“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs ‘Umar ibn al-Katthab Radhiallahu ‘anhu beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.
Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih”
Amal yang diniatkan untuk mengerjakannya ada dua bahagian:
1. Amal yang ikhlas
2. Amal yang tidak ikhlas.
Meskipun amal-amal ini pada zahirnya mungkin kelihatan sama, namun pada batinnya terdapat perbezaan kerana berlainan niat.
Amal Yang Ikhlas
Amal yang didasarkan di atas niat yang baik dan ikhlas akan diterima Allah Subhanahuwata’ala dan diberikan ganjaran. Imam Nawawi dalam keterangannya mengenai amal yang disertai niat yang baik, telah berkata: Bahawa amal ada tiga bahagian, iaitu:
1. Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah. Amal ini dinamakan ibadah hamba.
2. Amal yang dikerjakan kerana mengharapkan syurga dan pahala. Amal ini dinamakan ibadah saudagar.
3. Amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah. Juga dilaksanakan kerana hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seorang yang masih di dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalnya diterima atau tidak. Amal ini dinamakan ibadah orang yang merdeka.
Inilah rupa amal ibadah yang dimaksudkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sewaktu menjawab sungutan Aisyah Radhiallahu ‘anha yang berkata, “Mengapakah Rasulullah bersusah payah berdiri sembahyang waktu malam hingga bengkak-bengkak kedua-dua belah kakinya? Padahal Allah telah mengampunkan dosanya yang lalu dan yang akan datang?”. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjawab, “Tidakkah patutkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”.
Kesimpulannya, amal yang ikhlas ialah amal yang diniatkan kerana Allah Subhanahuwata’ala dan tidak kerana yang lainnya. Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam lalu berkata:
“Ya Rasulullah! Ada seoranng lelaki yang bersedekah dan dia suka supaya dipuji dan diberikan pahala kepadanya”. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tidak dapat menjawab apa-apa sehinggalah diturunkan ayat ini:
“Maka barang siapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah kerjakan amal yang soleh. Dan janganlah dia sekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya.”
Sebab-sebab Yang Merosakkan Amal
1. Perasaan Sombong
Perasaan ini merosakkan dan memusnahkan keikhlasan amal meskipun kelihatan elok dan sempurna pada zahirnya.
2. Perasaan Riyak
Saidina Umar pernah berkata kepada Mu’az bin Jabal yang sedang menangis, “Kenapa engkau menangis?”. Jawabnya, “Kerana ada hadith yang aku telah dengar daripada Rasulullah yang menyatakan bahawa sedikit saja riyak itu adalah syirik.”
Oleh itu ikhlas ialah memaksudkan taat kepada Allah dan tidak memerlukan apa-apa yang lain.
Riyak pula ada dua jenis:
1. Memaksudkan taat kerana manusia.
2. Memaksudkannya kerana manusia dan kerana Allah sekaligus.
Kedua-dua jenis riyak di atas akan memusnahkan amal.
Amal yang dicampuri riyak bukanlah amal yang bersih, malah amal itu menipu diri, mengotorkan jiwa dan menghampakan harapan. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menamakan riyak sejenis syirik yang paling halus sebagaimana sabdanya:
“Yang amat aku takuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil (halus)”.
Kemudian ditanya mengenainya, lalu Baginda Sallallahu’alaihiwasallam berkata, “Itulah riyak”.
Riyak itu biasa wujud pada amal, iaitu amal yang dikerjakan kerana manusia. Atau pun, meninggalkan sesuatu amal kerana manusia. Dalam hal ini, Fudhail Ibn Iyad telah berkata:
“Meninggalkan amal kerana manusia adalah riyak. Beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah Allah menyelamatkan engkau daripada kedua-duanya.”
Jelaslah bahawa amal yang dikerjakan dengan riyak dan amal yang dilakukan bercampur antara kerana Allah dengan kepentingan dunia adalah amal yang bersifat sekutu, sedangkan Allah tidak mahu menerima amal seperti itu. Imam Ghazali telah berkata:
“Bahawa sekutu pada amal yang menghilangkan pahala ialah dengan berperasaan riyak. Adapun sekutu dengan yang lainnya tidaklah menghilangkan pahala sama sekali. Hal ini samalah seperti urusan haji yang dikerjakan dengan maksud berniaga dan urusan perang yang dimaksudkan untuk mempertahankan agama di samping mendapatkan rampasan harta benda. Orang yang mengerjakan haji dengan maksud yang tersebut akan mendapat pahala menurut kadar niatnya, manakala orang yang berperang itu pula akan mendapatkan pahalanya walaupun akan berkurangan daripada yang sepatutnya.”
Al-Syeikh ‘Izzuddin Ibn ‘Abdal-Salam pernah ditanya orang tentang kelakuan orang yang bersembahyang yang memanjangkan rukun sembahyangnya kerana manusia. Maka jawabnya:
“Saya mengharapkan bahawa tidaklah dihapuskan pahalanya jika perbuatan sekutunya itu (iaitu memanjangkan rukunnya kerana manusia) pada sifat amal itu saja. Tetapi jika sekutunya itu didapati pada asal atau dasar amal, iaitu niat sembahyangnya kerana Allah dan kerana manusia, maka teranglah dia tidak akan diterima sembahyangnya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan