Doa Adalah Ibadah
Sesungguhnya doa adalah satu ibadah, malah ia merupakan inti kepada ibadah. Hal ini adalah berdasarkan ayat,
"Dan Tuhanmu berfirman, 'Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku kabulkan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari ibadah kepadaKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina" [TMQ al-Mu'min (40):60].
Dalam ayat ini, Allah SWT telah menjadikan doa sebagai satu ibadah. Allah menyebut doa dengan lafaz "ibadah kepadaKu" setelah menyatakan "berdoalah kepadaKu". Apa yang diungkapkan dalam ayat ini persis seperti sabda Rasulullah SAW,
"Doa adalah inti ibadah" [HR at-Tirmizi].
Justeru, doa adalah satu ibadah yang sangat-sangat dituntut oleh Allah dan Rasul dan Allah sangat mencintai hambaNya yang berdoa kepadaNya. Berdoa hukumnya sunat, tetapi barangsiapa yang tidak berdoa kepada Allah kerana sombong, maka ia termasuk ke dalam golongan yang disebutkan oleh Allah,
"(mereka) akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina".
Doa merupakan permohonan dari seorang hamba kepada Allah SWT. Doa adalah semata-mata permintaan/permohonan dari sang hamba, sementara hak untuk mengurniakan atau memakbulkan doa adalah di sisi Allah sahaja. Ini sesuai dengan firman Allah di atas,
"(Dan) Tuhanmu berfirman, 'Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku kabulkan bagimu".
Allah memerintahkan kepada kita agar berdoa kepadaNya, namun ini tidak sekali-kali bermakna bahawa kita boleh meninggalkan hukum sebab-akibat (causality). Dengan kata lain, kita wajib berusaha untuk mendapatkan sesuatu atau menjauhkan sesuatu, dan dalam masa yang sama kita berdoa kepada Allah. Contohnya, kita yakin (secara pasti) bahawa Allah adalah Zat yang mendatangkan dan menetapkan sebanyak manakah rezeki untuk kita, namun ini tidak bermakna kita boleh meninggalkan hukum bekerja. Kita wajib bekerja dan dalam masa yang sama disunatkan berdoa kepada Allah agar diberikan rezeki yang banyak dan halal. Inilah yang dinamakan sebagai hukum sebab-akibat, yakni kita wajib bekerja agar rezeki yang Allah telah tetapkan (di Luh Mahfuz) itu 'sampai' kepada kita. Oleh itu, jika pernah dahulu TG Nik Aziz berdoa kepada Allah agar memecahkan perut Najib, maka jika perut Najib benar-benar pecah, hal ini telah pun tertulis di Luh Mahfuz. Dan sekiranya perut Najib tidak pecah, hal ini juga telah pun tertulis di Luh Mahfuz. Namun, untuk perut itu pecah, mestilah ada sesuatu (hukum sebab-akibat) yang akan memecahkannya, seperti ia terkena suatu penyakit, terkena panah, tombak, tertusuk pisau, garpu dan sebagainya.
Doa Orang Yang Dizalimi Terhadap Orang Yang Menzalimi
Sebagaimana yang telah dijelaskan, isu doa ini timbul rentetan dari doa yang dibacakan oleh adik TGNA dalam solat hajat sempena muktamar PAS baru-baru ini. Persoalan yang telah mengkecohkan satu Malaysia di sini adalah, bolehkah melakukan doa laknat ke atas pemimpin yang telah menzalimi rakyatnya? Sememangnya terdapat hadis di mana Rasulullah SAW bersabda,
"Takutlah pada doa orang-orang yang teraniaya kerana sesungguhnya antara mereka dan Allah tidak ada hijab (penghalang)" [HR Bukhari].
Mafhum hadis ini adalah jelas, cuma Rasulullah tidak menjelaskan di sini bagaimanakah bentuk doa yang perlu dilakukan oleh orang yang teraniaya tersebut, sama ada bolehkah dilakukan doa melaknat si penzalim, atau hanya sekadar berdoa agar Allah menjauhkan atau menghilangkan kezaliman dari orang tersebut? Oleh itu, hadis-hadis lain hendaklah dirujuk untuk mendapatkan kefahaman yang lebih baik.
Jika kita meneliti sirah Nabi SAW, kita akan mendapati bahawa terdapat keadaan di mana Rasulullah telah berdoa agar Allah memusnahkan musuh-musuh Islam. Namun begitu, hakikat 'musuh Islam' yang didoakan oleh Rasulullah adalah musuh-musuh yang beragama selain Islam (kafir), seperti golongan Quraisy, pasukan Ahzab dan musuh-musuh Islam lainnya. Ada kalanya Rasulullah berdoa dengan menyebut nama musuh Islam tersebut secara khusus seperti Bani Sulaim. Diriwayatkan bahawa Amir bin Malik, ketua Bani Sulaim meminta bantuan kepada Rasulullah untuk menghadapi musuh kaumnya. Rasulullah menerima permohonannya dan mengirim 70 orang sahabat yang terdiri dari para Qura (ahli dalam bacaan Al-Qur'an). Kaum Bani Sulaim kemudian menawan para sahabat ini di sebuah tempat yang bernama Bir Ma'unah dan kemudian membunuh mereka. Kejadian ini telah menyebabkan Rasulullah mengalami kesedihan yang mendalam. Abdullah bin Mas'ud ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah membaca Qunut Nazilah selama satu bulan 'mengutuk' Bani Sulaim [lihat Sahih Bukhari 2:586].
Rasulullah juga pernah berdoa melaknat Bani Ri'l, Zakwan dan Usayya kerana kederhakaan mereka kepada Allah dan RasulNya, di mana baginda berdoa
"Ya Allah laknatillah Ri'l dan Zakwan dan Usaiyya (bani-bani Arab) kerana mereka derhaka kepada Allah dan RasulNya" [Riyadhus Salihin, Imam Nawawi hal. 287].
Di samping menyebut nama, ada kalanya Rasulullah berdoa terhadap musuh Islam tanpa menyebut nama secara khusus. Oleh yang demikian, secara amnya 'musuh Islam' boleh termasuk orang kafir, orang munafik atau orang yang mendakwa dirinya Islam, selama mana mereka adalah golongan yang jelas lagi nyata memusuhi Islam.
Namun demikian, terdapat juga keadaan di mana Rasulullah tidak mendoakan kemusnahan kepada mereka yang memusuhi baginda atau yang memusuhi Islam. Contohnya, Rasulullah pernah berdoa agar Allah memberikan petunjuk (agar masuk Islam) salah satu di antara dua Umar (yakni Umar bin Hisyam iaitu Abu Jahal, dan Umar bin al-Khattab). Walaupun kedua-dua Umar ini merupakan dua orang yang bersungguh-sungguh memusuhi Islam dan memusuhi baginda sendiri sehingga ke tahap ingin membunuh baginda, namun Nabi SAW tetap mendoakan kebaikan kepada salah seorang darinya. Dan ternyata Allah menerima doa baginda dengan memasukkan hidayahNya ke dalam diri Umar al-Khattab. Disebutkan juga di dalam kitab tarikh bahawa sekembalinya dari Thaif di mana Rasulullah telah dihalau dengan begitu teruk sekali oleh pemimpin Thaif, maka ketika itu datanglah malaikat yang telah bersedia untuk memusnahkan penduduk Thaif, hanya menunggu perintah dari Rasulullah sahaja untuk malaikat tersebut berbuat demikian. Kata Malaikat,
"Ya Rasulullah! Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan kaummu kepadamu dan aku adalah malaikat penjaga gunung. Sesungguhnya Dia telah mengutusku kepadamu supaya engkau perintahkan kepadaku apa yang kau kehendaki. Jika engkau mahu supaya aku lipatkan kedua gunung yang besar ini di atas mereka, tentu aku kerjakan" [Munawar Khalil, Kelengkapan Tarikh Rasulullah I/365].
Namun ternyata Junjungan Besar ini tidak mahu agar Allah memusnahkan Thaif dan penduduknya, tetapi sebaliknya peribadi yang mulia dan agung ini berdoa kepada Allah agar selepas ini akan lahir dari penduduk Thaif, keturunan yang akan beriman kepada Allah. Dalam keadaan baginda dizalimi sedemikian rupa, kekasih Allah ini tetap mendoakan kebaikan ke atas orang yang menzaliminya.
Jadi, persoalannya di sini adalah, adakah UMNO atau Najib termasuk dalam kategori 'musuh Islam' sehingga doa laknat ke atasnya diperbolehkan? Yang pasti, Rasulullah SAW pernah berdoa agar Allah memberikan kesusahan kepada pemerintah kaum Muslimin yang menzalimi umat Islam, walaupun peristiwa tersebut bakal terjadi sesudahnya. Di antaranya, Rasulullah berdoa
"Ya Allah barang siapa yang ditugaskan mengurusi masalah umat ini, lalu ia berlemah lembut terhadap mereka, maka berlemah lembut jugalah Engkau terhadapnya, dan barang siapa yang memberatkan (menyusahkan) mereka maka Engkau beratkanlah (susahkanlah) juga dia" [HR Muslim].
Sememangnya kita akui bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang zalim kerana menerapkan sistem kufur ke atas kita semua. Mereka sedang memikul dosa besar di sisi Allah kerana mereka tidak menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahan mereka. Dalam semua aspek kehidupan, mereka menerapkan undang-undang sekular buatan tangan mereka sendiri ke atas kita semua, manakala undang-undang Allah mereka ketepikan. Justeru, kita sememangnya termasuk dalam orang-orang yang dizalimi, kerana hak kita telah dirampas. Maka sewajarnyalah kita berdoa kepada Allah bagi menghilangkan kezaliman ini dan rasanya dengan yang lebih utama dengan doa agar hidayah Allah sampai kepada mereka. Wallahu alam.
Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada beberapa keadaan dan isi kandungan doa. Secara ringkasnya adalah seperti berikut :-
BalasPadama. HUKUM HARAM
Para ulama bersepakat bahawa mendoakan orang bukan Islam dengan KEAMPUNAN ALLAH, MENDAPAT SYURGA, DIMUDAHKAN URUSAN AKHIRATNYA DAN APA SAHAJA YANG BERKAITAN DENGAN AKHIRAT adalah DIHARAMKAN.
Imam An-Nawawi menyebut :
وأما الصلاة على الكافر، والدعاء له بالمغفرة فحرام بنص القرآن والإجماع
Ertinya : Adapun mendoakan orang kafir (bukan Islam) untuk mendapat keampunan adalah HARAM dari teks Al-Quran dan ijma' ulama ( Al-Majmu')
RINGKASAN DALIL
Terdapat beberapa dalil asas antaranya :-
* Firman Allah :-
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَن يَسْتَغْفِرُواْ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُواْ أُوْلِي قُرْبَى مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ
Ertinya : Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik (kafir & bukan Islam), walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu, adalah penghuni neraka Jahanam. (At-Taubat : 113)
* Hadis Nabi :
أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عرض الإسلام على عمه أبي طالب وهو يموت، فأبى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْهُ . فَنَزَلَتْ : ( مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ ) وَنَزَلَتْ : ( إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ )
Ertinya : Nabi s.a.w mengajak bapa saudaranya Abu Talib kepada Islam, amun dia meninggal sebelum menyahutnya. Maka berkata nabi : "Aku berdoa keampuanan dari Allah untuknya apa-apa yang dia tidak berdoa (semasa hayatnya). Selapas doa nabi itu dibuat, turun ayat di atas dan turun juga ayat yang beerti " sesungguhnya engkau tidak mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sukai"
Hadis di atas jelas menunjukkan larangan Allah kepada nabi dari berdoa KEAMPUNAN kepada bapa saudaranya yang TIDAK ISLAM. Imam Ib Hajar Al-Haithami Al-Syafie berkata
حرم الدعاء بأخروي لكافر، وكذا من شك في إسلامه، ولو من والديه
Ertina : haram berdoa berkenaan apa-apa urusan berkaitan akhirat untuk orang bukan Islam, demikian bagi mereka yang terdapat syak pada status Islamnya walau mereka itu ibubapanya ( Rujuk Tuhafatul Muhtaj )
b. HUKUM HARUS
Ulama juga sepakat mendoakan orang bukan Islam (kafir) agar mendapat HIDAYAH adalah HARUS DAN DIBENARKAN. Demikian juga lain-lain kebaikan bersifat dunia seperti umur panjang, kesihatan, lebih adil dan sebagainya, doa dalam hal kedunia itu HARUS selagi mana dia bukan merupakan seorang penentang utama Islam.
Imam Al-Bukhari sehingga memasukkan tajuk dalam kitabnya :
بَابُ الدُّعَاءِ لِلْمُشْرِكِينَ بِالْهُدَى لِيَتَأَلَّفَهُمْ
Ertinya : bab berdoa untuk orang kafir musyrik untuk mendapat hidayah agar dijinakkan hati mereka.
RINGKASAN DALIL
BalasPadamTerdapat beberapa dalil utama dalam hal ini, antaranya :-
* Hadis nabi : -
فَقَالَ : إِنَّ دَوْسًا قَدْ عَصَتْ وَأَبَتْ ، فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ
Ertinya : Seorang sahabat telah datang kepada Nabi lalu berkata : Sesungguhnya seorang dari Dausan (nama kelaurga) telah derhaka dan enggan (masuk Islam), tolonglah doakan kepada Allah untuknya. Lalu Nabi berdoa : "Ya Allah berikanlah hidayah buat lelaki dari ahli keluarga Dausan itu dan bawakanlah dia kepada kami (Riwayat Al-Bukhari, no 2779 & Muslim)
Doa yang hampir sama juga pernah Nabi lafazkan untuk Ibu Abu Hurairah, ertinya : "Ya Allah berikanlah hidayah untuk Ibu Abu Hurayrah" (dari Riwayat Muslim)
Al-Hafidz Ibn Hajar menyatakan doa nabi itu merupakan satu taqriri dayang jelas berkenaan keharusannya. Ada ketikanya nabi akan mendoakan kehancuran dan laknat buat orang bukan Islam khususnya di ketika kuatnya kejahatan mereka ke atas umat Islam, di kala tenang dan aman, nabi mendoakan pula hidayah buat beberapa dari kalangan mereka. (Fath Al-Bari, 10/604).
* Hadis nabi :-
كَانَ الْيَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ : يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ ، فَيَقُولُ : يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ
Ertinya : orang Yahudi sengaja buat-buat bersin di hadapan Nabi serta berharap Nabi akan berkata sebagai balasan : Moga Allah merahmatimu kamu, Namun Nabi hanya menyebut : Semoga Allah memberi hidayah kepadamu dan memperelokkan pemikiranmu ( Riwayat At-Tirimizi& Abu Daud ; sohih menurut Albani)
Doa Nabi untuk mereka mendapat hidayah itu jelas membawa erti keharusan mendoakan hidayah buat mereka. Berdasarkan hadis itu, maka TIDAK HARUS untuk kita menyebut "bless you" kepada orang bukan Islam apabila dia bersin kerana 'bless you' tidak membawa makna yang sama dengan "Moga Allah memberi hidayah buatmu". Justeru, Jika keadaan sesuai (kerana rakan agak rapat & telah ada minat kepada Islam), ucapan selepas mendengar bersin seorang bukan Islam itu boleh ditukar kepada "May Allah guide you" atau apa-apa yang seerti dengannya. Namun jika situasi itu tidak sesuai, eloklah berdiam diri sahaja atau boleh disebut 'get well soon' atau apa-apa ucapan lain bersifat kebaikan dunia.
Syeikh Abu Tib menyatakan tidak boleh kita mendoakan rahmat atau blessing untuk bukan Islam kerana ia lafaz rahmat khas untuk sesama Muslim sahaja. ( ‘Aunu Al-Ma'bud, 13/257)
* Hadis nabi :
Nabi pernah berdoa :
اللهم اعز الإسلام بأحب العمرين
Ertinya : Ya Allah, tinggikanlah Islam melalui salah seorang dari dua Umar ( Umar Al-Khattab atau Amru Hisham iaitu Abu Jahal)
Para ulama juga menyimpulkan keharusan berdoa untuk bukan Islam yang baik dan TIDAK BERCIRI PENENTANG ISLAM agar mendapat bertambah adil, bertambah baik, dipanjangkan umur, tambah anaknya, sihat tubuhnya dan dari jenis manfaat dunia yang tidak melibatkan akhirat serta rahmat dan keampunan.
Sebagaimana nabi pernah meminta Allah melewatkan dan menangguhkan azab ke atas penduduk Taif yang menghalaunya kerana mereka jahil dan tidak mengetahui.
KESIMPULAN
BalasPadamHukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada isi kandungan doanya, sama ada doa itu diucapkan di dalam khutbah atau di luar ia tetap sama dari sudut hukum. Ia bergantung kepada kandungan. Jika ia melibatkan doa berkaitan urusan dunia seperti tubuh sihat atau mendapat hidayah, DISEPAKATI ULAMA ATAS KEHARUSANNYA. Namun jika keampunan, rahmat dan urusan akhirat DISEPAKATI HARAM.
TIDAK DIBENARKAN JUGA berdoa untuknya dengan rahmat selepas mereka bersin, sebaliknya ubahlah ucapan menuju erti moga Allah memberi hidayah kepadanya.
Jangan dilupa juga, doa kebaikan untuk orang zalim yang pasti menurut neraca Al-Quran dan Al-hadis, sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam adalah ditegah. Dalam sebuah athar yang kukuh jalan riwayatannya, disebut :-
من دعا لظالم بالبقاء فقد أحب أن يعصى الله
Ertinya : sesiapa yang mendoakan untuk orang zalim, maka dia sessungguhnya menyukai untuk menderhakai Allah. (Al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)