28 November 2012

Wanita dan Ekonomi Dalam Jerut Kapitalisme


Antara Memenuhi Kehendak Vs Keperluan

Muqaddimah

Wanita merupakan golongan yang tidak terkecuali daripada menerima kesan akibat penerapan ideologi kapitalisme pasca kejatuhan entiti politik Islam (Daulah Khilafah). Walaupun sesetengah pihak masih mempertikaikan kerelevanan membincangkan isu ini, namun ia tetap menjadi topik yang patut mendapat tempat di minda umat Islam. Ini adalah kerana penaja sistem kapitalisme ini (Barat) terus-menerus mempropagandakan dengan gigih ke seluruh dunia bahawa hanya sistem ekonomi kapitalisme yang mampu “mengimbangi” dunia dan mensejahterakan alam.

Hakikat Kapitalisme

Ideologi kapitalisme juga menanam persepsi bahawa kebahagiaan manusia akan tercapai dengan menikmati sebanyak-banyaknya kepuasan jasmani, tanpa unsur spiritual. Ideologi ini mengajarkan bahawa hanya manusia yang memahami manusia dan hanya manusia yang tahu apa yang manusia mahukan. Dengan kata yang lebih mudah, hanya manusia yang mampu memuaskan kehendak dan keperluan manusia, maka kerana itu manusia jugalah yang harus mencipta satu sistem untuk merealisasikan tujuan itu.

Dalam memenuhi kehendak yang tidak terbatas tersebut, cara dan metodologinya tidak lagi dipedulikan kesesuaiannya dengan fitrah penciptaan manusia sebagai hamba kepada Al-Khaliq, asalkan ia mampu meraih seberapa banyak potensi yang menguntungkannya. Inilah konsep Machiavelli yakni “matlamat menghalalkan cara”.

Jadi, antara kesan daripada pemahaman dan penerapan ideologi kapitalisme ini adalah, dunia kini semakin rakus ‘mempergunakan’ wanita sebagai sumber pendapatan. Wanita dianggap setaraf dengan lelaki dalam segala aspek termasuk taraf ekonominya. Wanita kini telah kuat, bebas dan mempunyai sumber ekonominya sendiri. Dengan kata lain wanita telah mula menjadi pencari nafkah utama keluarga.

Contohnya di Malaysia, wanitanya lebih cenderung memiliki karier (baca: pencari nafkah) sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta. Buat masa ini, wanita membentuk hampir setengah daripada jumlah tenaga buruh negara. Jabatan Penerangan Malaysia memaparkan bahawa penyertaan wanita meningkat dari 37.2 peratus dalam tahun 1970 kepada 46.7 peratus dalam tahun 1990 [Sumber: http://pmr.penerangan.gov.my]. Manakala menurut Dato’ Seri Najib Tun Razak pula dalam ucapannya sempena Hari Wanita Sedunia ke-100 baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa pada masa ini, kaum wanita membentuk 47.3% tenaga kerja, berbanding 30.8% pada tahun 2000. Menjelang tahun 2015 kerajaan berharap angka itu akan meningkat ke 55% [Sumber: http://www.1malaysia.com.my].

Serapan Yang Menjadi Kebiasaan

Serapan ideologi asing ke dalam masyarakat Islam di negara ini sudah lama melanda dan penularannya berlaku secara halus sehingga tidak disedari oleh umat Islam. Sama ada sedar atau tidak, pemikiran masyarakat Islam masa kini telah berubah kepada pemikiran asing dan kalau tidak dibanteras melalui pelbagai kaedah, hal ini boleh menjejaskan akidah umat Islam itu sendiri [Laporan dan Kajian R&D Ogos 2010: Serapan Ideologi Dan Pemikiran Asing- Jabatan Agama Islam Selangor].

Masyarakat Islam hari ini merupakan generasi yang mindanya telah ditanam dengan motivasi hidup untuk meraih kemewahan dunia bukannya untuk hidup dengan meraih ketaatan kepada Allah. Ungkapan-ungkapan seperti “Wahai anakku, inginkah kau miliki kereta yang cantik? Rumah yang besar? Mendapat apa sahaja yang kau inginkan? Jika ya, maka belajarlah bersungguh-sungguh hingga ke menara gading dan mendapat kerjaya impian yang akan menjamin tercapainya segala impianmu,” menjadi kebiasaan bagi ibu bapa untuk memotivasikan anaknya.

Oleh sebab itu, seorang wanita yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dianggap janggal jika tidak mempunyai kerjaya yang hebat. Kerjaya dan pendapatan yang hebat pula perlu diselaraskan dengan ‘kekuatan’ materialnya. Kereta yang hebat, perhiasan rumah yang bertaraf agam dan tidak kurang juga perhiasan peribadi yang mewah. Persoalannya di sini, berjayakah wanita-wanita ini meraih kebahagiaan hakiki? Bahagiakah wanita setelah mencapai standard ‘kepuasan yang sebenar’???

Jawapannya tentu tidak. Keadaan ekonomi yang ‘menekan’ ini ‘memaksa’ wanita untuk keluar dari fitrah kewanitaannya dan kebiasaan yang seharusnya menjadi hak bagi seorang wanita. Dalam Islam, wanita tidak wajib menafkahi dirinya apatah lagi orang lain. Yang wajib menafkahi dirinya adalah lelaki (bapanya atau suaminya). Allah SWT berfirman, “Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu” [TMQ al-Baqarah (2):233]. Inilah buktinya bahawa fitrah kewanitaan mereka tersepit duka dalam jerut kapitalisme.

Wanita Sebagai Kuasa Ekonomi, Benarkah?

Kuasa wanita sebagai tenaga penggerak ekonomi dengan menjadi pengguna, pengeluar, pekerja dan usahawan sudah mula mendapat perhatian. Jika selama ini, kelompok ini dibayangi oleh China dan India dengan kuasa penggunanya yang melebihi satu bilion penduduk, kini wanita dianggap sebagai “Bilion Ketiga”. Malah, kepentingannya sebagai kuasa beli menurut Harvard Business Review (edisi September 2009) melebihi daripada jumlah kuasa beli di China dan India jika digabungkan.

Wanita global keseluruhannya mengawal AS$20 trilion (RM70 trilion) perbelanjaan pengguna dan dijangka akan meningkat kepada AS28 trilion (RM98 trilion) pada lima tahun yang akan datang. Pendapatan tahunan mereka menjangkau AS$13 trilion (RM45.5 trilion) dan akan meningkat kepada angka AS$18 trilion (RM63 trilion) dalam jangka masa yang sama. Dengan kuasa beli yang sedemikian, ternyata “Bilion Ketiga” tidak boleh diabaikan dan disalah ertikan dalam strategi pemasaran untuk wanita [petikan artikel “Wanita Sebagai kuasa Ekonomi”- http://yksm.com.my/mainpage/?p=444].

Inilah yang dinamakan sebagai ‘feminisi tenaga pekerja rasmi’. Bagi sesetengah wanita, ia memberi mereka kebebasan kerana mereka boleh merangkul lebih banyak pilihan dalam kehidupan mereka. Bagi sesetengah wanita yang lain pula, wanita yang keluar bekerja menanggung ‘beban berkepala dua’ kerana mereka juga mempunyai peranan dan kewajipan dalam keluarga. Wanita ini cuba mendukung sambil mengimbangi antara pekerjaan (mencari nafkah) dan fitrah wanita dalam kehidupan berkeluarga (ummun warabbatul bait-menjadi ibu dan pengurus rumah tangga).

Di serata dunia, dalam perkhidmatan-perkhidmatan seperti perbankan dan komputer, kaum wanita telah menggantikan kaum lelaki dalam pekerjaan yang kini dibayar gaji yang lebih rendah dan diproletarianisasikan (situasi pekerja boleh disuruh apa sahaja oleh majikan). Selain itu wanita juga terdedah dengan ‘syarat- syarat’ khusus dari para majikan yang berideologikan bajingan Kapitalisme, yang mana pelbagai ‘keperluan’ perlu dipatuhi jika ingin meneruskan pekerjaan yang dijanjikan. Wanita mesti sanggup melakukan apa jua pekerjaan asalkan dibayar dengan pulangan yang lumayan. Wanita juga terus dilaungi slogan feminisme yang menyatakan apa jua lelaki boleh lakukan wanita juga boleh!

Tambahan pula, dengan bekerja di luar rumah dan mempunyai kebebasan ekonomi bermaksud wanita tidak dikuasai atau terikat oleh mana-mana lelaki. Tetapi, kesan buruknya adalah tugas menjaga dan membesarkan anak menjadi lebih susah. Bagi segelintir wanita, menjadi sebahagian daripada tenaga pekerja global mengancam peluang mereka untuk melahirkan anak. Untuk wanita yang lain, ia mengakibatkan pengabaian terhadap anak-anak kerana mereka terpaksa bekerja untuk menyediakan makanan. Apabila fitrah wanita dilanggar, maka pelbagai masalah sosial pula timbul. Masalah gejala sosial semakin parah kerana wanita telah mengabaikan kefardhuannya sebagai ummun wa rabbatul bait.

Walaupun wanita bertarung dengan masalah-masalah di atas, kebanyakan wanita yang bekerja berkata mereka tidak dapat membayangkan jika mereka kembali ke peringkat tidak bekerja. [Sumber: arts.anu.edu.au/suara/horgan1.rtf]. Ini adalah kerana faktor ekonomi yang sangat menekan menyebabkan wanita ini merasa menderita mendapatkan bahan primer yang mana semuanya prabayar.

Bermacam-macam pekerjaan dilakukan oleh wanita demi menjadi pencari nafkah ataupun membantu meringankan beban ekonomi ketua isi rumah. Dalam keadaan yang terdesak wanita sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan demi sesuap nasi, dalam keadaan yang menekan. Sedar atau tidak, wanita sedang dieksploitasi dan dijerut semaksimumnya apabila dijadikan alat dan produk dagangan.

Di Barat, faktor ekonomi yang menghimpit menyebabkan wanita mereka sanggup tidak berkahwin kerana bimbang dengan taraf ekonomi yang tidak stabil dan tidak mampu memberikan komitmen yang terbaik apabila berumah tangga kelak. Maka ada di antara mereka sanggup melunaskan naluri kewanitaan mereka dengan menjadi ‘ibu tunggal’ tanpa berkahwin. Masalah sosial pula muncul apabila anak-anak dilahirkan sebelum berkahwin (anak tidak sah taraf). Ini memberikan gambaran bahawa cara membentuk sebuah keluarga baru telah menentang fitrah manusia.

Sebenarnya, cara sesebuah keluarga disusun telah berubah berkali-kali sepanjang sejarah. Engels mengatakan bahawa perubahan dalam struktur kekeluargaan dan dalam cara anak dijaga sebenarnya berhubungan dengan cara keperluan materialis kehidupan dihasilkan (sistem ekonomi yang mengatur) [Sumber: Engels: Origin of the Family, Private Property and the State].

Kembali kepada Fitrah

Sesungguhnya Islam adalah satu agama dan ideologi yang sempurna dan lengkap kerana Islam datang daripada Allah SWT yang menciptakan manusia, alam dan kehidupan. Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu itu telah menegaskan dalam firman-Nya, “Pada hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah aku cukupkan nikmatKu ke atasmu, dan telah aku redai Islam itu sebagai agamamu” [TMQ al-Maa’idah (5):3]. Penegasan Allah SWT sangat nyata dan jelas semasa menjelaskan bagaimana Islam yang dibawa oleh Muhammad SAW itu merupakan satu jawapan dan tanda aras bahawa Islam adalah sempurna, sebagaimana kalam-Nya yang suci, “Dan tidaklah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat untuk sekalian alam” [TMQ al-Anbiyaa’ (21):107].

Islam datang dan meletakkan manusia di atas landasan fitrah kemanusiaan. Dalam bidang pekerjaan, Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas di mana segala bentuk eksploitasi terhadap tarikan seksual wanita mahu pun lelaki (contohnya kecantikan dan ketampanan) untuk menarik ‘manfaat’ darinya, adalah dilarang. Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani menjelaskan dalam fasal 115 Muqaddimah ad-Dustur bahawa: “Seorang lelaki mahupun wanita tidak dibenarkan melakukan sesuatu pekerjaan yang dapat membahayakan akhlak dan mengundang kerosakan dalam masyarakat meskipun perbuatan itu termasuk dalam salah satu hukum yang mubah. Sebagai contoh, menggaji wanita sebagai pramugari atau pemuda yang tampan digunakan sebagai daya penarik untuk salun kecantikan, restoran dan lain-lain lagi”. Fasal ini diletakkan atas tiga asas utama dan ia berdasarkan nas seperti di bawah [Ringkasan Muqaddimatu Dustur, Al-Nabhani ms 263]:

Pertama: Rafi bin Rifaah berkata: “Nabi SWT melarang kami dari memperkerjakan seorang pelayan wanita kecuali yang dikerjakan oleh kedua tangannya. Beliau bersabda, ‘Seperti inilah jari-jemarinya yang kasar sebagaimana halnya tukang roti, pemintal atau pengukir" [HR. Ahmad].

Kedua: Kaedah usul menyebut, al wasilatu ila al haram, haram (sarana menuju perkara haram adalah haram).

Ketiga: Kaedah usul menyebut, asy syai`u al mubahu idza adda fardun min afradihi ila adh dharar yumna'u dzalika al fardu wahdahu wa yabqa asy syai`u mubah (suatu perkara mubah apabila salah satu bahagiannya menyebabkan dharar (bahaya), maka dilaranglah bahagian itu sahaja, sementara bahagian yang mubah tadi itu tetap mubah).

Sesungguhnya Islam telah menjamin setiap umatnya, sama ada lelaki atau wanita, mendapatkan ganjaran yang setimpal sekiranya umat ini tunduk dan patuh atas segala perintah dan larangan serta petunjuk dari Allah yang ditinggalkan buat umat Islam iaitu al-Quran dan Sunnah kekasihNya.

Khatimah

Wanita tidak akan mungkin selamanya terbela selagi Kapitalisme ini terus menjerut mereka dengan belenggu yang tiada noktahnya. Wanita yang ‘moden dan maju’ ini wajib berusaha untuk menjadikan Islam sebagai aspirasi dan inspirasi buat mereka sekiranya mereka benar-benar ingin mengubah nasib dan keadaan hidup mereka. Ketahuilah bahawasanya Islam tidak mungkin dapat diterapkan dengan kaffah (sempurna) tanpa adanya institusi yang menerapkan dan mengaplikasikan syariatnya sebagai tunggak iaitu Sistem Khilafah yang akan dinaungi oleh seorang Khalifah.

Kembalinya sistem ini di atas muka bumi Allah merupakan suatu janji yang pasti pada suatu masa nanti sebagaimana yang diungkapkan oleh Rasulullah dalam hadisnya yang mutawatir: “….Kemudian akan datang Khilafah yang berdiri atas jalan kenabian…” [HR. Ahmad]. Apa yang dituntut (wajib) saat ini adalah usaha kita untuk merealisasikan janji tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan