27 Mei 2013

Muhasabah Terbuka buat Gerakan Islam.-HTM

Umat Islam pernah hidup di bawah naungan Khilafah selama lebih 1300 tahun, bermula dari tegaknya Daulah Islam yang pertama di Madinah sehinggalah kepada keruntuhanDaulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924) di Turki. Selama lebih 13 abad, umat Islam berada di bawah satu payung pemerintahan dan di bawah satu bendera. Umat Islam menjadi umat yang mulia, umat yang terbaik, umat yang disegani kawan dan lawan. Hukum Allah SWT yang penuh keadilan dan keberkatan diterapkan oleh Khalifah dan kebaikannya dirasai oleh segenap lapisan manusia. Peradaban Islam memancarkan cahaya yang bergemerlapan ke seluruh penjuru alam sehingga dunia menjadi terang benderang kerananya. Daulah Khilafah menjadi super power dunia sehingga tidak ada satu kekuatan pun yang dapat menandinginya.

Namun, kafir Barat yang iri hati dan mendendami Islam sejak sekian lama, akhirnya berjaya memasukkan racun berbisa, assabiyyah dan wathaniyyah ke dalam tubuh umat Islam sehingga tubuh yang gagah perkasa itu mengalami kehancuran dari dalam dengan kehancuran yang sangat cepat dan membinasakan. Barat seterusnya berjaya menjajah Daulah Islam, mencerai-beraikan Negara Islam kepada negeri-negeri yang kecil dan lemah dan meletakkan umat Islam dalam keadaan yang cukup terhina. Barat lalu menghapuskan sistem Khilafah dan menghunjamkan ke tanah kaum Muslimin satu sistem baru yang tidak pernah dikenal oleh umat Islam iaitu sistem demokrasi. Barat mengajar umat Islam bahawa sistem demokrasi adalah satu-satunya sistem yang terbaik dan lebih layak untuk umat Islam, berbanding dengan sistem Khilafah yang dikatakan penuh keburukan. Sejak itulah bermulanya era pemerintahan demokrasi di tanah-tanah kaum Muslimin sekali gus menandakan berakhirnya sebuah sistem pemerintahan yang datangnya dari Tuhan manusia dan diganti dengan satu sistem pemerintahan yang datangnya dari akal manusia!

Demokrasi Penghalang Islam

Setelah Barat berjaya menghapuskan Khilafah dan memecah-belahkan negara kaum Muslimin kepada negara-negara kecil yang lemah dengan sempadan bangsa masing-masing, maka sistem Khilafah tidak lagi berjalan di muka bumi dan digantikan dengan sistem demokrasi. Melalui demokrasi, Barat mengajar bahawa kedaulatan itu berada di tangan rakyat (as-siyadah li asy-sya'bi) yang menjadikan suara rakyat sebagai suara keramat di mana rakyat berhak menentukan hukum sendiri menurut apa yang mereka kehendaki. Walhal, Islam mengajar bahawa kedaulatan itu berada di tangan syarak (as-siyadah li asy-syarie) di mana rakyat wajib tunduk kepada hukum syarak dan rakyat tidak boleh (haram) untuk membuat hukum sendiri. Namun, oleh kerana para penguasa kaum Muslimin yang ada adalah boneka Barat dan pada masa yang sama taraf berfikir umat sungguh merosot ketika itu, maka penerapan sistem demokrasi dapat dilakukan oleh Barat dengan mudah.

Barat mengajar umat Islam bagaimana untuk memerintah negara dan membuat undang-undang, berdasarkan akal sendiri. Caranya adalah dengan mengadakan pilihan raya untuk memilih wakil-wakil, di mana wakil-wakil yang menang akan pergi ke Parlimen (dan Dewan Undangan Negeri) dan di sini akan berlakunya proses pelantikan pemimpin (oleh parti yang menang) manakala kesemua wakil diberi hak untuk membuat undang-undang yang (kononnya) dikehendaki oleh rakyat yang mereka wakili. Maka wujudlah bermacam-macam parti, termasuklah parti-parti Islam, yang bersaing untuk mendapatkan kekuasaan melalui cara yang ditetapkan oleh Barat ini. Parti Islam ini tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya telah terjebak ke dalam permainan yang dicipta oleh kuffar Barat. Niat mereka asalnya baik, yakni ingin menegakkan Islam, tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka telah mengikuti jalan yang Barat sediakan.

Dalam permainan demokrasi ini, parti yang mendapat undi majoriti dikira mendapat mandat (dari rakyat) untuk memerintah dan membuat undang-undang. Namun ternyata, setelah mereka menang, sebahagian besar undang-undang yang dibuat bukanlah mengikut kehendak rakyat, sebaliknya mengikut hawa nafsu mereka sendiri, manakala rakyat terus dizalimi dan diperbodohkan. Setelah sekian lama merasa tertindas dan dizalimi oleh para pemimpin yang kononnya memerintah atas kehendak rakyat ini, rakyat akhirnya sedar dan menuntut perubahan. Rakyat bangkit untuk menggantikan pemimpin dan parti yang memerintah dengan parti dan pemimpin yang baru. Malangnya rakyat tidak sedar bahawa tuntutan perubahan mereka masih tetap dilakukan melalui sistem yang sama (demokrasi). Rakyat tidak nampak bahawa sistem demokrasi itu sendirilah yang sebenarnya menjadi penyebab kepada berlakunya kezaliman. Atas usaha untuk menghapuskan kezaliman, maka parti-parti yang ada, termasuklah parti Islam, sanggup melakukan apa sahaja (tetapi masih dalam koridor demokrasi) demi mencapai kemenangan, termasuk bergabung dengan parti kufur dan parti sekular dalam rangka menumbangkan parti pemerintah.

Benar bahawa kita semua tidak mahukan kezaliman dan ia wajib dihapuskan. Sayangnya, makna kezaliman telah disempit dan disalahertikan. Allah SWT berfirman, "Barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim" [TMQ al-Ma'idah (5):45]. Ayat ini menjelaskan maksud kezaliman iaitu apabila manusia tidak menerapkan hukum Allah SWT. Ini bermakna, apa jua hukum (undang-undang) yang digubal oleh manusia di bawah sistem demokrasi, adalah kezaliman! Sistem demokrasi itu sendiri yang tidak berasal dari wahyu, yang jelas berasal dari kuffar Barat dan bertentangan dengan Islam, adalah sebuah kezaliman! Dengan kata lain, mengambil sistem demokrasi dan apa sahaja yang lahir dari rahim sistem kufur ini, segala-galanya adalah zalim kerana ia berlawanan dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT. Oleh itu, sekiranya kita ingin menghapuskan kezaliman, maka sistem demokrasi yang kufur inilah yang sebenarnya perlu dihapuskan kerana sistem inilah yang merupakan punca dan sumber kepada segala kezaliman! Malangnya gerakan Islam tidak sedar akan hal ini kerana mereka telah terbius dan terpukau dengan 'keindahan' demokrasi!

Gerakan Islam tidak sedar bahawa demokrasilah yang selama ini menjadi penghalang kepada tegaknya agama Allah. Demokrasilah yang selama ini menyebabkan umat Islam berpecah belah. Pilihan raya yang ada di dalam sistem demokrasi begitu ketara di dalam memporak-perandakan umat Islam di dalam sesebuah negara. Selagi umat Islam mengambil demokrasi, selagi itulah mereka akan sentiasa terpecah-belah, lemah dan terhina. Selagi wujudnya demokrasi, selagi itulah umat Islam tidak akan bersatu dan sempadan palsu negara bangsa akan terus wujud. Palestin tidak akan dibebaskan oleh pemerintah yang menganut demokrasi. Umat Islam di Myanmar akan terus dibunuh dan tidak akan dibebaskan oleh pemerintah negara demokrasi. Pemimpin umat Islam yang demokratik akan terus tunduk kepada Amerika Syarikat dan akan terus berkhidmat kepada PBB. Pendek kata, perpecahan, penderitaan dan kehinaan akan terus menimpa umat Islam selagi mana mereka berpegang teguh kepada demokrasi.

Justeru, gerakan Islam sepatutnya sedar bahawa jika mereka ingin menghapuskan kezaliman dan ingin kembali kepada keadilan, kemuliaan, penyatuan dan kerahmatan daripada Allah SWT, maka sistem demokrasi inilah yang mesti dihapuskan terlebih dahulu. Sistem demokrasi adalah sistem kufur yang dibawa masuk ke negara umat Islam bagi menghalang penegakan agama Allah. Parti-parti yang berjuang dalam demokrasi dan tunduk kepada kehendak rakyat (bukan kehendak Allah), sesuai dengan falsafah demokrasi, sudah pasti tidak akan menerapkan Islam. Kilang arak, judi dan segala pusat maksiat akan terus subur di dalam negara demokrasi, tidak kira siapa pemerintahnya sekalipun. Semulia mana sekalipun peribadi seseorang pemimpin, dia akan tetap terhina apabila menjadi pemimpin dalam sistem yang buruk ini. Sebersih mana sekalipun peribadi seseorang ulama, kekotoran akan tetap terpalit di wajah dan hatinya apabila ia menceburkan dirinya ke dalam sistem yang kotor ini. Sebaik mana sekalipun keadaan hidup di bawah sistem demokrasi, sungguh tidak ada gunanya kerana ia berlawanan dengan Islam. Seindah mana sekalipun yang tampak pada sistem demokrasi, ia tetap merupakan sebuah sistem kufur!

Tinggalkanlah Sistem Kufur Itu

Wahai para pejuang Islam yang ikhlas! Kalian sudah lama berjuang tanpa mengenal penat dan lelah. Kalian sanggup berkorban apa sahaja di dalam perjuangan ini. Kalian telah menghabiskan banyak masa, tenaga, wang, harta benda dan hampir segala-galanya yang kalian ada, demi memastikan perjuangan kalian mencapai kejayaan. Kalian juga telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran, dipukul, ditangkap, diheret ke mahkamah dan ada yang dipenjarakan. Pendek kata, bukan sahaja harta dan badan, nyawa pun kalian sanggup jadikan sebagai galang ganti di dalam perjuangan ini. Sesungguhnya apa jua yang kalian lakukan dengan niat yang ikhlas dan tindakan/jalan yang menepati kehendak Allah SWT, maka kalian berhak mendapat ganjaran di sisiNya. Namun, jika niatnya betul tetapi tindakan tidak menepati kehendakNya, ia akan tetap menghasilkan kesalahan. Contohnya, niat yang ikhlas ingin berpuasa tetapi dilakukan pada hari raya, maka hal ini tetap menyalahi perintahNya. Justeru, niat yang ikhlas untuk menegakkan agama Allah hendaklah diikuti dengan jalan yang benar yang ditetapkan oleh Allah juga.

Saudaraku para pejuang Islam sekalian! Kalian telah lama bergelumang dan berjuang di jalan demokrasi. Kalian memasuki pilihan raya di dalam sistem kufur ini dan mengharapkan dapat meraih kemenangan dan pemerintahan dalam rangka untuk menegakkan Islam. Kalian mengerahkan seluruh tenaga dan kekuatan demi mencapai cita-cita. Kalian berjaya mengerahkan para pemuda, wanita dan orang-orang tua di jalan ini. Sudah puluhan tahun kalian istiqamah di dalamnya walaupun kalian tahu yang kalian telah ditipu sejak awal dan terus ditipu dan terus ditipu dan akan terus ditipu. Akhirnya, apa yang kalian dapat ialah kekalahan demi kekalahan dan jika kalian menang sekalipun, Islam tetap tidak dapat ditegakkan melalui jalan yang kalian ambil itu. Semua ini menyebabkan semangat dan kekuatan yang luar biasa yang kalian miliki itu terbuang begitu sahaja. Walaupun kalian boleh mendakwa bahawa kalian telah mencapai sedikit kemenangan, namun persoalannya, adakah Islam berjaya ditegakkan dengan sedikit kemenangan yang dicapai itu? Jawablah persoalan ini dengan hati yang ikhlas dan terbuka, bukan dengan perasaan benci dan dendam.

Wahai gerakan Islam! Kenapakah kalian terus kalah, manakala musuh terus menang? Tidakkah kalian nampak bahawa hal ini berlaku kerana kalian sesungguhnya berjuang di jalan musuh? Kalian mengambil sistem demokrasi yang datangnya dari musuh Allah. Kalian bertanding di gelanggang yang dibuat oleh musuh. Kalian menggunakan senjata pihak musuh. Kalian diadili oleh pengadil yang berpihak kepada pihak musuh dan kalian mengharapkan yang pengadil ini berlaku adil. Dengan semua ini, apakah kalian merasakan yang pihak musuh akan memberikan kemenangan kepada kalian? Sekuat mana sekalipun kalian, namun apabila kalian telah masuk ke dalam perangkap musuh, maka kalian tidak akan dapat berbuat apa-apa!

Kalian bersungut dan melakukan protes, baik sebelum mahupun sesudah setiap kali pilihan raya. Kalian menuntut keadilan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya. Kalian menuntut agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja, Suruhanjaya Siasatan Bebas dan macam-macam lagi. Tidakkah kalian nampak bahawa berapa banyak dari tuntutan kalian itu tidak pernah dipenuhi? Jika dipenuhi sekalipun, tidakkah kalian sedar yang siapa pun yang dilantik menganggotai Suruhanjaya-suruhanjaya tersebut adalah terdiri daripada orang-orang yang tidak pernah menyebelahi kalian? Tidakkah kalian nampak yang jika tuntutan kalian dilayan sekalipun, kalian tidak pernah menang? Tidakkah kalian nampak bahawa sejak dulu hingga kini, pilihan raya tidak pernah dan tidak dapat merubah keburukan kepada kebaikan? Hal ini tidak lain kerana pilihan raya dalam sistem demokrasi bukanlah didesign untuk menukar sistem kufur kepada sistem Islam. Justeru, apakah kalian masih menaruh harapan dan berpendapat bahawa demokrasi dan pilihan raya adalah jalan terbaik dalam melakukan perubahan atau jalan terbaik untuk mendapatkan kekuasaan?

Bukalah matamu wahai para pejuang Islam! Sesungguhnya tidak ada kebaikan sedikit pun di dalam sistem demokrasi, walaupun kalian menyangka bahawa ada kebaikan di dalamnya. Ini kerana, sistem ini adalah bertentangan dengan Islam. Mana mungkin adanya kebaikan apabila sesuatu itu menyalahi Islam? Mana mungkin ada kebaikan apabila berjuang meraih pemerintahan melalui jalan yang bertentangan dengan wahyu? PRU-13, sebagaimana PRU-PRU sebelum ini, tidak pernah membawa kebaikan kepada umat Islam. Malah, pilihan raya itu sebenarnya menjadi pentas di mana umat Islam bercakaran sesama sendiri sejak dulu. Segala bentuk kemaksiatan seperti penipuan, fitnah, makian, hasutan, rasuah, pergaduhan  dan pelbagai lagi dapat disaksikan setiap kali pilihan raya. Parti mana pun yang menang , baik di peringkat persekutuan mahupun negeri, tidak pernah menegakkan dan tidak pernah berjaya menegakkan hududullah. Pilihan raya dalam sistem demokrasi mungkin sahaja dapat menukar wajah para pemimpin tetapi tidak pernah dan sekali-kali tidak akan dapat menukar wajah kufur demokrasi kepada wajah Islam!

Sedarlah wahai saudaraku! Sesungguhnya siapa jua yang memilih demokrasi, bermakna dia telah memilih untuk meninggalkan Islam. Dia telah memilih jalan yang diredhai oleh Yahudi dan Nasara. Dia telah memilih agar dirinya dan negaranya diatur oleh kitab Lord Reid, bukannya oleh Kitab Allah. Sebagai gerakan Islam dengan bilangan ahli yang ramai, kalian sesungguhnya mempunyai kekuatan untuk menegakkan agama Allah, tetapi kalian telah mensia-siakan kekuatan itu apabila kalian mengambil demokrasi. Kekuatan kalian berjaya dilumpuhkan dengan mudah oleh pihak musuh, kerana kalian telah mengambil racun yang diberikan oleh musuh dan kalian dengan sukarela dan dengan bersungguh-sungguh menelannya.

Khatimah

Wahai para pejuang Islam yang ikhlas! Kalian sanggup dan kalian telah melakukan segala-galanya demi demokrasi hatta segala harta, badan dan nyawa sanggup kalian korbankan! Namun kalian tidak pernah mencapai apa yang kalian mahukan. Tidak cukupkah semua itu menjadi pengajaran buat kalian? Tidakkah kalian terfikir bahawa satu-satunya perkara yang belum kalian lakukan ialah meninggalkan demokrasi dan menegakkan Khilafah? HizbutTahrir dengan ini ingin mengingatkan dan menyampaikan berita gembira kepada kalian. HizbutTahrir ingin mengingatkan kalian bahawa demokrasi itu adalah sistem kufur dan haram untuk diambil. Manakala berdasarkan nas-nas yang qath'ie lagi jelas, menegakkan Khilafah itu adalah wajib. Maka kalian wajib meninggalkan keharaman dan menunaikan kewajipan ini tanpa sebarang alasan. HizbutTahrir ingin mengingatkan kalian bahawa Islam tidak akan tegak dengan demokrasi tetapi Insya Allah Islam akan pasti tegak dengan Khilafah. HizbutTahrir ingin menyampaikan berita gembira bahawa berdirinya semula Khilafah itu adalah janji Allah dan janji Allah itu pasti berlaku. Sesungguhnya Khilafah itu sudah sangat hampir, dengan izin Allah. Marilah bergabung bersama para syababHizbutTahrir yang sedang berjuang menegakkan Khilafah di seluruh dunia. Marilah berganding bahu untuk merealisasi penegakan Khilafah di samping sentiasa menadah tangan memohon kepada Allah Azza wa Jalla agar kita sempat menyambut ketibaannya dan bernaung di bawahnya. Amin ya Rabbal alamin.

19 Mei 2013

Strategi Amerika Menghadapi Kebangkitan Islam

Buku Bertajuk Civil Democratic Islam: Partners, Resources, Strategies ini adalah kajian CIA yang dikeluarkan melalui agensi dibawahnya National Security Research Division (RAND).

Sememangnyaa RAND telah sekian lama menjalankan kajian terhadap umat Islam dan merupakan think tank bagi tindakan strategic US terutama bagi menghadapi kebangkitan Islam. Buku Civil Democratic Islam (CDI) ini boleh dikatakan antara kertas kerja yang paling progresif pernah dikeluarkan oleh RAND. Melihat tajuknya serba sedikit telah menggambarkan apa kandungan intipatinya.

Dalam pendahuluan bagi buku ini, tanpa selindung penulis mengumumkan bahawa musuh utama dunia (baca: US) adalah Islam yang akan menyebabkan perubahan ideology baru dunia. Maka buku ini adalah strategi yang perlu diambil US untuk menghalang kebangkitan ini. CDI mengklasifikasikan ummat Islam kepada 4 golongan yang mana setiap golongan ini mempunyai penerimaan yang berbeza terhadap nilai-nilai barat dan strategi menghadapi mereka juga berbeza.

Golongan pertama, adalah golongan fundamentalis. Ciri utama golongan fundamentalis adalah mereka sama sekali menolak demokrasi, hak asasi manusia dan seluruh nilai-nilai barat. Inilah musuh US yang tidak boleh bertolak-ansur. Mereka secara spesifik merujuk kepada gerakan yang menolak sama sekali nilai barat seperti demkorasi, menuju menegakkan khilafah seperti  gerakan-gerakan jihad sperti al-Qaeda,Taliban,Abu Sayyaf,Jemaah Islamiyah, Hizbut Tahrir dan sebagainya serta di label sebagai terrorist.

Golongan kedua, adalah golongan tradisionalis. Golongan tradisionalis ini lebih menumpukan soal kerohanian dan keilmuan. Walaupun ada yang terlibat dengan politik, tetapi pemikiran mereka lebih tertumpu soal kerohanian. Golongan yang dikaitkan adalah seperti golongan sufi, ahli kalam dan wahabi dan ulama-ulama yang lebih cenderung berbahas ilmu.

Golongan ketiga, adalah golongan modenis.  Golongan modenis ini mereka mahu melihat Islam menjadi sebahagian dari kemajuan global. Mereka memberi nafas Islam bagi nilai-nilai barat seperti demokrasi, hak asasi manusia, perekonomian dan nilai-nilai lain. Ia merujuk kepada sesetengah  ulama' dan pemikir Islam hari ini.

Golongan yang keempat, adalah golongan secular yang telah mengikut acuan barat termasuk pemerintah yang ada dan tokoh-tokoh pemikir mereka.

Jika kita teliti,US menjadikan sejauh mana  penerimaan atau penolakan ummat Islam kepada nilai-nilai barat seperti demokrasi, hak asasi manusia, perundangan, ekonomi dan nilai-nilau utama lain untuk mengklasifikasikan ummat Islam. Kita tidak terperangkap dengan klasifikasi ini kerana sebenarnya mereka mengklasifikasikan ummat Islam untuk kepentingan mereka menghadapi kebangkitan Islam. Dari situ mereka menetapkan kaedah dan strategi berbeza,  bergantung kepada bentuk pemikiran ummat Islam.

Dalam bab yang kedua, dibahaskan strategi untuk mencari 'partner' untuk apa yang mereka sebut menerima demokrasi Islam. Dalam perenggan yang pertama digariskan bahawa, mempromosi demokrasi dalam dunia Islam dan membantu perlaksanaannya adalah suatu tindakan jangka panjang untuk usaha menentang kebangkitan Islam. Dari penulisan buku ini, mereka seringkali menegaskan bahawa sokongan yang sekian lama diberikan kepada golongan sekular- golongan pemerintah dan pemikir sekular- bukan lagi tindakan yang semestinya tepat untuk keadaan geopolitik hari ini. Ini kerana, kebanyakan orang Islam sudah menyedari maneuver golongan ini dan tidak menjadikan mereka sebagai rujukan  dalam masalah politik mahupun agama.

Oleh itu RAND mencadangkan, untuk memberi sokongan, peluang-peluang muncul di akhbar, ruang untuk berpolitik, memberikan pendapat, ruang-ruang melalui NGO dan penonjolan bagi golongan Islam yang modenis. Ini kerana golongan modenis mereka walaupun tidak menerima demokrasi barat sepenuhnya, tetapi mereka masih tetap menerima demokrasi cuma dalam kerangka yang mereka anggap Islami. Maka mereka perlu diberikan peluang bergeraka dalam politik demokrasi dan sokongan atas-atas tekanan golongan sekular terhadap mereka. Pemimpin dan tokoh-tokoh golongan Islam modenis perlu diberi penghormatan dan pengiktirafan. 

Manakala golongan tradisionalis, mereka kurang membahaskan masalah politik. Maka kebiasaannya golongan tradisionalis tidak mempunyai pandangan yang khusus tentang demokrasi dan konsep politik lain. Maka golongan ini perlu digunakan untuk menyerang pandangan golongan fundamentalis yang menolak nilai barat secara keseluruhan. Ia dengan cara memberikan ruang kepada ulama' seperti ini mengalihkan pandangan ummat, dan menimbulkan  keraguan ummat terhadap golongan fundamentalis. Ini kerana golongan tradisionalis biasa mempunyai pengaruh yang kuat dalam ummat, menguasai madrasah-madrasah dan institusi pendidikan tradisional. Manakala bagi ulama' tradisionalis yang boleh menerima nilai barat walau secara selektif, mereka ini wajar diberi ruang untuk kedepan. Maka dengan ini nilai-nilai barat seperti demokrasi, hak asasi manusia, pengagihan kuasa, perundangan dan ekonomi boleh disemai dalam pemikiran ummat Islam. Dalam masalah demokrasi dan penerimaan nilai barat, golongan fundamentalis digariskan RAND sebagai musuh utama yang tidak boleh dikompromi dan sememangnya tidak boleh dibawa berkompromi.

Dalam bab ketiga, RAND menerangkan strategi-strategi untuk menghadapi golongan-golongan ini, baik samada berkawan dengan golongan ini, mengadu-domba mereka agar berseteru mahupun secara langsung menyerang mereka. Secara umumnya, golongan Islam modenis hendaklah diberi peluang dan sokongan politik, memberi pandangan Islam kontemporari. Ini kerana golongan Islam modenis hari ini telah dapat menarik sokongan rakyat berbanding pemerintah sekular. Sokongan kepada golongan Islam modenis ini boleh diberi secara langsung atau tidak secara langsung selagi dapat dipastikan kepercayaan ummat tidak terhakis. Benarkan mereka menyebarkan pandangan-pandangan mereka. Manakala sokongan kepada kerajaan sekular hanya diberi berdasarkan kes per kes basis. Ini kerana, banyak kerajaan sekular yang bersifat nasionalis hingga mengabaikan kepentingan US. Oleh itu, sokongan kepada mereka bergantung kes per kes basis. Bagi golongan tradisionalis, ulama'-ulama' mereka  perlu digunakan untuk menyerang golongan fundamentalis. Ini merupakan golongan yang terbaik yang perlu digunakan untuk menyerang fundamentalis kerana golongan ini mempunyai kemuliaan yang tinggi dikacamata ummat.

Keupayaan mereka membahas agama perlu digunakan, untuk menyerang pemikiran-pemikiran politik golongan fundamentalis. Secara spesifik disebut, bahawa golongan tradisionalis ini wajar disokong untuk mewujudkan perseteruan sesama Islam dan secara spesifik disebut mereka ini  ajar diberi dana untuk membina sekolah-sekolah untuk menyebarkan fahaman mereka. Secara jelas diberitahu, segala kerjasama antara golongan tradisionalis dengan golongan  fundamentalisme mestilah dihalang dan sepatutnya diwujudkan permusuhan sesame mereka. Bagi menghadapi golongan yang mereka labelkan sebagai fundamentalis, digariskan agar jangan memberi promosi, serang nilai-nilai yang dibawa, hilangkan kepercayaan ummat kepada mereka, wujudkan gambaran mereka ekstrimis dan tidak mampu membawa kemakmuran. Tidak ada  sikap lain kepada golongan fundamentalis kecuali menentang dan menghancurkan mereka. Itulah ringkasan apa yang digariskan oleh RAND  untuk US menghadapi kebangkitan Islam. Mereka melabelkan kita, untuk memudahkan mereka menentang kebangkitan Islam, walhal hakikatnya tidak begitu. Kita semua bukan fundamentalis, tradisionalis, modenis atau sekular. Cuma RAND mengklasifikasikan kita mengikut sejauh mana pnerimaan kita terhadap nilai-nilai US dan dari  itu diatur strategi yang berbeza.

Ramai kaum Muslimin yg tidak menyedari hal ini dan tidak sedar mereka bergerak dalam acuan yang sememangnya diatur oleh CIA. Inilah  pentingnya kaum Muslimin terutama gerakan-gerakan Islam mempunyai kesedaran politik yang sangat jernih lagi tajam. Semoga ia membuka minda politik kita untuk melihat dunia dengan  kacamaata politik Islam agar dengan itu kita  dapat bergerak menuju kebangkitan Islam. InsyaALLAH..
Download buku ini :

01 Mei 2013

Salam: Penguat Ukhuwah

Sesungguhnya salah satu daripada sifat orang mukmin itu adalah mereka saling mencintai antara satu sama lain kerana Allah. Antara cara untuk menzahirkan rasa cinta tersebut adalah dengan menyebarkan salam antara satu sama lain. Pengucapan salam adalah sesuatu yang sinonim bagi umat Islam dan ia sudah menjadi kebiasaan untuk dilafazkan apabila ia bertemu dan berpisah sesama Muslim, baik sama ada ia memahami ataupun tidak lafaz salam tersebut.

Perkataan salam dalam bahasa Arab bererti kesejahteraan, keamanan, kedamaian dan keselamatan. Lafaz salam bagi orang Mukmin adalah assalamu’alaikum (salam sejahtera ke atas kalian), atau assalamu’alaikum warahmatullah (salam sejahtera ke atas kalian dan dengan rahmat Allah) ataupun assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh (salam sejahtera ke atas kalian dan dengan rahmat serta berkat Allah). Biar pendek ataupun panjang ucapan salam yang diberikan, kesemuanya memberikan makna yang sama kepada si penerima salam, yakni suatu doa yang diberikan daripada seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain. Tidak ada satu pun agama di dunia ini selain Islam yang mengajar umatnya untuk memanifestasikan syiar dan  kecintaan sesama saudara seakidahnya melalui ucapan doa. 

Dalil-dalil tentang perintah dan keutamaan salam

Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Maka apabila kamu memasuki ke rumah-rumah (yang tidak berpenghuni), maka ucapkanlah salam kepada diri kamu sendiri (sebagai) penghormatan daripada sisi Allah yang dipenuhi keberkatan dan kebaikan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kalian, supaya kalian memahaminya.” [TMQ An-Nur (24) : 61]

Ayat di atas memerintahkan agar salam diberi sebagai tanda penghormatan walaupun sesuatu rumah atau tempat itu tidak berpenghuni. Selain itu, perintah yang lebih tegas dapat dilihat dalam surah yang sama iaitu:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki ke rumah-rumah (yang) bukan rumah kamu, sehinggalah kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kalian supaya kamu mengambil pengajaran.”
 [TMQ An-Nur (24): 27]

Terdapat juga  hadis-hadis daripada Rasulullah saw yang menerangkan tentang fadhilat dan kebaikan dalam menyebarkan salam.  Hadis daripada Abdullah bin Salam, beliau mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam di antara kalian, berikanlah makanan, sambunglah tali silaturahim dan solatlah ketika manusia sedang tidur pada malam hari, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.” [HR Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad]

Rasulullah saw juga bersabda:

“Kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman,dan  tidaklah kalian beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan  suatu perbuatan yang apabila kalian mengerjakannya, nescaya kalian akan saling mencintai?  Sebarkanlah salam di antara kalian.” [HR Muslim]

Selain hadis-hadis yang telah disebutkan, terdapat sebuah hadis yang menerangkan tentang ganjaran bagi setiap ucapan salam yang diberikan. Hadis ini sekaligus mengajar kita tentang bagaimana ucapan salam itu sepatutnya diberikan kepada orang mukmin. Imran bin Hussain berkata:

“Ada seorang lelaki  datang kepada Nabi seraya mengucapkan assalamu ‘alaikum. Maka Nabi menjawabnya dan orang itu kemudian duduk. Nabi berkata, “dia mendapat sepuluh pahala.” Kemudian datang orang yang lain mengucapkan assalamu ‘alaikum warahmatullah. Maka Nabi menjawabnya dan berkata, “dua puluh pahala baginya.” Kemudian datang seorang lagi seraya mengucapkan assalamu ’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Nabi pun menjawabnya dan berkata, “Dia mendapat tiga puluh pahala.” [HR. Abu Dawud, Tirmidzi dan Ahmad]

Adab memberi salam



Antara adab-adab dalam memberi salam adalah:


1. Mendahului dalam memberi salam

“Seutama-utama manusia bagi Allah adalah yang terlebih dahulu dalam memberi salam” [HR Abu Dawud]

Walaupun memberikan salam itu hukumnya sunat  berbanding menjawab salam, tetapi hadis di atas menunjukkan  keutamaan bagi orang yang berlumba-lumba dalam memberi salam dan bukannya bersikap menanti salam itu diberikan kepadanya. Sebagai balasan, Allah SWT meletakkan mereka sebagai manusia yang utama di sisiNya.

2. Menjawab dengan ucapan yang sama atau lebih baik

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu (salam) penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah ia (dengan  yang sepadan dengannya). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung setiap sesuatu.” [TMQ An-Nisa’ (4) : 86]

Jawablah salam dengan ucapan yang lebih baik sebagaimana ucapan salam yang telah disebutkan. Bahkan jawablah dengan kalimah yang paling sempurna sebagai sikap mencari keutamaan dan mencari kebaikan.

3. Mengikut turutan yang betul

Rasulullah saw bersabda:

“Hendaklah orang yang berkenderaan memberikan salam kepada orang yang yang berjalan. Yang berjalan kepada yang duduk, yang sedikit kepada yang ramai (dan hendaklah yang muda kepada yang lebih tua).”  [HR Bukhari dan Muslim]

4. Pada kadar suara yang secukupnya

Al-Miqdad ra biasa menyediakan susu untuk Rasulullah. Maka Rasulullah datang pada waktu malam  lalu beliau memberi salam dengan perlahan supaya tidak mengejutkan orang yang sedang  tidur, dan cukup didengari oleh mereka yang terjaga. Dan beliau mengucapkan salam sebagaimana biasa beliau mengucapkan salam. [HR. Muslim]

Oleh itu adalah tidak wajar bagi kita menjerit-jerit dalam memberi salam sehingga mengganggu orang yang sedang tidur ataupun memberi salam terlalu perlahan sehingga tidak didengari langsung bagi orang yang berjaga. Lakukanlah pada kadar yang secukupnya agar didengari dan pada masa yang sama tidak menyakiti sesiapa. 

5. Tidak menyebut ‘alaikassalam

Ucapan ‘alaikassalam adalah bagi orang yang telah meninggal. Ini berdasarkan hadis Nabi yang berbunyi:

“Jangan berkata ‘alaikassalam kerana ‘alaikassalam itu merupakan salam bagi orang mati” [HR Abu Dawud dan Tirmizi]

Renungan

Ucapan salam mungkin sesuatu yang lumrah bagi kita. Ia merupakan sunnah yang ringan namun berat pahalanya di sisi Allah. Amalan ini merupakan penjalin ukhuwwah sesama Mukmin dan merupakan pembuka bicara bagi yang belum mengenali. Namun selama kita hidup, berapa banyakkah salam yang telah kita sebarkan baik kepada yang dikenali mahupun yang asing? Marilah kita merenung sebuah atsar tentang sahabat Rasulullah, Abdullah bin Umar ra:

Daripada At-Tufail bin Ubay bin Ka`ab, bahawasanya ia datang ke tempat Abdullah bin Umar kemudian mereka pergi bersama-sama ke pasar.  Tufail berkata:

“Apabila kami berada di pasar, maka setiap kali kami melewati tukang jual baju, orang yang menjual barang dagangannya, orang miskin dan bahkan melewati sesiapa pun, Abdullah pasti mengucapkan salam kepadanya.”  At-Tufail berkata:  ”Suatu hari saya datang ke tempat Abdullah bin Umar kemudian dia mengajak saya ke pasar.  Maka saya berkata kepadanya,  “Apa yang akan kamu buat di pasar nanti kerana kamu tidak membeli sesuatu apapun, tidak juga mencari sesuatu, tidak akan menawar(menjual)  sesuatu dan tidak juga duduk-duduk di pasar?  Lebih baik kita berbincang-bincang di sini sahaja.”  Abdullah menjawab,  “Wahai Abu Bathn (kerana At-Tufail mempunyai perut yang besar), kita akan ke pasar untuk menyebarkan salam kepada sesiapa yang bertemu dengan kita.”
 [Riwayat Imam Malik di dalam kitabnya al-Muwatta’ dengan sanad yang sahih]

Semoga kita beroleh kebaikan sebagai manusia yang utama di sisi Allah dengan menyebarkan salam sebagaimana Abdullah bin Umar. Wallahu a’la

Manifesto Islam Untuk Semua

Sumber: http://www.mykhilafah.com



26 April 2013

Ciri Pemimpin yang Didambakan

Dalam Islam, menentukan dan memilih pemimpin adalah suatu perkara yang sangat penting dan wajib. Ini dibuktikan dalam sejarah Islam apabila wafatnya junjungan  besar Nabi kita Muhammad  S.A.W, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi mengantikan baginda sebelum pemakaman baginda  S.A.W dilangsungkan. 

Ijmak sahabat sepakat bahawa haram hukumnya kaum muslimin hidup tanpa adanya seorang khalifah atau pemimpin lebih dari tiga hari tiga malam.

Sabda Nabi S.A.W maksudnya, "Apabila keluar tiga orang dalam bermusafir maka hendaklah dilantik seorang ketua".   (Hadis Riwayat Abu Daud) 

Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah SAW yang bermaksud," Tidak halal bagi tiga orang yang berada di satu tempat melainkan dilantik seorang daripada mereka seseorang sebagai ketua."  (Hadis Riwayat Ahmad)

(Ini bermakna kepentingan melantik pemimpin untuk mengantikan kepimpinan yang telah berlalu untuk mengurus hal ehwal Islam dan melaksanakan kemaslahatannya adalah wajib.  Atas sebab inilah Islam begitu memandang berat soal memilih pemimpin dalam semua peringkat kehidupan.

Persoalannya, bagaimanakah kita  hendak menjadi pemimpin yang baik? Kita harus sedar bahawa  pemimpin yang baik akan memberikan kesan yang amat besar terhadap masa depan Islam dan umatnya. Kita juga hendaklah memahami bahawa soal  kepimpinan
mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan ia adalah sebahagian tindakan atau perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak. 

Firman Allah dalam Surah al-Muddathir ayat 38 yang bermaksud : "Setiap diri terikat (bertanggungjawab) dengan apa yang telah dikerjakannya".

Sebagai pemimpin, kita hendaklah melaksanakan tugas secara berhati-hati dan tiada berkepentingan peribadi dan sebagainya. Jika kita gagal melaksanakan tugas dengan adil dan mengutamakan kebajikan untuk rakyat maka sudah tentulah amat bersalah dan akan diazab oleh Allah di akhirat kelak. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 41 yang bermaksud : "Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari kiamat  pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan".  

Sahabat yang dimuliakan,
Islam telah  menjelaskan kepada kita bagaimana untuk menjadi pemimpin yang baik. 

Terdapat lapan ciri-ciri utama sebagai seorang pemimpin yang baik;  

1. Seorang yang berupaya untuk menjaga agama dan menegakkan syariat Allah di atas muka bumi, sebaliknya bukan menjadikan agama sebagai 'istihza'  atau  dipermainkan. Justeru amanah sebagai pemimpin sebenarnya adalah ganti diri Rasulullah S.A.W 'niabatan 'anin nabi SAW' untuk memelihara, menjaga dan melaksana syariat Allah SWT. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 41 yang maksudnya : "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar.  (Ingatlah)  bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".

2. Seseorang yang memiliki 'al-Quwwah' yakni kekuatan dari semua sudut samada fizikal, spiritual, emosi dan mental. 

Dalam al-Quran  telah dijelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu'aib a.s. meminta kepadanya agar memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat 
bekerja dan amanah, inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya yang lebih  luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut dan bidang. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 26 yang maksudnya : "Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (kita), sesungguhnya sebaikbaik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".

3. Seseorang yang memiliki sifat  takwa, kerana ciri-ciri inilah yang menjamin seseorang pemimpin itu berintegriti dan  takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud :"Dan seandainya mereka itu tetap beriman dan bertakwa nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu 
adalah lebih baik, seandainya mereka mengetahuinya". (Surah al-Baqarah ayat 103)

4. Seseorang pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada  mereka yang di bawah pimpinannya. Sifat-sifat ini mesti dimiliki oleh mana-mana pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin 
kepimpinannya yang dihormati, disegani dan disayangi. Jauhkan diri daripada pemimpin yang zalim yang tidak memberi keadilan dan hak rakyat untuk  bersuara dan berhimpun secara aman.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 58 maksudnya : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil…".

5.Seseorang pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap bertanggungjawab kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap bertanggungjawab ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad S.A.W), yang mengambil berat  atas sebarang kesusahan yang  menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap makhluk
terhadap orang yang beriman". (Surah at-Taubat ayat 128)

6. Seseorang pemimpin itu hendaklah  tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuklah mengambil tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun lawan. 

Hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan memotong tangannya". (Hadis Riwayat al-Bukhari)

7. Seseorang pemimpin itu hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya. 

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi S.A.W bersabda (maksudnya) : "Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya". (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

8. Seseorang pemimpin itu hendaklah menunaikan janji-janjinya kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai oleh orang bawahannya, bukan berdusta dan menghampakan orang bawahannya. 

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Jelaslah kepada kita bahawa dalam soal kepimpinan yang baik tidak boleh dilakukan secara tangkap muat. Sehubungan dengan itu Imam alQurtubi  menjelaskan  dalam kitab 'Al-Jamik li Ahkamil Quran' bahawa, "Bagi umat Islam  dalam memilih pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasik dan zalim mereka tidak layak 
menjadi pemimpin".

Hadis daripada  Huzaifah r.a. bahawa Rasulullah  S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas 
kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga Rasulullah di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak 
membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya  dan dia akan  menemuiku di haudh".  (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Marilah kita menjadi pemimpin yang takutkan Allah melebihi daripada segala-galanya. Kerana hanya pemimpin yang benar-benar takutkan Allah sajalah yang mampu 
menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dengan jujur, amanah dan berdidikasi.

Pemerintah Wajib Tegakan Islam

Dalam perlawanan merebut kekuasaan melalui pesta lima tahun sekali yang tidak syari'e ini, masing-masing hanya ada satu matlamat sahaja yakni kemenangan. Apa yang paling penting ialah menumbangkan lawan, tidak kira dengan apa cara sekalipun dan tidak kira berapa banyak sekalipun wang ringgit, masa dan tenaga dihabiskan. Orientasi parti-parti sekular dan kufur sememangnya begitu, kerana tujuan hidup mereka adalah untuk dunia. Namun malangnya parti atau gerakan-gerakan Islam yang turut bertanding pun nampaknya mempunyai orientasi yang sama. Kerana hanya berfikir untuk menang, banyak pihak yang bertanding tidak lagi mengambil kira dosa dan pahala dan sering lupa akan natijah kemenangan. Sepatutnya mereka meletakkan matlamat bahawa tujuan mereka menuju ke tampuk pemerintahan adalahuntuk menerapkan hukum Allah, bukan sekadar meraih kemenangan semata-mata. Tidak ada gunanya kalau menang, namun sistem kufur demokrasi dan undang-undang buatan manusia tetap dikekalkan manakala hukum Allah terus tersimpan di dalam al-Quran.

Sesungguhnya termasuk di dalam perkara al-ma'lum min ad-deen bi adh-dharurah (perkara pokok dalam agama yang tidak ada alasan untuk Muslim tidak mengetahuinya) bahawa Allah SWT mewajibkan setiap Muslim, apatah lagi pemerintah, untuk berhukum dengan hukumNya. Pemerintah, sebagai orang yang menguasai sesebuah negara memikul tanggungjawab yang amat besar untuk menerapkan hukum Allah dalam negara, tanpa kompromi. Banyak ayat al-Quran yang memerintahkan hukum-hukumNyauntuk diterapkan, bahkan disertai dengan ancaman dan azab kepada mereka yang mengingkarinya. Firman Allah SWT,

"Dan siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang kafir" [TMQ al-Maidah (5):44],

"...mereka adalah orang-orang zalim" [TMQ al-Maidah (5):45]

dan

"…mereka adalah orang-orang fasik" [TMQ al-Maidah (5):47].

Allah SWT menjatuhkan hukumkafir kepada siapa sahaja yang tidak menerapkan hukumNya kerana tidak meyakini atau mempertikaikan kesesuaian hukumNya. Allah SWT menjatuhkan hukum zalim dan fasik kepada siapa sahaja yang tidak menerapkan hukumNya tetapi masih yakin terhadap kesesuaian hukum tersebut untuk diterapkan.

Kesemua ayat di atas dengan tegas dan tidak ada sedikit pun kekaburan, menyatakan bahawa pemerintah wajib menerapkan kesemua hukum Islam secara menyeluruh kerana kata "ma" dalam ketiga-tiga ayat di atas berbentuk umum, yang mencakup kesemua hukum syarak yang telah diturunkan oleh Allah, baik yang berbentuk perintah mahupun larangan.Allah SWT juga menafikan keimanan orang yang menolak daripada menjadikan Rasulullah sebagai ikutan di dalam berhukum dengan hukumNya. FirmanNya,

"Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan engkau (wahai Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan!" [TMQ an-Nisa' (4):65].

Ayat-ayat Allah itu dipertegaskan lagi dengan sabda Rasulullah SAW,

"Barang siapa yang melakukan satu perbuatan yang tidak mengikuti ketentuankami, maka ia tertolak" [HR Bukhari& Muslim].

Dalam riwayat yang lain,

"Siapa sahaja yang mengada-adakan sesuatu yang baru dalam urusan (agama) kami ini, yang bukan bahagian darinya, maka ia tertolak" [HR Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud&IbnMajah].

Sistem demokrasi adalah tertolak kerana ia merupakan satu sistem yang bukannya datang dari Islam. Menggubal undang-undang melalui suara majoriti juga merupakan suatu yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah di dalam agama Islam. Sebaliknya, Rasulullah SAW telah menyatakan dengan jelas di dalam banyak hadis bahawa pemerintahan selepas baginda ialah Khilafah, di mana umat Islam akan dipimpin oleh para Khalifah selaku ketua Negara. Firman Allah,

"Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka" [TMQ al-Ahzab (33):36].

Walaupun ayat-ayat dan hadis-hadis di atas amat tegas memerintahkan penerapan hukum Islam , ironinya pemerintah Muslim saat initetap sahaja memberikan pelbagai alasan untuk tidak menerapkan Islam seperti menyatakan hukum Allah mesti disesuaikan dengan realiti, masyarakat kita adalah majmuk, kena ambil kira pandangan minoriti dan macam-macam alasan lagi. Alasan ini sering diutarakan oleh penganut demokrasi. Malah di kalangan gerakan Islam sendiri pun ramai yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak menerapkan hukumNya. Alangkah beraninya mereka menghujah Allah dalam hal ini! Inilah di antara kejayaan besar demokrasi, di mana sistem kufur ini telah berjaya memalingkan orang-orang Islam yang bergelumang dengannya daripada berhukum dengan hukum Allah. Walhal Allah SWT berfirman,

"Dan hendaknya engkau menghukumi di antara mereka dengan apa yang Allah turunkan. Dan janganlah sekali-kali engkau mengikuti hawa nafsu mereka. Hati-hatilah engkau terhadap mereka, kerana mereka ingin menyesatkanmu dari sebahagian yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu" [TMQ al-Maidah (5):49].

Melalui ayat di atas, Allah SWTdengan tegas memerintahkan kepada RasulNyatermasukkepada para penguasa Muslim, agar menerapkan semua hukum yang telah diturunkanNya dan Dia dengan tegas melarang RasulNya serta para penguasa Muslim daripada mengikuti kemahuanatau tunduk pada keinginan manusia. Allah memerintahkan agar RasulNya serta para penguasa Muslim tidak berpaling dari kebenaran dengan meninggalkan penerapan hukum yang telah diturunkanNya. Jika kehendak manusia dituruti dengan meninggalkan kehendak Allah, maka mereka pasti akan terjerumus ke lembah kesesatan.FirmanNya yang lain,

"Jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah" [TMQ al-An'am (6)116].

Inilah hakikat sistem demokrasi di mana suara rakyat (suara manusia) dianggap sebagai suara keramat dan undang-undang dibuat berdasarkan kalamunnas (suara manusia), bukannya berdasarkan kalamullah. Betapa sesatnya sistem ini!

Selain didesign untuk menerapkan hukum buatan akal manusia, demokrasi juga didesign untuk memastikan umat Islam sentiasa berpecah belah dan tidak kembali bersatu di bawah kesatuan Daulah Khilafah. Demokrasi memastikan agar umat Islam berpegang teguh kepada assabiyyah (nasionalisme) dan wathaniyyah (patriotisme). Oleh sebab itulah, pihak-pihak yang mengamalkan demokrasi sentiasa berjuang untuk bangsa dan negara dan mempertahankannya habis-habisan. Parti-parti para penganut demokrasi adalah parti berteraskan bangsa dan hanya bergerak (dan membuka keahlian) sebatas untuk warganegara sahaja. Kerana itulah parti-parti yang berjuang dan memerintah dalam demokrasi ini tidak pernah mempunyai hukum jihad dan futuhatdi dalam kamus mereka kerana perjuangan sempit mereka yang berteraskan assabiyyah dan wathaniyyah.

Walhal bagi pemerintah Muslim, selain berkewajipan menerapkan hukum Allah di dalam negara, mereka juga wajib melancarkan jihad bagi membebaskan wilayah dan umat Islam yang berada di bawah cengkaman musuh-musuh Allah dan melakukan futuhat (pembukaan) wilayah-wilayah yang baru untuk menerapkan hukum Allah di sana. Pemerintah Muslim juga wajib menghapuskan segala sempadan assabiyyahdan wathaniyyahyang ada pada hari ini dan menggabungkan seluruh negara kaum Muslimin di bawah satu payung pemerintahan (Khilafah). Inilah kewajipan pemerintah, tidak kira siapa sekalipun yang berada di tampuk kekuasaan. Sekiranya mereka mengabaikan hal ini, mereka sebenarnya telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang Mukmin dan tidak ada apa yang layak untuk mereka melainkan dosa dan azab Allah SWT. Na'uzubillah min zalik.

Wajib Terap Islam Secara Kaffah Dan Serta Merta

Di samping kewajipan menerapkan hukum Allah, pemerintah juga wajib memahami bahawa hukum Allah itu wajib diterapkan secara kaffah (menyeluruh) dan sekali gus (serta-merta), bukan dengan sedikit-sedikit atau secara tadarruj (bertahap). Ramai orang yang salah memahami nas dan ada sebahagian yang lain beralasan bahawa Islam boleh diterapkan secara tadarruj. Sedangkan penerapan Islam dengan cara bertahap itu jelas bertentangan dengan hukum-hukum Islam itu sendiri. Ini kerana, hal itu akan menjadikan orang yang menerapkannya, telah menerapkan sebahagian hukum Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain. Walhal ini (penerapan sebahagian hukum) amat bertentangan dengan perintah Allah SWT.FirmanNya,

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu" [TMQ al-Baqarah (2):208].

Perlu difahami bahawa apa sahaja perkara yang Allah wajibkanitu, hukumnya wajib untuk diterapkan/diamalkandan statusnya tetap wajib (tidak akan pernah berubah) dari saat hukum itu mula diturunkan hinggalah ke hari Kiamat. Begitu juga apa sahaja perkara yang Allah haramkan, hukumnya haram untuk diterapkan/diamalkan danstatusnya tetap haram (tidak akan berubah) hinggalah ke hari Kiamat. Rasulullah SAW pernah menolak delegasi dari Bani Tsaqif, ketika delegasi tersebut meminta kepada baginda agar baginda membiarkan (tidak memusnahkan) berhala mereka (Latta dan Uzza) selama tiga tahun serta mengecualikan mereka dari kewajiban solat tatkala mereka telah masuk Islam. Permintaan tersebut langsung tidak diterima oleh Rasulullah, bahkan baginda langsung tidak mengendahkannya. Baginda tetap menghancurkan berhala-berhala tersebut tanpa menunda-nundalagi serta memaksa mereka agar melaksanakan solat tanpa menunggu-nunggu lagi.

Banyak pihak yang membolehkan tadarrujberistidlalkan kepada penurunan al-Quran yang diturunkan secara beransur-ansur. Padahal Allah SWT telah menurunkan al-Quran kepada Rasulullah secara bertahap sesuai dengan fakta-fakta dan kes-kes (asbab an-nuzul)  yang berlaku ketika itu. Apabila satu ayat diturunkan, maka Rasulullah segera melaksanakannya tanpa menangguh-nangguhkannya lagi. Apabila ayat itu berupa suatu perintah, maka baginda dan kaum Muslimin terus segera melaksanakannya tanpa menunda sedikit pun. Apabila berupa larangan, maka baginda dan kaum Muslimin terus segera meninggalkan tanpa menunggu-nunggu barang sejenak, mahupun menangguhkannya. Hal ini berlaku sehinggalah Allah SWT menyempurnakan penurunan hukum-hukumNya sekali gus menyempurnakan agama ini,

"Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kalian agama kalian dan Aku cukupkan untuk kalian nikmatKu serta Aku redhai Islam sebagai agama kalian" [TMQ al-Ma'idah (5):3].

Setelah turunnya ayat ini, maka kaum Muslimin diperintahkan agar melaksana dan menerapkan seluruh hukum Islam, baik hukum yang menyangkut akidah, ibadah, akhlak, muamalah mahupun uqubat atau menyangkut aspek pemerintahan, ekonomi, pergaulan, kemasyarakatan, politik luar negeri, jihad, perjanjian damai dan sebagainya. Kesemua ayat ini dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dengan serta-merta dan diikuti oleh kaum Muslimin. Firman Allah SWT,

"Dan apa sahaja yang dibawa oleh Rasul, maka ambillah,apa sahaja yang dilarangnya, makatinggalkanlah. Bertakwalah kalian kepada Allah, kerana Allah amat keras seksaNya" [TMQ al-Hasyr(59):7].

Perintah untuk mengambil dan meninggalkan di dalam ayat ini adalah perintah yang bersifatjazm (tegas) yang membawa maksud wajib. Allah SWT di dalam ayat ini memberikanancaman kepada sesiapa sahaja, terlebih lagi kepada pemerintah, yang tidak berhukum dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, dengan azabyang pedih.

Justeru, penerapan hukum syarak secara menyeluruh dan serta-merta adalah suatu yang tidak boleh dianggap remeh atau dilakukan secara bertahap. Ini kerana tidak ada bezanya di antara satu kewajiban dengan kewajiban yang lain, begitu jugadi antara satu keharamandengan keharaman yang lain atau dengan kata lain tidak ada bezanya di antara satu hukum dengan hukum yang lain.Kesemuanya merupakan hukum Allah dan hukum Allah itu wajib dilaksanakan tanpa ditunda-tunda dan tanpa dipilih-pilih yang mana satu patut dilaksanakan dahulu dan yang mana satu patut dilaksanakan kemudian. Allah SWT mengingatkan dan memberi ancaman,

"Apakah kamu beriman dengan sebahagian (isi) kitab dan mengkufuri sebahagian yang lain? Maka, tidak ada balasan bagi orang yang melakukan hal itu, selain kehinaan dalam kehidupan di dunia, serta pada hari Kiamat nanti akan dikembalikan kepada azab yang sangat pedih" [TMQ al-Baqarah (2):85].

Berdasarkan dalil-dali di atas yang sangat terang lagi nyata, hukum Allah itu wajib diterapkan secara kaffah dan serta-merta dan tidak ada alasan apa pun bagi pemerintah mana pun untuk tidak berbuat demikian.Apa jua dalih atau alasan yang mereka gunakan, semuanya batil, tertolak dan tidak ada nilainya sama sekali di sisi Allah SWT.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Di dalam keghairahan meraikan pesta yang diajar dan ditinggalkan oleh penjajah ini, ingatlah bahawa kemenangan itu bukanlah suatu yang patut dikejar dan ia bukanlah segala-galanya. Tidak ada gunanya menang sekiranya sistem demokrasi yang sedia ada tetap dikekalkan, perlembagaan Lord Reid yang sedia ada tetap dikekalkan, manakala hukum Allah yang sedia tiada tetap ditiadakan. Parti mana sekali pun yang menang di dalam PRU kali ni, lalu menjadi pemerintah, maka wajib atas mereka untuk menerapkan hukum Allah!!!Sekiranya mereka tidak menerapkan hukum Allah, sesungguhnya kehinaan akan tertimpa ke atas mereka di dunia dan azab Allah yang amat pedih menanti mereka di akhirat. Ingin juga mengingatkan bahawa siapa sahaja yang memilih sistem demokrasi, dia sebenarnya telah memilih untuk tidak berhukum dengan hukum Allah!!!Tinggalkanlah demokrasi, ayuhlahbersama tegakkan Khilafah.

Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan..
Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan..
Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan..