Kepelbagaian Wasilah Dakwah Perlu Diwaspadai |
Sayangnya, di antara wasilah-wasilah dakwah dan niat yang baik ini akhirnya berubah menjadi sesuatu yang mudharat dan tidak bermanfaat. Saya sendiri secara pribadi merasa sedih dan kecewa ketika menyaksikan sebahagian muslim yang sepatutnyanya lebih faham tentang Islam terperangkap (mungkin secara tidak sedar) dengan amalan haram dalam wasilah internet ini. Oleh itu, saya cuba menjelaskan panduan berdakwah khasnya melalui media internet ini agar setiap muslim lebih bijak memanfaatkannya mengikut syariat.
Berdakwah di dunia maya tidaklah sama dengan dakwah di dunia nyata. Di dunia nyata kita mengetahui siapakah sasaran dakwah kita secara langsung dan melihatnya secara fizikal, bertentang mata dan berkomunikasi secara sempurna. Berbeza dengan dunia maya, yang mana kita tidak mengenali sasaran dakwah kita dan perhubungan yang wujud hanyalah melalui tulisan dan gambar. Oleh itu boleh dikatakan dakwah di dunia maya memiliki keterbatasan dibandingkan dengan dunia nyata.
A. DEBAT DI DUNIA MAYA
Di dunia maya, seringkali kita melihat diskusi atau perdebatan dalam membahas suatu masalah. Memang betul, debat (jidal) adalah suatu cara untuk berdakwah dan itu diharuskan, sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” [TMQ an-Nahl (16): 125]
“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengajukan dakwaan kepada kamu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [TMQ al-Mujaadilah (58): 1]
Selain membolehkan wasilah debat atau diskusi, Allah dan Rasul-Nya pun telah menentukan aturan-aturan dalam melakukan debat ini. Secara ringkasnya, panduan berdebat dalam Islam ini adalah:
1. Debat hanya dilakukan dalam skop idea semata-mata
Debat dilakukan dengan menyerang dan menjatuhkan hujah yang salah, kemudian memberikan hujah yang tepat, benar, dan mengikut kajian sehingga menemui kebenaran. Oleh itu, sebagaimana telah disebutkan, debat mengandungi dua sifat, iaitu merobohkan dan membina; menjatuhkan kemudian menegakkan hujah yang kuat.
Di antara teladan cara berdebat yang diajarkan al-Quran ialah:
“Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana llah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: “Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan,” orang itu berkata: “Saya dapat menghidupkan dan mematikan”. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat,” kemudian hairan terdiamlah orang kafir itu.” [TMQ al-Baqarah (2): 258]
2. Debat dilakukan dengan cara yang baik (ahsan).
Pernyataan ini bermaksud, debat harus dilakukan dengan menggunakan kayu ukur yang sama, iaitu al-Qur’an dan al-Hadits. Bukannya berpandukan kepada prinsip yang penting menang, ataupun hanya menggunakan persangkaan/ hearsay, ataupun hanya dengan logik sendiri. Apabila ingin menggunakan logik, mestilah menggunakan pemikiran yang rasional, bukan persangkaan ataupun falsafah/ teori kosong.
“Barangsiapa yang beriman pada Allah dan hari akhir maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam.” [HR Bukhari Muslim]
“Amma ba’du: sesungguhnya perkataan yang paling benar adalah kitabullah, dan sebaik-baik petunjuk, adalah petunjuk Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam.” [HR Tirmidzi, Ibnu Majah]
“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (yaitu) Al Qur’an.” [TMQ az-Zumar (39) 23]
Diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib katanya: “Jika agama itu dibangun dengan akal fikiran, tentu saja bahagian bawah khuf lebih patut disapu daripada bahagian atas.Sesungguhnya saya melihat Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menyapu di bahagian atas khufnya.” [HR Abu Dawud]
3. Menghindari berkata yang buruk, keji, mencaci atau mencerca lawan berdebat
Ketika berdebat, kita mestilah ingat bahawa yang kita bincangkan adalah idea yang disampaikan, bukan orang yang menyampaikan, sehingga kita tidak dibenarkan menyerangnya secara peribadi dan menggunakan kata-kata yang tidak mencerminkan keimanan kepada Allah.
“Bukanlah seorang mukmin jika dia suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji.” [HR Tirmidzi]
4. Tidak selalu mencari-cari perbalahan atau gila debat
Al-Qur’an telah menjadikan debat sebagai salah satu cara dalam menyampaikan kebenaran Islam, tetapi bukan bermakna al-Qur’an memerintahkan kita untuk suka berdebat atau mencari-cari perbalahan. Seorang mukmin mesti faham bahawa perdebatan adalah salah satu kaedah berdakwah dan jalan terakhir dalam dakwah, bukan sebagai pintu permulaan berdakwah.
“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” [TMQ al-Anfaal (8): 46]
5. Perhatikan siapa yang menjadi lawan anda
Perkara pertama yang mesti diperhatikan adalah siapa lawan debat atau diskusi kita, kerana lawan debat/diskusi mestilah orang yang memang menginginkan dan mencari kebenaran, bukan sekadar suka berdebat atau menjadikan debat untuk memperolok-olok agama Islam.
“Tidak ada satu kaum yang tersesat setelah mendapat petunjuk, melainkan kerana mereka suka berdebat”. Kemudian Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam membaca ayat: “Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah saja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar. [TMQ Az-Zukhruf (43): 58]” [HR. Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad]
Selain itu, tidak semua manusia yang diseru dengan ayat-ayat al-Qur’an akan bertambah keimanannya. Allah memperingatkan bahawa ada manusia yang semakin bertambah kekafirannya ketika dibacakan ayat-ayat Allah. Maka ayat Allah tidak layak dibacakan untuk orang semacam ini.
“Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan ayat itu bertambah kekafiran mereka, di atas kekafirannya (yang sedia ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir.” [TMQ at-Taubah (9): 125]
Apabila kita sudah dapat memastikan bahawa lawan diskusi kita adalah orang munafik ataupun kafir yang bukan mencari kebenaran dalam debat dan diskusi, maka segeralah meninggalkan orang yang semacam ini kemudian beristighfar kepada Allah kerana kita telah melakukan hal yang tidak bermanfaat.
“Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain. Dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu).” [TMQ al-An’am (6): 68]
“Sesungguhnya Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan, maka janganlah kamu duduk bersama mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam.” [TMQ an-Nisaa (4): 140].
Maksud “duduk bersama/ beserta” adalah berada dalam suatu forum, sehingga seolah-olah dengan adanya kita di situ menjadi alasan untuk memperolok ayat-ayat Allah.
Imam asy-Syafi’i sendiri berkata tentang berdebat dengan orang semacam ini: “Aku tidak berdebat dengan ahli kalam kecuali sekali. Dan setelah itupun aku beristighfar kepada Allah dari hal itu”.
Sedangkan Imam Malik berkata: “Termasuk merendahkan dan meremehkan ilmu jika seseorang membicarakan ilmu di hadapan orang yang tidak mentaati ilmu itu”.
Dan al-Auza’i juga menyampaikan: “Jika Allah menginginkan keburukan pada satu kaum, maka Allah akan membuka atas mereka jidal/ debat, dan menghalangi mereka dari beramal.”
Daripada melayani orang seperti ini, adalah lebih baik kita beramal soleh. Ingat, menghabiskan waktu 30 minit untuk orang seperti ini bermakna kita telah membuang kesempatan berdakwah selama 30 minit kepada orang yang mahu mendengar. Lebih baik beramal soleh daripada berdebat dengan orang yang tidak ingin mencari kebenaran.
6. Perhatikan apa yang akan diperdebatkan/ dibincangkan
Seorang mukmin tidak akan menjatuhkan dirinya dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya dibincangkan, ataupun dalam perkara yang tidak bermanfaat, dan juga dalam perkara-perkara yang tidak akan meningkatkan keimanan. Dalam perbincangan, kita hanya boleh membahas hal-hal yang dibolehkan oleh Allah, dan menjauhi perkara yang telah dilarang atau dimakruhkan untuk membahaskannya. Termasuk dalam perkara ini ialah hal berkaitan mempertikaikan dan mentakwi tentang Allah dan ayat-ayat-Nya.
“..dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dia-lah Tuhan Yang Maha keras siksa-Nya.” [TMQ ar-Ra’du (13): 13]
“Menyoal tentang al-Qur’an adalah kufur.” [HR Ahmad Syakir]
Selain itu, kita juga diperintahkan agar tidak berlebihan memperdebatkan tentang perkara ghaib seperti takdir, kewujudan Allah dan yang sepertinya.
Diriwayatkan daripada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam beliau bersabda, “Jika diperbincangkan tentang sahabatku maka hentikanlah, jika diperbincangkan tentang ilmu nujum maka hentikanlah, dan jika diperbincangkan tentang takdir, maka hentikanlah,” [Hasan, lihat kitab ash-Shahihah (34)].
7. Tinggalkan perdebatan di forum-forum umum yang sangat terbuka
Tujuan perdebatan adalah menegakkan yang benar dan menjatuhkan yang salah, atau dengan perkataan lain mengubah daripada yang buruk menjadi yang baik. Apabila perdebatan ini dilakukan di forum-forum umum ataupun wasilah umum yang dapat dilihat oleh orang ramai, maka sesungguhnya perdebatan semacam ini lebih banyak mudharatnya, dan pasti menjadi perdebatan yang tidak berkesudahan.
Saat ini kita kerap melihat perdebatan yang tidak bermanfaat dalam forum-forum diskusi, wall facebook, mail list ataupun yang lain. Forum semacam ini tidak menyediakan moderator yang mengawal perbincangan. Sehingga semua pendapat sama ada benar atau salah boleh bercampur dan tidak ketinggalan mengandungi sumpah serapah, penghinaan, hasutan dan lain-lainnya yang tidak bermanfaat. Adakalanya, perbincangan dikuasai oleh emosi dan ini dilihat oleh banyak pihak dan menjadi suatu permulaan yang buruk. Dan jelas hal-hal seperti ini menimbulkan mudharat serta haram hukumnya. edangkan kaedah fiqh menyatakan: “wasilah (sarana) yang boleh mengantarkan kepada keharaman maka wasilah itu haram”. Maka berdebat di internet dalam forum-forum umum dan boleh diakses semua orang tanpa moderator adalah haram.
Jika kita benar-benar ingin memberi nasihat dan berdebat dengan ahsan, jemputlah sasaran dakwah anda untuk off-air, membuat temu janji, kemudian bincangkan berdua sahaja atau bertiga atau empat orang, ini lebih baik daripada kita berdebat dan berdiskusi di forum umum secara maya.
Kesimpulannya, saya ingin menyampaikan bahawa masa kita terlalu berharga untuk berdebat dengan orang-orang yang memang tidak ingin mencari kebenaran. Dan apabila kita menjumpai komen-komen yang menyerang Islam di internet, janganlah tergesa-gesa untuk berdebat, kerana justeru itulah yang mereka inginkan.
Bila kita membaca komen apa-apa pun di internet, maka kita ada dua pilihan:
1) bila kita suka, bacalah dan amalkan,
2) bila kita tidak suka, lupakan sahaja.
Wallahua’lam.
*BERSAMBUNG (BAHAGIAN 2 akan dikeluarkan dalam keluaran akan datang).
Oleh:
Ustaz Felix Siauw
Pakar Motivasi (Islamic Insipirator)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan