Mengambil keputusan menyusuri jalan dakwah penuh cabaran, bukan suatu keputusan yang datang dalam keadaan senda gurau untuk bermain-main dan mencuba-cuba. Kewajipan dakwah adalah satu hakikat dalam kehidupan seorang muslim, untuk mengislahkan manusia, dan juga menyeru manusia untuk kembali kepada Allah.
Sepertimana iman, dakwah seorang daei juga berada dalam marhalah (tingkatan) tertentu. Setiap daei mungkin menjalani marhalah-marhalah dakwah ini dalam kehidupannya, bergerak dari satu peringkat dakwah ke peringkat yang lebih tinggi. Senantiasa sang dae'I membaiki diri, metod dan pendekatan dakwahnya. Marhalah dakwah ini boleh kita ibaratkan seperti langkah-langkah kehidupan seorang bayi yang menjalani tumbesaran hidup dengan ceria dan kesungguhan.
Meniarap : Kecil-Kecilan
Mungkin seorang pendakwah itu bermula dengan dakwah secara kecil-kecilan. Menegur ala kadar apa yang tidak enak dimatanya. Mula menegur orang-orang yang dirasakan lebih lemah darinya seperti adik-adiknya sendiri, isterinya atau orang yang berada dibawahnya. Melalui teguran-teguran itulah, dia membina keyakinan untuk menapaki usaha dakwah ke peringkat lain.
Ibarat bayi yang baru mengenal dunia, begitulah dae'i yang baru mengerti kehidupan seorang pendakwah. Bermula dengan rendah diri, dengan wajah sentiasa tertiarap ke bawah. Masih berkira-kira layakkah aku menggalas beban ini sedangkan beban dosa menggunung tinggi. Meniarap sang daei adalah tanda kerendahan hati, namun meniarapnya dia bukan tanda kekalahan bahkan sebuah permualaan kepada sebuah kebangkitan.
Duduk : Meredah Medan Maya
Ada juga dari kita yang mula dengan berdakwah di medan maya. Lebih gemar menggunakan identiti –identiti 'anonymous' supaya tidak dikenali, maka kita mula menghasilkan artikel-artikel yang menyeru kepada kebaikan. Kita juga kerap menghantar bahan-bahan berfaedah melalui Email, Facebook, YM dan sebagainya.
Pernah sekali, masih teringat seorang sahabat yang setiap hari menghantar sepotong hadith atau ayat al-quran di YM, kalau tidak pun pesanan-pesanan lain. Jika berkesempatan saya membacanya, jika serabut cepat-cepat saya memadamkannya dan akan membacanya pada masa terluang.
Namun, begitulah usaha dakwah kita. Tidak susah sebenarnya untuk melakukan dakwah dalam bentuk ini. Tambahan pula fenomena Facebook dan YM sangat dekat di hati masyarakat dan anak muda. Maka kesempatan itu harus diambil sewajarnya. Duduk sahaja di hadapan laptop dan komputer, kerjanya memang mudah sekali. Namun tumbesaran sebagai dae'i tidak terhenti di sebalik kemudahan itu. Duduk seorang daei' memikirkan idea dan strategi, duduknya seorang daie, cuba menghurai masalah ummah. Duduknya cermat dengan akhlak dan budi.
Merangkak : ABC
Kemudian, ada juga dari kita yang sudah bersedia untuk bergerak ke peringkat yang lebih tinggi setelah lama selesa menguasai lapangan dakwah maya. Maka kita bergerak dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang menyeru kepada kebaikan. Kita menggiatkan tamrin, program kerohanian, kem ibadah dan memperkasakan usrah. Usaha penganjuran aktiviti ini pastilah lebih susah kerana sudah pasti pelbagai cabaran perlu ditempuhi. Menganjurkan satu program bukanlah semudah ABC, namun memerlukan Azam, Bekalan (ilmu) dan Cekal dalam mengharungi setiap ujian yang mendatang. Ianya perlu jua kepada semangat yang sentiasa berkobar-kobar dalam sesuatu penganjuran yang ada. Barulah ianya sentiasa 'hidup' walaupun beribu rintangan yang menghalang.
Merangkak mungkin mengambil masa untuk sampai ke destinasinya, namun, di saat itulah kita mula melatih kesabaran diri, bekalan untuk menempuh sebuah perjuangan yang masih jauh. Merangkak menuju kepada sebuah cita-cita yang panjang, walau payah akan terus gagah.
Berdiri : Berorganisasi
Setelah itu, kita merasa sudah bersedia untuk bergerak ke medan yang lebih luas, maka kita mula bergiat aktif dalam medium-medium persatuan agar usaha dan kerja berorganisasi lebih teratur dalam mengembangkan dakwah. Bekerja secara organisasi memerlukan iltizam, toleransi dan semangat juang.
Namun, bekerja secara organisasi merupakan satu nikmat Allah yang tidak akan dirasai kecuali oleh mereka yang melaluinya. Melalu kerja-kerja organisasi kita mula mengasah bakat kepimpinan, kita mula lantang berbicara di hadapan audien, kita mula membawakan usrah dan memberi pengisian. Kita juga mula diberikan amanah berupa jawatan dan posisi, dan kita mula mentadbir organisasi. Kerja-kerja dakwah dan cabaran kian lama kian bertambah. Maka kesabaran dan kecekalan hati perlu lebih padu dan jitu dalam menghadapi mehnah-mehnah ini.
Tika berdiri, kita merasakan kita sudah tinggi, memandang ke bawah melihat orang lain masih duduk di bawah kita. Namun, sang dae'i perlu sentiasa berwaspada daripada sikap riya' dan meninggi diri, kerana itulah seburuk-buruk amal yang dilakukan oleh dae'i. Berdirinya seorang daei bukan kerana kemegahan, tetapi kerana keyakinan akan kemenangan sebuah perjuangan.
Berjalan : Turun Padang
Kemudian dakwah kita diteruskan dengan lapangan yang lebih mencabar. Kita mula turun ke medan dakwah sebenar bertemu dengan masyarakat. Kita mula berdakwah turun padang mendekati golongan-golongan yang perlu disentuh hatinya agar sentiasa menerima risalah Islam ini. Mulalah kita menerima hamburan dan caci maki golongan-golongan yang tidak sukakan dakwah kita. Saat kita mengetuk pintu rumah mereka, mereka mengunci dan melarikan diri. Saat kita cuba untuk memberikan sepatah dua perkataan yang baik, mereka mentulikan pendengaran. Namun, ramai juga yang terkesan dari usaha dakwah kita. Banyak masa dan pengorbanan yang perlu dilakukan untuk mengembangkan dakwah ini.
Berjalan melaungkan dakwah ini bukan mudah, kadangkala perjalanan itu meletihkan kita, maka kita duduk sebentar berehat menghela nafas, setelah segar kembali, sang dae'i kembali meneruskan sebuah perjalanan dakwahnya.
Berlari : Ma'ruf vs Mungkar
Kemudian, jika keazaman kita untuk hidup dan berjuang menegakkan agama Allah di jalan dakwah ini, maka kita akan menapaki marhalah seterusnya. Elemen dakwah itu terbahagi kepada dua bahagian besar dan sama pentingnya, ' Menyeru kepada kebaikan' dan ' Mencegah kemungkaran'. Firman Allah dalam menghuraikan 'Amal Makruf' amat jarang dipisahkan dengan 'Nahi Mungkar'.Seharusnya, kedua-dua ini berjalan seiringan.
Jika kita imbas metodologi dakwah kita sebelum ini, kita akan menyedari bahawa usaha dakwah kita lebih banyak tertumpu kepada usaha-usaha menyeru kepada kebaikan. Kita lebih selesa mengambil jalan dakwah yang mengajak manusia kepada kebaikan kerana kita merasakan cukuplah itu bahagian dakwah yang kita jalankan. Sedikit sekali usaha kita dalam mencegah kemungkaran. Kerana apa, kerana saatnya kita mula melakukan usaha dakwah mencegah kemungkaran, maka saat itulah kita akan ditentang dan diuji dengan pelbagai cabaran.
Dakwah Rasulullah di Makkah juga menghadapi Marhalah yang sama. Masyarakat Jahiliyah tidak menghalang Rasulullah untuk menyebarkan kebaikan, namun mereka mula terasa terancam dan bertindak balas melalui penentangan saat Rasulullah mencegah mereka dari kemungkaran menyembah berhala dan pelakuan-pelakuan jahiliyah yang keji.
Sebagai seorang Islam, kita adalah seorang pendakwah bukan secara pilihan tetapi ianya adalah ketetapan. Saat syahadah dilafazkan, maka tugasan menyampaikan dakwah adalah amanah kita. Sahabat Abu Dzar yang hanya beberapa kali bertemu Rasulullah, saat telah memeluk Islam, beliau terus kembali kepada kaumnya dan berjaya mengislamkan penduduk kampungnya. Begitulah juga peranannya kita. Saat berlari pasti jatuh dan tersadung kaki, namun sang dae'i pasti bangun kembali dengan senyum terukir dibibir tanda sebuah ketabahan hati. Tidak mudah mengalah pada mehnah dan cabaran yang membaluti sebuah perjuangan ini.
Marhalah Tertinggi?
Sudah kita menelusuri marhalah-marhalah dakwah ini, dihambat pula persoalan apakah peringkat dakwah yang paling tinggi?
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
"Sebaik-baik jihad adalah memperkatakan sesuatu yang benar dihadapan penguasa yang zalim " .
(Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Jihad dan dakwah yang disebutkan dalah hadith ini adalah tidak lain dan tidak bukan ialah 'jihad politik' sebab ini bertujuan untuk menjadikan system pemerintahan sebagai pemerintahan yang terbaik dan 'adil' ( Petikan Ustaz Sai'd Hawaa dalam buku Jundullah, Jihad Fi Sabilillah)
Walhal Nabi SAW ada menyebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Hakim dan disahihkan oleh adz-Dzahaby, begitu juga al-Albani di dalam Silsilah ash-Shahihah. nombor 374, kata Nabi;
"Penghulu orang yang mati syahid ada dua. Yang pertama ialah Saidina Hamzah bin Abdul Muthalib, dan yang kedua ialah seorang yang berdiri dan menegur di hadapan raja yang zalim, tiba-tiba dia dibunuh atas ucapannya itu."
"Penghulu orang yang mati syahid ada dua. Yang pertama ialah Saidina Hamzah bin Abdul Muthalib, dan yang kedua ialah seorang yang berdiri dan menegur di hadapan raja yang zalim, tiba-tiba dia dibunuh atas ucapannya itu."
Maka, begitulah peringkat dan marhalah perjuangan kita sebagai seorang daei. Biar di mana pun kita berada, pastikan kita sentiasa memberikan ynag terbaik, dan keazaman untuk menjadi lebih baik sentiasa mendorong hati kita untuk mengejar kebaikan.
Walau dimana pun bayi itu berada, saat jatuh dia pasti bangun kembali, saat tersungkur pasti dia berdiri dengan megah walau tangis menjurai air mata buat seketika. Namun pasti dicubanya lagi. Itulah kita, Itulah Babysteps Sebuah Perjuangan seorang dae'i.
Wallahu Anta A'lam ;- Dipetik dari Majalah Tarbawi terbitan DPPPM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan