Kita Semua Memikul Amanah Allah Di Muka Bumi Ini |
Imam al-Bukhari rahimahullâhu ta’âla meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a, ia berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ
“Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah saat-saat kehancurannya”. Salah seorang bertanya: “Bagaimana bentuk mensia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Apabila urusan itu diserahkan (dipercayakan) kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat-saat kehancurannya”.
Syeikh Al-Karmani berkata:
وَالْمُرَادُ مِنَ " الْأَمْرِ" جِنْسُ الْأُمُورِ الَّتِي تَتَعَلَّقُ بِالدِّينِ كَالْخِلَافَةِ وَالْإِمَارَةِ وَالْقَضَاءِ وَالْإِفْتَاءِ وَغَيْرِ ذَلِكَ
“Maksud dari kata al-amr, adalah semua jenis perkara (urusan) yang berkenaan agama seperti institusi Khilafah, kepemimpinan (al-imârah), kehakiman (al-qadhâ’), jawatan mufti dan lain-lain”.
Syeikh Ibnu Battal pula berkata:
مَعْنَى " أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ " أَنَّ الْأَئِمَّةَ قَدِ ائْتَمَنَهُمُ اللَّهُ عَلَى عِبَادِهِ وَفَرَضَ عَلَيْهِمُ النَّصِيحَةَ لَهُمْ فَيَنْبَغِي لَهُمْ تَوْلِيَةُ أَهْلِ الدِّينِ فَإِذَا قَلَّدُوا غَيْرَ أَهْلِ الدِّينِ فَقَدْ ضَيَّعُوا الْأَمَانَةَ الَّتِي قَلَّدَهُمُ اللَّهُ - تَعَالَى - إِيَّاهَا
“Makna ayat ‘urusan itu diserahkan (dipercayakan) kepada orang yang bukan ahlinya’ adalah sesungguhnya para imam itu telah diberi amanah oleh Allah untuk hamba-hambaNya dan mereka diwajibkan memberi nasihat kepada mereka. Oleh sebab itu, wajib bagi umat Islam menyerahkan kekuasaan kepada orang yang ahli (fakih - memahami betul) tentang agama. Sehingga, apabila mereka menyerahkannya kepada orang yang bukan ahli (tidak fakih) agama, maka sesungguhnya mereka telah mensia-siakan (merosak) amanah yang telah diberikan Allah kepada mereka”.
Perhatikanlah firman Allah S.W.T:
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh, sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ al-Ahzab (33): 72-73].
“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian untuk menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan menyuruh kalian jika kalian menetapkan hukum di antara manusia hendaklah menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat” [TMQ an-Nisa’ (4): 58].
Jelas difahami di sini bahawa pelaksanaan hukum syarak sebagaimana yang diwahyukan Allah untuk sekalian manusia adalah amanah. Sebagaimana layaknya amanah, syariat tersebut wajib dipertanggungjawabkan dan ditunaikan. Tidak boleh disia-siakan dan dibiarkan, apalagi ditolak dan diingkari. Memang, amanah tersebut bukanlah ringan hinggakan langit, bumi dan gunung-ganang pun tidak sanggup memikulnya. Namun bagi orang yang mahu menunaikannya, Allah S.W.T akan memberikan ampunan terhadapnya. Juga, pahala yang besar, syurga dan redhaNya. Sebaliknya, sesiapa pun yang sengaja membiarkannya, bahkan mengingkari dan menolaknya, akan ditimpakan azab ke atasnya.
Syariat pula hanya dapat ditegakkan melalui pemerintahan. Inilah perkara yang dipelajari daripada hukum syariat itu sendiri dan pelaksanaannya yang telah dipikul sebelum ini oleh Rasulullah S.A.W dan pewaris-pewaris pemerintahan umat Islam iaitu para Khalifah.
Namun kini, kita hidup pada zaman di mana perkara yang paling penting iaitu pemerintahan diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, iaitu penguasa yang khianat sepertimana yang kita dengar dan lihat. Mereka tidak layak memerintah kerana apabila mereka berkuasa, mereka menyakiti rakyat jelata sendiri dengan melakukan kekufuran yang nyata dalam pemerintahan.
Golongan yang mengkhianati amanah Allah ini tidak terhad kepada para pemerintah sahaja. Pengkhianatan juga dilakukan oleh orang-orang yang diharapkan ilmunya atau yang kelihatan berilmu, iaitu mereka yang menduduki kerusi para ulama, mufti, qadhi dan seumpamanya. Apabila mereka meredhai kesalahan pemerintah khianat ini sedangkan mereka tahu benar bahawa mereka patut berperanan dalam hal ini.
Pengkhianatan terus menjadi-jadi apabila golongan ilmuan menyelewengkan ajaran Islam untuk membela penerapan kufur yang dilaksanakan oleh penguasa mereka. Inilah pengkhianatan terhadap amanah kekuasaan dan ilmu.
Pengkhianatan ini hanya akan dapat dihilangkan apabila urusan umat iaitu pemerintah diserahkan kembali kepada orang-orang yang bertakwa dan layak memikulnya. Orang-orang ini ialah hamba-hamba Allah yang berusaha menyerukan tegaknya amanah dengan mendirikan kembali Daulah Khilafah yang mengikut jalan kenabian. Maka dengan berdirinya Daulah Khilafah sahajalah amanah-amanah akan terlaksana dan pengkhianatan-pengkhianatan akan dapat dilenyapkan. Maka marilah kita memohon agar Allah menyegerakan berdirinya Daulah Khilafah, dan menjadikan kita sebagai tentera-tenteranya dan penolong-penolongnya.
Rujukan
Ibnu Hajr Al-Asqalani. Fathul Bari Syarah Sahih Al-Bukhari. Kitab Ar-Riqaq Bab Raf’ al-Amanah No. 6131 .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan