30 November 2012

Renungan Hakikat Dakwah

alt
Siapapun Kita, Dakwah Adalah Kewajipan Semua
Kehidupan Rasulullah adalah kehidupan dakwah. Selama 23 tahun lamanya Rasulullah berkecimpung dalam dunia dakwah. Di sepanjang tempoh itulah, dakwah untuk mengajak seluruh umat manusia kepada Islam secara kaffah (menyeluruh) terus menerus berlaku tanpa mengerti penat dan lelah. Pada waktu itu, baginda menghadapi tentangan dan halangan daripada kaum musyrikin dalam pelbagai bentuk, baik secara fizikal mahupun secara pemikiran. Walaupun demikian, baginda tidak pernah berhenti apatah lagi berundur dalam memikul beban tugas yang mulia ini.

Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (Muhammad), 'Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin. Mahasuci Allah, dan aku tidak termasuk orangt-orang musyrik.”
[TMQ Yusuf (12): 108]

Selama 23 tahun Rasulullah berjuang dengan penuh bersungguh-sungguh dalam meninggikan kalimat-kalimat Allah untuk diterapkan di atas muka bumi ini. Hasilnya, Rasulullah berjaya membina dan membentuk masyarkat Islam, mendirikan sebuah Daulah (Negara) Islam serta dapat menyatukan umat manusia yang sebelum ini berpecah-belah dalam rangka asabiyah menuju kepada bersatu di bawah aqidah dan panji Islam.

Kejayaan Rasulullah tersebut adalah merupakan suatu kenyataan kerana apa yang dilakukan oleh Rasulullah kesemuanya adalah bersumber daripada wahyu semata-mata dan bukannya datang daripada kehendak dan keinginannya sendiri. Dalam hal ini Allah SWT berfirman:

“… Aku tidak mengikuti melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". [TMQ al-An’am(6): 50]

Dari segi mafhum ayat di atas, ia membawa maksud bahawa Rasulullah tidak melaksanakan sesuatu hukum atau melakukan sesuatu perbuatan melainkan ia hanya berdasarkan wahyu daripada Allah SWT semata-mata. Tidak ada jalan lain bagi kita yang mengaku sebagai umatnya untuk tidak melakukan perkara yang sama seperti Rasulullah kerana kewajipan untuk melakukan dakwah juga terkena kepada umatnya.

Halangan Dakwah

Dakwah Rasulullah SAW tidak pernah sepi daripada pelbagai ujian, rintangan dan cabaran. Pada peringkat awal dakwah, Rasulullah dan para sahabat menghadapi pelbagai halangan berupa gangguan, penghinaan serta seksaan sehingga ada membawa kepada kematian sepertimana yang dialami oleh Bilal Bin Rabah, keluarga Yasir, Khabab Bin al-Arts, Abu Dzar al-Ghifari dan Ibnu Mas’ud. Begitu juga dengan pemboikotan yang dilakukan oleh kafir Quraisy terhadap kaum Muslimin disebabkan oleh keteguhan hati mereka dalam berpegang dan menyampaikan risalah Islam. Semua ini merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan berdakwah serta ujian yang sememangnya telah menjadi sunnatullah.

Kisah-kisah mereka itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita agar senantiasa beristiqamah dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab dakwah ini walaupun pelbagai rintangan yang dihadapi. Hatta jika berdepan dengan ancaman maut oleh penguasa yang zalim sekalipun, janganlah kita sekali-kali meninggalkan dakwah, apatah lagi untuk menyesal dalam melaksanakan tanggungjawab yang mulia ini. Dalam kitab Sirah Ibnu Hisyam diriwayatkan bahawa Zuhri menceritakan sebagaimana berikut:

“Rasulullah Saw pernah mendatangi (berdakwah) secara peribadi terhadap Bani Kindah, tetapi mereka menolak. Baginda mendatangi Bani Kalban, tetapi mereka menolak. Baginda mendatangi Bani Hanifah dan meminta nusrah (pertolongan) dan kekuatan kepada mereka. Namun tidak ada orang Arab yang lebih keji penolakannya terhadap baginda kecuali Bani Hanifah. Baginda juga mendatangi Bani Amir Bin Sha’shaah, mendoakan mereka kepada Allah dan meminta kepada mereka secara peribadi. Kemudian berkata salah seorang lelaki daripada mereka yang bernama Baiharah bin Firas, “Demi Allah, seandainya aku menerima (ajakan) pemuda Quraisy ini (yakni Muhammad), sesungguhnya orang Arab akan murka (kepada kita).” Kemudian ia berkata, “Apakah pendapatmu jika kami membaiatmu dalam urusanmu, kemudian Allah memenangkanmu ke atas orang yang menentangmu. Adakah kami akan diberi kekuasaan selepas engkau (wafat)?.” Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Urusan (kekuasaan) itu hanyalah milik Allah yang Dia akan memberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.” Baiharah berkata, “Adakah kami perlu menyerahkan leher-leher kami kepada orang Arab, padahal jika Allah memenangkan kamu, urusan (kekuasaan) itu bukan untuk kami. Kami tidak memerlukan urusanmu.” (Sirah Ibnu Hisyam Jilid 1).”

Petikan sirah di atas menjadi bukti bahawa Rasulullah SAW secara terus menerus berdakwah dan mengajak kaumnya kepada Islam walaupun menghadapi pelbagai ujian dan rintangan yang hebat. Ujian dan rintangan tersebut tidak pernah mengurangkan semangat dakwah baginda, apatah lagi membuatkan beliau lesu di dalam dakwah. Baginda senantiasa beristiqamah dan ikhlas sehinggalah Allah SWT memenangkan dakwah baginda dengan kejayaan menegakkan Daulah Islam yang pertama di Madinah, menerapkan sistem Islam secara kaffah (menyeluruh) dalam seluruh aspek kehidupan dan menyebar luas risalah Islam ke segenap penjuru dunia melalui dakwah dan jihad.

Tiada Alasan Untuk Meninggalkan Berdakwah

Secara realitinya, halangan dakwah yang berlaku di negara ini tidaklah seberat mana jika dibandingkan sepertimana yang dialami oleh para pendakwah di negara-negara lain, apatah lagi jika dibandingkan dengan ujian yang dialami oleh Rasullah sendiri dan para sahabat beliau pada masa lallu. Sebenarnya tidak ada alasan bagi kita yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW untuk tidak bersemangat dan bersifat lemah longlai di dalam berdakwah. Jika ujian yang kita hadapi di saat ini setara dengan apa yang dialami oleh baginda Rasul dan para sahabat sekalipun, ia masih tetap tidak menggugurkan kewajipan kita untuk terus berdakwah. Sudah menjadi sunnatullah bahawa dakwah akan sentiasa sinonim dengan ujian dan cabaran.

Oleh kerana itu, kita perlu sedar bahawa aktiviti berdakwah akan selalu mendatangkan risiko bagi para pelakunya. Ramai kaum Muslimin pada hari ini menyedari akan hal ini tetapi mereka tetap lalai atau cuba mengelak daripada melakukan dakwah hanya kerana masalah-masalah yang remeh seperti larangan orang tua, sibuk dengan kerjaya, tiada masa lapang (untuk dakwah) dan lain-lain lagi alasan yang pada hakikatnya ia hanyalah bersifat duniawi dan dapat diatasi dengan penuh bijaksana. Mereka lebih rela disibukkan dengan urusan mencari kekayaan dunia dan mencari keredhaan manusia berbanding mencari bekal untuk akhirat dan mencari redha Allah SWT.

Khatimah

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian tersebut) Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” [TMQ al-Ankabut (29): 3]

Wahai kaum Muslimin, janganlah sekali-kali kita mengaku bahawa kita sudah beriman dengan sebenar-benarnya sedangkan kita telah meninggalkan tugas dakwah yang mulia ini. Sesungguhnya kita telah berbohong kepada Allah dan RasulNya jika kita mengaku bahawa kita adalah sebahagian daripada pendakwah, walhal pada hakikatnya kita merasa terbeban dengan kerja-kerja dakwah yang memerlukan banyak pengorbanan sama ada dari segi harta, masa, tenaga dan malah nyawa. Bersabarlah atas segala ujian yang datang menimpa dan yakinlah bahawa setiap ujian yang mendatang merupakan salah satu bentuk bagaimana Allah SWT ingin meninggikan darjat seseorang jika ia terus bersabar, tabah dan beristiqamah di jalan dakwah.

“(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya kami akan kembali." [TMQ al-Baqarah(2): 156].


Sekilas Gambaran Sistem Pendidikan Dalam Islam

Pendidikan Percuma Memangkin Kualiti

Islam bukan sekadar menganggap pendidikan sebagai perkara yang penting, malah Islam telah menjadikan pendidikan sebagai salah satu keperluan asas masyarakat, termasuklah kesihatan dan juga keselamatan. Islam bukan sahaja menjamin agar keperluan pendidikan dapat dipenuhi, tetapi Islam juga mewajibkan setiap individu warganegara untuk menuntut ilmu serta mewajibkan negara untuk memberikan layanan kelas pertama kepada rakyatnya dalam bidang pendidikan.

Nabi SAW bersabda, "Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negara China, kerana menuntut ilmu itu hukumnya fardhu bagi setiap Muslim." (al-Khathib al-Baghdadi, ar-Rihlah fi Thalab al-Hadits; as-Suyuthi, Jami' al-Masanid wa al-Marasil, Juz I/463). Mengikut penjelasan al-'Allamah al-Manawi, biar betapa jauh pun tempat ilmu itu berada, maka kita diperintahkan untuk mencarinya. Sebab menuntut ilmu itu hukumnya adalah fardhu (al-Manawi, Faidh al-Qadir, Juz I/543). Daripada sini dapatlah disimpulkan bahawa kewajiban menuntut ilmu tidak pernah mengenal batas sempadan, baik sempadan wilayah negara mahupun sempadan waktu, sebagaimana yang dipraktikkan oleh Nabi SAW terhadap para sahabat di mana mereka semua menuntut ilmu sehingga ke akhir hayat.

Menuntut ilmu merupakan satu kewajiban di mana pendidikan merupakan proses ilmu untuk merubah masyarakat, maka keperluan kepada pendidikan merupakan suatu yang bersifat pasti dan tidak boleh tidak. Oleh kerana itu, negara wajib menjamin serta menyediakan segala perkhidmatan dan prasarana pendidikan untuk seluruh rakyatnya, sebagaimana polisi yang ditunjukkan oleh Nabi SAW ketika menjadi ketua negara. Antaranya adalah ketika kaum kafir Quraisy dijadikan sebagai tawanan perang di mana sebagai tebusan untuk membebaskan diri mereka, mereka disuruh untuk mengajar kaum Muslimin membaca dan menuulis (Ibnu Hisyam, as-Sirah an-Nabawiyah, Juz I/).

Hak Asas Rakyat dan Kewajiban Negara 

Ilmu merupakan kunci kepada dunia dan akhirat. Dengan ilmu, dunia boleh dikuasai dan akhirat dapat dikecapi. Generasi terbaik umat Islam terdahulu telah menguasai dunia sekaligus merangkul kebaikan di akhirat melalui penguasaan mereka terhadap ilmu. Ilmu-ilmu ini mereka peroleh melalui proses pendidikan. Menyedari betapa pentingnya keperluan mereka terhadap ilmu, para sahabat terus-menerus menuntut ilmu tanpa mengenal usia. Al-Bukhari meriwayatkan bahawa para sahabat Rasulullah SAW terus-menerus belajar dan menuntut ilmu meskipun usia mereka sudah senja (al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Juz I/26). Begitu juga dengan para sahabat yang masih muda belia, mereka juga tidak ketinggalan. Ali bin Abi Thalib digelar oleh Nabi sebagai pintu kota ilmu (bab al-Madinah) dan Ibnu Abbas digelar sebagai penafsir Al-Quran (turjuman al-Qur'an), kedua-duanya telah sama-sama belajar sejak usia 7 atau 8 tahun. Saidina Ali RA menyatakan, "Belajar di waktu kecil adalah seperti memahat di atas batu." (al-Kattani, at-Taratib al-Idariyyah, Juz II/162).

Pada zaman Nabi SAW dan para Khulafa' Ar-Rasyidin, masjid Nabawi telah dijadikan sebagai pusat pengajian ilmu. Nabi sentiasa mengadakan halqah-halqah ilmu (pembelajaran dan perbincangan), begitu juga dengan para sahabat. Al-Imam al-Yusi dalam kitabnya al-Qanun menyatakan bahawa model penyampaian ilmu sepertimana yang ada pada zaman sekarang sebenarnya berasal daripada praktik Nabi yang dilakukan terhadap para sahabat dalam majlis-majlis ilmu. Pada waktu itu, masjid menjadi pusat mengajar dan belajar. Umar mengatakan, "Barangkali orang yang masuk masjid ini bolehlah diumpamakan seperti kuda yang berkeliaran. Jika dia melihat terdapat majlis kaumnya dan melihat orang yang dia kenal, maka dia duduk bersama-sama mereka." (al-Kattani, at-Taratib al-Idariyyah, Juz II/152). Sehingga ke hari ini di Masjid Nabawi mahupun di Masjid al-Haram, kita dapat melihat halqah-halqah ilmu ini masih berjalan.

Menyedari tentang kewajiban negara melalui hadis "Imam adalah pemelihara, dan dia bertanggungjawab terhadap rakyat pemeliharaannya" [HR al-Bukhari], maka Daulah Islam wajib menyediakan segala infrastruktur pendidikan kelas pertama untuk seluruh rakyatnya. Mulai daripada prasekolah, menengah, kampus, perpustakaan, makmal, tenaga pengajar sehinggalah kepada pembiayaan biasisiwa pendidikan, semuanya diberikan sepenuhnya secara percuma, tanpa mengenal bangsa dan agama.

Pada zaman Abbasiyah, al-Kuttab (sekolah asas) banyak didirikan oleh Khilafah, di mana bangunannya bersambungan dengan masjid. Di sana juga dibangunkan perpustakaan. Pendidikan tinggi pertama pada zaman itu adalah Bait al-Hikmah yang didirikan oleh Khalifah al-Ma'mun (830 M) di Baghdad. Selain daripada berfungsi sebagai pusat penterjemahan, ia juga digunakan sebagai pusat akademik, perpustakaan umum dan planetarium (Philip K Hitti, History of the Arabs, 514-515). Kemudian,  muncul pula Akademi Nidzamiyyah yang dibangunkan  antara tahun 1065-1067 M. Akademi ini dijadikan contoh dan rujukan oleh Eropah sebagai model untuk perguruan tinggi mereka (Reuben Levy, A Baghdad Chronicle, Cambridge: 1929, 193).

Di Cordoba, Sepanyol, pada zaman itu telah berkembang Le Mosquet yang mana pada asalnya ia merupakan sebuah gereja. Setelah Islam mengambil alih, ia kemudian dialih fungsi kepada masjid, lengkap dengan madrasah yang dilengkapi dengan pelbagai prasarana pendidikan yang lain. Lembaga pendidikan ini telah melahirkan ramai ulama berkaliber seperti al-Qurthubi, as-Syathibi dan lain-lain. Bukan sekadar bidang tafsir dan usul, akademi pendidikan di era Khilafah juga berjaya melahirkan para pakar dalam pelbagai bidang. Antaranya, bidang kedoktoran seperti Ali at-Thabari, ar-Razi, al-Majusi dan Ibnu Sina, bidang kimia seperti Jabir bin Hayyan, astronomi dan matematik seperti al-Hajjaj bin Mathar, Hunain bin Ishaq, Tsabit bin Qurrah, Ali bin Isa al-Athurlabi, bidang geografi seperti Yaqut al-Hamawi dan al-Khuwarizmi, historiografi seperti Hisyam al-Kalbi, al-Baladzuri dan lain-lain. Nama-nama yang disebutkan ini hanyalah sebahagian kecil daripada ribuan ilmuan yang terhasil dan kesemuanya merupakan produk daripada akademi pendidikan di era Khilafah.

Percuma dan Bermutu

Fakta sejarah di era keemasan Islam di atas telah membuktikan bahawa kualiti pengeluaran pendidikan yang dihasilkan oleh Khilafah telah mendapat mengiktirafan dari seluruh pelusuk dunia tanpa tolok bandingnya. Apa yang menarik sekali adalah pendidikan kelas pertama ini diberikan dengan percuma sepenuhnya kepada seluruh warganegara Daulah tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan agama. Pendidikan percuma dan bermutu dalam sistem Khilafah bukanlah fantasi atau khayalan, tetapi sebaliknya ia telah terbukti dalam lipatan sejarah Islam selama lebih daripada 1300 tahun.

Pendidikan percuma dan bermutu boleh diwujudkan oleh Khilafah kerana Khilafah mempunyai sumber pendapatan yang sangat besar. Kekayaan milik negara dan milik umum diuruskan sepenuhnya oleh Daulah dan hasilnya diagihkan kepada rakyat melalui skim biasisiwa pendidikan, kesihatan dan kemudahan-kemudahan awam yang lain. Dengan cara yang sama, Daulah juga mampu untuk membangunkan seluruh infrastruktur pendidikan yang jauh lebih canggih serta mampu memberikan gaji dan insentif yang lebih tinggi kepada para ulama' dan guru atas jasa dan karya mereka. Daripada pendidikan dasar, menengah sehinggalah ke menara gading, yang mana kesemuanya adalah menjadi kewajiban negara, tidak sesen pun bayarannya akan dikutip daripada rakyat. Sebaliknya, kesemua pembiayaan pendidikan ditanggung sepenuhnya oleh negara. Anak-anak orang kaya dan miskin sama-sama boleh menikmati pendidikan dengan kualiti yang sama secara percuma.

Melalui falsafah hadis "Imam (ketua negara) adalah pemelihara, dan dia bertanggungjawab terhadap rakyat pemeliharaannya", Daulah berkewajiban untuk memberikan layanan kelas pertama dalam bidang pendidikan serta ia dipikul sepenuhnya oleh negara. Jikalau didapati kekayaan negara tidak mencukupi dalam hal ini, maka negara berhak untuk mengambil pajak (bayaran) sekadarnya daripada kaum Muslimin untuk membiayai keperluan ini. (al-'Allamah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimatu ad-Dustur, hal. 364-370).

Begitulah caranya Islam, melalui institusi Khilafah, merealisasikan pendidikan percuma dan bermutu dengan layanan dan kemudahan kelas pertama. Wallahu a'lam.

28 November 2012

Wanita dan Ekonomi Dalam Jerut Kapitalisme


Antara Memenuhi Kehendak Vs Keperluan

Muqaddimah

Wanita merupakan golongan yang tidak terkecuali daripada menerima kesan akibat penerapan ideologi kapitalisme pasca kejatuhan entiti politik Islam (Daulah Khilafah). Walaupun sesetengah pihak masih mempertikaikan kerelevanan membincangkan isu ini, namun ia tetap menjadi topik yang patut mendapat tempat di minda umat Islam. Ini adalah kerana penaja sistem kapitalisme ini (Barat) terus-menerus mempropagandakan dengan gigih ke seluruh dunia bahawa hanya sistem ekonomi kapitalisme yang mampu “mengimbangi” dunia dan mensejahterakan alam.

Hakikat Kapitalisme

Ideologi kapitalisme juga menanam persepsi bahawa kebahagiaan manusia akan tercapai dengan menikmati sebanyak-banyaknya kepuasan jasmani, tanpa unsur spiritual. Ideologi ini mengajarkan bahawa hanya manusia yang memahami manusia dan hanya manusia yang tahu apa yang manusia mahukan. Dengan kata yang lebih mudah, hanya manusia yang mampu memuaskan kehendak dan keperluan manusia, maka kerana itu manusia jugalah yang harus mencipta satu sistem untuk merealisasikan tujuan itu.

Dalam memenuhi kehendak yang tidak terbatas tersebut, cara dan metodologinya tidak lagi dipedulikan kesesuaiannya dengan fitrah penciptaan manusia sebagai hamba kepada Al-Khaliq, asalkan ia mampu meraih seberapa banyak potensi yang menguntungkannya. Inilah konsep Machiavelli yakni “matlamat menghalalkan cara”.

Jadi, antara kesan daripada pemahaman dan penerapan ideologi kapitalisme ini adalah, dunia kini semakin rakus ‘mempergunakan’ wanita sebagai sumber pendapatan. Wanita dianggap setaraf dengan lelaki dalam segala aspek termasuk taraf ekonominya. Wanita kini telah kuat, bebas dan mempunyai sumber ekonominya sendiri. Dengan kata lain wanita telah mula menjadi pencari nafkah utama keluarga.

Contohnya di Malaysia, wanitanya lebih cenderung memiliki karier (baca: pencari nafkah) sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta. Buat masa ini, wanita membentuk hampir setengah daripada jumlah tenaga buruh negara. Jabatan Penerangan Malaysia memaparkan bahawa penyertaan wanita meningkat dari 37.2 peratus dalam tahun 1970 kepada 46.7 peratus dalam tahun 1990 [Sumber: http://pmr.penerangan.gov.my]. Manakala menurut Dato’ Seri Najib Tun Razak pula dalam ucapannya sempena Hari Wanita Sedunia ke-100 baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa pada masa ini, kaum wanita membentuk 47.3% tenaga kerja, berbanding 30.8% pada tahun 2000. Menjelang tahun 2015 kerajaan berharap angka itu akan meningkat ke 55% [Sumber: http://www.1malaysia.com.my].

Serapan Yang Menjadi Kebiasaan

Serapan ideologi asing ke dalam masyarakat Islam di negara ini sudah lama melanda dan penularannya berlaku secara halus sehingga tidak disedari oleh umat Islam. Sama ada sedar atau tidak, pemikiran masyarakat Islam masa kini telah berubah kepada pemikiran asing dan kalau tidak dibanteras melalui pelbagai kaedah, hal ini boleh menjejaskan akidah umat Islam itu sendiri [Laporan dan Kajian R&D Ogos 2010: Serapan Ideologi Dan Pemikiran Asing- Jabatan Agama Islam Selangor].

Masyarakat Islam hari ini merupakan generasi yang mindanya telah ditanam dengan motivasi hidup untuk meraih kemewahan dunia bukannya untuk hidup dengan meraih ketaatan kepada Allah. Ungkapan-ungkapan seperti “Wahai anakku, inginkah kau miliki kereta yang cantik? Rumah yang besar? Mendapat apa sahaja yang kau inginkan? Jika ya, maka belajarlah bersungguh-sungguh hingga ke menara gading dan mendapat kerjaya impian yang akan menjamin tercapainya segala impianmu,” menjadi kebiasaan bagi ibu bapa untuk memotivasikan anaknya.

Oleh sebab itu, seorang wanita yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dianggap janggal jika tidak mempunyai kerjaya yang hebat. Kerjaya dan pendapatan yang hebat pula perlu diselaraskan dengan ‘kekuatan’ materialnya. Kereta yang hebat, perhiasan rumah yang bertaraf agam dan tidak kurang juga perhiasan peribadi yang mewah. Persoalannya di sini, berjayakah wanita-wanita ini meraih kebahagiaan hakiki? Bahagiakah wanita setelah mencapai standard ‘kepuasan yang sebenar’???

Jawapannya tentu tidak. Keadaan ekonomi yang ‘menekan’ ini ‘memaksa’ wanita untuk keluar dari fitrah kewanitaannya dan kebiasaan yang seharusnya menjadi hak bagi seorang wanita. Dalam Islam, wanita tidak wajib menafkahi dirinya apatah lagi orang lain. Yang wajib menafkahi dirinya adalah lelaki (bapanya atau suaminya). Allah SWT berfirman, “Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu” [TMQ al-Baqarah (2):233]. Inilah buktinya bahawa fitrah kewanitaan mereka tersepit duka dalam jerut kapitalisme.

Wanita Sebagai Kuasa Ekonomi, Benarkah?

Kuasa wanita sebagai tenaga penggerak ekonomi dengan menjadi pengguna, pengeluar, pekerja dan usahawan sudah mula mendapat perhatian. Jika selama ini, kelompok ini dibayangi oleh China dan India dengan kuasa penggunanya yang melebihi satu bilion penduduk, kini wanita dianggap sebagai “Bilion Ketiga”. Malah, kepentingannya sebagai kuasa beli menurut Harvard Business Review (edisi September 2009) melebihi daripada jumlah kuasa beli di China dan India jika digabungkan.

Wanita global keseluruhannya mengawal AS$20 trilion (RM70 trilion) perbelanjaan pengguna dan dijangka akan meningkat kepada AS28 trilion (RM98 trilion) pada lima tahun yang akan datang. Pendapatan tahunan mereka menjangkau AS$13 trilion (RM45.5 trilion) dan akan meningkat kepada angka AS$18 trilion (RM63 trilion) dalam jangka masa yang sama. Dengan kuasa beli yang sedemikian, ternyata “Bilion Ketiga” tidak boleh diabaikan dan disalah ertikan dalam strategi pemasaran untuk wanita [petikan artikel “Wanita Sebagai kuasa Ekonomi”- http://yksm.com.my/mainpage/?p=444].

Inilah yang dinamakan sebagai ‘feminisi tenaga pekerja rasmi’. Bagi sesetengah wanita, ia memberi mereka kebebasan kerana mereka boleh merangkul lebih banyak pilihan dalam kehidupan mereka. Bagi sesetengah wanita yang lain pula, wanita yang keluar bekerja menanggung ‘beban berkepala dua’ kerana mereka juga mempunyai peranan dan kewajipan dalam keluarga. Wanita ini cuba mendukung sambil mengimbangi antara pekerjaan (mencari nafkah) dan fitrah wanita dalam kehidupan berkeluarga (ummun warabbatul bait-menjadi ibu dan pengurus rumah tangga).

Di serata dunia, dalam perkhidmatan-perkhidmatan seperti perbankan dan komputer, kaum wanita telah menggantikan kaum lelaki dalam pekerjaan yang kini dibayar gaji yang lebih rendah dan diproletarianisasikan (situasi pekerja boleh disuruh apa sahaja oleh majikan). Selain itu wanita juga terdedah dengan ‘syarat- syarat’ khusus dari para majikan yang berideologikan bajingan Kapitalisme, yang mana pelbagai ‘keperluan’ perlu dipatuhi jika ingin meneruskan pekerjaan yang dijanjikan. Wanita mesti sanggup melakukan apa jua pekerjaan asalkan dibayar dengan pulangan yang lumayan. Wanita juga terus dilaungi slogan feminisme yang menyatakan apa jua lelaki boleh lakukan wanita juga boleh!

Tambahan pula, dengan bekerja di luar rumah dan mempunyai kebebasan ekonomi bermaksud wanita tidak dikuasai atau terikat oleh mana-mana lelaki. Tetapi, kesan buruknya adalah tugas menjaga dan membesarkan anak menjadi lebih susah. Bagi segelintir wanita, menjadi sebahagian daripada tenaga pekerja global mengancam peluang mereka untuk melahirkan anak. Untuk wanita yang lain, ia mengakibatkan pengabaian terhadap anak-anak kerana mereka terpaksa bekerja untuk menyediakan makanan. Apabila fitrah wanita dilanggar, maka pelbagai masalah sosial pula timbul. Masalah gejala sosial semakin parah kerana wanita telah mengabaikan kefardhuannya sebagai ummun wa rabbatul bait.

Walaupun wanita bertarung dengan masalah-masalah di atas, kebanyakan wanita yang bekerja berkata mereka tidak dapat membayangkan jika mereka kembali ke peringkat tidak bekerja. [Sumber: arts.anu.edu.au/suara/horgan1.rtf]. Ini adalah kerana faktor ekonomi yang sangat menekan menyebabkan wanita ini merasa menderita mendapatkan bahan primer yang mana semuanya prabayar.

Bermacam-macam pekerjaan dilakukan oleh wanita demi menjadi pencari nafkah ataupun membantu meringankan beban ekonomi ketua isi rumah. Dalam keadaan yang terdesak wanita sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan demi sesuap nasi, dalam keadaan yang menekan. Sedar atau tidak, wanita sedang dieksploitasi dan dijerut semaksimumnya apabila dijadikan alat dan produk dagangan.

Di Barat, faktor ekonomi yang menghimpit menyebabkan wanita mereka sanggup tidak berkahwin kerana bimbang dengan taraf ekonomi yang tidak stabil dan tidak mampu memberikan komitmen yang terbaik apabila berumah tangga kelak. Maka ada di antara mereka sanggup melunaskan naluri kewanitaan mereka dengan menjadi ‘ibu tunggal’ tanpa berkahwin. Masalah sosial pula muncul apabila anak-anak dilahirkan sebelum berkahwin (anak tidak sah taraf). Ini memberikan gambaran bahawa cara membentuk sebuah keluarga baru telah menentang fitrah manusia.

Sebenarnya, cara sesebuah keluarga disusun telah berubah berkali-kali sepanjang sejarah. Engels mengatakan bahawa perubahan dalam struktur kekeluargaan dan dalam cara anak dijaga sebenarnya berhubungan dengan cara keperluan materialis kehidupan dihasilkan (sistem ekonomi yang mengatur) [Sumber: Engels: Origin of the Family, Private Property and the State].

Kembali kepada Fitrah

Sesungguhnya Islam adalah satu agama dan ideologi yang sempurna dan lengkap kerana Islam datang daripada Allah SWT yang menciptakan manusia, alam dan kehidupan. Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu itu telah menegaskan dalam firman-Nya, “Pada hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah aku cukupkan nikmatKu ke atasmu, dan telah aku redai Islam itu sebagai agamamu” [TMQ al-Maa’idah (5):3]. Penegasan Allah SWT sangat nyata dan jelas semasa menjelaskan bagaimana Islam yang dibawa oleh Muhammad SAW itu merupakan satu jawapan dan tanda aras bahawa Islam adalah sempurna, sebagaimana kalam-Nya yang suci, “Dan tidaklah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat untuk sekalian alam” [TMQ al-Anbiyaa’ (21):107].

Islam datang dan meletakkan manusia di atas landasan fitrah kemanusiaan. Dalam bidang pekerjaan, Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas di mana segala bentuk eksploitasi terhadap tarikan seksual wanita mahu pun lelaki (contohnya kecantikan dan ketampanan) untuk menarik ‘manfaat’ darinya, adalah dilarang. Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani menjelaskan dalam fasal 115 Muqaddimah ad-Dustur bahawa: “Seorang lelaki mahupun wanita tidak dibenarkan melakukan sesuatu pekerjaan yang dapat membahayakan akhlak dan mengundang kerosakan dalam masyarakat meskipun perbuatan itu termasuk dalam salah satu hukum yang mubah. Sebagai contoh, menggaji wanita sebagai pramugari atau pemuda yang tampan digunakan sebagai daya penarik untuk salun kecantikan, restoran dan lain-lain lagi”. Fasal ini diletakkan atas tiga asas utama dan ia berdasarkan nas seperti di bawah [Ringkasan Muqaddimatu Dustur, Al-Nabhani ms 263]:

Pertama: Rafi bin Rifaah berkata: “Nabi SWT melarang kami dari memperkerjakan seorang pelayan wanita kecuali yang dikerjakan oleh kedua tangannya. Beliau bersabda, ‘Seperti inilah jari-jemarinya yang kasar sebagaimana halnya tukang roti, pemintal atau pengukir" [HR. Ahmad].

Kedua: Kaedah usul menyebut, al wasilatu ila al haram, haram (sarana menuju perkara haram adalah haram).

Ketiga: Kaedah usul menyebut, asy syai`u al mubahu idza adda fardun min afradihi ila adh dharar yumna'u dzalika al fardu wahdahu wa yabqa asy syai`u mubah (suatu perkara mubah apabila salah satu bahagiannya menyebabkan dharar (bahaya), maka dilaranglah bahagian itu sahaja, sementara bahagian yang mubah tadi itu tetap mubah).

Sesungguhnya Islam telah menjamin setiap umatnya, sama ada lelaki atau wanita, mendapatkan ganjaran yang setimpal sekiranya umat ini tunduk dan patuh atas segala perintah dan larangan serta petunjuk dari Allah yang ditinggalkan buat umat Islam iaitu al-Quran dan Sunnah kekasihNya.

Khatimah

Wanita tidak akan mungkin selamanya terbela selagi Kapitalisme ini terus menjerut mereka dengan belenggu yang tiada noktahnya. Wanita yang ‘moden dan maju’ ini wajib berusaha untuk menjadikan Islam sebagai aspirasi dan inspirasi buat mereka sekiranya mereka benar-benar ingin mengubah nasib dan keadaan hidup mereka. Ketahuilah bahawasanya Islam tidak mungkin dapat diterapkan dengan kaffah (sempurna) tanpa adanya institusi yang menerapkan dan mengaplikasikan syariatnya sebagai tunggak iaitu Sistem Khilafah yang akan dinaungi oleh seorang Khalifah.

Kembalinya sistem ini di atas muka bumi Allah merupakan suatu janji yang pasti pada suatu masa nanti sebagaimana yang diungkapkan oleh Rasulullah dalam hadisnya yang mutawatir: “….Kemudian akan datang Khilafah yang berdiri atas jalan kenabian…” [HR. Ahmad]. Apa yang dituntut (wajib) saat ini adalah usaha kita untuk merealisasikan janji tersebut.

26 November 2012

Membentuk Anak Soleh

Anak Soleh dan Solehah Sentiasa Jadi Dambaan
Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah dari Allah  s.w.t. yang cukup berharga kepada Ibubapa. Mereka juga merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga dan dipelihara dengan  sempurna dan memastikan keselamatan di dunia dan akhirat.  Amanah ini akan ditanya oleh Allah diakhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaik-baiknya ataupun kita mengkhianatinya.

Justeru itu, Islam tampil sebagai model terbaik memberi bimbingan dan panduan kepada manusia dalam melahirkan sebuah keluarga bahagia dan dirahmati serta diredhai Allah s.w.t.

Kita semua sebagai ibu bapa atau yang bakal menjadi bapa sudah pasti berharap supaya dikurniakan anak-anak yang baik dan soleh yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Anak-anak bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w :

" اِذَا مَاتَ ابْنِ آدَمَ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ اِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ :

صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْلَهُ ".

Maksudnya :
"  Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya".

Oleh itu, sekiranya kita berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat yang terbaik dan soleh, maka kita mestilah memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka yang berkaitan dengan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah.

Justeru itu, proses mendidik anak agar benar-benar menjadi anak yang soleh merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang besar serta mencabar kepada setiap  ibu bapa, terutamanya dalam dunia hari ini yang serba canggih sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak kehidupan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Maka dalam perkara ini, beberapa faktor penting perlu diberi perhatian oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak menjadi insan yang soleh dan terbaik serta mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Diantara perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam proses melahirkan zuriat yang soleh ialah :

Pertama : Sentiasa Berdoa Kepada Allah s.w.t.
Keinginan untuk memiliki zuriat yang soleh dan cemerlang hendaklah dengan cara berdoa kepada Allah s.w.t. kerana amalan ini merupakan amalan yang dilakukan oleh para nabi dan rasul. Firman Allah dalam surah Ali – Imran ayat: 38

Yang bermaksud :
" Wahai tuhan kami kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik, seseungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan. "

Dalam ayat ini menjelaskan kepada kita para nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi mereka berdoa kepada Allah s.w.t.  agar dikurniakan zuriat keturunan yang baik. Ini memberi gambaran dan contoh kepada manusia untuk diamalkan. Di samping kita berdoa hendaklah kita memberi pelajaran yang sempurna dari segi fardhu Ain dan Fardhu Kifayah semoga mereka dapat membangunkan diri, masyarakat dan negara.

Kedua : Hendaklah Menanam Akidah Didalam Diri Anak-Anak
Akidah merupakan asas yang perlu diberi perhatian dan keutamaan, kerana akidah yang mantap sahaja mampu menjamin kebahagian dan kecemerlangan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Selain itu, anak-anak yang mempunyai pegangan akidah yang mantap tidak akan mudah untuk menyeleweng atau diselewengkan. Lebih-lebih lagi dapat melahirkan insan yang sentiasa dapat menjaga iman mereka serta menjauhi perkara-perkara syirik yang boleh menyesatkan mereka.

Ketiga : Hendaklah Diberi Penekanan Terhadap Tuntutan Syariah Khususnya Dari Sudat Ibadah
Penekanan dari sudut ibadah yang sempurna melambangkan sifat kepatuhan dan ketaatan  kepada Allah. Selain itu, sebagai tanda penyempurnaan  jalinan hubungan dengan Allah s.w.t sepanjang masa dengan sentaisa menyerahkan segala jiwa dan raganya terhadap setiap suruhan dan meninggalkan segala larangannya pada setiap masa.

Selain itu, dengan melakukan ibadah kepada Allah dapat menyedarkan anak-anak tentang sifat-sifat manusia sebagai hamba disisi Allah s.w.t. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Anam ayat 162 :

Yang bermaksud : " Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam ".

Keempat : Hendaklah Diberi Penekanan Dari Sudut Akhlak
Memiliki akhlak terpuji merupakan lambang kecemerlangan dan keindahan terhadap keperibadian seorang muslim sejati. Dengan memiliki akhlak yang terpuji menyebabkan seseorang itu dihormati dalam sesebuah masyarakat berbanding dengan orang yang memiliki akhlak yang tercela akan dibenci dan dikeji oleh masyarakat. Kerana itulah, junjungan besar nabi Muhammmad s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Selain itu, dengan memiliki akhlak yang mulia merupakan amalan yang paling berat dalam timbangan dihari akhirat berbanding dengan akhlak tercela yang akan melambatkan proses hisab dihadapan Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :

مَا مِنْ شَىْءٍ أَثْقَلُ فِىْ مِيْزَانِ الْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ حُسْنِ الْخُلُقِ

Maksudnya : "Tidak ada sesuatu yang lebih berat diatas neraca timbangan seseorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang mulia ".

Kelima : Memastikan Makanan Anak-Anak Dari Sumber Yang Halal
Setiap ibu bapa perlu memastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak merupakan  makanan dari sumber yang halal serta menjauhi dari sumber-sumber yang subhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba, penipuan dan sebagainya.

Kerana makanan yang bersumberkan dari rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi sebenarnya dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sehat. Dan akhirnya mendorong seseorang kearah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 :

Yang bermaksud : " Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu ".

Marilah sama-sama kita memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita, demi melihat generasi yang terbaik dimasa hadapan. Korbanlah sedikit masa dan harta untuk mereka, berikan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak seperti dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka keluar rumah dan sebagainya.

Ini semua membuktikan kita telah melaksanakan amanah Allah s.w.t. terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna. Kelima-lima perkara yang telah disebut tadi amat penting diberi perhatian untuk membina  insane yang sempurna dan merupakan modal insane yang akan memainkan peranan untuk membangun masyarakat dan Negara yang maju mengikut acuan kita sendiri.

Masjid Geduhum, 4 Mei 2012

KeWAJIBan Taubat

Taubat Dalam Mendekatkan Diri KepadaNya
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan- Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di Akhirat.

Sememangnya manusia itu tidak terlepas dari membuat kesilapan dan kesalahan sama ada yang dilakukan secara senghaja ataupun tidak. Namun sebagai umat Islam kita hendaklah segera menyesali dan menginsafi segala kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan iaitu dengan bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala bersifat Maha Pengasih, Maha Penyayang Lagi Maha Pengampun, sentiasa memberikan hamba- hamba-Nya peluang untuk memperbaiki diri sendiri dan menyelamatkan mereka dari terus bergelomang dengan dosa.

Taubat merupakan suatu perkara yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam. Cuba kita bayangkan sedangkan Rasulullah Sallallahu AlahiWasallam seorang yang maksum yakni terpelihara daripada sebarang dosa lagi bertaubat dan memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata'ala, betapa pula kita yang hidup di zaman yang penuh dengan cabaran, yang menguji keimanan dan ketaatan kita terhadap perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu sebagai umat Islam, kita hendakah sentiasa bertaubat dan segera memohon keampunan kepada-Nya, Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An Nuur, ayat 31 tafsir-Nya :
"Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya."
 
Ketahuilah bahawa orang-orang yang bertaubat itu terbahagi kepada beberapa golongan :
 
Pertama : Orang yang melakukan dosa yang bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan terus berpegang teguh pada taubatnya sampai akhir hayatnya.
 
Kedua : Orang yang bertaubat dan mempunyai pendirian yang kuat dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan meninggalkan kemungkaran-kemungkaran besar, cuma dia tidak terlepas dari melakukan kesalahan-kesalahan kecil, walupun ia telah mencuba untuk tidak melakukannya dan setiap kali ia melakukan kesalahan ia akan mencela dirinya, menyesal dan memperbaiki niatnya. Golongan ini samalah seperti yang digambarkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dalam Surah An-Najm, ayat 32, tafsir-Nya : "Iaitu orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecilkecil yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan, sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas Keampunan-Nya."
 
Ketiga : Orang yang bertaubat dan terus berpegang pada taubatnya dalam beberapa waktu, kemudian ia kembali melakukan dosa kerana nafsu dan lemah imannya. Setelah melakukan dosa ia memohon ampun kepada Allah agar diberi keampunan dan berhenti melakukan dosa, akan tetapi kemudian dia tergoda lagi untuk melakukan dosa dan ia bertaubat lagi.
 
Keempat : Orang yang melakukan dosa lalu bertaubat dalam waktu yang singkat, kemudian ia kembali melakukan dosa tanpa melakukan taubat dan juga tidak merasa menyesal atas perbuatannya itu. Orang seperti ini disebutkan sebagai orang yang terjerumus dalam kemungkaran.
 
Setelah kita mengetahui jenis-jenis taubat, maka sudah pasti kita dapat memilih taubat yang mana satukah yang ingin dilakukan agar dosa kita diampunkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Namun perlulah diingat bahawa bertaubat itu bukan hanya sekadar mengucap kalimah istighfar sahaja. Terdapat beberapa syarat supaya taubat kita diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala, para ulama berkata bahawa dosa yang dilakukan oleh seseorang hamba terhadap Allah dan tidak berhubung dengan manusia, maka terdapat tiga syarat :
Pertama : Meninggalkan perbuatan maksiat tersebut.
Kedua : Menyesali perbuatan yang telah dilakukan.
Ketiga : Bertekad kuat untuk tidak kembali mengulanginya selama-lamanya. Maka apabila salah satu dari tiga syarat taubat tiada tidak ada, maka taubatnya belum dikatakan benar.
 
Manakala apabila dosa yang dilakukan sesama manusia lainnya, maka ada empat syarat yang mesti dilakukan oleh mereka, di mana tiga syarat sama seperti dosanya kepada Allah dan satu lagi hendaklah ia membebaskan hak pemiliknya, contohnya jika seseorang telah menyebabkan orang lain berkecil hati atau marah, maka hendaklah dia meminta maaf kepada orang yang disakitinya itu, atau jika ia melibatkan harta, maka hendaklah dia mengembalikannya.
 
Selain itu para ulama juga telah menjelaskan bahawa antara lain syarat taubat itu ialah dorongan bertaubat itu hendaklah semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala ataupun kerana kesedaran kita bahawa maksiat itu merupakan suatu yang keji dan dosa ataupun kerana takut kepada azab Allah Subhanahu Wata'ala di Hari Kiamat kelak. Sebaliknya taubat yang dilakukan kerana takut kemudaratan akan menimpa dirinya, kehormatannya atau hartanya jika tidak bertaubat, maka demikian itu tidak dinamakan taubat. Sebagai contoh, menyesali dan bertaubat daripada meminum minuman keras disebabkan takut membahayakan kesihatan tubuh badan, yang demikian bukan dinamakan sebagai taubat. Begitu juga menyesali dan bertaubat daripada memakan harta haram dengan cara rasuah, menipu, mencuri, pecah amanah dan sebagainya kerana takut kehilangan pekerjaan, kehilangan kedudukan pangkat, maka yang demikian itu juga tidak dinamakan sebagai taubat. Oleh itu taubat mestilah lahir daripada keinsafan untuk kembali kepada Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata bukan kerana yang lain-lain.
 
Islam telah mengajarkan kita cara untuk membersihkan jiwa agar tidak terjebak kembali melakukan dosa setelah bertaubat. Antaranya ialah dengan menghindari dari tempat-tempat maksiat iaitu tempat yang boleh mendorong ataupun mempengaruhi mereka untuk melakukan perbuatan maksiat dan dosa. Selain itu kita juga hendaklah bijak memilih kawan yang baik dan menghindari kawan yang tidak baik, kerana memang tidak dinafikan bahawa kawan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kawannya yang lain. Seorang kawan daripada golongan orang yang baik akhlak, orang yang soleh, mereka akan dapat membimbing ke jalan yang benar, merekalah yang akan menegur, memberi nasihat dan panduan jika kita terleka dengan duniawi dan melanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala.
 
Seterusnya kita hendaklah sentiasa berjuang melawan pujukan syaitan kerana syaitan adalah musuh utama yang sentiasa berusaha menyesatkan umat manusia. Oleh itu, bagi orang yang ingin mencapai taubat nasuha perlulah dia sentiasa berusaha melawan segala bisikan dan pujuk rayu syaitan. Terdapat dua cara untuk melakukannya, iaitu menjaga hati dengan sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala dan sentiasa memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu Wata'ala supaya dihindarkan daripada syaitan dan segala kejahatannya. Inilah yang diamalkan oleh orang-orang yang bertaqwa. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al A'raaf, ayat 201, tafsir-Nya :
"Sesungguhnya orangorang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh suatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat kepada ajaran Allah, maka dengan itu mereka nampak jalan yang benar."
 
Selain itu juga, kita hendaklah sentiasa mengingatkan diri kita bahawa kita ini sentiasa berada dalam pengawasan Allah Subhanahu Wata'ala. Dengan cara ini kita akan sentiasa takut untuk melakukan kesalahan dan maksiat.
 
Sesungguhnya pintu taubat itu sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu bertaubat. Allah Subhanahu Wata'ala akan menerima taubat orang-orang yang benarbenar memohon keampunan daripada-Nya. Maka sebagai manusia yang tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat, marilah kita muhasabah diri kita dengan melazimkan diri dengan beristighfar dan bertaubat memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata'ala pada setiap masa dan ketika, tidak kira di kala kita susah mahupun senang, kerana ajal itu pasti akan tiba. Apabila ajal seseorang itu sudah sampai, maka taubat tidak akan diterima lagi.
 
Akhirnya sebagai hamba Allah yang sentiasa mengharapkan reda-Nya dan pengampunan-Nya, marilah kita memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan. Mudah-mudahan dengan demikan Allah akan mengampunkan segala dosadosa kita dan memasukkan kita ke dalam Syurga dengan rahmat-Nya. Amin Ya Rabbal'alamin. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al Qashash, ayat 16, tafsir-Nya : "Ia merayu dengan sesalnya : "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri : Oleh itu ampunkanlah – Apalah jua kiranya – Akan dosaku." Maka Allah Taala menerima taubatnya lalu mengampunkan dosanya. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Pengampun, Lagi Maha Mengasihi."
 
-Masjid Geduhum 19 Mei.

Mencari Keberkatan Hidup

Nur Ilahi Bagi Pencari Mardhatillah
Dunia yang menjadi tempat tinggal ini bukanlah kekal. Pelbagai gelombang cabaran dan ujian akan menimpa manusia. Begitu jua, usaha-usaha syaitan akan sentiasa mengiringi kehidupan kita. Semua ini perlu dihadapi dengan sebaik mungkin bagi mendapatkan keredhaan dan keberkatan dari Allah.

Oleh itu, setiap kita perlu melakukan penyerahan diri secara benar bagi mendapatkan keberkatan dariNya. Allah telah berjanji kepada mereka yang bertaqwa dan bergantung diri kepadaNya maka Allah akan mengadakan jalan keluar kepada masalah yang dihadapinya.

Insan mulia akan mendahulukan keperluan dan perintah Allah melebihi keperluan dirinya sendiri. Mereka tahu dan jelas bahawa dunia ini adalah sementara sebelum melalui kehidupan yang kekal abadi di hari akhirat kelak. Oleh itu mereka akan memastikan setiap apa yang mereka lakukan di dunia ini sebagai ibadah keranaNya. Janji syurga sentiasa menjadi motivasi kepada insan mulia ini.

Kesan keberkatan akan menyebabkan jiwa akan merasa tenteram. Hati akan tenang dan rezeki yang halal akan memberi kebahagian kepadanya. Oleh sebab itu kita hendaklah sentiasa berusaha mendapatkan berkat dariNya.

Masjid Geduhum, 22 Jun 2012

24 November 2012

Khutbah Jumaat: "Tangisan Gaza"

Isu Gaza (Palestin) Adalah Isu Bersama
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: " TANGISAN GAZA".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ketika umat Islam bergembira dengan kedatangan awal Muharam, sekali lagi dunia di gegarkan dengan kekejaman manusia yang tidak bertamadun rejim Israel. Operasi yang dinamakan "Pillar of Defence" ini telah membunuh orang awam yang tidak berdosa. Sebenarnya kezaliman dan keganasan yang telah dilakukan oleh mereka semenjak berpuluh-puluh tahun dulu telah menyaksikan isu-isu kemanusian sering ditimbulkan dan mereka tidak pernah mengenal mangsa sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, lelaki, wanita atau orang biasa. Mereka akan membunuh tanpa rasa belas kasihan dan hak. Keganasan mereka ini telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 155:
Maksudnya: " Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka dan mereka kufur akan ayat-ayat keterangan Allah dan mereka menbunuh Nabi-nabi dengan tiada suatu alasan yang benar dan mereka berkata: hati kami tertutup. Bahkan Allah telah memeterai hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja diantaranya. "


Persoalan besar timbul ialah mengapa bangsa Yahudi berterusan menjadi ganas dan kejam tanpa ada rasa peri kemanusiaan?. Ini disebabkan mereka terlalu taksub dengan bangsanya yang dianggap sebagai pilihan Tuhan, bangsa yang disayangi tuhan, halal membunuh orang yang bukan sebangsa Yahudi, mendapat sokongan kuat daripada negara kuasa besar dan beberapa negara Eropah serta negara Islam yang bersekongkol dengan mereka. Mimbar merasa kesal dengan beberapa negara yang lantang menyuarakan dan mempertahankan hak-hak asasi manusia, demokrasi dan sebagainya, tetapi tidak berlaku adil dan berlepas tangan apabila berlaku pencabulan hak asasi rakyat Palestin. Penubuhan negara Israel secara haram diiktiraf sah oleh pihak barat tetapi mereka tidak mengiktiraf kedudukan rakyat Palestin di negara mereka sendiri.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kekejaman dan keganasan Israel ke atas Palestin mengingatkan kita kepada keganasan Yakjuj dan Makjuj yang disebutkan dalam al-Quran. Menurut pandangan seorang ulama apa yang dimaksudkan Yakjuj dan Makjuj adalah merujuk kepada kuasa Barat iaitu Amerika Syarikat dan Yahudi. Profesor Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Syeikhul Azhar telah menggambarkan sifat keji bangsa ini melalui bukunya 'Israel fi al-Qur'an wa as-Sunnah', bahawa Israel sebagai bangsa penjenayah kejam yang tidak membezakan orang tua, wanita, kanak-kanak, masjid, rumah ibadat, tempat awam dan sebagainya. Israel juga terkenal sebagai bangsa penjenayah yang kuat memusuhi Islam dan Arab. Golongan ini bukan sekadar ingin menguasai Palestin, malah Jordan, Syria, Lebanon, Iraq, Semenanjung Sinai dan termasuklah Madinatul Munawwarah. Sifat keji bani Israel ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 78:

Maksudnya: " Orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh."


Muslimin Yang DiMuliakan Allah,
Mimbar amat kesal dengan tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam PBB merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Mengenai Perlindungan Orang-Orang Awam Semasa Perang. Mimbar mengecam sekeras-kerasnya serangan ini dan berpendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sebarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin di Gaza. Adalah satu hakikat bahawa Islam dan ummah tidak boleh bergantung kepada simpati dan bantuan golongan kuffar. Oleh kerana itulah Allah SWT memberikan kita peringatan bahawa golongan kuffar tidak sekali-kali akan melindungi Islam dan ummah melainkan mereka dijadikan sanjungan dan pujaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120:

Maksudnya: " Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu."


Muslimin Yang DiMuliakan Allah,
Islam mengajar kita bahawa umat Islam adalah bersaudara dan wajib dibela. Amatlah salah, kita membiarkan saudara kita di Palestin menderita, tanpa kita melakukan apa-apa. Sedarlah, bahawa kita bukan sahaja wajib membela dan meringankan penderitaan saudara seagama kita di Palestin, tetapi kita sebagai umat Islam juga wajib turut sama mempertahankan kesucian Baitul Maqdis kerana ia adalah kiblat pertama umat Islam. Sheikh Yusof al-Qardhawi dan Dr. Wahbah Zuhaili merupakan ulama terkemuka dunia menegaskan bahawa umat Islam wajib membantu saudaranya yang kesusahan dalam pelbagai aspek yang diperlukan walaupun terpaksa mengikat perut. 

Justeru itu, mimbar yang mulia ini menyeru kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia, marilah kita membantu meringankan penderitaan mereka. Bantuan kepada mereka boleh dimulakan dengan berdoa kepada Allah SWT sehinggalah memberi tekanan-tekanan yang boleh menyebabkan rejim Israel dihalau keluar daripada negara Palestin. Sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang, ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. lebih-lebih lagi dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa depan umat Islam. Kita ketepikan segala perbezaan-perbezaan tersebut atas dasar persaudaraan dan umat seagama kita. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10:

Maksudnya: " Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat ."


Mungkin sekali imbas amat sukar untuk kita mengalahkan Israel dan sekutunya, kerana mereka kerajaan yang kebal, berada diatas undang-undang antarabangsa dan boleh bertindak sesuka hati kerana ia dinaungi oleh kuasa barat. Mereka juga memiliki peralatan ketenteraan dan senjata nuklear yang hebat, namun sebagai orang yang beriman, kita mesti percaya bahawa dengan kuasa Allah SWT mengatasi segalanya. Berdasarkan pedoman sejarah Islam, tentera Islam pernah berjaya menewaskan kubu kuat puak Yahudi dalam peperangan Khaibar pada tahun 7 Hijrah. Dalam peperangan itu Rasulullah SAW memimpin tentera Islam seramai 1,400 orang tentera mengepung selama 10 hari. Tentera Islam diketuai Saidina Ali berjaya menewaskan pertahanan Yahudi dan mereka menyerah kalah.

Oleh itu, mimbar yang mulia pada hari ini, menyeru para jemaah dan seluruh umat Islam di negara ini untuk mengadakan solat sunat hajat dan bacaan qunut nazilah, memohon doa kehadrat Allah SWT agar dikurniakan keselamatan dan keamanan kepada rakyat Palestin, diberikan kekuatan semangat dan kecekalan hati serta kemenangan dalam menghadapi kezaliman Israel. Jangan kita biarkan bumi Palestin dinodai. rakyat Palestin berhujankan peluru, bermandikan darah dan jangan kita biarkan tangisan Gaza ini berpanjangan. Semuga Allah SWT merestui segala usaha yang kita lakukan. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Ali- Imran ayat 160:
Maksudnya: "Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.







21 November 2012

Mencari Solusi Permasalahan di Palestin.

Gaza hari ini diserang bertubi-tubi dari setiap penjuru!

MashaAllah!!! Allahuakbar!!! Bumi para Anbiya’ itu tidak pernah sunyi dengan bedilan peluru dan bom malah turut dihujani dengan roket-roket Israel tanpa ada rasa belas kasihan sedikit pun di hati mereka. Kali ini, rakyat Palestin diberi sambutan tahun baru Hijrah 1434H dengan bom dan peluru berpandu Israel laknatullah sehingga terkorbannya komander Briged al-Qassam, Ahmed Ja’bari dan anaknya ketika sedang memandu kereta. Hanya manusia berhati haiwan, kejam dan tidak berperikemanusiaan sahaja tergamak untuk melakukan semua ini demi kepentingan diri yang tiada kesudahannya. Israel laknatullah ini tidak pernah kenal siapa itu anak-anak kecil Palestin, orang-orang tua Palestin, wanita-wanita Palestin, malah orang-orang awam Palestin. Tubuh-tubuh ini terus dijadikan sasaran mereka bagi melampiaskan nafsu kebinatangan mereka. Mata mereka telah dibutakan dengan dendam kesumat dan agenda-agenda mengarut terhadap bumi Palestin.

Mereka Saudara Kita.
Wahai kaum Muslimin! Apa yang sedang berlaku di Palestin adalah masalah kita semua. Ia adalah sebahagian dari masalah umat Islam. Janganlah kalian menyangka bahawa masalah Palestin adalah masalah rakyat Palestin. Begitu juga dengan masalah Iraq, jangan sekali-kali kalian menyangka bahawa ia adalah masalah rakyat Iraq. Semuanya adalah masalah kita bersama. Soal ‘kerakyatan’ hanyalah muncul dari sempadan negara dicipta oleh musuh-musuh Allah, musuh Rasul dan musuh kalian semua. Allah dan RasulNya tidak pernah membeza-bezakan umat Islam Palestin, umat Islam Iraq, umat Islam Lebanon mahupun umat Islam Malaysia. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

“Dia (Allah) yang telah menamakan kamu Muslim dari dahulu” [TMQ al-Hajj (22):78]

dan firmanNya,
“Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara” [TMQ al-Hujurat (49):10].
Dalam hal ini, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga mengingatkan kita melalui sabdanya,
“Barangsiapa yang bangun di pagi hari dan ia tidak memperdulikan urusan kaum Muslimin, maka dia bukan sebahagian dari mereka (kaum Muslimin)” [HR Hakim].
Sesungguhnya Allah dan Rasul tidak pernah membeza-bezakan kita dan mengingatkan kita bahawa kita adalah umat Islam yang satu.

Mana Solusinya?

Wahai kaum Muslimin! Pelbagai penyelesaian telah diambil untuk menyelesaikan isu Palestin, namun tidak satupun yang berjaya. Konflik terus berlaku, darah terus tertumpah, korban semakin meningkat dan pengkhianatan demi pengkhinatan tidak pernah berhenti. Apakah benar-benar tidak ada penyelesaian terhadap isu ini di dalam Islam? Apakah Allah menurunkan agama ini dengan serba kekurangan sehingga umat Islam perlu mengambil penyelesaian sendiri, malah lebih buruk perlu bergantung kepada penyelesaian dari musuh Allah itu sendiri? Apakah Deen Allah ini penuh dengan kecacatan dan kekurangan sehingga penganutnya tidak ada jalan keluar dari masalah sebegini? SubhanAllah!! Maha Suci Allah dari segala kekurangan. Sesungguhnya agama Islam yang Allah cipta ini adalah amat sempurna. Namun manusialah yang menjadi punca kepada segala masalah, apabila tidak mengambil penyelesaian dari Al-Khaliq, Pencipta manusia dan agama untuk manusia. Amat hinalah kedudukan manusia yang tidak mengambil penyelesaian yang telah Allah tetapkan.

Wahai kaum Muslimin! Palestin adalah tanah kita yang telah dirampas oleh Yahudi la’natullah dengan bantuan British dan Amerika. Umat Islam di sana adalah di dalam kedudukan ‘perang’ dengan Israel hasil dari pencerobohan ini. Apabila musuh melancarkan perang ke atas kita, maka penyelesaiannya adalah membalas mereka dengan perang juga (jihad). Jika keluarga kita didatangi oleh musuh yang menghunuskan senjata dan mereka telah membunuh beberapa orang dari adik-beradik kita, maka apakah dalam keadaan ini kita akan mengatakan bahawa ‘Ahh! Itu masalah adik aku yang dibunuh, tidak ada kena mengena dengan aku’ atau kita hanya akan menadah tangan di hadapan musuh menagih simpati dan berdoa agar musuh tidak membunuh kita atau keluarga kita yang lain, atau kita menadah tangan bersyukur kerana kita masih selamat dan tidak dibunuh oleh si musuh atau kita bertanya kepada musuh apakah penyelesaian yang terbaik dalam situasi ini?

Wahai kaum Muslimin! Inilah realiti yang berlaku di Palestin sekarang (dan juga di lain-lain tempat). Umat Islam telah meletakkan penyelesaian masalah mereka di tangan musuh-musuh mereka sendiri! Mereka membiarkan musuh membunuh saudara-saudara mereka sambil menunggu musuh menyelesaikan masalah. Mereka memanjatkan doa kepada Allah agar musuh Allah dan musuh mereka berjaya menyelesaikan masalah tersebut. Mereka berusaha keras mematuhi apa sahaja yang musuh Allah ini tetapkan. MasyaAllah! Apakah ini penyelesaiannya wahai mereka yang berakal? Fikirkanlah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan, apakah ini yang diajarkan oleh Allah dan RasulNya di dalam menyelesaikan masalah umat Islam? Atau apakah kalian tidak mahu memikirkan dan tidak mahu berusaha, hanya mengharapkan pertolongan dari langit untuk membantu saudara-saudara kalian?

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya penyelesaian kepada masalah Palestin tiada lain melainkan jihad. Inilah penyelesaian yang diperuntukkan oleh Islam dan inilah satu-satunya jalan penyelesaian. Malangnya jalan inilah yang tidak diambil dan tidak pernah diambil oleh pemerintah umat Islam. Dalam keadaan di mana umat Islam sedang diperangi oleh musuh-musuh Allah, maka wajib bagi para pemerintah umat Islam menggerakkan para tentera mereka yang ada untuk berjihad memerangi musuh Allah ini. Jika pemerintah tidak bertindak, maka wajib pula bagi tentera kaum Muslimin bergerak ke medan jihad kerana merekalah golongan yang sebenar-benarnya mempunyai kekuasaan dan kekuatan. Jika digabungkan, umat Islam sebenarnya mempunyai kekuatan ketenteraan yang luarbiasa. Kedudukan Israel yang tersepit dan dikelilingi oleh negeri-negeri umat Islam akan begitu mudah dihancurkan. Bayangkan, jika bergabungnya tentera Jordan, Lebanon, Syria, Mesir Arab Saudi, Iran dan jika ditambah lagi kekuatan dari Pakistan, Sudan, Indonesia, Malaysia dan lain-lain lagi, maka Insya Allah Israel dapat dihancurkan dengan sekelip mata. Atas pertolongan Allah yang kita yakin akan tiba di dalam berlangsungnya jihad, maka InsyaAllah umat Islam akan dapat menguasai semula keseluruhan Palestin (bukan sekadar Tebing Barat dan Gaza) dengan begitu mudah. Malangnya semua tentera kaum Muslimin yang ada dimandulkan oleh para pemerintah dan golongan tentera ini tidak sedar bahawa mereka sesungguhnya tidak mandul!

Umat Islam Sebenarnya Kuat


Sesungguhnya tidak ada alasan bagi Dunia Islam saat ini untuk takut kepada Amerika, apatah lagi Israel. Meskipun ketika ini industri tentera Dunia Islam nampak lebih mundur dari Amerika, secara kuantiti, potensi tentera di Dunia Islam sesungguhnya sangat besar. Mengikut data yang dikeluarkan oleh CIA World Fact Book, potensi kekuatan tentera (military manpower availability) dan kelayakan untuk menyertai tentera (fit for military service) yang dimiliki oleh beberapa negara umat Islam cukup luarbiasa. Dengan gabungan tentera Mesir, Iraq, Iran, Pakistan, Turki dan Indonesia sahaja, potensi pasukan kaum Muslimin yang tersedia berjumlah sekitar 162 juta!!! Jika dibandingkan dengan AS, potensi tenteranya hanya 79 juta, apalagi dengan Israel yang hanya memiliki potensi tentera sekitar 1.5 juta pasukan lelaki dan 1.4 juta pasukan wanita. Bayangkan wahai saudaraku, jika umat Islam disatukan dengan satu kuasa pemerintahan dan dipimpin oleh seorang Khalifah, maka saat kehancuran Amerika dan sekutunya Israel sudah pasti tidak dapat dielakkan lagi!

AS + Israel vs Khilafah : Buku Dengan Ruas

Wahai kaum Muslimin! Dahulu kalian diperintah oleh Rasulullah yang begitu cintakan kalian, melayan kaum Muslimin dengan penuh kasih sayang, melayan musuh dengan penuh kekerasan. Kekuatan musuh tidak pernah menggentarkan Rasulullah. Rom dan Parsi yang merupakan super power pada waktu itu berjaya dikalahkan. Manusia setelah itu berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah dan mereka dipersatukan di bawah satu sistem pemerintahan. Kemudian Rasulullah mewariskan Sistem Pemerintahan ini kepada sahabat-sahabat baginda. Mereka adalah pemimpin yang begitu takutkan Allah dan mengasihi serta menjaga kaum Muslimin. Mereka turut membuka negeri-negeri baru dan sekali lagi manusia beramai-ramai masuk ke dalam agama Allah. Seluruh negeri dipersatukan di bawah Daulah Khilafah yang dipimpin oleh hanya seorang pemimpin yang bergelar Khalifah. Mereka menjaga darah kaum Muslimin kerana sayangkan kaum Muslimin dan takut kepada Allah.

Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam telah mengisytiharkan jihad ke atas Yahudi Bani Qainuqa’ hanya kerana tersingkapnya aurat seorang Muslimah. Khalifah al-Mu'tasim Billah tanpa berlengah terus membela seorang Muslimah yang dicabul oleh orang Romawi di kota Amuria. Hanya kerana membela seorang rakyatnya yang dinodai, sang Khalifah mengirimkan ratusan ribu pasukan kaum Muslimin hingga berhasil menakluki kota tersebut. Demikian pula Khalifah Abdul Hamid II yang bermati-matian mempertahankan tanah Palestin dari berbagai usaha Yahudi untuk mendudukinya, kerana keyakinan beliau bahawa tanah Palestin adalah tanah umat Islam yang wajib dijaga oleh seorang Khalifah.

Para Khalifah memahami bahawa menjaga rakyatnya adalah tanggungjawab dan amanah yang Allah telah pikulkan ke atas bahu mereka. Mereka sentiasa ingat dan mematuhi perintah Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam,

«اَلإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُوا مِنْ وَرَائِهِ وَ يُتَّقَى بِهِ»

”Imam (Khalifah) adalah laksana perisai (pelindung) di mana orang-orang berperang di belakangnya dan berlindung kepadanya”. [HR Muslim].

Sejarah Islam menjadi bukti yang jelas kepada kita betapa para Khalifah benar-benar menjaga rakyat mereka. Mereka berjuang untuk menyebarluaskan lagi Islam dan seterusnya menzahirkan agama Allah di muka bumi. Sejak dari zaman Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam sehinggalah ke zaman Daulah Khilafah Uthmaniah, para pemimpin kaum Muslimin benar-benar telah menyahut perintah Allah, memerangi orang kafir yang menjadi kewajiban bagi mereka,

”Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari Kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (yaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk” [TMQ at-Taubah (9):29].

Wahai kaum Muslimin! Jenuh sudah kita menyaksikan kegagalan segala penyelesaian yang diambil. Sudah berapa kali umat Islam dipatuk dari lubang yang sama, tetapi masih juga mengulanginya. Tidakkah kalian terfikir bahawa segala cara yang ditempuh selama ini tidak pernah berhasil. Apa sahaja cara yang dilakukan tidak pernah dipedulikan oleh Israel. Mereka kononnya bersetuju berunding, namun pada masa yang sama mereka membunuh kaum Muslimin. Kemudian pemimpin kaum Muslimin duduk semeja lagi, berjabat tangan dan berunding lagi. Selepas itu kaum Muslimin dibunuh lagi. Itulah perkara yang berulang-ulang terjadi. Sedarlah wahai kaum Muslimin bahawa pemimpin kalian hanya bekerjasama dengan Yahudi dan tunduk patuh kepada Amerika dengan pelbagai perjanjian damai. Mereka hidup senang sebagai balasan ketaatan mereka kepada Amerika walhal anak isteri dan saudara-saudara kalian disembelih dan diperkosa oleh musuh-musuh Allah ini. Para pemimpin ini tidak menjaga kalian tetapi menjaga musuh kalian. Musuh-musuh Allah sentiasa bersatu untuk memusnahkan kalian, sebaliknya pemimpin kalian sentiasa bersatu untuk tidak membantu kalian.

Pemimpin yang ada sekarang hanya melaungkan seruan-seruan kosong untuk menyatukan dunia Islam. Dalam masa yang sama mereka bahkan berharap pada PBB untuk bertindak, walhal jelas-jelas PBB hanyalah kuda tunggangan Amerika yang digunakan untuk menghancurkan umat Islam. Mereka langsung tidak kembali kepada Islam dalam menyelesaikan konflik berdarah ini. Wahai para pemimpin! Adakah Allah memerintahkan PBB (organisasi kafir) untuk menyelesaikan masalah umat Islam atau Allah memerintahkan kamu untuk menjaga darah umat Islam? Adakah kamu lebih takut kepada Amerika dari takutkan Allah? Tidak takutkah kamu kepada azab Allah yang akan menimpa kamu kerana pengkhianatan yang telah kamu lakukan ke atas kaum Muslimin? Umat Islam sekarang umpama anak ayam yang kehilangan ibu, tidak tahu di mana tempat bergantung dan arah tuju. Pemimpin mereka mengkhianati mereka dan mengikut telunjuk Barat.

Apa Jawapan Kita Kelak?

Ingatlah wahai kaum Muslimin dan pemimpin kaum Muslimin! Anak-anak di Palestin akan bangkit pada hari kiamat dan menceritakan kisah mereka di hadapan Allah. Mereka akan bangkit dari kubur-kubur mereka dan menceritakan bahawa mereka mati dahulu kerana dibunuh dengan kejam oleh askar-askar Yahudi. Mereka akan menyatakan bahawa tidak ada seorangpun dari pemimpin kaum Muslimin yang menjaga darah mereka. Mereka akan menyatakan bahawa pemimpin umat Islam telah mengkhianati mereka. Mereka akan bersaksi bahawa terdapat sebahagian dari umat Islam yang hanya membiarkan mereka dibunuh tanpa apa-apa pembelaan. Apakah jawapan kalian di waktu itu wahai para pemimpin? Allah akan bertanya kalian untuk apakah kalian memperlengkapkan tentera jika tidak untuk berjihad di jalanNya? Apakah jawapan kalian di kala itu wahai mereka yang memegang kekuasaan? Allah akan bertanya kepada kalian wahai kaum Muslimin, kenapakah kalian tidak bergerak untuk menegakkan agama Allah? Kenapakah kalian membiarkan darah anak-anak Palestin gugur ke bumi sedangkan kalian hidup selesa dikelilingi kemewahan? Apakah jawapan kalian di waktu itu wahai mereka yang sedang berpeluk tubuh? Bertaubatlah wahai para pemimpin, bertaubatlah wahai mereka yang lalai!!

Wahai kaum Muslimin! Bumi Al-Quds, tanah yang diberkati telah berjaya dikuasai oleh umat Islam semasa Khilafah menaungi dunia. Khalifah Umar Al-Khattab telah menghantar tenteranya untuk membebaskan kota suci itu dari tangan kaum kuffar. Begitu juga dengan Panglima Islam yang terkenal, Salahuddin Al-Ayyubi juga berjaya menawan semula bumi yang penuh berkat itu dari tangan tentera Salib. Sesungguhnya umat Islam sekarang tidak mempunyai seorang Khalifah yang akan menyelamatkan umat ini dari malapetaka. Darah umat Islam tertumpah tanpa sebarang pembelaan. Negeri umat Islam diceroboh tanpa sebarang pembelaan. Umat Islam bercakaran sesama seindiri tanpa ada yang dapat menghentikannya. Wahai saudaraku! Di tangan kalian terdapat kuasa untuk menghentikan semua ini! Di tangan kalian terdapat kuasa untuk memilih pemimpin. Kalianlah yang menentukan samada ingin memilih pemimpin sekular yang takutkan Barat atau pemimpin Islam yang takutkan Allah. Di tangan kalianlah terdapat kuasa ‘penentu’ samada kalian ingin memilih pemimpin yang dapat membebaskan Palestin (dan tanah-tanah umat Islam lainnya) atau memilih pemimpin yang hanya mementingkan keduniaan dan pasrah kepada musuh Allah. Kalianlah yang berhak untuk samada memilih pemimpin yang pengecut atau pemimpin yang akan melancarkan jihad ke atas musuh-musuh kalian dan musuh-musuh Allah.

Tegakkan Khilafah.

Wahai kaum Muslimin! Dengarlah peringatan ini sebaik-baiknya. Di tangan-tangan kalianlah terletaknya kuasa untuk melantik dan membai’ah seorang Khalifah. Khalifah akan muncul dan memerintah kalian jika kalian memberikan bai’ah kepadanya. Apabila dibai’ah, Khalifah akan menerapkan pemerintahan berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya kerana itulah syarat bai’ah yang beliau wajib penuhi. Khalifah akan melihara dan menjaga darah kalian dan menyatukan seluruh negeri kaum Muslimin. Khalifah akan menggerakkan tentera-tentera kaum Muslimin ke medan jihad untuk menyelamatkan kaum Muslimin dan membebaskan negeri-negeri umat Islam dari cengkaman kuffar. Oleh itu, bersama-samalah kalian dengan mereka yang berjuang untuk menegakkan semula Daulah Khilafah dan mengembalikan kemuliaan kepada kaum Muslimin. Semoga dengan kemuliaan ini Allah akan mengurniakan kalian kebaikan di dunia dan akhirat serta menjauhkan kalian dari kehinaan di dunia dan siksaan Allah yang amat pedih di akhirat kelak.

Umat Islam sekarang benar-benar memerlukan pembelaan dari seorang Khalifah, yang akan menyelamatkan mereka dari tentera-tentera kuffar. Hanya Khalifahlah yang akan mengajar segala kebiadaban Israel dan AS ke atas kaum Muslimin. Hanya Khalifahlah yang akan menyeru kepada kesatuan negeri-negeri kaum Muslimin yang ada sekarang untuk bersatu di bawah Daulah Khilafah, seterusnya mengisytiharkan jihad ke atas Israel dan AS. Inilah penyatuan dan kekuatan sebenar umat Islam – bersatunya umat Islam di bawah satu Sistem Pemerintahan (Daulah Khilafah) yang akan menghancurkan kekuatan AS, Israel dan sekutu mereka. Penyatuan dan kekuatan ini telah wujud dahulu dan ia akan kembali wujud untuk menyelamatkan kita semua. InsyaAllah.


Wahai para pemimpin kaum Muslimin! Sampai bilakah kalian akan sedar dan bertaubat akan dosa-dosa kalian membiarkan Muslim Palestin menderita akibat kekejaman Yahudi Israel? Sampai bilakah kalian akan membiarkan dan mengkhianati saudara-saudara kalian yang sedang dihentam oleh Israel? Sampai bilakah kalian akan sedar kewajiban kalian untuk mengerahkan pasukan tentera yang kalian miliki untuk menyelamatkan saudara kalian? Bagaimana perasaan kalian menyaksikan ayah, ibu, keluarga dan saudara-saudara kalian yang lemah dilanyak oleh musuh, sementara kalian yang mempunyai kekuatan berpeluk tubuh menjadi penonton? Baculkah kalian dalam melindungi saudara-saudara kalian?

Wahai tentera kaum Muslimin! Bukankah saat ini jantung-jantung kalian sepatutnya berdegup kencang, dan darah-darah kesatria kalian mendidih menyaksikan saudara-saudara kalian di Palestin dan Lebanon dibedil dan dibom oleh tentera Yahudi laknatullah? Adakah kalian sanggup hanya menjadi penonton, membiarkan saudara-saudara kalian di tembusi peluru-peluru tentera Israel? Bukankah kalian diasuh dan diajar dengan segala ilmu perang untuk menghadapi musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kalian? Tidakkah kalian terdorong walau sedikitpun untuk memberikan pertolongan kepada Muslim Palestin, padahal dengan itu kalian akan memperolehi satu di antara dua kebaikan, kemenangan atau mati syahid? Bukankah itu janji Rasulullah kepada kalian? Bahkan, sebagai tentera Muslim, bukankah kalian lebih wajib dan lebih layak membela saudara-saudara kalian yang Muslim, yang sedang menderita dijajah dan dibunuh Yahudi Israel, daripada mendukung para pemimpin kalian yang pengecut dan telah mengkhianati kaum Muslimin?

Wahai kaum Muslimin! Saksikanlah, bahawa para pemimpin kalian tidak pernah memiliki rasa malu atas tindakan mereka selama ini membiarkan rakyat Palestin berjuang sendirian; bahawa mereka sama sekali tidak mahu bergerak untuk menyerang musuh-musuh Allah dan musuh-musuh mereka demi menyelamatkan kaum Muslimin. Saksikanlah oleh kalian bahawa pemimpin kalian tidak pernah merasa bersalah tidak memerangi kaum kuffar yang memerangi Islam, walhal Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

”Perangilah mereka (orang-orang kafir itu), niscaya Allah akan menyiksa mereka dengan (perantaraan) tangan-tangan kalian, menghinakan mereka, menolong kalian terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman”. [TMQ at-Taubah (9):14].

Tindakan Segera Kita: DOA.

Kita pasti rakyat-rakyat Palestin sedang bergelut dengan ujian besar ini. Mungkin tidak dapat disangkalkan lagi, kebergantungan mereka kepada tali Allah dalam menghadapi ujian dunia ini cukup kuat. Tetapi saya, kamu dan kita semua, apa yang telah kita lakukan untuk saudara-saudara kita di sana? Cukupkah hanya dengan demonstrasi yang kita laungkan menunjukkan bantahan kita ke atas kekejaman Israel ke atas Palestin? Ya. Mungkin demonstrasi itu salah satu medium yang disuarakan oleh rakyat dari mana-mana negara yang membantah tindakan Israel tersebut. Tetapi pernahkah kita terfikir, setakat demonstrasi sahaja tidak cukup sekiranya kita sendiri terus melalaikan tanggungjawab kita pada Allah. Apakah perkaitannya?

Kita tahu, rakyat Palestin terus diasak bertubi-tubi dengan peluru-peluru. Mereka berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan negara meraka tanpa kenal putus asa. Tetapi, kita yang beragama Islam sama seperti mereka tidak perlu bertumpah darah, tidak perlu menjadi pelarian, malah kita boleh dikatakan masih hidup dalam keadaan aman, terus dibuai dengan hal-hal yang melalaikan. Jauh di sudut hati, kita membangkang tindakan Israel, tetapi kita melewat-lewatkan solat fardhu dan ambil sambil lewa dengan kewajipan-kewajipan kita kepada Allah. Jika hubungan kita dengan Allah tidak dijaga, bagaimana doa kita untuk rakyat Palestin dapat dimakbulkan? Itulah ironinya. Ini sebenarnya petunjuk Allah kepada kita. Benar, kita wajib mendoakan saudara seakidah kita. Islam mengajar kita untuk saling bersaudara kerana Allah s.w.t. Kita diwajibkan untuk mencintai saudara-saudara seakidah kita sebagaimana kita mencintai diri kita sendiri. Dalam sabda Rasulullah s.a.w dalah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri”.

Di samping kita mendoakan mereka, kita perbaiki hubungan kita dengan Allah agar doa yang kita titipkan untuk rakyat Palestin dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Senjata orang Mukmin adalah DOA. Saya yakin, mereka memerlukan doa-doa orang mukmin dari setiap pelusuk dunia sebagai senjata dalam diri mereka untuk terus utuh di medan mereka. Yakinlah dengan janji Allah dalam surah at-Talaq, ayat 2-3. Firman Allah bermaksud;

“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan diberikannya kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan diberikanya rezeki yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakal (berserah diri) kepada Allah, maka dicukupkan baginya (keperluan untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang di kehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”.

Allah sedang merencanakan sesuatu yang terbaik untuk rakyat Palestin. Kita sebagai saudara mereka perlu sentiasa memasukkan mereka dalam doa harian kita. Hanya masa yang menentukan untuk melihat Israel laknatullah ditimpa kemusnahan seperti umat yang terdahulu. Yakin dan pecayalah dengan kekuasaan Allah s.w.t kerana hanya Dia yang lebih mengetahui segala sebab musabab sesuatu itu dijadikanNya. Allahuakbar! Wallahualam.