyatermasukkepada para penguasa Muslim, agar menerapkan semua hukum yang telah diturunkanNya dan Dia dengan tegas melarang RasulNya serta para penguasa Muslim daripada mengikuti kemahuanatau tunduk pada keinginan manusia. Allah memerintahkan agar RasulNya serta para penguasa Muslim tidak berpaling dari kebenaran dengan meninggalkan penerapan hukum yang telah diturunkanNya. Jika kehendak manusia dituruti dengan meninggalkan kehendak Allah, maka mereka pasti akan terjerumus ke lembah kesesatan.FirmanNya yang lain,

"Jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah" [TMQ al-An'am (6)116].

Inilah hakikat sistem demokrasi di mana suara rakyat (suara manusia) dianggap sebagai suara keramat dan undang-undang dibuat berdasarkan kalamunnas (suara manusia), bukannya berdasarkan kalamullah. Betapa sesatnya sistem ini!

Selain didesign untuk menerapkan hukum buatan akal manusia, demokrasi juga didesign untuk memastikan umat Islam sentiasa berpecah belah dan tidak kembali bersatu di bawah kesatuan Daulah Khilafah. Demokrasi memastikan agar umat Islam berpegang teguh kepada assabiyyah (nasionalisme) dan wathaniyyah (patriotisme). Oleh sebab itulah, pihak-pihak yang mengamalkan demokrasi sentiasa berjuang untuk bangsa dan negara dan mempertahankannya habis-habisan. Parti-parti para penganut demokrasi adalah parti berteraskan bangsa dan hanya bergerak (dan membuka keahlian) sebatas untuk warganegara sahaja. Kerana itulah parti-parti yang berjuang dan memerintah dalam demokrasi ini tidak pernah mempunyai hukum jihad dan futuhatdi dalam kamus mereka kerana perjuangan sempit mereka yang berteraskan assabiyyah dan wathaniyyah.

Walhal bagi pemerintah Muslim, selain berkewajipan menerapkan hukum Allah di dalam negara, mereka juga wajib melancarkan jihad bagi membebaskan wilayah dan umat Islam yang berada di bawah cengkaman musuh-musuh Allah dan melakukan futuhat (pembukaan) wilayah-wilayah yang baru untuk menerapkan hukum Allah di sana. Pemerintah Muslim juga wajib menghapuskan segala sempadan assabiyyahdan wathaniyyahyang ada pada hari ini dan menggabungkan seluruh negara kaum Muslimin di bawah satu payung pemerintahan (Khilafah). Inilah kewajipan pemerintah, tidak kira siapa sekalipun yang berada di tampuk kekuasaan. Sekiranya mereka mengabaikan hal ini, mereka sebenarnya telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang Mukmin dan tidak ada apa yang layak untuk mereka melainkan dosa dan azab Allah SWT. Na'uzubillah min zalik.

Wajib Terap Islam Secara Kaffah Dan Serta Merta

Di samping kewajipan menerapkan hukum Allah, pemerintah juga wajib memahami bahawa hukum Allah itu wajib diterapkan secara kaffah (menyeluruh) dan sekali gus (serta-merta), bukan dengan sedikit-sedikit atau secara tadarruj (bertahap). Ramai orang yang salah memahami nas dan ada sebahagian yang lain beralasan bahawa Islam boleh diterapkan secara tadarruj. Sedangkan penerapan Islam dengan cara bertahap itu jelas bertentangan dengan hukum-hukum Islam itu sendiri. Ini kerana, hal itu akan menjadikan orang yang menerapkannya, telah menerapkan sebahagian hukum Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain. Walhal ini (penerapan sebahagian hukum) amat bertentangan dengan perintah Allah SWT.FirmanNya,

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu" [TMQ al-Baqarah (2):208].

Perlu difahami bahawa apa sahaja perkara yang Allah wajibkanitu, hukumnya wajib untuk diterapkan/diamalkandan statusnya tetap wajib (tidak akan pernah berubah) dari saat hukum itu mula diturunkan hinggalah ke hari Kiamat. Begitu juga apa sahaja perkara yang Allah haramkan, hukumnya haram untuk diterapkan/diamalkan danstatusnya tetap haram (tidak akan berubah) hinggalah ke hari Kiamat. Rasulullah SAW pernah menolak delegasi dari Bani Tsaqif, ketika delegasi tersebut meminta kepada baginda agar baginda membiarkan (tidak memusnahkan) berhala mereka (Latta dan Uzza) selama tiga tahun serta mengecualikan mereka dari kewajiban solat tatkala mereka telah masuk Islam. Permintaan tersebut langsung tidak diterima oleh Rasulullah, bahkan baginda langsung tidak mengendahkannya. Baginda tetap menghancurkan berhala-berhala tersebut tanpa menunda-nundalagi serta memaksa mereka agar melaksanakan solat tanpa menunggu-nunggu lagi.

Banyak pihak yang membolehkan tadarrujberistidlalkan kepada penurunan al-Quran yang diturunkan secara beransur-ansur. Padahal Allah SWT telah menurunkan al-Quran kepada Rasulullah secara bertahap sesuai dengan fakta-fakta dan kes-kes (asbab an-nuzul)  yang berlaku ketika itu. Apabila satu ayat diturunkan, maka Rasulullah segera melaksanakannya tanpa menangguh-nangguhkannya lagi. Apabila ayat itu berupa suatu perintah, maka baginda dan kaum Muslimin terus segera melaksanakannya tanpa menunda sedikit pun. Apabila berupa larangan, maka baginda dan kaum Muslimin terus segera meninggalkan tanpa menunggu-nunggu barang sejenak, mahupun menangguhkannya. Hal ini berlaku sehinggalah Allah SWT menyempurnakan penurunan hukum-hukumNya sekali gus menyempurnakan agama ini,

"Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kalian agama kalian dan Aku cukupkan untuk kalian nikmatKu serta Aku redhai Islam sebagai agama kalian" [TMQ al-Ma'idah (5):3].

Setelah turunnya ayat ini, maka kaum Muslimin diperintahkan agar melaksana dan menerapkan seluruh hukum Islam, baik hukum yang menyangkut akidah, ibadah, akhlak, muamalah mahupun uqubat atau menyangkut aspek pemerintahan, ekonomi, pergaulan, kemasyarakatan, politik luar negeri, jihad, perjanjian damai dan sebagainya. Kesemua ayat ini dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dengan serta-merta dan diikuti oleh kaum Muslimin. Firman Allah SWT,

"Dan apa sahaja yang dibawa oleh Rasul, maka ambillah,apa sahaja yang dilarangnya, makatinggalkanlah. Bertakwalah kalian kepada Allah, kerana Allah amat keras seksaNya" [TMQ al-Hasyr(59):7].

Perintah untuk mengambil dan meninggalkan di dalam ayat ini adalah perintah yang bersifatjazm (tegas) yang membawa maksud wajib. Allah SWT di dalam ayat ini memberikanancaman kepada sesiapa sahaja, terlebih lagi kepada pemerintah, yang tidak berhukum dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, dengan azabyang pedih.

Justeru, penerapan hukum syarak secara menyeluruh dan serta-merta adalah suatu yang tidak boleh dianggap remeh atau dilakukan secara bertahap. Ini kerana tidak ada bezanya di antara satu kewajiban dengan kewajiban yang lain, begitu jugadi antara satu keharamandengan keharaman yang lain atau dengan kata lain tidak ada bezanya di antara satu hukum dengan hukum yang lain.Kesemuanya merupakan hukum Allah dan hukum Allah itu wajib dilaksanakan tanpa ditunda-tunda dan tanpa dipilih-pilih yang mana satu patut dilaksanakan dahulu dan yang mana satu patut dilaksanakan kemudian. Allah SWT mengingatkan dan memberi ancaman,

"Apakah kamu beriman dengan sebahagian (isi) kitab dan mengkufuri sebahagian yang lain? Maka, tidak ada balasan bagi orang yang melakukan hal itu, selain kehinaan dalam kehidupan di dunia, serta pada hari Kiamat nanti akan dikembalikan kepada azab yang sangat pedih" [TMQ al-Baqarah (2):85].

Berdasarkan dalil-dali di atas yang sangat terang lagi nyata, hukum Allah itu wajib diterapkan secara kaffah dan serta-merta dan tidak ada alasan apa pun bagi pemerintah mana pun untuk tidak berbuat demikian.Apa jua dalih atau alasan yang mereka gunakan, semuanya batil, tertolak dan tidak ada nilainya sama sekali di sisi Allah SWT.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Di dalam keghairahan meraikan pesta yang diajar dan ditinggalkan oleh penjajah ini, ingatlah bahawa kemenangan itu bukanlah suatu yang patut dikejar dan ia bukanlah segala-galanya. Tidak ada gunanya menang sekiranya sistem demokrasi yang sedia ada tetap dikekalkan, perlembagaan Lord Reid yang sedia ada tetap dikekalkan, manakala hukum Allah yang sedia tiada tetap ditiadakan. Parti mana sekali pun yang menang di dalam PRU kali ni, lalu menjadi pemerintah, maka wajib atas mereka untuk menerapkan hukum Allah!!!Sekiranya mereka tidak menerapkan hukum Allah, sesungguhnya kehinaan akan tertimpa ke atas mereka di dunia dan azab Allah yang amat pedih menanti mereka di akhirat. Ingin juga mengingatkan bahawa siapa sahaja yang memilih sistem demokrasi, dia sebenarnya telah memilih untuk tidak berhukum dengan hukum Allah!!!Tinggalkanlah demokrasi, ayuhlahbersama tegakkan Khilafah.

Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan..
Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan..
Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan..

14 April 2013

Awasi Mujtahid Palsu

Mujtahid merujuk kepada seseorang ulama yang diiktiraf umum sebagai mempunyai ilmu agama sebenar dan mampu mengeluarkan fatwa tanpa apa-apa kepentingan untuk diri sendiri. Seterusnya syarat-syarat yang amat ketat dikenakan untuk seseorang menjadi mujtahid. Justru, pada era dunia moden hari ini, semakin pupus mujtahid yang mampu mengeluarkan fatwa secara bebas tanpa sebarang kepentingan untuk diri sendiri. Contoh terbaik yang masih ada hari ini yang sering dirujuk sebagai mujtahid yang diiktiraf umat Islam seluruh dunia termasuklah Sheikh Yusoff al-Qaradhawi dan Sheikh Wahba az-Zuhaily.

Fokus artikel ini ialah membincangkan secara ringkas betapa ketatnya syarat untuk menjadi seorang Mujtahid yang mampu mengeluarkan fatwa untuk kepentingan umum.

Pertamanya, seseorang itu mestilah faham segala makna apabila membaca al-Quran dalam bahasa asalnya serta faham kenapa ayat al-Quran berkenaan di turunkan Allah SWT serta pelbagai tafsir oleh ulama besar seperti Imam Hanafi, Shafie,Maliki, Hambali, Al Ghazali dan lain-lain.

Keduanya, seseorang itu mesti faham semua hadis sahih dalam bahasa asalnya dan dapat membezakan antara hadis sahih, hadis lemah dan hadis palsu. Ada lebih 600,000 hadis namun  cuma 6,000 sahaja yang di terima sebagai sahih oleh Imam Bukhari dan Muslim. Kadang-kadang kata-kata sahabat Nabi di sebut oleh "Mujtahid Mee Segera" sebagai Hadis.

Ketiga, ijmak para ulama iaitu persetujuan para ulama termasyhur pada era selepas kewafatan Nabi dan selepas meninggalnya para Sahabat Nabi. Apabila Jumhur Ulama yakni majoriti ulama telah bersetuju dalam satu-satu isu, pada kebiasaanya ulama ulama era moden tidak patut cuba mempertikaikan lagi keputusan kolektif gandingan bersama Imam Hanafi, Imam Shafie, Imam Maliki dan Hambali umpamanya.

Keempat, Qiyas yakni kiasan yang di capai oleh para ulama setelah mengkaji dengan mendalam al-Quran, hadis sahih dan Ijmak. Sebagai contoh, Allah SWT mengharamkan perkara yang memabukkan termasuk Arak. Justeru, Jumhur Ulama membuat keputusan kolektif sebarang perkara yang memabukkan selain daripada arak juga haram contohnya, menjadi penagih dadah.

Sebelum diiktiraf sebagai mujtahid, selain keempat-empat perkara di atas, ada lagi perkara yang perlu di fahami iaitu ikhtisan, iaitu keutamaan oleh para ulama terhadap beberapa keputusan yang dikeluarkan untuk isu yang sama. Cuma ulama yang benar-benar berilmu sahaja yang mampu memilih keputusan yang terbaik untuk diterima apabila terdapat beberapa keputusan dalam isu yang sama.

Seterusnya, beban kefahaman istishab iaitu andaian yang sesuatu perkara itu berterusan melainkan dapat  dibuktikan sebaliknya. Sebagai contoh, kehilangan seseorang untuk beberapa tahun pertama tanpa khabar berita tidak boleh dianggap telah meninggal dunia tetapi diandaikan masih hidup melainkan dapat dibuktikan sebaliknya.

Satu lagi beban selepas memahami kesemua di atas ialah memahami maslahah iaitu kepentingan umum. Ulama yang tidak berjumpa alasan sewajarnya untuk mengeluarkan fatwa setelah berulang kali meneliti kesemua perkara di atas bolehlah menggunakan kepentingan umum sebagai alasan. Namun orang biasa yang bidangnya bukan ilmu agama yang tidak belajar Usullul Din, Usullul Fiqh, Maqasid Shariah, Qawaid Fiqiyah dan sebagainya jangan bermimpi untuk mula berfatwa untuk mempengaruhi masyarakat umum.

Seterusnya ialah memahami al-Urf atau adat yang tidak bertentangan dengan syariah dalam berfatwa, yakni setelah gagal mendapat apa-apa keputusan kukuh setelah meneliti semua sumber sumber fiqah di atas.

Selain itu, seseorang itu mengetahui dan memahami semua fatwa sahabat dan ini bukan perkara mudah melainkan mereka yang fasih membaca pelbagai kitab rujukan dalam Bahasa Arab. Jangan sesekali sesiapa mudah perasan yang dengan membaca terjemahan dalam Bahasa Inggeris maka terjemahan berkenaan itu semestinya tepat. Inilah tipu daya musuh musuh Islam dalam proses membantu menterjemahkan kitab. Ada bahagian tertentu terjemahannya mungkin tidak tepat. Oleh itu amatlah merbahaya untuk cuma membuat fotokopi terjemahan dalam bahasa Inggeris sebagai dalil untuk digunakan dalam mahkamah umpamanya.

Justeru amat penting masyarakat mula belajar memahami Bahasa Arab supaya sekurang-kurangnya kita tidak menjadi seperti burung kakak tua yang hanya menyebut apa-apa yang diajar tetapi tidak memahami apa yang sedang di sebut.

30 Mac 2013

Hukum Mengenai Ahlul Zhimmah

Daulah Khilafah Islamiyyah secara berkesinambungan telah memerintah selama lebih 1300 tahun dan wilayah kekuasaannya meliputi hampir dua pertiga dunia. Dalam perjalanannya yang cukup lama ini, Islam telah diterima oleh pelbagai kaum dan keadilannya telah dikecapi oleh pelbagai bangsa di dunia ini. Rahsia kejayaan Islam dalam mengembangkan sayapnya ini terletak pada aqidahnya yang benar dan bertepatan dengan fitrah manusia. Kemurnian aqidah Islam mudah diterima oleh pelbagai bangsa. Setelah menganut Islam, mereka bukan setakat meyakini, malah menjadi pengembang aqidah dan Deen ini. Bagi yang kekal dalam kekafiran, mereka membayar jizyah, sebagai ketundukan mereka kepada Daulah Islam dan mereka mengecapi keadilan Islam sebagai warganegara Daulah. Mereka ini digelar sebagai Ahlul Zhimmah atau kadangkala disebut sebagai kafir zhimmi. Asal katanya adalah azh-zhimmah yang bererti al-'ahd atau perjanjian. Islam telah banyak menjelaskan tentang hukum Ahlul Zhimmah. Bahkan ada ulama yang menulis kitab khusus mengenai hukum-hukum Islam yang berkaitan dengan Ahlul Zhimmah. Misalnya Ibn Qayyim al-Jawziyah yang menulis kitab Ahkam Ahlul Zhimmah. Hukum-hukum yang bersangkutan dengan Ahlul Zhimmah merupakan suatu subjek yang luas. Namun di sini kami ketengahkan beberapa hukum utama mengenainya:

(a) Ahlul Zhimmah tidak boleh dipaksa masuk Islam. Rasulullah pernah menulis surat untuk penduduk Yemen,

"Siapa sahaja yang beragama Yahudi atau Nasrani, dia tidak boleh dipaksa meninggalkannya dan wajib atasnya jizyah" [HR Abu Ubaid].

Hukum ini berlaku untuk golongan kafir secara umumnya, termasuk yang beragama Hindu, Buddha mahupun Majusi. Mereka bebas menganut aqidah mereka dan menjalankan ibadah menurut keyakinan mereka.

(b) Ahlul Zhimmah wajib membayar jizyah kepada Daulah. Jizyah dipungut dari Ahlul Zhimmah lelaki, baligh dan mampu; Abu Ubaid radhiAllahu 'anhu meriwayatkan bahawa Khalifah Umar al-Khattab pernah mengirim surat kepada Amir al-Ajnad bahawa jizyah tidak diwajibkan ke atas perempuan, anak-anak dan mereka yang belum baligh. Bagi yang tidak mampu kerana cacat atau tua, Baitul Mal akan membantu pembayaran jizyah mereka. Pada saat pembayaran jizyah, Negara wajib melakukannya secara baik dan tidak boleh disertai penyiksaan atau kekerasan.

(c) Dibolehkan bagi kaum Muslimin memakan sembelihan dan bagi seorang Muslim untuk menikahi wanita Ahlul Zhimmah jika mereka adalah ahlul-kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani. Ini adalah berdasarkan firman Allah,

"Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan al-Kitab halal bagimu dan makanan (sembelihan) kamu halal bagi mereka. Demikian pula wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan dari orang-orang yang diberi al-Kitab sebelum kamu" [TMQ al-Maidah(5):5].

Namun begitu, jika Ahlul Zhimmah bukannya ahlul kitab, maka sembelihan dan wanita mereka adalah haram bagi seorang Muslim. Sebagai tambahan, adalah haram bagi seorang Muslimah untuk menikahi seorang lelaki ahlul kitab.

(d) Boleh dilakukan muamalah antara kaum Muslimin dengan Ahlul Zhimmah dalam berbagai bentuknya. Ini termasuklah jual beli, sewa menyewa, persyarikatan, pajak gadai dan sebagainya. Rasulullah pernah melakukan muamalah dengan kaum Yahudi di Khaibar di mana kaum Yahudi itu mendapatkan separuh dari hasil kurmanya. Cuma yang perlu diperhatikan di sini adalah bahawa setiap jenis muamalah ini mestilah menurut hukum Islam, bukannya hukum kufur.

(e) Ahlul Zhimmah adalah rakyat Daulah Islamiyyah. Mereka mendapatkan hak sebagaimana rakyat lainnya yang Muslim. Mereka mendapat hak perlindungan, pendidikan, keamanan, kesihatan dan diperlakukan secara baik dalam segala bentuk muamalah. Dilarang menyakiti Ahlu Zhimmah. Kedudukan mereka sama di hadapan penguasa dan hakim. Tidak boleh wujud sebarang perbezaan apa pun antara mereka dengan rakyat yang Muslim, kecuali dalam hal yang telah dijelaskan syara'. Negara Islam wajib berlaku adil kepada mereka sepertimana ia berlaku adil kepada rakyatnya yang Muslim.

Wahai kaum Muslimin! Hukum-hakam ini telah direalisasikan selama 13 abad dan selama itu, kesejahteraan dan keharmonian hakiki telah dikecapi oleh kaum Muslimin dan kafir zhimmi. Pelbagai peristiwa di dalam sejarah telah membuktikan hakikat ini. Ketika kaum Salibiyyin Nasrani ingin menghancurkan kaum Muslimin, mereka mengharapkan dua perkara yang membantu mereka. Salah satu darinya adalah harapan bahawa golongan Nasrani yang tinggal di dalam Daulah akan membantu mereka menghancurkan kaum Muslimin. Namun apa yang berlaku adalah amat memeranjatkan mereka. Golongan Nasrani (yang ada di dalam Daulah) telah bersama-sama dengan kaum Muslimin menentang kaum Salibiyyin. Bagi golongan Nasrani ini, mereka menganggap bahawa Daulah ini adalah tanah tumpah darah mereka, mereka hidup bersama-sama kaum Muslimin dengan kesejahteraan dan keadilan Islam. Mereka yakin hanya Islam sahajalah yang dapat menjamin hak-hak mereka dan mereka benar-benar hidup harmoni bersama kaum Muslimin di bawah naungan Islam. Dalam konteks ini, al-Qurafi menyebut:

'Adalah wajib bagi kaum Muslimin untuk melayan golongan zhimmi dengan kelembutan, membantu golongan fakir antara mereka, memberi makan bagi yang lapar antara mereka, memberi pakaian bagi yang tidak berpakaian antara mereka dan menyeru mereka dengan kata-kata yang baik. Kaum Muslimin juga harus sama-sama menanggung penderitaan jiran ahlul zhimmah mereka, meskipun sekiranya penderitaan itu berjaya diatasi; ini adalah sebahagian dari sifat pengasih yang perlu ada, bukan kerana mengagungkan mereka. Kaum Muslimin juga haruslah memberikan nasihat yang baik dalam setiap urusan kepada mereka, menghalang sesiapapun yang cuba mencederakan mereka serta menjaga harta benda, keluarga dan kemuliaan mereka. Pertahankan juga segala hak mereka dan layanilah mereka dengan penuh kemuliaan dan akhlak yang mulia' [Daulah Islamiyyah, Taqiyuddin An-Nabhani].

Wahai kaum Muslimin! Inilah layanan yang dijanjikan Daulah Islam kepada golongan kafir zhimmi. Banyak lagi catatan-catatan sejarah yang membuktikan kemaslahatan hakiki yang dinikmati oleh orang kafir yang hidup di dalam Daulah Khilafah, termasuklah yang ditulis oleh orang kafir itu sendiri, terutamanya para orientalis. Penerapan kaffah Islam oleh Rasulullah dan para Khalifah sesudahnya benar-benar telah membawa rahmat, keharmonian dan kesejahteraan kepada umat manusia sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Inilah rahmat yang datang dari Zat Yang Mencipta manusia, alam dan kehidupan. Pencipta yang sepatutnya dan sewajibnya disembah oleh semua manusia. Barangsiapa yang menyekutukanNya, maka nerakalah tempat kembali yang paling sesuai untuknya. Rahmat yang telah hilang sejak runtuhnya Daulah Khilafah ini Insya Allah, akan kembali diturunkan olehNya, apabila Khilafah memerintah dunia sekali lagi dan menerapkan segala hukum-hakamNya. Di ketika dan saat itu, manusia akan berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah dan meninggalkan segala kekufuran. Semoga Allah menyegerakan kembalinya hari tersebut kepada kita. Amin ya Rabbal 'alamin.

Susah Sangatkah Untuk Bersatu?

Orang Melayu akan hilang kuasa! Demikianlah nada kebimbangan yang diluahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri  Harussani Zakaria ketika merasmikan Perhimpunan Melayu  Perak anjuran Gagasan Melayu Perak di Ipoh baru-baru ini. Kenyataan itu dibimbangi menjadi realiti sekiranya UMNO dan PAS terus berdegil untuk tidak bersatu, terutamanya selepas piliharaya umum ke-13 (PRU-13) yang akan datang. Rentetan dari kenyataan tersebut beberapa pemimpin parti yang terlibat turut mula bersuara melalui media massa. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu haruslah dijadikan iktibar kepada semua pihak supaya lebih mengutamakan perpaduan. [Utusan Online 19/7/2010]. Lain pula halnya dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menolak sama sekali hasrat Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan supaya UMNO dan parti itu segera menamatkan persengketaan melalui satu pelan damai demi perpaduan umat Islam di negara ini. Beliau juga menyifatkan orang tengah yang cuba mendamaikan kedua-dua parti politik terbesar itu sebagai 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong' kerana PAS tidak memerlukan pihak ketiga untuk tujuan tersebut. Manakala Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, hanya dengan kembali bersatu menurut 'rukun ibadah' sahaja yang berkesan untuk mewujudkan penyatuan umat Islam di negara ini dan ia tidak perlu bergantung kepada parti politik semata-mata, tidak kira PAS ataupun UMNO. Persoalannya ialah apakah susah sangat untuk umat Islam itu bersatu?

Umum mengenali UMNO merupakan sebuah parti politik yang memperjuangkan ketuanan Melayu; mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara [Fasal 3 Perlembagaan UMNO]. Ia mengakui mempunyai jumlah ahli terkini seramai 3 186 850 orang dan merupakan parti Melayu yang terbesar di Malaysia. Sedangkan PAS, yang asas penubuhannya berdasarkan Islam pula, memperjuangkan kewujudan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah [Fasal 5 Perlembagaan Pas]. Namun, berikutan dari kehilangan pengaruh UMNO-BN dalam pilihanraya ke-12 baru-baru ini, PAS dilihat sebagai salah satu alternatif UMNO untuk bergabung bagi mengembalikan kekuatannya. Dari perspektif itulah, Nik Aziz menolak sebarang usaha untuk menyatukan kedua-dua parti Melayu tersebut kerana sejarah hitam PAS sekitar 1978 melakar gurisan pedih yang menjadikannya serik untuk bergabung semula dengan UMNO. [Utusan Online 26/7/2010]. Demikianlah warna-warni politik yang ada hari ini terutama di Malaysia, masing-masing memiliki pendirian dan pandangan tertentu dalam persoalan penyatuan seluruh umat Islam di Malaysia. Tindakan mereka itu menampakkan kepada umum seolah-olah umat Islam ini adalah umat yang sangat sukar untuk bersatu, sedangkan hakikatnya mereka menyembah tuhan yang satu, nabi mereka satu, kiblat mereka pun satu dan al-quran mereka juga satu. Namun begitu, sekalipun mereka menyeru untuk bersatu, kesatuan itu bukan secara global iaitu bersatunya seluruh dunia umat Islam dibawah seorang khalifah yang memerintah dengan hukum al-quran dan as-sunnah. Bagi mereka cukup bersatu pada asas negara bangsa, OIC, D8 dan seumpamanya Mereka tidak langsung menyelami permasalahan yang berlaku dan hakikat penyelesaiannya. Mereka nampaknya lebih mengutamakan parti bahkan seolah-olah sedang mabuk dirasuk sindrom gila kuasa!

GILA KUASA UNTUK RASIS?

Dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang lepas, rata-rata ianya memihak kepada Pakatan Rakyat (PR). Para penganalisis politik melihat bahawa salah satu faktor kemenangan PR adalah kerana pengundi bukan melayu semakin menerima gagasan atau manifesto PR. Ada kebenarannya apabila statistik sokongan pengundi bukan Melayu terutama masyarakat Cina adalah sesuatu yang luar biasa jumlahnya berbanding dengan sebelumnya. Maka sejak itu, UMNO-BN berkempen untuk meraih semula pengaruh undi bukan Melayu namun masih belum berjaya. Salah satu alternatif lain, untuk kembali memperkasakan kedudukan Melayu dalam landskap politik tanah air, maka PAS dilihat sebagai tempat untuk 'berpaut' terutama menjelang PRU-13 nanti. Dari itu, polemik penyatuan ini mula berkumandang disana-sini. Mengapa senario ini timbul? Tidak lain tidak bukan adalah kerana UMNO-BN ingin terus berkuasa. Dipihak yang satu lagi pula, mengapa tawaran untuk bersatu itu ditolak oleh PAS? Jawapannya mungkin kerana ingin melihat UMNO-BN jatuh dari kekuasaannya. Jelas kita dapat melibat betapa sistem demokrasi yang ditunggangi oleh kedua-dua parti politik ini telah berjaya menghasilkan konfik sesama umat Islam. Apakah parti politik Melayu/Islam ini sedar bahawa dasar negara yang ada hari ini adalah merupakan satu masalah utama yang wajib ditukar kepada sistem Islam? Apakah kedua-dua golongan ini tidak menyedari nasionalisme dan patriotisme adalah asas yang tidak layak dijadikan sebagai pengikat antara sesama manusia! [Rujuk SN138-ASSABIYYAH dan WATHANIYYAH-Pencetus Malapetaka Dan Perpecahan]

Betapa tidak, UMNO sentiasa menyerukan agar kaum Melayu dipertuankan di Malaysia, ini membawa konotasi sebaliknya apabila kaum bukan Melayu seolah-olah dianak-tirikan. Kaum Melayu mendapat hak istimewa dalam aspek pengagihan kekayaan dan kuasa, sedangkan kaum selainnya tidak. Jelas bagi kita ianya merupakan suatu idea rasis (perkauman) yang membahayakan kemakmuran hidup bernegara. Begitu pula sekiranya agenda perjuangan hanya ditumpukan kepada suatu sempadan negara sahaja. Maka ia juga merupakan sesuatu yang mengundang kerosakan hidup bernegara kerana bagi pendatang luar, baik yang dibenarkan ataupun sebaliknya, jika tidak dapat dikawal jumlahnya boleh menyebabkan kerusuhan, porak peranda bahkan boleh jadi sampai keperingkat penjajahan. Semua ini merupakan manifestasi dari kegagalan nasionalisme dan patriotisme sebagai pengikat hubungan antara sesama manusia. Ia sangat lemah, rendah nilainya serta bersifat sementara, tidak sesuai bagi kehidupan manusia!

Lain pula bagi Islam sebagai suatu mabda, dimana pada hakikatnya ia telah terbukti mampu mengikat hubungan
antara sesama manusia dalam suatu wadah yang menyerlahkan keharmonian dan kesejahteraan [Rujuk SN094 - HIDUP HARMONI HANYA DI BAWAH NAUNGAN ISLAM] bahkan jauh lebih dari itu, Islam pernah menyatukan seluruh bangsa yang wujud dari Andalusia mengunjur ke Nusantara selama ribuan tahun! Ini suatu yang menakjubkan, inilah bukti sebenar kekuatan Islam yang mampu menjadi dasar penyatu seluruh umat manusia. Islam tidak membenarkan ikatan yang berasaskan nasionalisme, patriotisme, manfaat serta ikatan-ikatan lain yang merosakkan kehidupan manusia.

SEJARAH PENYATUAN ISLAM

Ketika di Mekkah, Rasulullah SAW mendakwahi Islam kepada seluruh manusia agar memeluk deenullah itu, dan seterusnya membentuk kutlah (kelompok) Islam. Dengan kutlah itu, Islam disebar di tengah-tengah kehidupan masyarakat Arab Mekkah. Kaum muslimin menghadapi pelbagai ujian dan rintangan yang hebat dari masyarakat jahiliyyah, biarpun begitu Rasulullah SAW tetap terus melakukan dakwah sehingga datang perintah Allah SWT agar berhijrah ke Madinah. Namun begitu suatu hal yang perlu diperhatikan disini ialah Rasulullah SAW tidak pernah memerintahkan para sahabat untuk bersikap uzlah (mengasingkan diri) dan membina kekerabatan tanpa mencampuri masyarakat, bahkan mereka tinggal bersama masyarakat dan mendakwahkan Islam; baik akidah mahupun syariatnya. Tatkala penghijrahan dilaksanakan, Rasulullah SAW mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar demi mencapai suatu sasaran yakni ukhuwwah Islamiyyah disamping membentuk ikatan akidah yang mantap dikalangan mereka. Selain itu, ikatan Islam tersebut membentuk kehidupan yang lebih kuat dalam erti kata persaudaraan dan bantuan kebendaan kerana golongan Ansar sangat bermurah hati. Rasulullah SAW mempersaudarakan dirinya dengan Ali bin Abi Talib, Hamzah dengan Zaid bin Haritsah, Abu Bakar dengan Kharijah bin Zaid. Baginda juga mempersaudarakan Umar Al-Khattab dengan 'Atban bin Malik al-Khazra'iy, Thalhah bin 'Ubaidillah dengan Abu Ayyub al-Ansariy, Abdul Rahman bin 'Auf dengan Saad bin Rabi'. Ketika berlaku perselisihan diantara kaum Ansar (puak Aus dan Khazraj) setelah mereka memeluk Islam, Allah SWT menurunkan beberapa firmanNya bagi mendamaikan keadaan tegang tersebut. Menurut Ibnu Ishaq dan Abu Asy-Syaikh yang bersumber dari Zaid bin Aslam meriwayatkan bahawa turunnya ayat 99-103 surah Ali-Imran adalah bersabit dengan kejadian seorang yahudi bernama Syash bin Qais yang tampil ditengah-tengah kaum muslimin serta melaga-lagakan sesama mereka hingga timbul perbalahan. Syash bin Qais dibantu seorang pemuda yang juga anak buahnya menggunakan isu perang Bu'ats untuk melagakan kaum Aus dan Khazraj. Hasil pojokan si yahudi ini, maka bangkit Aus bin Qaizhi serta Jabbar bin Sakhr yang masing-masing mengagung-agungkan kaum sendiri serta berbalah hingga hampir bergelut, maka datang Rasulullah SAW mendamaikan semula keadaan dengan membacakan ayat-ayat Allah SWT tadi.

Begitu jugalah dengan keadaan realiti hari ini, umat Islam yang dahulunya hidup bersatu dibawah naungan Khilafah selama 1300 tahun lamanya sebagai satu bangsa yang tidak mengenal warna kulit, asal-usul (keturunan), bahasa dan budaya; semuanya hidup bersatu dengan ikatan Islam. Suatu ikatan yang berjaya menambat hati-hati manusia kepada Allah baik yang tinggal di Andalusia (Sepanyol), Maghribi, Mesir, Tanah Arab, Khurasan waimma di Nusantara. Semuanya menikmati nikmatnya kesatuan akidah, masing-masing hidup damai dengan syariah. Namun setelah kehidupan umat Islam dilanda badai sekularisme yang mendukung idea-idea perpecahan seperti nasionalisme dan patriotisme, maka kehidupan kaum muslimin terus berantakan dan berselerakkan. Masingmasing dijajah dan dipecah-belah menjadi serpihanserpihan kecil. Negeri-negeri kecil kaum muslimin ini menjadi lemah dan dengan begitu mudahnya diratah oleh kuasakuasa kufar barat sepertimana yang kita saksikan hari ini. Sistem pemerintahan demokrasi yang dipaksakan oleh kufur barat keatas kaum muslimin telah berjaya mengkucarkacirkan politik mereka. Mereka berbalah sesama sendiri, berpecah menjadi simpang-siur dan hati-hati mereka terus bermusuhan, benci membenci, jatuh-menjatuh antara sesama mereka. Semua ini persis seperti kehidupan jahiliyyah sebagaimana yang dikhabarkan kepada kita melalui nas-nas yang sahih. Malangnya, kita tetap tidak mengambil pengajaran dan iktibar darinya. Dengan nasionalisme dan patriotisme yang sedang mendarahdaging dalam tubuh umat Islam hari ini, kita tidak merasakan kesatuan dikalangan kaum muslimin. Bahkan wujud pula ditengah-tengah kehidupan ini undang-undang yang memisahkan hubungan sesama kaum muslimin. Di Malaysia, warga negara luar biarpun beragama Islam dilayan sebagai warganegara asing walaupun mereka seaqidah dengan kita. Hak dan keistimewaan adalah berbeza menurut peruntukan undang-undang thagut ciptaan manusia. Ini membuktikan bahawa nasionalisme dan patriotisme merupakan ideologi kufur yang membeza-bezakan individu muslim antara sesamanya. Inilah penyakit masyarakat yang melanda dunia hari ini dimana nilai kemanusiaan telah tersingkir dari kehidupan dan kemuliaan Islam.

Khatimah

Sedarlah wahai kaum muslimin. Bahawa sesungguhnya nasionalisme dan patriotisme merupakan racun berbisa yang menghancurkan kesatuan umat Islam, baik dahulu mahupun sampai bila-bila. Ia pernah menghancurkan Khilafah Uthmaniyyah suatu ketika dahulu. Kini ia sedang menjalar dalam tubuh umat Islam agar kita tetap hidup dalam perpecahan. Apakah kalian masih redha tinggal dalam ruang yang sempit, terkebelakang dan tercorot ini? Kalian sepatutnya keluar dari kesempitan nasionalisme dan patriotisme menuju keluasan dunia dengan Islam. Kita pernah sama-sama memayungi lebih dua pertiga daratan dengan Khilafah yang mendukung aspirasi syariah bagi seluruh umat manusia berbilang bangsa. Apakah kalian hanya sekadar suka mendengar dan tersenyum membaca sejarah gemilang itu tanpa bangkit memperjuangkannya semula? Wahai kaum muslimin! Hentikanlah polemik politik kepartian yang sempit itu. Kita tidak sepatutnya lemah dan melemahkan antara sesama kita. Sebenarnya, kita menjadi lemah kerana diracun oleh nasionalisme dan patriotisme biarpun akal dan hawa nafsu kita menterjemahkan pengertian bersatu memperkasa ummah! Tapi selagi langkah kita berada dalam ruang yang dijajah oleh ideologi kufur itu, maka selagi itulah kita terpenjara dan memenjara saudara kita yang lain. Ini merupakan kezaliman yang kita cipta baik untuk diri sendiri mahupun kepada yang lain. Kita tidak sepatutnya menyusun agenda bersatu dengan mesyuarat, resolusi, rundingan dan meletakkan pelbagai syarat, padahal Allah dan RasulNya telah jelas-jelas memerintahkan agar kita sentiasa hidup bersatu! Baik dalam kesatuan aqidah mahupun syariah. Sudah pastinya, kita wajib mengembalikan kesatuan ini dalam bentuk asal seperti yang diwariskan oleh junjungan besar kita, Muhammad SAW yakni kehidupan dibawah payung Khilafah Rasyidah 'Ala Minhaj An-Nubuwwah. Ayuh kita tinggalkan ikatan nasionalisme dan patriotisme yang beriringan dengan sistem demokrasi yang wujud ini kerana ianya tiada bermanfaat bagi manusia yang berakal, bahkan ia muncul dari benak manusia yang tidak bertamadun lagi hina. Dan formula hakiki yang perlu digunakan hari ini agar munculnya kesatuan umat Islam itu ialah dengan membuang segala bentuk pemikiran kufur seperti sekularisme, nasionalisme dan patriotisme yang ada ditengah-tengah umat ini dan seterusnya bergerak bersatu dibawah naungan Khilafah. Itulah kesatuan yang digeruni oleh kufar barat sebenarnya.