30 November 2012

Renungan Hakikat Dakwah

alt
Siapapun Kita, Dakwah Adalah Kewajipan Semua
Kehidupan Rasulullah adalah kehidupan dakwah. Selama 23 tahun lamanya Rasulullah berkecimpung dalam dunia dakwah. Di sepanjang tempoh itulah, dakwah untuk mengajak seluruh umat manusia kepada Islam secara kaffah (menyeluruh) terus menerus berlaku tanpa mengerti penat dan lelah. Pada waktu itu, baginda menghadapi tentangan dan halangan daripada kaum musyrikin dalam pelbagai bentuk, baik secara fizikal mahupun secara pemikiran. Walaupun demikian, baginda tidak pernah berhenti apatah lagi berundur dalam memikul beban tugas yang mulia ini.

Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (Muhammad), 'Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin. Mahasuci Allah, dan aku tidak termasuk orangt-orang musyrik.”
[TMQ Yusuf (12): 108]

Selama 23 tahun Rasulullah berjuang dengan penuh bersungguh-sungguh dalam meninggikan kalimat-kalimat Allah untuk diterapkan di atas muka bumi ini. Hasilnya, Rasulullah berjaya membina dan membentuk masyarkat Islam, mendirikan sebuah Daulah (Negara) Islam serta dapat menyatukan umat manusia yang sebelum ini berpecah-belah dalam rangka asabiyah menuju kepada bersatu di bawah aqidah dan panji Islam.

Kejayaan Rasulullah tersebut adalah merupakan suatu kenyataan kerana apa yang dilakukan oleh Rasulullah kesemuanya adalah bersumber daripada wahyu semata-mata dan bukannya datang daripada kehendak dan keinginannya sendiri. Dalam hal ini Allah SWT berfirman:

“… Aku tidak mengikuti melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". [TMQ al-An’am(6): 50]

Dari segi mafhum ayat di atas, ia membawa maksud bahawa Rasulullah tidak melaksanakan sesuatu hukum atau melakukan sesuatu perbuatan melainkan ia hanya berdasarkan wahyu daripada Allah SWT semata-mata. Tidak ada jalan lain bagi kita yang mengaku sebagai umatnya untuk tidak melakukan perkara yang sama seperti Rasulullah kerana kewajipan untuk melakukan dakwah juga terkena kepada umatnya.

Halangan Dakwah

Dakwah Rasulullah SAW tidak pernah sepi daripada pelbagai ujian, rintangan dan cabaran. Pada peringkat awal dakwah, Rasulullah dan para sahabat menghadapi pelbagai halangan berupa gangguan, penghinaan serta seksaan sehingga ada membawa kepada kematian sepertimana yang dialami oleh Bilal Bin Rabah, keluarga Yasir, Khabab Bin al-Arts, Abu Dzar al-Ghifari dan Ibnu Mas’ud. Begitu juga dengan pemboikotan yang dilakukan oleh kafir Quraisy terhadap kaum Muslimin disebabkan oleh keteguhan hati mereka dalam berpegang dan menyampaikan risalah Islam. Semua ini merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan berdakwah serta ujian yang sememangnya telah menjadi sunnatullah.

Kisah-kisah mereka itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita agar senantiasa beristiqamah dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab dakwah ini walaupun pelbagai rintangan yang dihadapi. Hatta jika berdepan dengan ancaman maut oleh penguasa yang zalim sekalipun, janganlah kita sekali-kali meninggalkan dakwah, apatah lagi untuk menyesal dalam melaksanakan tanggungjawab yang mulia ini. Dalam kitab Sirah Ibnu Hisyam diriwayatkan bahawa Zuhri menceritakan sebagaimana berikut:

“Rasulullah Saw pernah mendatangi (berdakwah) secara peribadi terhadap Bani Kindah, tetapi mereka menolak. Baginda mendatangi Bani Kalban, tetapi mereka menolak. Baginda mendatangi Bani Hanifah dan meminta nusrah (pertolongan) dan kekuatan kepada mereka. Namun tidak ada orang Arab yang lebih keji penolakannya terhadap baginda kecuali Bani Hanifah. Baginda juga mendatangi Bani Amir Bin Sha’shaah, mendoakan mereka kepada Allah dan meminta kepada mereka secara peribadi. Kemudian berkata salah seorang lelaki daripada mereka yang bernama Baiharah bin Firas, “Demi Allah, seandainya aku menerima (ajakan) pemuda Quraisy ini (yakni Muhammad), sesungguhnya orang Arab akan murka (kepada kita).” Kemudian ia berkata, “Apakah pendapatmu jika kami membaiatmu dalam urusanmu, kemudian Allah memenangkanmu ke atas orang yang menentangmu. Adakah kami akan diberi kekuasaan selepas engkau (wafat)?.” Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Urusan (kekuasaan) itu hanyalah milik Allah yang Dia akan memberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.” Baiharah berkata, “Adakah kami perlu menyerahkan leher-leher kami kepada orang Arab, padahal jika Allah memenangkan kamu, urusan (kekuasaan) itu bukan untuk kami. Kami tidak memerlukan urusanmu.” (Sirah Ibnu Hisyam Jilid 1).”

Petikan sirah di atas menjadi bukti bahawa Rasulullah SAW secara terus menerus berdakwah dan mengajak kaumnya kepada Islam walaupun menghadapi pelbagai ujian dan rintangan yang hebat. Ujian dan rintangan tersebut tidak pernah mengurangkan semangat dakwah baginda, apatah lagi membuatkan beliau lesu di dalam dakwah. Baginda senantiasa beristiqamah dan ikhlas sehinggalah Allah SWT memenangkan dakwah baginda dengan kejayaan menegakkan Daulah Islam yang pertama di Madinah, menerapkan sistem Islam secara kaffah (menyeluruh) dalam seluruh aspek kehidupan dan menyebar luas risalah Islam ke segenap penjuru dunia melalui dakwah dan jihad.

Tiada Alasan Untuk Meninggalkan Berdakwah

Secara realitinya, halangan dakwah yang berlaku di negara ini tidaklah seberat mana jika dibandingkan sepertimana yang dialami oleh para pendakwah di negara-negara lain, apatah lagi jika dibandingkan dengan ujian yang dialami oleh Rasullah sendiri dan para sahabat beliau pada masa lallu. Sebenarnya tidak ada alasan bagi kita yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW untuk tidak bersemangat dan bersifat lemah longlai di dalam berdakwah. Jika ujian yang kita hadapi di saat ini setara dengan apa yang dialami oleh baginda Rasul dan para sahabat sekalipun, ia masih tetap tidak menggugurkan kewajipan kita untuk terus berdakwah. Sudah menjadi sunnatullah bahawa dakwah akan sentiasa sinonim dengan ujian dan cabaran.

Oleh kerana itu, kita perlu sedar bahawa aktiviti berdakwah akan selalu mendatangkan risiko bagi para pelakunya. Ramai kaum Muslimin pada hari ini menyedari akan hal ini tetapi mereka tetap lalai atau cuba mengelak daripada melakukan dakwah hanya kerana masalah-masalah yang remeh seperti larangan orang tua, sibuk dengan kerjaya, tiada masa lapang (untuk dakwah) dan lain-lain lagi alasan yang pada hakikatnya ia hanyalah bersifat duniawi dan dapat diatasi dengan penuh bijaksana. Mereka lebih rela disibukkan dengan urusan mencari kekayaan dunia dan mencari keredhaan manusia berbanding mencari bekal untuk akhirat dan mencari redha Allah SWT.

Khatimah

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian tersebut) Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” [TMQ al-Ankabut (29): 3]

Wahai kaum Muslimin, janganlah sekali-kali kita mengaku bahawa kita sudah beriman dengan sebenar-benarnya sedangkan kita telah meninggalkan tugas dakwah yang mulia ini. Sesungguhnya kita telah berbohong kepada Allah dan RasulNya jika kita mengaku bahawa kita adalah sebahagian daripada pendakwah, walhal pada hakikatnya kita merasa terbeban dengan kerja-kerja dakwah yang memerlukan banyak pengorbanan sama ada dari segi harta, masa, tenaga dan malah nyawa. Bersabarlah atas segala ujian yang datang menimpa dan yakinlah bahawa setiap ujian yang mendatang merupakan salah satu bentuk bagaimana Allah SWT ingin meninggikan darjat seseorang jika ia terus bersabar, tabah dan beristiqamah di jalan dakwah.

“(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya kami akan kembali." [TMQ al-Baqarah(2): 156].


Tiada ulasan:

Catat Ulasan