Penyakit
yang biasa melanda para aktivis adalah ghurur (terpedaya oleh diri sendiri).
Penyakit ini berlaku kerana para aktivis merasakan dirinya telah lama dalam
kerja-kerja dakwah, usaha-usahanya sentiasa berjaya, jamaah yang disertainya
terkenal dan barisan kepimpinannya masyhur serta disanjung oleh masyarakat
dengan label professor, doktor dan sebagainya. Keadaan seperti inilah yang cepat
menjadikan mereka berpuas hati dengan sedikit amal dakwah yang mereka lakukan.
Mereka cepat berpuas hati dengan sedikit pengorbanan yang mereka lakukan kerana
mereka dapat berlindung di belakang sebuah jamaah yang terkenal.
Penyakit
lain yang biasa juga melanda para aktivis adalah penyakit cintakan kemasyhuran
dan suka menonjolkan kehebatan–kehebatan. Penyakit ini biasa menyerang para
aktivis yang terlibat dalam dakwah secara terbuka, seperti memberi ceramah atau
menjadi tempat rujukan masyarakat dalam beberapa perkara. Tanda awal kepada
penyakit ini ialah apabila seorang aktivis itu merasa manis dengan kejayaannya
dalam menyampaikan ceramah-ceramah di khalayak ramai. Kemudian dia suka
bertanya-tanya pendapat beberapa orang temannya yang mendengar ceramahnya tadi
berkenaan ceramah yang telah disampaikannya.
Selangkah
selepas itu dia merasa kurang bermanfaat atau merugikan masanya jika dia diminta
untuk menyampaikan ceramah kepada khalayak yang kecil bilangannya. Selepas tahap
tersebut dia mula kagum dengan dirinya sendiri dan merasakan kejayaan jamaah
adalah disebabkan oleh kemasyhurannya. Akhirnya ia merasakan bahawa ia boleh
bergerak dan berperanan dalam dakwah tanpa berintima' atau menyertai jamaah
Islam. Lantas ia meninggalkan jamaah dan bergerak dengan meninggalkan
dasar-dasar amal jama'ie.
Masalah
Disiplin Para Aktivis
Di
antara perkara yang selalu berlaku ialah tidak patuhnya aktivis-aktivis terhadap
keputusan jamaaah. Ini berlaku apabila seseorang aktivis itu melakukan
tindakan-tindakan yang menyanggahi peraturan-peraturan jamaah, Perkara ini
termasuk juga tindakan seseorang aktivis menyatakan kepada masyarakat umum
sesuatu perkara seolah-olah apa yang disampaikannya itu adalah pendirian jamaah.
Sedangkan ia berbuat demikian tanpa kebenaran daripada pimpinan jamaah. Dalam
hal ini ia bertindak seolah-olah sebagai wakil jamaah kepada masyarakat umum.
Sedangkan apa yang dikatakan mungkin bercanggah atau tidak selaras dengan
pendirian tanzim yang sebenar.
Masalah
Kutlah/ Kelompok Yang Membawa Fitnah Dalam Tanzim
Untuk
mencapai kesepakatan atau kebersamaan dalam semua hal adalah satu perkara yang
rumit dalam harakah Islamiyyah. Para aktivis hendaklah ditarbiyyah hingga dapat
menghayati adab-adab musyawarah dan adab-adab khilaf (berbeza pendapat) dalam
sesuatu perkara. Namun demikian, masalah kutlah tetap wujud dan berlaku dalam
jamaah Islam.
Masalah
yang paling berat berkaitan dengan perbezaan pendapat adalah apabila beberapa
aktivis yang tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan jamaah mula mendapatkan
pengaruh daripada aktivis-aktivis lain. Bermula daripada itu, mereka mula
mewujudkan kelompok atau kutlah yang sentiasa mendesak tanzim untuk menerima
pendapat mereka. Tindakan mereka itu akhirnya menjadi fitnah dalam jamaah
Islam.
Selalunya
jika pendapat-pendapat mereka tidak juga diterima oleh jamaah, mereka memutuskan
untuk meninggalkan jamaah dengan membawa bersama mereka ahli-ahli lain. Kemudian
mulalah mereka menyerang jamaah yang asal dengan kata-kata dan tuduhan-tuduhan
yang keji lagi dusta. Saidina Umar Al Khattab R.A pernah berkata, "Kembali
kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan
(kesalahan)".
Manakala
Imam Fudhail berkata, "Sesungguhnya di antara tanda-tanda munafik ialah, sukakan
pujian terhadap perkara yang tidak dimiliki, bencikan celaan terhadap keburukan
diri dan marahkan mereka yang menunjukkan kelemahan dirinya".
"Sesungguhnya,
antara tanda-tanda munafik ialah, dia merasa gembira apabila mendengar keburukan
salah seorang sahabatnya".
Sebenarnya
bukanlah satu keaiban/ kehinaan jikalau para aktivis tersalah atau tersilap
jalan kerana setiap manusia tidak terlepas dari kesalahan, dan sebaik-baik orang
melakukan kesalahan ialah orang yang bertaubat serta kembali kepada kebenaran.
Tetapi yang menjadi satu kesilapan dan dosa besar adalah sifat takabbur
(sombong) serta berterusan melakukan kesalahan.
Bertaubatlah
kepada Allah, kembalilah kepada kebenaran dan jamaah sebelum diri diperdaya oleh
fitnah istidraj disebabkan oleh dosa yang dilakukan yang kemudian Allah
menambahkan lagi nikmatnya sehingga melupakan mereka daripada istighfar
(taubat).
*Ditulis
oleh Akademi Tarbiyah DPPM
http://www.tarbawi.my/index.php/inspirasi/minda-pejuang/147-penyakit-di-kalangan-aktivis-gerakan-islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan