19 Disember 2012

Fahami hakikat sebenar kejayaan anak-anak

Allahu akbar… Allahu akbar… Allahu akbar…
 
Tiada lafaz yang lebih mulia untuk diungkapkan melainkan ucapan takbir memuji kebesaran Allah SWT di atas kejayaan pejuang-pejuang Palestin dalam peperangan menentang tentera Zionis Israel. Kemenangan yang sudah pasti dirasai bersama oleh seluruh umat Islam yang sehati sejiwa dalam perjuangan rakyat Palestin mempertahankan hak mereka dan berhadapan kezaliman Yahudi sejak sekian lama. Meskipun dibedil tanpa henti sejak lebih seminggu yang lalu, namun mereka terus kental dan tidak mengalah serta memberikan tindak balas yang tidak kurang hebatnya. Akhirnya musuh yang harus akur dan menuntut gencatan senjata, seterusnya terpaksa pula menerima syarat-syarat yang dikenakan oleh Hamas sebelum perjanjian dimeterai kedua-dua pihak.
 
Begitu banyak ibrah dan teladan yang boleh dikutip daripada kisah-kisah perjuangan umat Palestin yang kita baca dan dengar sepanjang beberapa hari ini, bahkan sebenarnya sejak detik-detik awal perjuangan mereka lagi. Baik dari aspek keberanian, pengorbanan, kekentalan jiwa, kesungguhan mempertahankan hak, kecintaan kepada mati syahid fisabilillah dan pelbagai lagi. Namun saya cuma ingin melihat dari aspek pembinaan anak-anak dan hakikat kejayaan sebenar mereka dalam kehidupan. Bila memperkatakan kejayaan anak-anak, tentunya secara langsung menggambarkan juga kejayaan ibu bapa dalam melunaskan tanggungjawab mendidik mereka.
 
Bukan apa, banyak teladan yang boleh dipelajari oleh ibu bapa di Malaysia ini, lebih-lebih lagi apabila mendengar beberapa kisah 'menarik' melibatkan ibu bapa dan anak-anak berhubung keputusan UPSR yang diumumkan baru-baru ini. Ada kisah anak-anak yang menghilangkan diri sebelum atau selepas menerima keputusan UPSR, puncanya kerana tekanan keterlaluan yang dialami akibat expectation ibu bapa yang terlalu tinggi agar mereka berjaya dengan cemerlang. Ada pula kisah ibu bapa yang kecewa atau memarahi anak-anak kerana bilangan A yang mereka perolehi tidak mencukupi seperti diharapkan.
 
Memang tidak dinafikan, sebahagian besar ibu bapa di negara kita pada hari ini meletakkan ukuran kejayaan anak-anak mereka semata-mata pada berapa banyak bilangan A yang diperolehi dalam UPSR, PMR atau SPM. Pada perspektif mereka, kecemerlangan akademik sudah cukup sebagai lesen untuk anak-anak mereka mendapat pekerjaan yang bagus dan gaji yang besar dewasa nanti. Dari sisi yang lain, ada pula segelintir ibu bapa yang bangga melihat anak mereka menjadi personaliti terkenal, samada sebagai tokoh sukan yang berjaya, pelakon yang sering muncul di kaca TV atau penyanyi yang memenangi banyak gelaran.
 
Maka persoalan di sini ialah di manakah nilai kebanggaan hakiki ibu bapa terhadap anak-anak? Apakah kayu ukur untuk menilai kejayaan sebenar anak-anak dan neraca untuk mana-mana ibu bapa boleh mendakwa bahawa mereka sudah berjaya mendidik anak-anak mereka?
 
Jawapan kepada persoalan di atas sebenarnya berbalik kepada tanggungjawab sebenar ibu bapa kepada anak-anak sebagaimana yang digariskan dalam Islam. Al-Quran telah menegaskan bahawa matlamat kehidupan sebenar manusia adalah untuk menjadi hamba Allah SWT yang bertanggungjawab memartabatkan agama Islam di muka bumi. Oleh itu, ibu bapa yang berjaya adalah mereka yang berhasil melahirkan anak-anak yang memenuhi ciri-ciri tersebut, memahami tanggungjawab kepada Allah SWT dan seterusnya dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan sebaiknya. Di situlah letaknya nilai kejayaan dan kebanggan hakiki ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
 
Perjalanan sejarah manusia cukup padat dengan kisah ibu bapa yang berjaya memenuhi objektif pendidikan anak-anak mereka. Salah satunya ialah kisah agung Nabi Ismail yang tanpa ragu-ragu merelakan dirinya disembelih oleh Nabi Ibrahim atas dasar kepatuhan kepada Allah. Perisitiwa ini membuktikan bahawa Ibrahim dan isterinya berhasil mendidik anak mereka dengan keimanan dan ketaqwaan. Begitu juga satu kisah pada zaman Nabi SAW di mana seorang sahabiyah bernama Al-Khansa' bt Amru ditimpa ujian besar apabila empat orang puteranya gugur sebagai syuhada' di medan Qadisiyah. Tiada ratapan hiba, yang terluah adalah ungkapan: "Segala puji bagi Allah yang memuliakan diriku dengan syahidnya mereka, dan aku berharap agar Dia mengumpulkan diriku dengan mereka dalam rahmatNya".
 
Kisah-kisah yang berlaku di Palestin ketika ini pula adalah bukti atau model kontemporari bagaimana para ibu bapa berjaya mendidik anak-anak mereka berlandaskan neraca dan objektif sebenar yang digariskan Islam. Mereka berlumba-lumba mendidik anak-anak agar layak menjadi para pejuang di barisan depan medan peperangan. Kita mendengar cerita berhubung syarat-syarat ketat untuk seseorang itu diterima sebagai anggota Briged Izzuddin Al-Qassam, antaranya istiqamah bersolat subuh secara berjamaah, hafal Al-Quran, bukan pelaku maksiat dan beberapa kriteria lagi. Bahkan kejayaan atau kebanggaan terbesar bagi ibu bapa di Palestin ialah apabila mendapat berita anak mereka telah gugur sebagai syuhada'.
 
Semoga peperangan Gaza-Israel yang telah berlaku ini memberi hikmah besar kepada para ibu bapa di negara kita khususnya dalam membetulkan perspektif sebenar kejayaan atau keberhasilan mendidik anak-anak. Benar kecemerlangan akademik itu penting, tetapi di sana ada pelbagai aspek lagi yang perlu dilihat dalam menilai kejayaan anak-anak, seperti ketinggian akhlak, sifat pengorbanan, daya kreativiti, kemampuan berdikari dan kebolehannya mempengaruhi persekitaran. Paling utama adalah aspek kesempurnaan 'ubudiyyah mereka kepada Allah SWT. Fahamilah bahawa nilai kebanggaan ibu bapa yang hakiki ialah apabila melihat anak-anak terbentuk sebagai peribadi muslim selaras dengan kehendak Islam dan seterusnya memberi sumbangan terhadap perjuangan memartabatkan risalah Islam.
 
"Membangun Umat Beragenda"
 
Mohd Firdaus Sabturani,
Ketua Pengarang,
Media ISMA

1 ulasan:

  1. Jika ditanya pendapat kebanyakan orang, sudah pasti semua menginginkan kejayaan. Tiada siapa mengimpikan kegagalan. Malah, tiada siapa yang mahu untuk gagal dalam apa-apa sahaja perkara yang dilakukan. Malangnya, mencipta kejayaan tidaklah semudah memetik epal ditaman, atau memetik dauh teh di cameron highlands. Kejayaan yang sebenar tidak hadir dengan hanya sekadar bermimpi dan melakukan sesuatu secara ala kadar.

    Tuhan menjadikan setiap sesuatu itu berpasangan. Ada lelaki dan ada wanita. Ada langit dan ada bumi. Ada syurga dan ada neraka. Begitu juga ada kejayaan dan ada kegagalan. Hikmah dijadikan berpasangan ini adalah supaya setiap sesuatu itu saling melengkapi antara satu sama lain. 

    Kegagalan dicipta sebagai tanda kasih tuhan kepada hambaNya. Dari sudut yang lain, jika kegagalan itu dilihat secara positif, ia adalah punca kepada motivasi yang begitu berkuasa. Orang yang merasai kegagalan akan lebih berhati-hati dan menghargai kejayaan yang dinikmatinya selepas itu. Malah, dia menjadi semakin mahir dan lebih berpengalaman dalam mengendalikan sesuatu perkara berdasarkan pengalaman pahit merasai kegagalan sebelum ini.

    Tidaklah tuhan menjadikan kegagalan itu sebagai penamat segala-galanya didunia ini melainkan ia sebagai perhentian sementara menuju ke destinasi kejayaan yang diidam-idamkan. Thomas Alva Edison merasai ratusan kegagalan dan hanya menemui kejayaan mencipta mentol pada percubaan ke seribu. Wright brothers mengalami kerugian akibat jentera terbangnya sering jatuh sebelum akhirnya berjaya mencipta kapal terbang pertama di dunia. Begitu juga rasulullah mengalami beberapa kegagalan sebelum akhirnya berjaya menawan Makkah dalam peristiwa Fathu Makkah dan seterusnya mengibarkan panji Islam di seluruh dunia.

    Orang yang dilahirkan oleh orang yang berjaya dan menikmati kejayaan orang yang melahirkannya dan hidup dalam kekayaan dan kenikmatan kejayaan orang yang melahirkannya bukanlah ditakrifkan sebagai orang yang turut berjaya. Mereka lebih tepat digelar sebagai orang yang menumpang kejayaan orang lain. Apabila orang yang berjaya itu telah tiada maka mereka harus berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan yang dibina berasaskan kemampuan dan kesungguhan sendiri.

    Kegagalan adalah hakikat kehidupan. Hanya yang berani berhadapan kegagalan dan tidak takut menghadapi risiko sahaja yang akan mampu menghayati erti sebenar kejayaan. 

     

    BalasPadam