Apa Itu Usrah?
Usrah merupakan perkataan Bahasa Arab yang
bermaksud keluarga.
Dari segi istilah, usrah bermaksud perkumpulan
kecil (biasanya 5 hingga 8 orang) yang dibentuk atas dasar persaudaraan untuk
mendalami ilmu agama dan saling tolong menolong dalam pelbagai aspek
kehidupan.
Usrah merupakan simbolik kepada institusi
kekeluargaaan yang sebenar dimana interaksi di kalangan ahli kumpulan begitu
akrab umpama adik-beradik kandung. Manakala fasilitator (digelar naqib
bagi lelaki atau naqibah bagi perempuan) berperanan sebagai bapa atau
ibu yang mengepalai keluarga bahagia tersebut.
Bila Usrah Mula
Diperkenalkan?
Usrah mula dipopularkan oleh gerakan Ikhwanul
Muslimin di Mesir di bawah pimpinan Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna pada tahun
1928. Beliau telah menulis sebuah risalah yang bertajuk “ Usrah dan Dakwah”
antara lain menggariskan konsep asas, perlaksanaan serta aplikasi usrah.
Namun, tidak dinafikan sebelum itu juga terdapat
banyak inisiatif dan pendekatan berkonsepkan usrah yang digunapakai oleh
pelbagai gerakan Islam yang cuba melakukan pembaharuan terhadap Islam yang
semakin terpinggir ketika itu. Malah jika diteliti secara lebih terperinci sirah
Nabi Muhammad s.a.w, konsep usrah telah pun bermula ketika Nabi mengumpulkan
golongan terawal yang memeluk Islam di rumah Al-Arqam Bin Abi Al-Arqam di Mekah
bagi menyampaikan wahyu-wahyu yang diturunkan melalui perantaraan Jibril kepada
baginda.
Kenapa Usrah Penting?
Pertama kerana ia adalah sunnah
Rasulullah s.a.w seperti yang diterangkan di atas. Pastinya dengan melaksanakan
sunnah kita akan diganjari dengan pahala yang bukan sedikit.
Kedua, usrah mampu melahirkan individu Muslim
yang soleh dan solehah. Pelbagai ancaman luaran seperti fenomena murtad, syiah,
budaya hiburan melampau (hedonisme), agenda Yahudi, fahaman kebebasan mutlak
(liberalisme) dan banyak lagi hanya mampu dibendung oleh individu Muslim yang
sempurna aqidahnya, benar ibadahnya serta cantik akhlaknya.
Ketiga, usrah menjana sendi-sendi kekuatan umat
Islam seperti persaudaraan, kefahaman agama dan kekuatan teknologi.
Lompong-lompong inilah yang menyaksikan umat Islam ditindas, dibantai dan
dizalimi di seantero dunia tanpa pembelaan yang sewajarnya.
Bahkan banyak lagi kepentingan usrah yang lain
jika kita perhalusi dengan lebih mendalam. Mudahnya, jika masa kita tidak diisi
dengan agama, secara fitrah ia akan terisi dengan pelbagai anasir negatif yang
merugikan.
Siapa Yang Boleh Menyertai
Usrah?
Berbeza dengan situasi ketika mula-mula
diperkenalkan, usrah kini boleh disertai oleh sesiapa sahaja yang berminat. Jika
syarikat penerbangan tambang murah terkenal, Air Asia begitu sinonim dengan
slogan “Now Everyone Can Fly” (Kini Semua Orang Boleh Menaiki Kapal
Terbang), mungkin kita perlu mempopularkan slogan yang serupa untuk menggalakkan
orang ramai menyertai usrah iaitu “Kini Semua Orang Boleh Berusrah”!
Penggiat seni tanahair pun ada usrah yang
dinamakan Usrah Fitrah. Kita bila lagi?
Di Mana Usrah Biasa
Diadakan?
Dewasa ini, usrah telah diterima umum sebagai
sebuah institusi berkredibiliti untuk membentuk individu Muslim dan telah
dilaksanakan di pelbagai tempat. Ini termasuklah sekolah, institusi pengajian
tinggi (IPT) awam dan swasta, masjid dan surau, pelbagai pejabat agensi kerajaan
serta badan bukan kerajaan (NGO).
Pendek kata ia dijalankan di mana-mana sahaja.
Yang menariknya, ketika ramai ahli Ikhwanul Muslimin dipenjarakan oleh rejim
zalim Presiden Gamal Abdul Nasser di Mesir suatu ketika dahulu, usrah turut
diadakan di dalam penjara!
Bagaimana Perlaksanaan
Usrah?
Usrah lazimnya diadakan seminggu sekali, namun
kekerapannya mungkin berbeza-beza mengikut kesesuaian dan persetujuan ahli
kumpulan.
Biasanya ia dimulakan dengan bacaan Al-Quran,
kemudian diikuti dengan pelbagai agenda lain antaranya tafsir Al-Quran,
pengajaran hadis, sirah Nabi, perbincangan masalah feqah, berita dunia Islam,
kajian buku serta penyelesaian masalah ahli.
Selain sesi perjumpaan berbentuk dalaman,
aktiviti-aktiviti luar turut diadakan bagi memperkaya dan memperkukuh objektif
perlaksaaan usrah. Antaranya termasuklah qiamullail (solat malam),
berpuasa, sukan dan rekreasi, perkelahan, perkhemahan, konvoi menjelajah,
aktiviti kemasyarakatan, seminar serta banyak lagi.
Jom berusrah!
Oleh:
Muhammad Lukman Al hakim b
Muhammad
AJK ISMA Melaka
AJK ISMA Melaka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan