08 November 2012

Sorotan Ringkas Hukum Murtad Menurut Islam

16 sanad Hadis tentang hukum bunuh bila tukar agama.

Hukum Murtad Menurut Islam

Apabila seseorang keluar daripada Islam sedangkan ia baligh dan berakal maka ia diajak untuk kembali kepada Islam hingga tiga kali disertai peringatan. Jika ia kembali setelah itu maka akan diterima dan jika menolak maka akan dibunuh, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, 

”Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” [TMQ Al-Baqarah, 2:217]

Hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pula mensabitkan hukuman kepada orang yang murtad. Imam Bukhari telah meriwayatkan dari Ikrimah yang berkata, 

“Dihadapkan kepada Amirul Mukminin ‘Ali karamAllahu wajhah orang-orang zindiq, lalu beliau membakar mereka. Maka berita itu disampaikan kepada Ibnu Abbas dan beliau berkata ‘Seandainya aku, tidaklah aku bakar mereka kerana larangan Nabi Salallahu ‘alaihi wa Sallam yang bersabda "Jangan kamu menyiksa dengan siksaan Allah". Akan tetapi pasti akan aku bunuh mereka kerana sabda Rasulullah Salallahu ‘alaihi wa Sallam "Barangsiapa yang menukar agamanya, hendaklah kamu bunuh akan dia”

Dalam riwayat Imam Ahmad disebutkan, “Allah dan RasulNya telah menetapkan, bahawa orang yang murtad dari agamanya maka dia mesti dibunuh.”

Banyak lagi hadis yang seumpama ini yang menunjukkan dengan jelas bahawa hukuman bagi orang-orang yang murtad adalah dibunuh. Mereka tidak dibakar. Ini disebabkan adanya larangan dari Rasulullah untuk mengazab seseorang dengan azab Allah, iaitu api (dibakar). Selain itu, keumuman hadis, “

Barangsiapa murtad maka bunuhlah ia”, menunjukkan bahawa hukum bagi mereka yang murtad adalah dibunuh. Sedangkan apa yang diperbuat oleh Ali radhiAllahu ‘anhu. tidak boleh dijadikan dalil, sebab yang menjadi pegangan kita di sini ialah perkataan Rasulullah, bukannya perbuatan Ali. Apa yang dilakukan oleh Ali adalah berdasarkan ijtihadnya yang mungkin pada waktu itu dibuat sebelum beliau mendengar hadis yang melarang mengazab seseorang dengan azab Allah (membakar). 

Berkaitan pembahasan orang yang murtad dianjurkan untuk bertaubat dalam tempoh tiga hari adalah berdasarkan hadis dari Marwan, bahawa Rasulullah Salallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan agar menasihati orang yang murtad. Abu Bakar juga pernah melakukan hal seperti ini. Daruquthniy dan Baihaqiy mengeluarkan hadis, “Bahawa Abu Bakar radhiAllahu ‘anhu menganjurkan wanita yang murtad untuk bertaubat. Wanita itu bernama Ummu Qurfah, di mana dia kafir setelah masuk Islam. Wanita itu tidak mahu bertaubat, sehingga beliau (Abu Bakar) membunuh wanita itu.”

Anjuran taubat selama tiga hari, bukanlah qayyid (batasan). Tiga hari adalah batas minima yang umumnya memungkinkan terjadinya insaf. Jika dalam tempoh itu masih juga tidak mahu insaf, maka tempoh itu boleh dilanjutkan (oleh Qadhi). Sebab, maksud dari anjuran bertaubat adalah menyedarkan dia tentang Islam, dan supaya dia kembali kepada Islam sehingga dia mesti diberikan masa yang mencukupi untuk bertaubat. Diriwayatkan bahawa Abu Musa memberi kesempatan bertaubat seorang yang murtad di mana kemudian Mu’az memerintahkan untuk membunuhnya. Kemudian Abu Musa membunuh orang murtad tersebut, setelah memberi kesempatan taubat selama dua bulan sebelum kedatangan Mu’az. Walaubagaimanapun, taubat hanya diterima jika dia tidak mengulangi kemurtadannya. Jika ternyata dia mengulanginya, maka taubatnya tidak diterima dan dia mesti dibunuh segera tanpa diberi tempoh lagi (tidak dikira lagi samada dia bertaubat atau tidak). 

Diriwayatkan oleh Asyram dari Thibyana bin Umarah, “Bahawa seorang lelaki dari Bani Saad melintas ke Masjid Bani Hanifah, sedangkan mereka sedang membaca sajak Musailamah al Kadzab. Kemudian lelaki itu pergi kepada Ibn Mas’ud dan menceritakan kejadian itu. Kemudian mereka didatangi dan mereka disuruh bertaubat. Semuanya telah meninggalkan jalan keyakinan mereka kecuali seorang lelaki, di mana Ibn Nuwahah berkata kepadanya, “Sungguh aku melihat engkau satu kali, dan aku menduga engkau telah bertaubat, dan aku melihatmu mengulangi lagi perbuatanmu itu. Maka lelaki tersebut dibunuh.”

Seperkara yang perlu diperhatikan ialah dari segi perlaksanaan hukum di mana mereka yang dibenarkan untuk membunuh orang murtad adalah negara (pemerintah) atau orang yang ditugaskan oleh negara (Qadhi). Mana-mana individu atau jemaah tidak boleh melakukannya. Tugas individu atau jemaah hanyalah sebatas memberi peringatan, ancaman dan memuhasabah pemerintah yang tidak menerapkan hukum Islam. Malah wajib ke atas mana-mana individu atau jemaah meluruskan pemerintah dalam kes ini. Individu atau jemaah juga boleh berdakwah kepada mereka yang murtad agar kembali kepada Islam dan jika mereka berdegil, urusan mereka dikembalikan kepada pemerintah (untuk dihukumi).

Menjawab Kebohongan dan Pengeliruan

Di dalam mempertahankan perjuangan mereka, golongan sokong-murtad ini telah mengelirukan umat Islam dengan tafsiran ayat 

“tidak ada paksaan dalam agama...” [TMQ al-Baqarah:256]. 

Mereka mengatakan bahawa orang Islam boleh keluar dari Islam berdasarkan ayat ini. Kesalahan mereka amat jelas dan ketara di mana ayat yang mulia ini sebenarnya menerangkan tidak ada paksaan ke atas orang kafir untuk memeluk Islam, bukan sebaliknya. Jadi meskipun wajib bagi orang kafir untuk masuk Islam (lihat Ali-Imran:3,19,85), mereka hendaklah memeluk Islam atas kerelaan dan kesedaraan sendiri dan bukan kerana ada paksaan. 

Mereka juga berhujah mengatakan bahawa hadis “Barangsiapa menukar agamanya maka bunuhlah dia” sebagai Hadis Dha’if (lemah), kerana terdapat Muhamad bin Al-Fadhal di dalam sanadnya. Sebenarnya Muhamad bin Al-Fadhal diterima oleh ahli hadis, sehinggalah penghujung umur beliau. Imam Bukhari berkomentar bahawa dia adalah tsiqah (dipercayai) tetapi "berubah-ubah di penghujung umurnya". Kebohongan golongan sokong-murtad ini jelas di mana mereka sebenarnya tidak mengkaji hadis ini dengan sempurna. Terdapat hadis yang sama diriwayatkan oleh Bukhari melalui 16 sanad yang lain yang tidak terdapat Muhamad bin Al-Fadhal di dalamnya. Yang mereka ketengahkan ialah satu sanad sahaja yang dikatakan tidak sahih kerana adanya Muhamad bin Al-Fahdhal (Hadis #6411) walhal terdapat 16 sanad yang lain (Hadis #2794) yang tidak terdapat Muhamad bin Al-Fadhal dan yang langsung tidak mengandungi kecacatan di dalamnya namun ini tidak pernah tidak dibincangkan oleh golongan sokong-murtad ini (lihat gambarajah).

Sanad hadis yang diserang – dakwaan ke atas satu dari periwayat. 16 sanad Hadis tentang bunuh bila tukar agama.

Terdapat banyak lagi pengeliruan dan kebohongan nas-nas yang dilakukan di dalam membolehkan murtad ini. Golongan ini sememangnya ‘kreatif’ di dalam mencari nas demi merubah hukum Allah. Disebabkan keterbatasan ruang, kami tidak dapat untuk menyiarkan semua hujah-hujah palsu mereka untuk dijawab. InsyaAllah di lain waktu akan diperbincangkan.

Khatimah

Slogan Hak Asasi Manusia yang dilaungkan oleh kafir Barat telah betul-betul dimanfaatkan oleh mereka untuk menguasai negara umat Islam dan meluaskan cengkaman mereka ke atas kita. Selain dari menjajah umat Islam dari segi ketenteraaan, politik, ekonomi, pemikiran dan kebudayaan, musuh-musuh Allah ini juga tidak pernah putus asa berusaha mengeluarkan kaum Muslimin dari agama Islam. Allah Subhanahu wa Ta’ala mengingatkan kita,

"Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya"[TMQ al Baqarah:217].

Wahai kaum Muslimin! Kita semua tahu bahawa salah satu tujuan luhur Islam dalam menjaga masyarakat (yang disebut sebagai maqasid syar’iyyah) adalah ’menjaga agama/aqidah’. Allah sekali-kali tidak memberi hak dan keizinan ke atas manusia untuk menyekutukanNya atau tidak mempercayai kewujudanNya (atheist). Allah Subhanahu wa Ta’ala menjaga agamaNya melalui hukum bunuh ke atas orang-orang yang telah menukar kepercayaan (murtad) ini. Dan orang yang dibebankan oleh Allah untuk melaksanakan hukuman ini tidak lain tidak bukan adalah pemerintah. Wajib ke atas pemerintah menjaga agama Allah dengan menerapkan sistem yang datang dari Allah, bukan menerapkan hukum mengikut kehendak sendiri, kehendak manusia lain, apatah lagi kehendak musuh-musuh Allah (kafir Barat). Kita selalu berdoa dan mengharapkan supaya Allah menjadikan orang-orang yang bertaqwa/takut (kepada Allah) sebagai pemimpin kita, bukan pemimpin yang ’bertaqwa’ kepada Barat. Hanya pemimpin yang bertaqwa kepada Allah sahajalah yang akan menyelamatkan umat ini dari kehancuran. 

Rasulullah dan para khulafa’ telah berjaya mengIslamkan umat manusia. Mereka benar-benar menjaga aqidah umat yang telah memeluk Deenul haq ini. Penerapan hukum bunuh ke atas si murtad telah berjaya menjaga kesucian dan kebenaran agama Allah ini. Sudah lama kita mengharapkan perkara yang sama dilakukan oleh para pemerintah, tetapi harapan tinggal harapan. Undang-undang yang ada sekarang adalah hasil ciptaan manusia dan telah terbukti gagal menangani masalah ini. Undang-undang aqal yang lahir dari sistem demokrasi ini tidak pernah berjaya dan ia akan terus gagal dan gagal. Tidakkah kalian sedar wahai kaum Muslimin? Tidakkah kita semua rindu akan kehidupan di mana Sistem Allah diterapkan di dalamnya? InsyaAllah kerinduan kita ini akan terubat bilamana kita menyaksikan Daulah Khilafah sekali lagi memayungi dunia. Tetapi kita tidak boleh menanti wahai saudaraku, kita wajib berjuang untuk mendirikannya sebagaimana perjuangan Rasulullah semasa di Makkah dahulu sehingga tertegaknya Daulah Islamiyyah di Madinah. Perjuangan merubah pemikiran-pemikiran kufur yang ada pada umat untuk digantikan dengan pemikiran-pemikiran Islam yang berasal dari wahyu, bukan yang datang dari sistem demokrasi-sekular. Hukum bunuh ke atas orang-orang murtad akan kembali diterapkan bilamana Daulah Khilafah memerintah dunia nanti. Wahai kaum Muslimin, kekallah kalian di dalam agama ini dan patuhilah segala perintah Allah. Ingatlah! Haram untuk kita mati di dalam keadaan tidak tunduk patuh kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Muslim”. [TMQ Ali-Imran:102]

2 ulasan:

  1. Berikut secara ringkas petikan daripada Dr MAZA

    Hukuman

    Ramai yang memperkatakan hukuman murtad. Saya tidak ingin melebarkan khilaf fuqaha di sini. Namun kita tidak melaksanakan langkah-langkah yang diperintahkan syarak sebelum menghukum orang murtad. Hasil dari nas-nas hadis dan amalan sahabah, para fuqaha menyatakan hendaklah orang murtad itu diberikan ruang perbincangan, dihilangkan kekeliruannya mengenai agama dan diajak bertaubat (lihat: Abd al-Halim ‘Uwais, Mausu’ah al-Fiqh al-Islami al-Mu’asir, 3/438).



    Proses ini penting, sebelum kita sibuk memperkatakan tentang hukuman. Proses ini boleh dibuat oleh berbagai pihak. Tidak semesti memerlukan kuasa. Namun hanya sedikit yang melakukannya. Banyak perkara yang mengelirukan umat Islam pada zaman ini. Manusia mungkin murtad disebabkan kurangnya penjelasan yang meyakinkan. Sikap, tindakan dan penafsiran sesetengah pihak di kalangan umat Islam juga boleh menyebabkan orang bingung dengan Islam. Tiba-tiba apabila mereka murtad terus sahaja ada pihak yang memperkatakan tentang hukuman sebelum mendengar dan membuat penjelasan secara mantap dan adil, mana mungkin jiwa yang merdeka dapat menerimanya. Proses penerangan dan diolag tentang Islam dengan cara yang lebih terbuka dan berani patut dilakukan. Di negara lain, tokoh-tokoh umat Islam sudah lama mampu menyampaikan penerangan tentang Islam sehingga di gereja dan di berbagai saluran.

    Hari ini tidak ada Abu Bakr yang mampu menolong kita. Apa yang patut kita fikirkan adalah membina ketahanan umat agar kukuh kefahamannya terhadap Islam. Pengukuhan itu tidak akan berlaku jika pihak yang menerangkan Islam itu sendiri rapuh kefahamannya dan menakutkan pula wataknya. Lebih penting isu murtad jangan dijadikan sebagai peluang untuk mempromosi diri, persatuan atau modal politik. Sebaliknya lihat ia sebagai tanggungjawab bersama yang mesti ditangani secara ilmiah, bukan sentimen.

    BalasPadam
  2. Tetapi bukankah di dalam Sunah Abi Dawud, Hadith 4345 mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW mengampunkan orang yang bertukar agama? Saya ada baca bahawa jika seseorang itu keluar dari Islam tetapi tidak memburukkan atau membuat sesuatu yang menjatuhkan Islam dia tidak patut dibunuh. Akan tetapi orang yang murtad dan jatuhkan Islam dan sebagainya baru dibunuh.

    Ini ayat dari Hadith 4345 (dalam bahasa inggeris maaf)

    Abdullah ibn AbuSarh used to write (the revelation) for the Messenger of Allah (ﷺ). Satan made him slip, and he joined the infidels. The Messenger of Allah (ﷺ) commanded to kill him on the day of Conquest (of Mecca). Uthman ibn Affan sought protection for him. The Messenger of Allah (ﷺ) gave him protection.

    BalasPadam