16 November 2012

HIJRAH sebagai kesinambungan Dakwah.

Tanggal 1 Muharram menemui kaum muslimin sekali lagi. Sambutan Maal Hijrah, seperti tahun-tahun yang lalu disambut dengan penuh gilang-gemilang.

Syukur, alhamdulillah, kaum muslimin masih terus mengingati peristiwa bersejarah ini. Namun begitu, tahun demi tahun, peringatan kaum muslimin keatas peristiwa Hijrah ini hanyalah terhad kepada peringatan kerohanian, serta pengajaran dan pandangan dari konteks sejarah. Kalau adapun pengajaran yang diambil untuk disandarkan kepada realiti hari ini, ia hanyalah setakat pengajaran; sebagai satu tempelan 'Islam' kepada konteks kehidupan hari ini yang sememangnya telah kosong dari Islam sebagai satu ideologi sejak tahun 1924, dengan termusnahnya entiti politik dunia Islam, Daulah Khilafah Uthmaniyyah.

Sempena ketibaan tanggal 1 Muharram 1434H, suatu hari yang penuh pengertian, terpanggil untuk mengingatkan kaum muslimin kepada peristiwa Hijrah yang telah berlaku di zaman Rasulullah agar sambutan Maal Hijrah tahun ini dapat dihayati dengan sempurna dan dengan sebenar-benarnya. Apa yang ingin kami hidangkan dalam perbincangan kali ini adalah aspek-aspek ideologi peristiwa Hijrah yang merupakan asas dan aspek yang cukup signifikan dalam rangka menjadikan 1 Muharram ini hari yang amat penting dalam sejarah umat Islam. Aspek ini akan memperlihatkan bahawa Islam bukanlah setakat agama yang hanya mengatur ibadah khusus, atau agama yang perlu ada sebagai jusifikasi atau tempelan keatas sistem sekular yang busuk; namun aspek ini akan memperlihatkan bahawa Islam adalah merupakan doktrin yang mencangkupi ruang kerohanian dan politik sekaligus - yang dengannya, penjanaan momentum untuk membangkitkan kembali umat Islam akan tercetus.

Peristiwa Hijrah dan Keutamaannya

'Apabila kaum Quraish mengetahui bahawa Muhammad SAW telah mengumpulkan orang-orangnya dan telah mendapat nusrah (bantuan) dari golongan selain kaum Quraish dan Makkah, dan telah menyaksikan para sahabat mula berhijrah untuk bergabung dengan golongan ini, mereka menyedari bahawa kaum muslimin telah menemui keamanan dan perlindungan. Kaum Quraish begitu bimbang sekiranya Muhammad SAW akan turut meninggalkan mereka kerana mereka sedar bahawa Muhammad SAW telah mengisytiharkan perang keatas mereka. Dalam kebimbangan ini, pembesar kaum Quraish mula berkumpul di Dar al-Nadwah untuk membincangkan masalah ini'.

Begitulah sorotan sebahagian sirah Hijrah dari Ibn Ishaq ketika kaum Quraish mula menyedari bahawa kaum muslimin sudah mula berhijrah ke Madinah. Para pembesar Quraish mula membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah yang sedang dihadapi. Ibn Kathir menceritakan peristiwa perbincangan mereka di Dar al-Nadwah dengan panjang lebar dimana akhirnya Abu Jahal mencadangkan agar dipilih seorang anak muda yang kuat dan terhormat dari setiap kabilah untuk membunuh Muhammad SAW. Dengan pembunuhan secara beramai-ramai ini, darah Muhammad SAW akan terbahagi antara seluruh kabilah dan akibatnya Bani Abdul Manaf tidak akan dapat memerangi mereka. Inilah rancangan mereka. Namun bagaimana hebat sekalipun perancangan manusia, Allah adalah sebaik-baik perancang.

'Dan ketika kaum kafir merancang untuk memenjarakan engkau, membunuh engkau atau mengusir engkau - mereka merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang' [Al-Anfaal 8:30]

Allah SWT telah menyelamatkan Rasulullah SAW dan menggagalkan rancangan kaum kafir Quraish. Selepas peristiwa ini, Rasulullah telah diberi kebenaran oleh Allah untuk berhijrah ke Madinah dan menemui kaum muslimin yang lainnya yang telahpun berhijrah sebelum ini:

'Katakanlah: Ya Tuhanku, masukkanlah aku ketempat masuk yang benar dan keluarkanlah aku dari tempat keluar yang benar dan jadikanlah bagiku dari sisiMu kekuasaan yang menolongku' [Al-Isra 17:80]

Inilah peristiwa yang berlaku sebelum hijrahnya Rasulullah SAW. Peristiwa ini merupakan titik utama sejarah kaum Muhammad SAW. Di Madinah, Daulah Islam pertama didirikan sebagai satu entiti politik yang akan mempengaruhi percaturan politik dunia selepasnya. Ideologi Islam dipancak dengan teguh bukan sahaja sebagai satu konsep malah wujud secara hakiki sebagai sebuah kuasa politik yang menerapkan hukum Allah secara menyeluruh didalam kehidupan manusia. Daulah inilah, Daulah yang dibina sendiri oleh Rasulullah SAW, kekal sehinggalah kejatuhannya pada tahun 1924 ditangan kaum kafir imperialis Barat dan kuncunya, Mustafa Kamal Laknatullah 'alaihi.

Dari kajian sirah ini, dapat diperhatikan bahawa kaum Quraish begitu serius dalam usahanya untuk membunuh Muhammad SAW. Mengapakah baru sekarang, selepas 13 tahun Muhammad SAW hidup dikalangan mereka, barulah mereka mengambil keputusan untuk membunuh baginda? Mengapakah mereka tidak mengambil keputusan untuk membunuh Muhammad SAW sebelum ini dimana peluang mereka terbuka begitu luas? Apakah ancaman yang ada pada Muhammad SAW sehingga mereka merasakan bahawa pembunuhannya adalah penyelesaian yang terbaik?

Percubaan untuk membunuh Rasulullah SAW ini menggambarkan kepada kita bahawa satu ancaman yang amat besar telah dirasai oleh pihak Quraish – ancaman yang begitu getir memandangkan ia melibatkan persoalan hidup atau mati kaum Quraish. Kunci utama bagi memahami peristiwa ini adalah pemahaman bahawa dakwah Rasulullah SAW ini, bagi kaum Quraish, bukanlah sesuatu yang baru. Perkara ini difahami oleh kaum Quraish ketika mereka sebulat suara bersetuju untuk membunuh Muhammad SAW. Keputusan yang dibuat di Dar al-Nadwah itu dijalankan serta-merta pada malamnya. Dakwah Rasululah SAW selama 13 tahun di Makkah merupakan dakwah terbuka yang diketahui oleh kaum kafir Quraish – lalu, mengapakah pembunuhan ini dirancang hanya selepas 13 tahun? Jawaban yang jelas dan huraian mengapa ini berlaku tepat sejurus sebelum Rasulullah SAW melakukan hijrah baginda selepas 13 tahun di Makkah dapat dikupas dari 2 aspek:

a) Sambutan yang begitu komited dari Nuqaba (pihak-pihak yang berkuasa) di Madinah.
b) Implikasi Hijrah Rasulullah SAW ke satu masyarakat yang telah disediakan untuk Islam dan begitu ghairah untuk menerima Rasulullah dan implementasi mabda' (ideologi) Islam.

Mengenai butir (a), kaum Quraish menyedari bahawa selepas Bai'ah Aqabah II, golongan yang memegang kuasa di Madinah telah rela melepaskan kekuasaan mereka untuk diberikan kepada Rasulullah SAW, untuk membolehkan baginda mendirikan Daulah Islam. Ini sudah cukup untuk menggetarkan jiwa-jiwa mereka. Mereka sedar bahawa tahapan dakwah 13 tahun Rasulullah di Makkah sudah sampai ke penghujungnya sebelum baginda meraih kuasa politik. Nusrah yang diberikan oleh nuqaba' Madinah merupakan indikasi kejayaan tahapan 'talab al-nusrah' didalam dakwah Rasulullah SAW. Kaum Quraish juga mula menyedari bahawa apabila Rasulullah menjalankan puluhan perjumpaan dengan kabilah-kabilah Arab, baginda bukanlah sekadar ingin menarik mereka kepada Islam tetapi lebih dari itu, baginda memandang jauh untuk meraih kekuasaan bagi menegakkan Daulah Islam. Kini, igauan ngeri kaum Quraish sudah mula menjadi kenyataan.

Penghijrahan Rasulullah SAW (butir (b)) membawa implikasi bahawa dakwah Islam sudah sampai ke tahap dakwah yang akan dibawa oleh Daulah. Rasulullah SAW bukan sahaja akan mendapatkan perlindungan, malah yang lebih membimbangkan pihak Quraish adalah Muhammad SAW akan mendapatkan kekuasaan dengan asas mabda' Islam. Di Madinah, pihak Quraish beranggapan, sekiranya Rasulullah SAW dibenarkan untuk berhijrah, baginda tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk menegakkan Islam. Dan oleh kerana halatuju dakwah tidak hanya terbatas kepada Madinah sahaja, malah ia juga tertumpu ke Makkah, maka pihak Quraish sedar bahawa datangnya Muhammad ke Makkah selepas ini bukanlah sebagai seorang yang lemah, tetapi adalah sebagai seorang pemimpin yang berkuasa. Mereka (Quraish) sedar bahawa sekiranya Muhammad SAW berjaya berhijrah ke Madinah, dan berjaya membina masyarakat baru di sana, baginda bukanlah lagi Muhammad yang mereka kenali sebelum ini, tetapi baginda adalah Muhammad SAW yang kekuasaannya perlu diberi perhatian serius. Ini menjadikan mereka berpandangan bahawa hijrah baginda ke Madinah akan melahirkan ancaman Islam yang sebelum ini belum pernah mereka rasai – ancaman yang akan wujud dan akan terus wujud bagi kaum Kuffar, sebagai satu ideologi yang akan terus aktif dalam arena politik dunia untuk mengatur setiap urusan kaum muslimin melalui Daulah Islam yang ditegakkan.

Fakta bahawa Rasulullah SAW akan dapat mendirikan Daulah Islam di Madinah bukan sahaja diperhatikan di dalam Sirah tetapi juga dari ayat Allah [17:80] yang bermaksud,

'Katakanlah: Ya Tuhanku, masukkanlah aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkanlah aku dari tempat keluar yang benar dan jadikanlah bagiku dari sisiMu kekuasaan yang menolongku'.

Ibn Kathir menafsirkan ayat ini sebagai:

"Qatadah mengatakan bahawa " 'tempat masuk yang benar' merupakan Madinah dan 'tempat keluar yang benar' merupakan Makkah. Perkataan yang bermaksud 'kekuasaan yang menolongku' membawa pengertian Kitab Allah dan berhukum dengan hukum Allah". Allahlah yang mengajarkan kepada Muhammad doa ini. Oleh itu, Hijrah merupakan penghijrahan kepada tempat yang mempunyai kekuasaan dan pemerintahan dimana implementasi mabda' Islam wujud secara praktik"

Begitu juga dengan Ayat [6:89] yang bermaksud;

'Kepada mereka itu telah Kami anugerahkan Kitab, hukum dan kenabian (namun) jika mereka kafir kepadanya, maka Kami telah sediakan kaum lain yang bukan orang-orang kafir'.

Ibn Kathir mengatakan bahawa 'mereka yang telah dianugerahkan Kitab, hukum dan kenabian' itu merujuk kepada kaum Quraish manakala 'kaum lain yang bukan orang-orang kafir' merujuk kepada golongan Muhajirun dan Ansar.

Dengan realiti bahawa Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah membawa kepada tertubuhnya Daulah Islam seperti mana yang diperhatikan dari Sirah dan ayat-ayat Allah, maka jelaslah mengapa implikasi politik dan kepentingan Hijrah ini membawa kepada kebimbangan yang amat sangat keatas kaum Quraish. Mereka nampak bahawa ancaman Islam adalah jelas. Mereka sedar, apa yang mampu kaum muslimin lakukan apabila mereka bersatu dan berkuasa. Mereka faham implikasi penubuhan Daulah Islam – dan inilah yang menyebabkan mereka membuat keputusan untuk membunuh Rasulullah SAW.

Khatimah

Inilah indikasi dari Sirah dan ayat-ayat Allah mengenai motif rancangan pembunuhan Muhammad SAW. Ini juga merupakan indikasi bahawa kaum penentang Islam memahami implikasi kewujudan Daulah Islam. Sehingga ke hari ini, usaha-usaha keras dan tidak pernah kenal penat-lelah kaum Kuffar untuk terus menekan Islam dari bangkit merupakan indikasi bahawa mereka memahami implikasi tertubuhnya Daulah Islam. Kaum kuffar hari ini mewarisi perjuangan kufur kaum Quraish di zaman Rasulullah.

'Sesungguhnya kaum kuffar membelanjakan hartanya untuk menghalangi orang dari jalan Allah. Mereka nanti akan membelanjakannya untuk tujuan ini dan kemudiannya ia akan menjadi penyesalan bagi mereka lalu mereka dikalahkan dan orang-orang kafir (ini) akan dihumbankan ke dalam neraka jahannam'

Apakah kita, kaum muslimin hari ini memahami implikasi kewujudan Daulah? Sekiranya kita memahaminya, maka sambutan Maal Hijrah bukanlah sewajarnya diraikan dengan perarakan, nyanyian dan penyampaian anugerah, namun Maal Hijrah haruslah disambut dengan tekad yang kuat untuk berusaha menegakkan kembali Daulah Islam mengikut tariqah (method) Rasulullah. Semoga Allah memberikan petunjuk kepada kaum muslimin dalam mengembalikan Islam sebagai satu-satunya penyelesaian kepada masalah manusia.

Wallahua'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan