Hanya Sampaikan Maklumat/Fakta yang Benar |
1. Maklumat yang kita kongsikan mestilah benar, mustahak dan disasarkan untuk orang ramai.
Terdapat banyak maklumat yang mudah diperoleh di sekeliling kita. Maklumat yang disebarkan ada kemungkinan maklumat yang benar. Namun, ada maklumat yang mengelirukan, malah ada maklumat yang tidak benar sama sekali. Seorang pendakwah Islam semestinya memberikan maklumat setelah memastikan kebenarannya, dan sebaliknya tidak menyampaikan maklumat yang belum pasti kebenarannya sehingga boleh memudaratkan mana-mana pihak. Apabila diperlukan, sebaik-baiknya kita mencantumkan sumber dan link yang boleh dirujuk oleh pembaca terutamanya bagi maklumat yang menyentuh sensititiviti masyarakat. Dengan cara sebegini, kita dapat mengelakkan diri daripada bahaya fitnah dan mengumpat, serta merugikan orang/kumpulan lain. Allah berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” [TMQ Surah al-Hujuraat (49):6]
Setelah kita memastikan kebenaran berita itu, maka hal yang mesti difikirkan seterusnya adalah “adakah maklumat ini diperlukan?”. Ini karena, ada maklumat yang tidak diperlukan tetapi disebarkan. Ini adalah amalan membuang masa dan boleh memancing masalah yang lain. Dalam facebook, sindrom semacam ini kerap berlaku, seolah-olah mengupdate status adalah perkara yang wajib.
"Tengah tenung matahari pagi..”, seterusnya disambung “Nak tido balik ar..”, dan 1 jam selepas itu “Nak kena g kelas ni”, 30 minit lagi,“aku nampak orang minta-minta kat tepi jalan sana, sian betul ar, kurus kering sehelai sepinggang..”, tak lama kemudian “BRB, gua belah dulu beb..”. Ada juga yang suka menghantar ucapan tahniah, hug, smile, kiss, love yang berlebihan (walaupun dengan menggunakan aplikasi) umpamanya “Please accept this smile — I got it just for you!”, atau “I got you a special ♥ heart!” dan lain-lain.
“ Cukuplah bagi seseorang berbuat dosa dengan menceritakan setiap apa yang didengarnya". [HR Muslim]
Selanjutnya, kita juga mesti membezakan antara maklumat yang hanya relevan dengan diri sendiri dan maklumat mana yang diperlukan oleh orang ramai. Sikap berhati-hati semestinya menjadi prinsip seseorang dalam menyampaikan maklumat kerana apabila maklumat yang sepatutnya hanya relevan untuk diri sendiri boleh diakses orang ramai, ianya akan menjadi sesuatu yang merugikan, malahan haram hukumnya jika kita menyebarkan maklumat yang semestinya dirahsiakan.
Kisah Hatib bin Abi Balta’ah boleh menjadi contoh. Ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam memerintahkan umat Islam untuk merahsiakan rancangan membebaskan Makkah, Hatib yang mencari orang untuk melindungi hartanya dan harta saudaranya akhirnya tergamak untuk menuliskan surat (membocorkan maklumat) yang semestinya dirahsiakan. Walaupun akhirnya Allah dan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam memaafkan kecuaian Hatib, namun Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam tetap memerintahkan Ali bin Abi Thalib untuk menahan perempuan yang menyeludup surat Hatib kepada penguasa Makkah agar rahsia itu tidak jatuh ke tangan orang yang tidak berhak mengetahuinya.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:
“ Bilamana seorang membicarakan sesuatu kemudian dia menoleh kepadanya maka itu adalah amanah.” [HR Abu Dawud]
Dalam setiap gerakan dakwah, mesti ada kerahsiaan dan sikap berhati-hati. Perkara ini mesti benar-benar difahami oleh setiap orang yang berdakwah. Maka setiap umat Islam, khasnya pendakwah mesti membiasakan diri untuk menyampaikan maklumat yang mustahak sahaja. Hal-hal yang tidak menjadi keperluan orang ramai tidak perlu ditulis dan segala yang sifatnya rahsia mestilah dijaga kerana sikap berhati-hati dan waspada lebih utama daripada keterlanjuran.
2. Berkongsi berita baik boleh sahaja asalkan tidak berlebihan
Allah berfirman di dalam al-Qur’an:
“ Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur).” [TMQ Surah adh-Dhuhaa (93): 11]
Ini bermakna apabila kita mendapatkan nikmat atau kebahagiaan daripada Allah, kita boleh menceritakannya kepada saudara-saudara kita dengan harapan mereka akan termotivasi dan bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang telah diterima.
Tetapi kita mesti ingat bahawa tidak semua nikmat yang kita peroleh mesti ditulis. Maksudnya, memadai kita menulis perkara yang mustahak sahaja. Tidak semua perkara wajar untuk kita tulis. Berusahalah hanya untuk menulis perkara yang akan memberi inspirasi dan memotivasikan, tetapi jangan berlebihan.
“ Dan sesungguhnya orang yang paling aku dibenci dari kalian dan paling jauh dariku di hari kiamat adalah orang yang banyak bicara.” [HR Tirmidzi]
3. Elakkan menyebarkan berita yang memberi mudarat.
Yang paling sering kita jumpai dalam posting di dunia maya adalah orang yang berniat baik ketika memberikan maklumat, namun dia tidak sedar bahawa perbuatannya itu sebaliknya mengundang mudharat. Misalnya dengan posting:
“ Sahabat-sahabat, ada laman web yang sangat menghina Islam, namanya : www.link-dikongsi.com, kita tak boleh duduk diam dengan penghinaan ini!”. Ataupun posting yang bentuknya seperti ini “Inilah kisah akhir zaman, sungguh memprihatinkan, kerosakan di mana-mana, ada filem di pawagam bertajuk–LUAR BIASA PANAS - yang ceritanya penuh dengan aksi lucah. Sesiapa yang telah menontonnya, tak senang tidur dibuatnya. Tak tahu nak cakap apa …”
Benar, mungkin yang posting berniat untuk berkongsi maklumat. Namun, tanpa disedari maklumat yang disampaikan menyebabkan semakin ramai orang beratur untuk mengakses laman web berkenaan, dan seterusnya menyebarkannya kembali berkaitan laman web tersebut, maka, semakin ramailah yang akan mengakses laman web tersebut. Apa akibatnya? Si pembuat laman web fitnah berkenaanlah sebaliknya gembira melihat jumlah pelawat/visitornya yang naik mengejut, walaupun diiringi dengan maki hamun sumpah seranah ‘atas nama Islam’, yang semakin memberi alasan kepada orang ramai untuk membenci Islam dan memperolok-olokkan Islam.
Kita mesti ingat bahawa memberitahu seseorang tentang sesuatu perkara yang buruk bukanlah dengan memberi contoh yang buruk kepadanya. Ini kerana, terdapat ramai orang yang pada mulanya tidak tahu menjadi tahu untuk mengakses laman-laman web yang tidak sepatutnya diakses. Walaupun mungkin sahaja ada manfaatnya ketika kita menyebarkan maklumat semacam ini, tetapi tetap menolak mafsadat/kerosakan lebih utama daripada mengundang manfaat. Bersesuaian dengan kaedah yang berbunyi:
“ Sesungguhnya, menghindari kerosakan, mesti didahulukan dibandingkan mengambil manfaat.”
Jadi, ketika kita menemukan laman web yang menghina Islam, atau mengandungi maklumat yang memberi mudarat dan sebagainya, lebih baik kita tinggalkannya dan jangan sesekali kembali. Tidak perlu membesar-besarkan dan menghebahkannya kerana itulah sebenarnya yang diinginkan oleh pemilik web tersebut. Walau bagaimanapun, kejadian seperti ini akan terus berulang selagi masih ada perkhidmatan internet.
Jika anda memiliki kekuasaan atau mengenali seseorang yang berkebolehan menghentikannya, maka cukuplah maklumat ini dikongsikan dengannya sahaja dan bukan kepada yang lain. Semua ini untuk menjaga agar fitnah tidak tersebar tanpa kawalan.
4. Jangan berlebih-lebihan dalam memberikan maklumat
Seringkali kita jumpai pendakwah yang suka menunjuk-nunjuk di setiap posting atau maklumat yang dia berikan. Dia sengaja membuat postingnya nampak luar biasa sehingga banyak komen yang mengaguminya.
“ Di antara orang yang aku cintai dan paling dekat tempat duduknya denganku di hari kiamat adalah orang yang baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku di hari kiamat adalah ats-Tsartsarun (orang yang memaksakan diri untuk memperbanyak ucapan), al-Mutasyaddiqun (orang yang bercakap tak tentu hala tuju) dan al-Mutafayqihun (orang yang sengaja memperluas skop pembicaraan dan suka membuka mulut dalam majlis serta memfasih-fasihkan/membagus-baguskan bahasanya dalam pembicaraan).” [HR Muttafaq‘alaih]
Maka, usahakan dalam setiap posting dan maklumat yang kita berikan, kita berserah kepada Allah. Janganlah memaksakan diri, atau melebih-lebihkan perkataan, atau tunjuk lagak. Walaupun kita ingin posting sesuatu untuk menyuntikkan semangat, maka lakukanlah dengan berhati-hati.
5. Tidak bersikap lemah, membuka aib diri sendiri ataupun orang lain ketika menyampaikan maklumat
Gaya tulisan yang sebegini mudah dijumpai. Begitu banyak tulisan yang terlalu melankoli, merayu-rayu madah berlagu, yang tidak seharusnya ditampilkan. Begitu juga posting yang membuka aib peribadi dan hal-hal privasi yang sepatutnya tidak dikongsikan dengan umum, sehingga mengundang fitnah.
"Oh tak sabarnya tunggu cik abang pulang, malam jumaat pulak tu", "Sungguh berombak dadaku menunggu saat-saat ku akan jadi isteri", “Siapakah dia yang selama ini aku rindui..”, “Aku tak mengerti siapakah diriku ketika ini”, "bosanlah dengan X ni, janji nak datang penat aku tunggu", “Cuma kamu yang terbaik untukku..terima kasih kerana menyayangiku selama ini…duhai suami”, “Sudahlah…”, “Terima kasih cinta….”, “Semua telah berakhir…”
Sedangkan Rasul SAW telah memperingatkan kita agar menjauhi fitnah:
“ Sesungguhnya kebahagiaanlah bagi sesiapa saja yang menjauhi fitnah.” [HR. Abu Dawud]
Dari huraian di atas, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa identiti kita sebagai pendakwah telah membawa kita kepada kedudukan dan tanggungjawab yang lebih besar dan berat dibandingkan dengan orang yang belum terlibat dengan dakwah. Setiap perkataan, posting, atau maklumat yang kita keluarkan akan diawasi dan dipantau oleh semua pihak, sama ada yang suka ataupun yang benci. Oleh itu berhati-hatilah dalam memilih maklumat mana yang akan dikongsikan.
Dakwah sememangnya sesuatu yang susah maka janganlah disusahkan lagi. Refreshing boleh sahaja, bergurau juga boleh, asalkan tidak berlebihan dalam memanfaatkan dunia maya. Gunakanlah dunia maya sebagai wasilah untuk memperluas jangkauan dakwah. Sebarkanlah semangat anda kepada orang lain sebagai sumbangan dalam apa-apa bentuk. InsyaAllah semua yang kita lakukan di dunia maya akan menjadi kebaikan dalam catatan Allah Subhanahu wa Taala.
Wallahu a’lam bi ash-shawab
Tiada ulasan:
Catat Ulasan